Istilah pembunyian membawa beberapa pengertian yang sedikit berlainan mengikut subbidang fonetik mana yang dibincangkan. Pengertian bahawa pembunyian ini merupakan proses yang mana lipatan vokal menghasilkan bunyi-bunyi tertentu melalui getaran separa berkala, merupakan takrifan yang digunakan di kalangan ahli fonetik yang mengkaji anatomi dan fisiologi larinks serta penghasilan pertuturan secara amnya, tetapi bagi ahli fonetik yang lain, getaran separa berkala ini sewajarnya dipanggil penyuaraan, sebaliknya istilah pembunyian memaksudkan mana-mana keadaan berayun di mana-mana bahagian larinks yang mengubah arus udara, termasuk penyuaraan sebagai satu contohnya sahaja. Oleh itu, pembunyian tak bersuara dan supra-glotis juga terangkum dalam pengertian ini yang diterima meluas dalam bidang fonetik linguistik.

Pembunyian sunting

Proses pembunyian berlaku apabila udara dihembuskan dari paru-paru melalui glotis, menyebabkan penurunan tekanan merentasi larinks. Jika tekanan menurun secukupnya, maka lipatan vokal mula berayun. Penurunan tekanan minimum yang diperlukan untuk mencapai pembunyian dipanggil tekanan nilai ambang pembunyian, iaitu kira-kira 2–3 cm H2O bagi manusia yang berlipatan vokal biasa. Pergerakan lipatan vokal ketika berayun selalunya mengikut arah sisian, namun mungkin wujudnya suatu komponen yang lebih penting. Namun begitu, hanya sedikit sahaja pergerakan yang merentasi lipatan vokal. Pengayunan lipatan vokal bertujuan memodulatkan tekanan dan aliran udara melalui larinks, dan aliran udara yang dimodulatkan inilah yang menjadi komponen utama dalam pembunyian kebanyakan fon bersuara.

Bunyi yang dihasilkan oleh larinks ialah siri harmonik. Dalam erti kata lain, bunyi ini terdiri daripada ton asas (iaitu frekuensi asas, iaitu isyarat akustik utama untuk kelangsingan amatan) yang diiringi oleh ton terbitan harmoni yang merupakan gandaan frekuensi asas[1][2]. Menurut Teori Punca-Turas, bunyi yang terhasil merangsang rongga kenyaringan (rongga vokal) untuk menghasilkan setiap bunyi pertuturan individu.[3][4]

Lipatan vokal tidak boleh berayun jika tidak cukup dekat bersebelahannya, menerima ketegangan yang tidak mencukupi atau berlebihan, atau penurunan tekanan merentasi larink tidak mencukupi. Dalam bidang linguistik, sesuatu fon adalah tak bersuara jika tiadanya pembunyian ketika disebut.[4] Dalam pertuturan, fon yang tak bersuara dikaitkan dengan lipatan vokal yang diperpanjangkan, amat tegang, dan terletak di sisian (dilarikan) dari lipatan vokal ketika pembunyian[5].

Frekuensi asas, isyarat akustik utama untuk kelangsingan amatan, boleh diubah dengan pelbagai cara. Perubahan berskala besar dicapai dengan meningkatkan ketegangan dalam lipatan vokal dengan mengecutkan otot krikotiroid. Perubahan lebih kecil dalam ketegangan boleh dilakukan oleh pengecutan otot tiroaritenoid atau perubahan dalam kedudukan realtif rawan tiroid dan krikoid, seperti yang berlaku apabila larinks diturunkan atau dinaikkan, sama ada secara kerelaan atau melalui pergerakan lidah yang terikat pada larinks melalui tulang hioid[5]. Selain perubahan ketegangan, frekuensi asas juga dipengaruhi oleh penurunan tekanan merentasi lariks yang dipengaruhi terutamanya oleh tekanan dalam paru-paru, dan juga berubah mengikut jarak antara lipatan vokal. Variasi dalam frekuensi asas ini digunakan untuk menghasilkan intonasi dan nada.

