Pertempuran Ankara

Pertempuran Ankara atau Angora berlaku pada 20 Julai 1402 di Tchubuk berhampiran Angora antara pihak Kerajaan Uthmaniyyah pimpinan Sultan Bayezid I dengan Empayar Timuriyah yang diterajui oleh Amir Timur Agung (atau Timurlang). Pertempuran ini menyaksikan kemenangan muktamad berpihak kepada Timur dan ia membawa kepada tempoh krisis Kerajaan Uthmaniyah (Perang Saudara Uthmaniyyah). Namun, kerajaan Timur mengalami kemerosotan berikutan kematian pengasasnya selepas tiga tahun pertempuran ini berakhir manakala Kerajaan Uthmaniyah pula memulihkan kembali pemerintahannya sebelum ia menjadi sebuah kuasa besar di rantau ini selama dua hingga tiga kurun seterusnya.

Pertempuran Ankara

Kempen penaklukan Timurlang di Anatolia
Tarikh20 Julai 1402
Lokasi
Çubuk berhampiran Ankara
Keputusan Kemenangan Timur
Pihak yang terlibat
Empayar Timuriyah Empayar Uthmaniyah Empayar Uthmaniyah
Serbia Moravia
Daerah Branković
Komandan dan pemimpin
Timur
Shah Rukh
Khalil Sultan
Miran Shah
Abu Bakr
Sultan Husayn Tayichiud
Muhammad Sultan Mirza
Pir Muhammad
Shah-i-Shahan
Bayezid I #
Süleyman
Mehmed
Stefan Lazarević
Đurađ Branković
Unit terlibat
Tidak diketahui Ghazi Uthmaniyyah, Janissari dan askar Kristian dari Balkan
Kekuatan
140,000 85,000
Kerugian dan korban
sehingga 40,000 sehingga 40,000

Latar belakang sunting

Pada tahun 1370, Timurlang telah memerintah sebahagian besar kawasan Asia Tengah dan beliau mula merancang untuk memulakan perluasan kuasanya. Pada tahun 1378, beliau telah membantu Tokhtamysh untuk merebut takhta Angkatan Kencana. Timur seterusnya meneruskan serangan ke atas kawasan Asia Tengah. Pada tahun 1381, beliau memulakan kempen penaklukan Iran sebelum ia berjaya diduduki pada tahun 1386. Sebahagian besar kawasan Kaukasus pula berada di bawah naungannya pada tiga tahun kemudian. Penguasaan Timur ke atas Caucasus bermakna kawasan penguasaannya berjiran dengan Golden Horde sekali gus konflik antara beliau dengan Tokhtamysh tidak dapat dielakkan. Antara tahun 1391 hingga 1395, Tokhtamysh telah tertewas dan beliau telah kehilangan takhtanya.

Sementara itu, situasi di barat berubah dengan drastiknya. Kerajaan Uthmaniyah telah menguasai Beylik Anatolia pada tahun 1398 dan 1399. Penguasa kawasan yang tunduk kepada pemerintahan Uthmaniyah telah mencari perlindungan di bawah kekuasaan Timur. Sebaliknya, pemimpin-pemimpin yang telah digulingkan di Iran dan Iraq oleh Timur telah menuju ke kerajaan Uthmaniyah untuk mendapatkan perlindungan. Pengaruh kekuasaan Bayezid dan Timur kini terletak di kawasan sempadan sesama mereka.

Timur tidak ingin memulakan peperangan dengan sekutu Muslim. Kedua-dua pemimpin ini saling mengutuskan surat dan meluahkan respon yang berbeza. Timur menuju ke barat dan menakluk Armenia dan Georgia pada tahun 1400. Ribuan orang telah terkorban. Timur kemudiannya bimbang sekiranya Kesultanan Mamluk Mesir dan Syria akan bekerjasama dengan Uthmaniyah. Jadi, beliau telah menawan kota Damsyik dan Aleppo untuk memotong jalur perhubungan antara kedua-dua kerajaan ini. Pada tahun 1401, Timur telah merampas kota Sivas dari kerajaan Uthmaniyah dan menjadikan ia sebagai markas ketenteraan.

