Nasha Aziz

Pelakon wanita Malaysia

Noraishah "Nasha" Abdul Aziz (lahir 14 Mei 1971) ialah seorang pelakon dan model Malaysia. Pernah mendapat jolokan "Supermodel Malaysia", Nasha juga mempunyai pencapaian membanggakan dalam bidang lakonan termasuk memenangi anugerah nasional iaitu Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia.

Nasha Aziz
Nasha pada 2006
Kelahiran
Noraishah binti Abdul Aziz

(1971-05-14) 14 Mei 1971 (umur 52)
Kampung Pandan, Kuala Lumpur, Malaysia
Nama lainNasha Aziz
PekerjaanPelakon, model
Tahun aktif1989–kini
Anak-anakMuhammad Faris Imadi bin Azhar

Kerjaya sunting

Peragaan sunting

Nasha Aziz memulakan kerjaya dalam bidang peragaan sejak 1989, bakat beliau mula diperkenalkan oleh Tiara Jacquelina. Nasha terus mengembangkan nama sebagai peragawati terkenal tanah air hingga ditawarkan kontrak peragaan di New York, Amerika Syarikat. Namun, kerana keterbatasan agama dan budaya, Nasha memilih untuk menetap di Malaysia dan meneruskan bidang peragaan selain menceburi bidang lakonan.

Suatu ketika beliau pernah diberi jolokan Peragawati Nombor Satu Tanah Air. Sepanjang bergelar peragawati, Nasha pernah menyarungkan busana dari pelbagai pereka dalam dan luar negara seperti Zhang Toi, Rizalman Ibrahim, Christian Dior, Levi's, Versace dan banyak lagi. Nasha juga menjadi pilihan iklan komersial, antara yang pernah disiarkan di kaca TV termasuklah Nescafe Classic, Avon, Pantene, Panasonic, Rexona dan kosmetik Cover Girls.

Lakonan sunting

Nasha mula berjinak-jinak dalam dunia lakonan menerusi telefilem pertamanya iaitu Duit Free, arahan Zainal TJ pada tahun 1994 dan Inikah Cinta, sebanyak 13 episod menerusi TV1. Nasha memulakan kerjaya sebagai pelakon filem pada 1995 menerusi filem Kad Cinta bersama Hairie Othman terbitan dan arahan Julie Dahlan (kini Allahyarhamah) ketika berusia 24 tahun. Biarpun begitu, bintang Nasha lebih menyerlah di bidang peragaan. Nama Nasha mula meledak pada 1998 apabila sekali lagi bergandingan bersama Hairie dalam drama bersiri popular Hanya Dikau. Nasha juga popular menerusi watak kecil dalam drama bersiri popular Idaman. Pada 1998, beliau menerima tawaran daripada pengarah Yusof Haslam untuk memegang watak Effa dalam filem Bara selepas penyanyi Erra Fazira menolak tawaran tersebut atas sebab peribadi. Filem tersebut nyata memberi tuah kepada Nasha apabila dicalonkan untuk kategori Pelakon Wanita Terbaik serta menggondol anugerah Pelakon Harapan Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-14 (FFM14) menerusi watak pelacur dalam filem tersebut. Ketika mula popular Nasha terpaksa membahagikan masa di antara bidang lakonan dan peragaan. Pada 1999, beliau menolak tawaran untuk membintangi filem Pasrah bergandingan bersama Erra. Nasha ditawarkan memegang watak sebagai Natasha dalam filem tersebut di mana watak tersebut kemudiannya dipegang oleh Wilma Muhammad. Pada 2001, Nasha hampir bersiap sedia untuk ke lokasi filem Hati Biru bergandingan bersama Sofia Jane dan Azri Iskandar; namun filem itu dibatalkan pembikinannya setelah Nasha berhempas puas berlatih vokal untuk memegang watak penyanyi dalam filem tersebut. Nyanyian beliau bagaimanapun pertama kali berkumandang ketika beraksi di pentas Panggung Sari, Istana Budaya pada 2007 untuk pementasan teater muzikal Lantai T. Pinkie.