Terdaapt dua teori utama yang menjelaskan bagaimana getaran lipatan vokal dimulakan, iaitu teori mioelastik dan eori aerodinamik[6]. Kedua-dau teori ini tidak saling bercanggah, sebaliknya mungkin sekali berasas dan bertindak serentak untuk memulakan dan mengekalkan getaran.[7]

Teori mioelastik dan aerodinamik sunting

Teori mioelastik menyatakan apabila pita vokal dirapatkan lalu dikenakan tekanan nafas, pita vokal itu kekal rapat sehingga tekanan di bawahnya, iaitu tekanan subglotis, cukup untuk memisahkannya, membolehkan udara keluar dan mengurangkan tekanan secukupnya untuk anjalan tegangan otot merapatkan balik lipatan vokal tersebut. Berulang-ulang kalinya tekanan terkumpul sehingga pita dipisahkan. Kadar buka tutup pita vokal, iaitu bilangan kitaran sesaat, menentukan kelangsingan pembunyiannya.[7]

Teori aerodinamik adalah berasaskan hukum tenaga Bernoulli dalam bendalir. Teori ini menyatakan apabila searus nafas mengalir melalui glotis sementara rawan aritenoid dirapatkan oleh tindakan otot interaritenoid, terhasilnya kesan tolak-tarik dalam tisu-tisu lipatan vokal yang mengekalkan ayunan sendiri. Tolakan berlaku ketika glotis dibuka, sementara tarikan berlaku ketika glotis ditutup. Ketika glotis ditutup, aliran udara terputus sehingga tekanan pernafasan memisahkan lipatan vokal untuk membolehkan udara keluar, maka berulang-ulangnya kitaran ini.[7]

Keadaan glotis sunting

 
Kontinum dari glotis tertutup hingga terbuka. Segitiga hitam menandakan rawan aritenoid, bentuk layar menandakan pita vokal, dan bulatan berbintik menandakan salur udara.

Dalam pengertian pembunyian dari segi fonetik linguistik, misalnya Peter Ladefoged, pembunyian ini dianggap sebagai perihal titik-titik sepanjang suatu kontinum ketegangan dan kerapatan pita vokal. Sekali-sekala juga dihuraikan mekanisme yang agak rumit sehingga susah untuk diselidik, dan sehingga baru-baru ini, glotis dan pembunyian dianggap hampir bersinonim.[8]

Jika pita vokal dikendurkan sepenuhnya, dengan rawan aritenoid terpisah untuk arus udara maksimum, pita vokal tidak bergetar. Inilah pembunyian tak bersuara yang banyak didapati di kalangan bunyi obstruen. Jika rawan aritenoid itu dirapatkan untuk menutup glotis, maka pita vokal menyumbat arus udara, lantas menghasilkan bunyi hentian seperti hentian glotis. Di antara kedua-duanya wujudnya titik getaran maksimum. Inilah suara modus yang merupakan keadaan normal bagi bunyi vokal dan sonoran dalam segala bahasa di dunia. Namun begitu, di antara kebukaan antara rawan aritenoid, yakni ketegangan dalam pita vokal, diisinya beberapa keadaan pertengahan yang digunakan oleh pelbagai bahasa untuk menghasilkan bunyi yang berbeza.[8]

Contohnya, bahasa Gujarati ada vokal yang berbunyi separa kendur iaitu suara mengah atau bisikan, manakala bahasa Burma ada vokal yang berbunyi separa tegang iaitu suara garau atau terlarinks. Kedua-dua pembunyian ini diperuntukkan tanda diakritik IPA khusus, iaitu masing-masing bertanda umlaut bawah dan tilde bawah. Loghat Jalapa dalam bahasa Mazatec luar biasa kerana membezakan suara mengah, garau dan modus. (Diingatkan bahawa bahasa Mazatec adalah bernada, jadi glotisnya melakukan beberapa pembezaan nada serentak dengan pembezaan pembunyian.)[8]

Bahasa Mazatec
suara mengah [ja̤] dia memakai
suara modus [já] pokok
suara garau [ja̰] dia membawa