Strategi Timur sunting

 
Kedudukan tentera Bayezid dan Timur sebelum pertempuran tercetus.

Semasa Timur sedang mengepung kota Ankara, Sultan Bayezid mengundurkan tenteranya dari kota Kustantiniyah dan memindahkan tenteranya untuk menuju ke kota Ankara pada Jun 1402. Timur seterusnya berundur untuk memancing Bayezid supaya jauh daripada kedudukan strategiknya. Sultan Uthmaniyah itu faham bahawa pasukan Timur akan menyerbu dan menyerang daerah-daerah di timur. Hal ini memaksa Bayezid meninggalkan garison kecil dan memimpin tenteranya untuk bertembung dengan pasukan musuh.

Tentera Uthmaniyah melewati laluan antara Sivas dan Tokat dengan harapan hutan tebal di kawasan itu dapat mengurangkan keberkesanan pasukan pemanah dari tentera Timur. Cara ini dapat memaksa Timur untuk bertempur di tempat yang tidak sesuai dengan keunggulan pasukannya ataupun ia akan memaksa Timur untuk berundur secara muktamad dari Anatolia. Namun, Timur telah memilih pilihan yang ketiga. Angkatan tenteranya hilang daripada pengesanan tentera Uthmaniyah yang gagal menjejakinya. Timur bergerak ke kawasan barat daya dan menduduki kota Kayseri. Sementara itu, Bayezid masih mengira bahawa beliau akan bertemu dengan musuhnya di utara. Timur akhirnya mara ke utara dan pasukan beliau hanya terletak di belakang pasukan Uthmaniyah. Sultan Uthmaniyah itu akhirnya mengakui taktikal bijak musuhnya apabila kota Ankara telah dikepung. Bayezid tidak mempunyai pilihan lain selain membawa tenteranya yang kepenatan untuk kembali ke Ankara semula.

Pasukan Timur terdiri daripada tentera TatarMongol dengan sejumlah besar pemanah berkuda. Pasukannya juga memiliki beberapa dozen gajah berzirah hasil serangannya yang lalu di India. Sementara itu, tentera Uthmaniyah merupakan campuran askar Seljuk, tentera upahan Tatar, sejumlah kecil tentera elit yang telah dibentuk oleh sultan sebelum ini dan Kesatria Eropah Timur pimpinan Stefan Lazarević dari Serbia, yang pada masa itu merupakan negeri naungan Uthmaniyah.

Pada awal permulaan kempen, pasukan Timur dan Bayezid mempunyai kekuatan yang agak sama iaitu lebih 100,000 tentera. Akan tetapi, dikatakan sekurang-kurangnya 20,000 tentera Uthmaniyah telah gugur ketika mereka kembali ke Ankara semula dari Sivas.

Pertempuran sunting

 
Ilustrasi Mughal terhadap pertempuran ini

Timur membahagikan pemanah berkudanya kepada empat kumpulan. Satu pasukan diletakkan di tengah, dua pasukan lagi diletakkan di sayap pasukan manakala satu lagi sebagai simpanan. Tentera bergajahnya pula berada di barisan hadapan.

Bayezid mempunyai bahagian pusat yang kukuh dengan meletakkan pemanah di hadapan, janissari di barisan kedua dan tentera berkuda sipahi sebagai simpanan. Di bahagian sayap kiri, beliau telah menempatkan tentera berkuda Serbia diketuai Stefan manakala tentera upahan Tatar dan Anatolia ditempatkan di sayap kanan. Bayezid mengharapkan pasukan sayapnya yang mempunyai posisi yang bagus dapat terus bertahan supaya beliau boleh melancarkan serangan balas bersama pasukan tengahnya.