Nasha bagaimanapun terus cemerlang dalam bidang lakonan apabila dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-17 menerusi watak Jeslina, wanita psiko dalam filem Trauma. Menerusi filem tersebut Nasha dikhabarkan bertelagah dengan pengarah filem itu, Aziz M Osman apabila Nasha tidak diberi skrip lebih awal untuk menjayakan watak tersebut; sebaliknya Aziz berahsia mengenai pembentukan watak Jeslina dalam filem tersebut hingga menyukarkan Nasha untuk membuat persediaan. Ternyata kaedah Aziz untuk membentuk watak misteri Jeslina dalam filem tersebut berhasil, malahan Nasha sendiri tidak menyangka hasil lakonannya menjadi begitu cemerlang di layar perak hingga dicalonkan di Festival Filem Asia Pasifik ke-49 di Fukuoka, Jepun pada 2004. Nasha muncul dalam beberapa lagi filem pecah panggung seperti Gerak Khas The Movie (2001), Laila Isabella (2003), Buli, dan Cinta Luar Biasa (2004). Populariti Nasha memuncak dan terus menjadi antara pelakon wanita utama paling popular di Malaysia sebaris dengan nama-nama besar seperti Amy Mastura, Erra Fazira, Umie Aida dan Maya Karin. Nasha juga dicalonkan dua kali dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik dalam dua edisi FFM berikutnya menerusi watak gadis lesbian yang dihantui kisah silam dalam Puaka Tebing Biru dan wanita yang berdepan dengan masalah poligami dalam filem Otai.

Setelah lebih 10 tahun bergelar pelakon, Nasha agak selektif dalam memilih produksi untuk dibintanginya. Sejak 2008, beliau tidak lagi muncul di layar perak sebaliknya fokus kepada lakonan di kaca televisyen. Nasha semakin ligat berlakon drama bersiri antaranya bersama Rosyam Nor antaranya Makan Besar, Maya Mira dan Seri Pengantin. Nasha juga popular menerusi banyak drama bersiri seperti Inspirion, Datin Diaries dan membintangi bersama Erra Fazira menerusi drama bersiri Kasih Tercipta. Nasha bijak menggunakan kebolehannya untuk berkomedi dalam drama-drama seperti Awan Dania, Supermak dan Tujuh Dulang Asam Pedas. Pada 2009, Nasha merupakan juri tetap untuk rancangan realiti Anak Wayang di Astro Ria.

Kehidupan peribadi sunting

Nasha juga seringkali menjadi bahan cerita utama akhbar-akhbar utama Malaysia dalam beberapa siri kontroversi yang mengaitkan beliau. Nasha juga terpaksa turun naik mahkamah untuk menyelesaikan banyak hal dalam kes-kes yang menjadikan Nasha sebagai mangsa eksploitasi media.

Rakaman CCTV curi sunting

Pada tahun 2002, negara dikejutkan apabila Nasha menjadi mangsa rakaman curi menerusi kamera litar tertutup yang mengakibatkan hampir keseluruhan rakaman perbuatan seharian aktres ini di rumahnya menjadi bahan edaran menerusi VCD. Ahmad Bakhtiar, 31 (sewaktu itu), bersalah terhadap dua pertuduhan menceroboh masuk ke dalam apartmen Nasha di Shahzan Court di Jalan Nipah off Jalan Ampang dan menceroboh hak peribadinya dengan memasang kamera litar tertutup antara April dan Julai pada 2002. Ahmad Bakhtiar dihukum penjara enam bulan bagi setiap kesalahan. Bagaimanapun, Majistret Ida Hanani memerintahkannya menjalani hukuman itu serentak. Timbalan Pendakwa Raya Noorin Badaruddin berkata pendawaian kamera itu ditemui dipasang melalui apartmen Nasha ke sebuah lagi unit apartmen dalam blok itu yang dijadikan sebagai pejabat selenggaraan oleh Ahmad Bakhtiar. (Seluruh blok apartmen itu milik bapa Ahmad Bakhtiar). "Beliau seorang yang terkenal, seorang aktres dan peragawati dan kejadian ini menjejaskan dirinya. Ia merupakan sesuatu yang tidak harus didedahkan kepada umum. Menceroboh hak peribadi dan maruah seseorang merupakan kesalahan yang serius," katanya.

Sementara itu, Nasha yang dihubungi melahirkan rasa bersyukur setelah kes yang berlarutan sehingga enam tahun itu berakhir dengan keputusan yang dianggapnya adil. Menurut pelakon terkenal itu lagi, selama tempoh proses kes itu berlangsung, dia tidak nafikan agak tertekan, tambahan pula beberapa tahun lalu dirinya pernah diugut agar menarik semula kes tersebut.[1]

Disaman bapa kandung sunting

Kes bermasam muka antara Nasha Aziz dengan bapanya Abdul Aziz Mohd sudah diketahui ramai dan berpanjangan sejak 2004. Nasha dilahirkan oleh pasangan Abdul Aziz dan Mahanom Zainal pada 1971. Namun Abdul Aziz menyerahkan Nasha ketika kecil kepada kakak kandungnya, Habibah Mohd Ali dan suami Aziz Hathim untuk dijaga. Sejak itu mereka terputus hubungan.