Bahasa Jawa tiada suara modus dalam konsonan letupannya, tetapi membezakan dua titik yang lain sepanjang skala pembunyian dengan penyimpangan yang agak sederhana dari suara modus, iaitu suara kendur dan suara kaku. Konsonan "keruh" dalam loghat Shanghai ialah konsonan bersuara kendur yang dibezakan dengan konsonan tenuis dan berhembusan.[8]

Sungguhpun lain bahasa lain pembezaannya, namun agak mudah untuk mengelaskan takat-takat pembunyian kepada kategori tertentu. Berikut ialah serantaian tujuh letupan gusi, dengan pembunyiannya dari glotis terbuka/kendur hingga tertutup/tegang:

Glotis terbuka [t] tak bersuara (arus udara penuh)
[d̤] suara mengah
[d̥] suara kendur
Titik elok [d] suara modus (getaran maksima)
[d̬] vokal kaku
[d̰] vokal garau
Glotis tertutup [ʔ͡t] penutupan glotis (arus udara tersumbat)

Adakalanya, tanda diakritik IPA berbentuk gelang bawah dan baji subskrip, atau lebih dikenali sebagai "tak bersuara" dan "bersuara", dibubuh pada aksara bunyi bersuara untuk menandakan keadaan glotis masing-masing yang lebih kendur/terbuka dan lebih tegang/tertutup. (Ironisnya, pembubuhan diakritik 'bersuara' pada aksara konsonan bersuara menandakan penyuaraan kurang modus, bukan lebih, kerana bunyi bersuara modus tersedia bersuara pada titik eloknya, oleh itu apa-apa lagi ketegangan dalam pita vokal boleh melunturkan getarannya.)[8]

Sesetengah bahasa Jermanik seperti Alsace memiliki pembunyian hentian yang luar biasa dari segi tipologi. Konsonan-konsonan yang bertranskripsi /b̥/, /d̥/, /ɡ̊/ (dianggap sebagai "lenis") adalah separa bersuara: pita vokal diposisikan untuk penyuaraan tetapi tidak bergetar, iaitu secara teknikalnya tak bersuara, cuma tanpa glotis terbuka yang sering dikaitkan dengan hentian tak bersuara. Konsonan "lenis" tersebut dibezakan dengan konsonan bersuara modus /b, d, ɡ/ dan tak bersuara modus /p, t, k/ dalam kata pinjaman bahasa Perancis, di samping konsonan berhembusan /kʰ/ pada awal perkataan.[8]

Konsonan glotis sunting

Dari segi fonetik dan sejarah, sudah sekian lama diketahui dalam sebilangan besar bahasa, bahawa konsonan-konsonan glotis [ʔ, ɦ, h] tidak sama sifatnya dengan konsonan lain. Secara fonetik, konsonan-konsonan glotis tiada cara atau daerah sebutan selain keadaan glotis: tutupan glotis untuk [ʔ], suara mengah untuk [ɦ], dan arus udara terbuka untuk [h]. Sesetengah ahli fonetik menyifatkan bunyi-bunyi ini sebagai bukan konsonan, apatah lagi konsonan glotis, sebaliknya merupakan pembunyian sejati, setidak-tidaknya dalam kebanyakan bahasa Eropah, tetapi dalam bahasa Semitik pula kedengaran sebagai konsonan glotis sebenar.[8]

Pembunyian supra-glotis sunting

Sepanjang berpuluh-puluh tahun lalu, kelihatan bahawa pembunyian mungkin melibatkan seluruh larinks, dengan sebanyak enam injap dan otot yang bertindak sama ada secara bersendirian atau bersama-sama. Dari glotis hingga ke atas, penyebutannya adalah:[9]

  1. glotis (pita vokal), menghasilkan ciri-ciri yang dihuraikan tadi
  2. ventrikel ('pita vokal palsu', separa melitupi dan melunturkan glotis)
  3. aritenoid (pemampatan sfinkter ke depan dan ke atas)
  4. epiglotis-farinks (penyentapan lidah dan epiglotis, mungkin dirapatkan dengan dinding farinks)
  5. menaikkan atau menurunkan seluruh larinks
  6. penyempitan farinks

