Pelabuhan Klang ialah sebuah bandar dan pintu masuk perkapalan utama di Malaysia. Asalnya dikenali sebagai Pelabuhan Swettenham, ia merupakan pelabuhan terbesar dan tersibuk di Malaysia. Terletak di kawasan seluas 806 hektar di daerah Klang, Selangor. Pelabuhan ini merangkumi Pelabuhan Utara, Pelabuhan Barat dan Pelabuhan Selatan. Pelabuhan Klang menawarkan kemudahan-kemudahan perkhidmatan yang serba lengkap dan tercanggih untuk mengendalikan sebarang jenis dagangan.

Pelabuhan Klang
ڤلابوهن كلاڠ
Bandar
NegaraMalaysia
NegeriSelangor
DaerahKlang
Pentadbiran
 • Pihak Berkuasa TempatanMajlis Perbandaran Klang
 • PentadbirLembaga Pelabuhan Klang
Keluasan
 • Jumlah573 km2 (221 batu persegi)
Zon waktuUTC+8 (Waktu Piawai Malaysia)
Poskod
42000
Nombor telefon di Malaysia+60 3
Laman sesawanghttp://www.pka.gov.my

Ia merupakan pelabuhan pemindahan ke-13 tersibuk di dunia pada tahun 2004, pelabuhan ke-26 tersibuk berdasarkan jumlah tanan kargo yang dikendalikan pada tahun 2005, dan pelabuhan ke-16 tersibuk di dunia pada tahun 2007.

Sejarah sunting

Sebelum pembinaan pelabuhan, ekonomi setempat bergantung kepada pelabuhan dan jeti-jeti tak rasmi di muara Sungai Kelang. Walau bagaimanapun, menjelang akhir abad ke-19, ekonomi Selangor yang berkembang menjadikan kawasan pelabuhan ini tidak lagi efektif dalam menampung kegiatan ini.[2]

Pelabuhan Klang asalnya dikenali sebagai Port Swettenham apabila ia diasaskan oleh pemerintahan kolonial British pada tahun 1893, bersempena Residen British Selangor ketika itu, Sir Frank Swettenham. Perasmian pembukaan pelabuhan ini diadakan pada 15 September 1901, selepas satu kajian yang diadakan mendapati kawasan persisirannya mempunyai tempat berlabuh dalam, bebas dari bahaya dan sesuai untuk dermaga. Sejak dari itu, ia mengalami perkembangan pesat dengan adanya pemanjangan landasan kereta api dari Kuala Lumpur.

Walau bagaimanapun, kedudukan jeti di kawasan paya juga menjadikan Klang sebagai tumpuan jangkitan malaria pada masa itu; dalam dua tahun selepas pembukaan, pelabuhan terpaksa ditutup akibat masalah ini.[3][4] Hanya beberapa tahun sebelum ini, doktor British Sir Ronald Ross pada 1897 membuktikan bahawa malaria disebarkan oleh nyamuk, dan Pelabuhan Swettenham menjadi kawasan jajahan pertama yang mendapat manfaat daripada penemuan itu.[5] Pengubahsuaian dilakukan untuk membersihkan kawasan pelabuhan daripada malaria, termasuk pengisian paya, pembersihan hutan dan pengalihan air permukaan.[6][7]

Dalam zaman antaraperang dunia, pelabuhan mengalami banyak pertumbuhan dan pengembangan, dan memuncak pada tahun 1940 apabila tan angkutan meningkat kepada 550,000 tan. Semasa Perang Dunia Kedua, pesawat Berikat telah diberi khidmat oleh komandan perkhidmatan RAF di padang terbang pelabuhan.[8] Kebanyakan kemudahan pelabuhan yang rosak dalam peperangan telah dibina semula. Pelabuhan itu berkembang ke selatan dengan pemasangan tetap untuk mengendalikan lebih banyak minyak sawit dan susu getah, dua bahan eksport yang semakin penting. Import juga meningkat dengan pesat dan jumlah tan kargo yang dikendalikan meningkat jauh melebihi sangkaan sebelum perang.[9]