Bagaimanapun ketika Nasha dianugerahkan sebagai Aktres Terbaik FFM17, bapa angkat Nasha (Aziz Hathim) telah meninggal dunia dan Nasha tidak dapat hadir untuk menerima anugerah. Nasha kemudiannya muncul di media untuk memberitahu sebab ketidakhadiran beliau. Disebabkan beberapa kenyataan media yang dibuat Nasha; Bapa kandungnya, Abdul Aziz yang juga seorang guru silat terkenal, mengemukakan saman terhadap beliau berhubung artikel dalam akhbar Mingguan Malaysia yang mendakwa bahawa Abdul Aziz bukan bapa kandungnya. Abdul Aziz, dalam pernyataan tuntutannya, berkata beliau ialah bapa kandung Nasha dan mendakwa bahawa perkataan fitnah di dalam artikel itu bertajuk “Jangan tanya hal peribadi”, dalam keluaran akhbar bertarikh 24 November 2004 telah menyebabkan perasaan beliau terseksa, memalukan dan mencemarkan maruahnya.Beliau memohon ganti rugi, faedah, kos dan faedah lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah dengan mendakwa artikel itu boleh difahamkan sebagai bermaksud yang beliau sudah meninggal dunia.

Nasha, dalam pernyataan pembelaannya menjelaskan bahawa perkataan “bapa” dalam temu bual dengan akhbar itu merujuk kepada bapa saudara yang membesarkannya. Nasha bagaimanapun tidak menafikan bahawa Abdul Aziz ialah bapa kandungnya tetapi beliau menganggap bapa saudaranya sebagai bapa dalam hidupnya. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Oktober 2009 memerintahkan Nasha membayar ganti rugi RM10,000 kepada bapanya Abdul Aziz Mohd Ali dalam kes saman fitnah yang difailkan bapanya terhadapnya. Hakim Datuk Abdul Wahab Patail membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Abdul Aziz bagi membuat penghakiman selepas Nasha dan peguamnya tidak hadir pada perbicaraan kes sebelum itu. Bagaimanapun, Nasha kemudiannya hadir ke mahkamah tanpa peguam yang mewakilinya dalam kes itu Rashid Mokhtar. Hakim Abdul Wahab juga memerintahkan Nasha membayar faedah lapan peratus setahun kepada bapanya dari tarikh saman difailkan iaitu pada 31 Mac 2005 sehingga penyelesaian penuh saman itu. Beliau bagaimanapun tidak memberi ganti rugi tambahan seperti yang diminta oleh Abdul Aziz kerana saman itu melibatkan perkara dalam keluarga. Hakim Abdul Wahab dalam penghakimannya berkata beliau mendapati Abdul Aziz selaku plaintif berjaya membuktikan dia telah difitnah oleh Nasha selaku defendan apabila Nasha dalam artikel yang diterbitkan Utusan Malaysia pada 24 Okt 2004, menyatakan dia (Nasha) hanya mempunyai seorang ayah sahaja. Katanya, Abdul Aziz juga menerima satu panggilan bahawa beliau ialah seorang penipu kerana beliau bukan bapa kandung Nasha. Hakim Abdul Wahab berkata, artikel itu tidak perlu dibaca baris demi baris tetapi perlu dibaca keseluruhan perenggan dan membuat kesimpulan bahawa kenyataan itu tidak merujuk kepada Abdul Aziz (plaintif) tetapi kepada bapa saudara Nasha, Allahyarham Abdul Aziz Hathim.[2]

Percintaan sunting

Nasha mula menjalin hubungan istimewa dengan aktor popular Faizal Hussein sejak mula bergelar peragawati. Hubungan tersebut juga diteruskan dengan pertunangan pada 1995 sebelum beberapa tahun selepas itu mereka putus tunang. Ini merupakan perhubungan cinta paling lama buat Nasha iaitu selama 12 tahun.