Timur menghantar pasukan sayapnya untuk melakukan serangan awal manakala pasukan tengahnya tinggal di belakang. Pertempuran bermula di bahagian sayap kiri Uthmaniyah. Tentera Serbia diserang oleh tentera berkuda musuh tetapi mereka berjaya menangkis serangan ini dengan memberikan tentangan sengit. Satu gelombang serangan musuh telah ditujukan lagi ke arah tentera Serbia. Kali ini, usaha untuk mengepung mereka telah dilakukan tetapi pasukan Stefan berjaya bertahan di posisi mereka.

Sementara itu, pasukan sayap kiri Timur telah menyerang sayap kanan Uthmaniyah yang dipimpin oleh Putera Sulaiman. Timur juga menggerakkan pasukan tengahnya untuk berhadapan dengan tentera Janissari Bayezid. Kemudian, terjadi satu peristiwa yang tidak diduga di sayap kanan Uthmaniyah apabila 18,000 tentera upahan Tatar telah membelot dan bergabung dengan Timur untuk menyerang sayap kanan Uthmaniyah. Putera Sulaiman telah dikepung dan Bayezid mengerahkan tentera simpanannya untuk pergi menyelamatkan keadaan.

Di sayap kiri Uthmaniyah, unit Serbia telah diserang tidak putus-putus oleh musuh. Meskipun, angka korban terus meningkat tetapi mereka tetap masih bertahan. Sumber-sumber mendakwa bahawa Stefan telah menghantar seorang utusan kepada Sultan Bayezid supaya berundur kerana ia masih boleh dilakukan tetapi Bayezid menolak. Pada saat ini, Putera Sulaiman diperintahkan untuk berundur bagi menyelamatkan nyawanya. Sementara itu, Stefan diarahkan untuk mempertahankan pasukan sayap kanan Uthmaniyah bersama tentera-tenteranya serta melindungi pengunduran putera itu. Timur memajukan tentera simpanannya untuk menyertai pertempuran. Hal ini menandakan kedua-dua pasukan sayap Uthmaniyah telah dikerumuni oleh tentera musuh. Namun, tentera Serbia memanfaatkan ketebalan pakaian zirah mereka untuk meloloskan diri dari kepungan musuh sebelum mereka bergabung dengan putera Sulaiman untuk berundur.

Saki baki pasukan tengah Uthmaniyah sedikit demi sedikit telah menerima asakan yang hebat membuatkan pasukan mereka berundur ke sebuah bukit yang dikenali sebagai Cataltepe. Dikatakan bahawa Bayezid bersama dengan tentera sipahi dan janissari masih mampu bertahan menangkis asakan musuh selama berjam-jam walaupun jumlah bilangan tentera musuh jauh lebih besar. Akhirnya, Bayezid berjaya melepaskan diri daripada kepungan musuh bersama pengawalnya tetapi sebatang anak panah musuh telah berjaya membunuh kuda tunggangan beliau.

Kesan sunting

 
Bayezid I ketika berada dalam tahanan Timur, hasil lukisan Stanisław Chlebowski.

Buat pertama kali dalam sejarah, Sultan Uthmaniyyah telah ditawan. Walaupun kedua-dua pasukan kehilangan bilangan tentera yang besar, kemenangan yang muktamad tentunya telah berpihak kepada Timur. Terdapat sejumlah teori menjelaskan apa yang telah terjadi kepada Bayezid ketika beliau berada di dalam tahanan tetapi semuanya telah menyebut bahawa beliau meninggal dunia beberapa bulan kemudian.

Pada tahun 1404, Timur melancarkan serangan ke atas Dinasti Ming di China tetapi beliau meninggal dunia pada tahun 1405. Kerajaan Uthmaniyah memasuki tempoh perang saudara yang berlarutan membabitkan putera-putera Sultan Bayezid.

Pautan luar sunting