Pasukan Udara Tentera Darat Malaysia

Pasukan Udara Tentera Darat atau PUTD adalah satu kor di dalam Tentera Darat Malaysia yang berperanan memberikan bantuan udara di medan tempur kepada unit-unit Tentera Darat. Pada masa ini, PUTD dilengkapkan dengan helikopter-helikopter dalam peranan perhubungan (liaison) atapun dalam peranan tinjauan di medan tempur (observation). Tentera Darat Malaysia merancang untuk melengkapkan PUTD dengan helikopter penggempur sedikit masa lagi.

Lencana PUTD

Sejarah sunting

Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) telah ditubuhkan pada 1 Julai 1994 di pengkalan udara Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) di Kluang, Johor. Satu Pasukan Pelaksana (Project Team) telah ditubuhkan pada bulan Julai 1994 untuk menyelia perancangan dan perlaksanaan penubuhan suatu Pasukan Udara untuk Tentera Darat.

PUTD memulakan operasi penerbangan pada 11 Mac 1995 dengan 881 Skuadron PUTD ditubuhkan dengan rasminya. Ketika itu 881 Skn PUTD dilengkapi dengan 10 pesawat SA316B Alouette III yang dipindahmilik daripada Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM). Dengan penubuhan PUTD, sebahagian daripada pangkalan udara di Kluang telah diserahkan oleh TUDM kepada PUTD pada bulan Januari 1996. 881 Skuadron diisytiharkan beroperasi sepenuhnya pada 29 Mac 1997. Kini, keseluruhan pengkalan udara di Kluang telah diserahkan kepada PUTD. Pada mulanya seramai enam orang pegawai dari TUDM dan enam Pegawai dari Tentera Darat telah dipinjamkan sebagai Pioneer Team di tugaskan untuk membantu menubuhkan PUTD ini. Mereka itu ialah Pegawai Juruterbang: Kol Stephen Ngiau Tai Kong TUDM (Pengarah Project Team), Lt Kol Hj Ibrahim Hj Hashim TUDM, Pegawai Jurutera Udara: Mejar Mohd Asri Hamzah TUDM , Mejar Norazman Saparon TUDM dan Kapten Izaidi Musa TUDM serta Pegawai Logistik: Mejar Sarudin Chonil TUDM. Manakala Lt Kol Masood Zainal Abidin dari RAMD (bersara sebagai Timbalan Panglima Tentera Darat dengan pangkat Lt Jeneral) adalah selaku Timbalan Pengarah, Mejar Azmi Ariffin dari Kor Armor, Mejar Idris Mohamad dari JLJ, Kapt Nazri dari KP, Kapt Othman Badron dari JLJ dan Kapt Adnan Mat Din dari Kor Jutra . Gabungan pegawai-pegawai yang mempunyai berbagai kepakaran ini telah membentuk PUTD yang ada pada hari ini. Malaysia sungguh terhutang budi dan amat bangga dengan sumbangan 12 orang pegawai-pegawai "PIONEER" ini. Sejarah baru telah tercatat di dalam Angkatan Tentera Malaysia amnya dan Tentera Darat Malaysia khususnya.

Peranan dan Tanggungjawab sunting

Peranan Pasukan Udara Tentera Darat termasuk :

  • memberi sokongan taktikal kepada formasi-formasi Tentera Darat
  • tinjauan medan tempur (light observation)
  • beroperasi sebagai sebahagian daripada satu pasukan gabungan senjata (combined arms team)
  • memberikan bantuan tembakan dari udara
    • sokongan anti kereta kebal
    • bantuan tembakan dari udara secara langsung
    • menyerang sasaran-sasaran peluang
  • memberikan pengangkutan taktikal (terhad)
  • MEDEVAC/CASEVAC kecemasan
  • mencari dan menyelamat

Peralatan-peralatan sunting

Helikopter Penggempur sunting

Tentera Darat Malaysia telah mengenalpasti keperluan helikopter penggempur untuk Pasukan Udara Tentera Darat. Beberapa jenis helikopter penggempur telah diberikan pertimbangan dan dinilai, termasuk Denel Rooivalk(batal), Boeing Apache dan Eurocopter Tiger. Sehingga ini masih tiada dana diperuntukkan.