Nasha kemudiannya pernah dikaitkan sebagai orang ketiga dalam rumahtangga pengarah terkenal Yusof Haslam, namun kisah itu hanya gosip semata-mata. Nasha pada tahun 2002 pernah menjalinkan hubungan dengan vokalis kumpulan muzik popular Indonesia, GIGI iaitu Armand Maulana. Hubungan itu tidak bertahan lama ekoran kesibukan dan jarak jauh diantara kedua-dua bintang tersebut. Pada 4 Jun 2006 Nasha yang telah berusia 37 tahun ketika itu mengikat tali pertunangan dengan pengarah fotografi filem terkenal, Helmi Mohd Yusof, 29, dan dijadual melangsungkan perkahwinan sekitar Julai 2007. Selepas setahun bertunang, akhirnya mereka mengambil keputusan memutuskan saja hubungan berkenaan awal Januari lalu. Abang (angkat) Nasha, Hamidi Aziz mengesahkan berita putus tunang itu. Menurut Hamidi, Nasha dan Helmi bersetuju memutuskan pertunangan mereka tanpa sebarang pertengkaran besar. Malah ahli keluarga kedua-dua belah pihak pula menyifatkan keputusan itu dibuat kerana tiada jodoh antara keduanya.[3]

Ketika Nasha baru sahaja memenangi anugerah untuk Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Anugerah Skrin 2008 (namun beliau tidak hadir), terdengar desas desus mengenai kisah hubungan intimnya dengan seorang pemuda Cina yang sering dilihat bersamanya. Mungkin perasaan bahagia yang memenuhi ruang hati serta musim bunga yang dilaluinya dengan jejaka yang juga seorang promoter konsert terkenal, membuatkan Nasha tidak teragak-agak untuk menyingkap sedikit rahsia hidupnya sebagai tatapan pembaca akhbar ini. “Kami memang rapat dan sudah enam bulan saya berkawan dengannya. Dan dia pun sudah bergelar saudara baru pada Ramadan lalu dan kini dikenali dengan nama barunya Nur Iman Tang. Jadi sepanjang bulan puasa lalu, saya sibuk membantunya menerangkan serba sedikit mengenai asas agama. Dan kami juga sering menunaikan sembahyang Tarawih bersama,” cerita jurucakap Avon dan Polo ini dalam nada teruja. Mengakui amat menyenangi jejaka itu, Nasha berkata sepanjang mengenalinya dia melihat kesungguhan Nur Iman memeluk agama Islam adalah kerana keikhlasannya terhadap agama itu. Nasha pada 2009 belum mengumumkan untuk mengakhiri zaman bujangnya bersama Iman Tang bagaimanapun setelah melalui beberapa siri kekecewaan dalam percintaan, peminat sentiasa mendoakan jodoh terbaik buat primadona yang satu ini.[4]

Filemografi sunting

Filem sunting

Tahun Tajuk Watak Catatan
1995 Kad Cinta Julia Filem pertama
1997 Puteri Impian Tuan Puteri Pelakon undangan
1999 Bara Effa
2001 Gerak Khas The Movie Suzanna
2003 Laila Isabella Laila / Isabella
2004 Trauma Jeslina
Buli Dr. Ika
Cinta Luar Biasa Farah
2005 Tak Ori Tapi Ok Sarah / Saloma
Kemarau Cinta Aida Zulfikar
2006 Buli Balik Dr. Ika
2007 Puaka Tebing Biru Ratna
Otai Azura
2008 Sepi Suzie
2016 Usin UFO Pelakon undangan
2017 Aku Bukan Spy Fazira
2021 Selamat Hari X Jadi Ibu Hani
2022 Talbis Iblis Junaidah a.k.a Mak Ju

Drama sunting

Tahun Tajuk Watak Saluran TV Catatan
1994 Duit Free
1998 Hanya Dikau
1999 Idaman 2 Julia Astro Ria
2000 Spanar Jaya Mel ntv7 Pelakon undangan
2001 Detektif Metropolitan
2002 Maya Mira Maya / Mira TV3
2005 Inspirion TV3
2006 Inikah Cinta TV1
2007 Datin Diaries TV3
2008 Frontpage ntv7 Episod: "Sex, Lies and the Internet"
2008–2009 Awan Dania Astro Ria
2009 Kasih Tercipta Tona Astro Prima
2011 Supermak Amy Salim TV3
2013 Maskara Liza TV1
2019 Iktibar Kay TV3 Episod: "Derita Di Sebalik Nafsu"
2022 La Luna Puan Sri TV2
Kerana Dia Suka Seha TV3
IMperfect Shasha Bagoos Astro Ria Penampilan khas
Jesnita Syafinaz Astro Prima
2023 Rindu Darul Iman Hajar TV Okey
TBA Kau Takdirkan Bersama Cik Latifah TV3 Penampilan khas