Sehingga dikembangkannya laringoskopi gentian optik, penglibatan larinks sepenuhnya tidak dapat diperhati, maka interaksi antara enam artikulator dalam larinks masih kurang difahami. Namun demikian, sekurang-kurangnya dua pembunyian supra-glotis kelihatan meluas di kalangan bahasa-bahasa di dunia, iaitu suara kasar (suara 'ventrikel' atau 'tertekan') yang melibatkan pencerutan larinks, dan suara faukal ('lompong' atau 'menguap') yang melibatkan pengembangan larinks.[9]

Loghat Bor dalam bahasa Dinka membezakan suara mengah, faukal dan kasar dalam vokalnya, di samping tiga nada. Tanda diakritik ad hoc yang digunakan dalam penulisan adalah tanda petikan berganda subskrip untuk vokal faukal, [a͈], dan garis bawah untuk suara kasar, [a̱].[9] Contoh:

Suara modus mengah kasar faukal
Bor Dinka tɕìt tɕì̤t tɕì̱t tɕì͈t
cirit-birit teruskan kala jengking menelan

Bahasa-bahasa lain yang menampakkan pembezaan sedemikian ialah bahasa Bai (suara modus, mengah dan kasar), Kabiye (suara faukal dan kasar), Somali (vokal mengah dan kasar).[9]

Unsur-unsur penyebutan atau pembunyian larinks banyak dibincangkan sebagai perincian fonetik dalam bahasa-bahasa di dunia biarpun tidak berbezaan dari segi fonemik. Contohnya, tindakan glotis, ventrikel dan aritenoid serentak (untuk bunyi selain konsonan epiglotis) telah diperhatikan dalam bahasa-bahasa Tibet, Korea, Nuuchahnulth, Nlaka'pamux, Thai, Sui, Amis, Pame, Arab, Tigrinya, Kantonis, dan Yi.[9]

Rujukan sunting

  1. ^ Titze, I. R. (2008). The human instrument. Sci.Am. 298 (1):94-101. PM 18225701
  2. ^ Titze, I.R. (1994). Principles of Voice Production, Prentice Hall (currently published by NCVS.org), ISBN 978-0137178933.
  3. ^ Lieberman, Philip (1988). Speech physiology, speech perception, and acoustic phonetics. Cambridge University Press. ISBN 0521313570. Unknown parameter |coauthors= ignored (|author= suggested) (bantuan)
  4. ^ a b Greene, Margaret (2001). The Voice and its Disorders. John Wiley & Sons; 6th Edition edition. ISBN 13: 978-1861561961 Check |isbn= value: invalid character (bantuan). Unknown parameter |coauthors= ignored (|author= suggested) (bantuan)
  5. ^ a b Zemlin, Willard (1998). Speech and hearing science : anatomy and physiology. Allyn and Bacon; 4th edition. ISBN 0138274371.
  6. ^ Titze, I. R. (2006).The Myoelastic Aerodynamic Theory of Phonation, Iowa City:National Center for Voice and Speech, 2006.
  7. ^ a b c McKinney, James (1994). The Diagnosis and Correction of Vocal Faults. Genovex Music Group. ISBN 13: 978-1565939400 Check |isbn= value: invalid character (bantuan).
  8. ^ a b c d e f g Ladefoged, Peter (1996). The Sounds of the World's Languages. Oxford: Blackwell. ISBN 0-631-19814-8. Unknown parameter |coauthors= ignored (|author= suggested) (bantuan)
  9. ^ a b c d e Edmondson, Jerold A. (2005). "The valves of the throat and their functioning in tone, vocal register, and stress: laryngoscopic case studies". Phonology. Cambridge University Press. 23: 157–191. doi:10.1017/S095267570600087X. Unknown parameter |coauthors= ignored (|author= suggested) (bantuan)

Pautan luar sunting