Helikopter Tinjauan sunting

 
Helikopter A109 LUH kegunaan PUTD

PUTD telah menerima hantaran 11 buah helikopter AgustaWestland A109 Hirundo untuk tugas-tugas tinjauan LOH.

Pengangkutan Taktikal sunting

Pengangkutan taktikal menggunakan helikopter masih menjadi tanggungjawab Tentera Udara DiRaja Malaysia, tetapi adalah wajar diunjurkan bahawa PUTD akan dilengkapkan dengan helikopter pengangkut berat sederhana ataupun helikopter utiliti jenis ringan bagi memenuhi keperluan pengangkutan taktikal dalam medan perang atau kecemasan.

Unit-unit sunting

Pasukan Udara Tentera Darat kini mempunyai dua skuadron, iaitu Rejimen 881 PUTD dan Rejimen 882 PUTD. Lain-lain unit sedang dirancangkan.

Rejimen 881 PUTD sunting

881 Skuadron telah ditubuhkan pada tahun 1995 dengan 10 buah helikopter perhubungan jenis SA.316 Alouette III yang dipindahkan dari Tentera Udara DiRaja Malaysia bersama-sama sekumpulan pegawai juruterbang yang akhirnya diserap menjadi anggota PUTD. 881 Skuadron di bawah perintah seorang Leftenan Kolonel.

Pada Tahun 2006, 881 Skuadron diperkuatkan dengan penghantaran 11 buah helikopter A109 Hirundo LOH. 5 buah A109 dihantar dalam bulan Disember 2005 dan bakinya dihantar dalam tahun 2006. Pasukan Udara Tentera Darat menjadi pengendali pertama A109 LOH di Asia. Helikopter-helikopter ini akan diberikan persenjataan seperti roket 70mm,AIM twin packs dan meriam 20mm. Senjata M134 Minigun turut dilengkapkan kepada helikopter ini. Rejimen ini berperanan sebagai rejimen tinjau yang akan melaksanakan penugasan tinjauan udara disamping melaksanakan tugas-tugas pengangkutan udara yang lain. Sebuah helikopter jenis ini terhempas pada 2014 lalu meninggalkan 10 buah unit dalam inventori.

Rejimen 882 PUTD sunting

Rejimen ini dibentuk setelah Pasukan Udara Tentera Darat dirancang untuk menerima sebanyak 12 buah helikopter utiliti Sikorsky S-61A4. Pada 21 Mac 2015, Panglima Tentera Darat telah menandatangani perjanjian penerimaan 12 buah pesawat tersebut daripada TUDM. Ketika ini rejimen ini mengoperasikan 3 buah helikopter Sikorsky S-61A4 dimana baki 9 buah helikopter Sikorsky S-61A4 akan diserahkan secara berperingkat. Rejimen 882 PUTD berperanan sebagai rejimen helikopter utiliti yang terlibat dalam penugasan pengangkutan udara taktikal dan pelbagai penugasan utiliti yang lain. Pada tahun 2022, dipastikan bahawa hanya 3 buah helikopter Sikorsky S-61A-4 Nuri beroperasi dan ia akan digantikan dengan helikopter baru.[1]

Inventori sunting

 
MD530G.

Inventori Semasa sunting

Rujukan sunting

  • Laman web rasmi Tentera Darat Malaysia
  1. ^ "World Air Forces 2022". Flightglobal. 2022. Dicapai pada 12 April 2022.
  2. ^ "DSA - Tentera Darat Bakal Perolehi Empat Buah Helikopter UH-60 Black Hawk".