Telefilem sunting

Tahun Tajuk Watak Saluran TV
1996 Putih Gaun Pengantin TV3
2001 Makan Besar TV2
Siti Wan & Kembang Siti Wan VCD
2002 Berakhirnya Sebuah Ramadan TV3
2003 Che Mat
Cik Mala Janda Berhias Cik Mala
2011 Surah Al-Fatihah Mastura
Dendam Maya Karmila Astro Citra
2012 Diari Bella Bella TV2
2013 7 Dulang Asam Pedas Junaidah TV1
Kasih Bersulam Daun Palas Fazlina Astro Maya HD
Demi Kamu Cinta Astro Ria
2014 Sekilas Cinta TVi
Tangisan Yang Tiada Noktah Datin Zara TV3
Nek Tempawan Nek Tempawan TV2
Warkah Syurga Sofea Astro Prima
2016 Mati Tunggu Sekejap Mariam Astro Oasis
Bahang Neraka Nina Astro Prima
2018 Super Menantu Elfa Qismaura ntv7
3 Bahadol Laila Astro Warna
I Heart You Cik Yah Qarina Astro Citra
Kembarku Robot Mariam Astro Ceria
2020 Mak...Nak Peluk Boleh Miss Daisy TV3
2022 Bini-Bini Lockdown Shima
Curi Duit Raya Dato' Mas Astro Citra

Teater sunting

Tahun Tajuk
2006 Lantai T. Pinkie
2010 Antara
2014 Di Bawah Lindungan Kaabah

Anugerah dan pencalonan sunting

Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH)
Tahun Kategori Keputusan
1999 Pelakon Filem Wanita Popular Tercalon
2001 Pelakon Filem Wanita Popular Tercalon
2002 Pelakon TV Wanita Popular Tercalon
2003 Pelakon TV Wanita Popular Tercalon
Pelakon Filem Wanita Popular Tercalon
2004 Pelakon TV Wanita Popular Tercalon
Pelakon Filem Wanita Popular Tercalon
2005 Pelakon TV Wanita Popular Tercalon
Pelakon Filem Wanita Popular Tercalon
2006 Pelakon Filem Wanita Popular Tercalon
Anugerah Skrin TV3
Tahun Karya Tercalon Kategori Keputusan
1999 Bara Pelakon Wanita Terbaik (Filem) Tercalon
2003 Cik Mala Janda Berhias Pelakon Wanita Terbaik (Drama) Tercalon
2005 Trauma Pelakon Wanita Terbaik (Filem) Menang
2007 Puaka Tebing Biru Pelakon Wanita Terbaik (Filem) Tercalon
2008 Sepi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Filem) Menang
Festival Filem Malaysia
Tahun Karya Tercalon Kategori Keputusan
1999 (FFM 14) Bara Pelakon Wanita Terbaik Tercalon
Pelakon Harapan Wanita Menang
2004 (FFM 17) Trauma Pelakon Wanita Terbaik Menang
2007 (FFM 20) Puaka Tebing Biru Pelakon Wanita Terbaik Tercalon
2008 (FFM 21) Otai Pelakon Wanita Terbaik Tercalon
Festival Filem Asia Pasifik
Tahun Lokasi Karya Tercalon Kategori Keputusan
2004 (FFAP 49) Fukuoka, Jepun Trauma Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Tercalon

Rujukan sunting

Pautan luar sunting

Anugerah dan pencapaian
Didahului oleh
Umie Aida
menerusi Embun
Festival Filem Malaysia - Aktres Terbaik
2004
menerusi Trauma
Diikuti oleh:
Erra Fazira
menerusi Hingga Hujung Nyawa
Didahului oleh
Wilma Muhammad
menerusi Ghazal Untuk Rabiah
Festival Filem Malaysia- Aktres Harapan
1999
menerusi Bara
Diikuti oleh:
Jeslina Hashim
menerusi Seri Dewi Malam
Didahului oleh
Umie Aida
menerusi Embun
Anugerah Skrin- Aktres Terbaik
2005
menerusi Trauma
Diikuti oleh:
Rozie Rashid
menerusi Gubra
Didahului oleh
Tidak Dipertandingkan
Anugerah Skrin- Aktres Pembantu Terbaik (Filem)
2008
menerusi Sepi
Diikuti oleh:
Ida Nerina
menerusi Wayang