Pascamerdeka sunting

Pada 1 Julai 1963, kerajaan Malaysia telah menubuhkan lembaga pelabuhan, kini Lembaga Pelabuhan Klang sebagai perbadanan berkanun untuk mengambil alih pentadbiran Pelabuhan Klang daripada Pentadbiran Keretapi Tanah Melayu. Pada penghujung 1960-an dan 1970-an, dermaga air dalam baharu telah dibina dengan dermaga yang sesuai untuk mengendalikan kontena serta kargo konvensional. Kelab Kapal Layar Diraja Selangor pertama kali didaftarkan di sini sebagai Kelab Kapal Layar Pelabuhan Swettenham (Port Swettenham Yacht Club) pada Julai 1969.[10] Pada November 1972, Perdana Menteri Tun Abdul Razak mengisytiharkan pembukaan terminal kontena, dan pada Mei 1974, pembinaan tujuh lagi dermaga kargo pukal bermula dan siap pada 1983. Pada Oktober 1982, pembinaan terminal cecair pukal di Pelabuhan Utara telah siap.

Pada 17 Mac 1986, kemudahan terminal kontena intermodal kendalian Lembaga Pelabuhan Klang telah diswastakan kepada Klang Container Terminal Berhad sebagai sebahagian usaha penswastaan kerajaan. Pada Januari 1988, kerja pembinaan dermaga baharu dimulakan sebagai alternatif kepada pembangunan segera Pelabuhan Barat.[9] Arahan kerajaan pada tahun 1993 telah mengenal pasti Pelabuhan Klang untuk dibangunkan menjadi pusat agihan negara. Pelabuhan Klang sejak itu telah berkembang dan kini menjalin hubungan perdagangan dengan lebih 120 negara dan berurusan dengan lebih daripada 500 pelabuhan di seluruh dunia.[11]

Organisasi sunting

Pelabuhan Klang ditadbir oleh Lembaga Pelabuhan Klang di mana organisasi ini terdiri daripada Jemaah Lembaga iaitu Pengerusi yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dan sepuluh orang pengarah (termasuk Pengurus Besar), dilantik oleh Menteri Pengangkutan Malaysia.

Galeri sunting

Rujukan sunting

  1. ^ "Town built on Selangor's tin trade". New Straits Times (Malaysia). 2009-04-06. Dicapai pada 2009-06-20.
  2. ^ Abdul Aziz, Kamaruddin (1989). "Pelabuhan Swettenham 1945 - 1963". Selangor Darul Ehsan: Satu Persepsi Sejarah. Muzium Selangor Darul Ehsan. m/s. 144–145.
  3. ^ J.S.C. Elkington (30 November 1906), "Tropical Australia", Northern Territory Times and Gazette, dicapai pada 20 Jun 2009
  4. ^ "Effective War on Mosquitos" (PDF). The New York Times. 19 April 1905. Dicapai pada 20 Jun 2009.
  5. ^ L. P. Mair (2007), Welfare in the British Colonies, Read Books, ISBN 978-1-4067-7547-1, dicapai pada 20 June 2009
  6. ^ J.S.C. Elkington (30 November 1906), "Tropical Australia", Northern Territory Times and Gazette, dicapai pada 20 June 2009
  7. ^ "Effective War on Mosquitos" (PDF). The New York Times. 19 April 1905. Dicapai pada 20 June 2009.
  8. ^ "RAF Servicing Commandos 1942-1946". Combinedops.com. 2009. Dicapai pada 20 June 2009.
  9. ^ a b "Northport Heritage". Northport (Malaysia) Bhd. 2008. Diarkibkan daripada yang asal pada 27 Februari 2009. Dicapai pada 20 Jun 2009.
  10. ^ "Our History". Royal Selangor Yacht Club. Diarkibkan daripada yang asal pada 14 Jun 2009. Dicapai pada 20 Jun 2009.
  11. ^ "Background - Malaysia's Principal Port". Port Klang Authority. 10 Mac 2009. Diarkibkan daripada yang asal pada 6 Jun 2009. Dicapai pada 19 Jun 2009.

Pautan luar sunting