Penjara Johor Bahru

Penjara Johor Bahru, yang ditempatkan di ibu kota negeri Johor, Malaysia dahulunya dikenali sebagai "Kota Jail". Ia merupakan penjara yang ketiga tertua di Malaysia, selepas Penjara Pulau Pinang dan Penjara Taiping, Perak. Penjara ini telah dirasmikan pembukaannya oleh Sultan Illham Almarhum Sultan Abu Bakar ibni Almarhum Daeng Ibrahim pada tahun 1883 untuk menahan para penjenayah di dalam negeri, dan juga mereka yang menentang kerajaan penjajah Britain.

Lambang Penjara Johor Bahru

Penjara ini terletak di atas sebidang tanah seluas 1.8 hektar di kawasan bandaraya, dan dilingkungi oleh tiga batang jalanraya, iaitu Jalan Ayer Molek, Jalan Gertak Merah dan Jalan Khalid Abdullah. Pada 30hb Ogos 2005, penjara ini telah dipindah ke bandar Kluang di Johor Tengah, disebabkan kekurangan ruang yang amat pesat. Dengan pemindahan penjara ini, habislah suatu riwayat yang kekal selama 122 tahun.

Kompleks penjara sunting

 
Sudut kiri di bahagian hadapan Penjara Johor Bahru
 
Salah satu daripada bangunan-bangunan penempatan banduan

Rekabentuk asal penjara ini diilhamkan sendiri oleh Sultan Illham Almarhum Sultan Abu Bakar ibni Almarhum Daeng Ibrahim, yang telah melawat penjara-penjara di Shanghai, China dan Osaka, Jepun untuk melihat keadaan fizikal serta rekabentuk penjara-penjara yang terdapat di sana.

Penjara ini dibina pada 16 April, 1882 oleh seorang kontraktor Cina yang bernama Wong Ah Fook dan seorang arkitek yang dikenali sebagai Engku Abdul Majid dengan kos RM30,000. Keluasan penjara ini adalah sebesar 1.8 hektar (400 x 400 kaki). Kapasitinya ialah 200 orang pesalah sahaja.

Pada asalnya, terdapat hanya dua buah bangunan penempatan banduan, dua bengkel latihan, dapor memasak, bangunan tandas, rumah sakit dan sebuah pejabat pentadbiran. Peredaran masa dan keperluan bagi menampung kapasiti banduan yang kian meningkat, beberapa bangunan telah dibina dan diubahsuai dengan sepuluh buah blok penempatan, lima buah bengkel vokasional, tempat lawatan keluarga, pejabat kaunseling, pejabat pengawai kebajikan, surau dan kemudahan lain yang mampu menampung 1,500 orang banduan.

Keluasan kawasan bertembok, sebanyak 160,000 kaki persegi (1.8 hektar) dengan ketinggian tembok setinggi 20 kaki, adalah sama sahaja dengan keluasan pada tahun 1883. Kawasan sekeliling penjara telah habis diguna, dengan kawasan perumahan kakitangan memakan keluasan 3.8 hektar (9.4 ekar). Oleh demikian, setiap ruangan yang sedia ada di dalam kawasan penjara terpaksa diguna dan susunan bangunan-bangunan amat padat (sila rujuk kepada pelan lakar kawasan penjara). Dengan itu, tertimbullah persoalan adakah undang-undang kebakaran api terlanggar. Banduan-banduan juga dirumahkan tujuh hingga lapan orang sebuah bilik sel, walaupun ia direka hanya untuk tiga banduan sahaja. Walaubagaimanapun, adalah ajaib sekali bahawa penjara ini dapat dikekalkan selama 122 tahun.

Hukuman merotan sunting

Untuk maklumat lanjutan, sila lihat: Hukuman merotan di Malaysia.

Hukuman mati tidak dilaksanakan di penjara ini. Banduan reman yang telah dijatuhkan hukuman mati akan dihantar ke penjara pusat di Kuala Lumpur. Walaupun demikian, hukuman merotan siap dilaksanakan di kawasan penjara ini pada setiap hari Isnin dan Khamis.

Perigi General Yamashita sunting

 
Perigi General Yamashita di Penjara Johor Bahru
 
Jalan masuk ke Bangunan Pentadbiran Penjara Johor Bahru

Perigi ini dibina pada tahun 1883, semasa membina penjara ini, sebagai sumber air untuk pesalah yang ditahan. Mengikut cerita kakitangan penjara lama, pada zaman pemerintahan tentera Jepun, perigi ini digunakan sebagai tempat pelaksanaan hukuman pancung keatas pesalah oleh General Tomoyuki Yamashita. Dipercayai perigi ini berpuaka dan beberapa kakitangan penjara Johor Bahru dan penghuni penjara mengalami peristiwa-peristiwa yang menakutkan, seperti pernah terjumpa perigi mengeluarkan api pada waktu malam, terjumpa makhluk besar sedang berdiri diatas perigi tanpa kepala dan wanita berambut panjang merasuk anggota penjara masuk kedalam perigi, dan berbagai cerita misteri lagi.

Pameran dan lawatan sunting

Sejak 30hb Ogos 2005, penjara itu dikosongkan dan dibuka kepada orang ramai untuk lawatan. Tempoh pameran dan lawatan ini adalah daripada 1hb September sehingga 15hb Disember, 2005. Pameran ini bertujuan untuk memberi peluang kepada masyarakat melihat, merasai pengalaman dan mendapat-kan pengetahuan tentang kehidupan yang dilalui oleh banduan semasa menjalani hukuman penjara agar timbul kesedaran dan keinsafan. Kesedaran dan pendidikan ini diberi melalui ceramah, tayangan video, demonstrasi merotan dan lawatan ke dalam penjara. Bayaran masuk ialah RM5.00 untuk dewasa dan RM2.00 untuk kanak-kanak yang berumur 7 tahun hingga 17 tahun.

Rujukan sunting

  • Risalah Pameran yang diterbitkan oleh Penjara Johor Bahru, dan maklumat-maklumat daripada tayangan video dan demonstrasi merotan (6hb September 20)