Pertempuran Preveza

Pertempuran Preveza merupakan pertempuran laut yang tercetus pada 28 September 1538 berhampiran Preveza di Greece antara angkatan laut Empayar Uthmaniyyah dan pakatan Kristian yang dihimpunkan oleh Paus Paul III. Angkatan Laut Uthmaniyyah berjaya menumpaskan pakatan tersebut di tempat yang sama pernah menyaksikan Pertempuran Actium di Laut Ionia pada tahun 31 Sebelum Masihi. Pertempuran ini merupakan salah satu daripada tiga pertempuran laut terbesar yang berlaku pada abad ke-16 di Mediterranean.

Pertempuran Preveza
Sebahagian daripada Perang Uthmaniyyah–Venezia Ketiga

Lukisan Pertempuran Preveza oleh Ohannes Umed Behzad yang dilukis pada 1866.
Tarikh28 September 1538
Lokasi
Keputusan Kemenangan muktamad Uthmaniyyah
Pihak yang terlibat

Liga Suci:
Republik Venezia
Duchi Mantua
Empayar Sepanyol
Empayar Portugis
Negeri-negeri Paus Negeri-Negeri Paus
Republik Genoa Republik Genoa

Sovereign Military Order of Malta Kesateria Hospital
Empayar Uthmaniyyah
Komandan dan pemimpin
Ferrante I Gonzaga
Andrea Doria
Hayreddin Barbarossa
Kekuatan
112 gali,
50 geliung,
140 kapal layar,
60,000 tentera.[1][2]
122 gali dan galiot,
12,000 tentera.[1][2]
Kerugian dan korban

13 kapal tertewas (10 kapal karam, 3 kapal terbakar);
36 ditawan oleh Uthmaniyyah;
3,000 ditahan.[3][4]

~50,000 terkorban.
Tiada kapal yang tertewas;
~400 terkorban;
~800 tercedera.[1][2]

Latar belakang sunting

Pada tahun 1522, Barbarossa telah mengambil bahagian dalam serangan ke atas Rhodes bagi mengusir musuh lamanya dari pulau itu. Seterusnya, keadaan menyaksikan tidak ada yang boleh menghalang ekspedisi Barbarossa bersama privatirnya. Sardinia, Marseille, Liguria dan Sicily semuanya telah menjadi mangsa serbuannya dan penduduk kota tersebut telah dijadikan hamba yang akan berkhidmat untuk kapal gali Uthmaniyah. Kota-kota yang berada di pesisir Mediterranean barat dicengkam kegerunan. Kubu pertahanan kota kemudiannya telah diperkukuh, kampung-kampung di pesisiran pantai telah terbiar kosong dan terdapat sumber kontemporari Sepanyol yang menyatakan: "Dari Selat Gibraltar hingga ke Messina, tidak ada orang yang dapat makan dengan tenang serta tidur dengan nyenyak".

Pada tahun 1532, Barbarossa telah dipanggil ke Constantinople untuk diberikan satu misi khas. Seorang laksamana dari Genoa bernama Andrea Doria telah merompak barangan dagangan Uthmaniyah di Pelopponese. Pertembungan ini bukan kali pertama Barbarossa berhadapan dengan Doria kerana armada kapalnya telah bertempur dengan pelaut Genoa itu berkali-kali sebelum ini. Barbarossa telah berlayar untuk mengejar armada kapal Genoa sebelum mereka bertembung di Preveza. Beliau telah berjaya menawan tujuh buah kapal gali musuh sekali gus memaksa saki baki kapal Doria berlayar pergi melepaskan diri. Peristiwa ini merupakan ramalan pratonton kepada pertempuran akan datang yang terjadi di tempat yang sama antara dua orang yang sama.

Kembali ke Constantinople, Sultan Sulaiman al-Qanuni telah melantik Barbarossa menjadi Laksamana Besar Angkatan Laut Uthmaniyah dan menggelarnya Hayreddin yang bermaksud "terbaik dalam agama". Barbarossa seterusnya merebut sembilan pulau utama di Laut Aegea daripada Republik Venezia. Beliau juga menyerang Corfu dengan memusnahkan ladang tanaman dan menghambakan hampir seluruh penduduknya. Berikutan kekalahan ini, Venezia telah menggesa paus untuk menyalurkan bantuan. Barbarossa akhirnya menjadi satu ancaman besar bagi mereka dan Paus Paul III telah mengaturkan tindakannya untuk membentuk satu pakatan. Pakatan ini dikenali sebagai Liga Suci yang terdiri daripada Sepanyol, Venice, Genoa, Negeri Paus, Habsburg dan Kesateria Hospital yang telah pun beroperasi di Malta.

Persiapan sunting

Pada musim panas 1538, tentera campuran Kristian mula berkumpul di perairan Corfu. Flotilla milik Venezia dan Paus merupakan antara yang terawal tiba di sana. Bersama keinginan untuk menguasai kawasan perairan bagi menghadapi pertempuran yang akan datang, Laksamana Paus menghantar satu pasukan kapal gali ke pantai. Mereka cuba merebut dan menguasai kubu Uthmaniyyah di Preveza. Setelah berlaku pertempuran kecil, pasukan ini tertewas dan dipaksa untuk menunggu saki baki tentera campuran untuk sampai.

Pada 22 September, Laksamana Andrea Doria akhirnya tiba bersama dengan angkatan laut Sepanyol dan Genoa yang besar. Secara keseluruhannya, angkatan laut Liga Suci terdiri daripada 112 buah kapal gali, 50 buah kapal geliung, 140 buah kapal layar dan memiliki kira-kira 60,000 tentera bersenjata. Kapal geliung Venezia yang menggeruni musuh telah dikendalikan oleh Alessandro Condalmiero.

Sementara itu, Barbarossa menyedari sepenuhnya ancaman besar yang bakal menanti dirinya lalu beliau telah mengumpulkan angkatannya di Pulau Ios. Pasukannya itu terdiri daripada 122 buah kapal gali dan kapal geliung serta mempunyai 12,000 tentera bersenjata. Kapal perang Barbarossa telah dikendalikan dan didayung oleh hamba. Justeru, kapalnya itu tidak akan bergantung kepada tiupan angin sekali gus berbeza dengan kapal geliung dan kapal layar Eropah lain yang mengisi sebahagian besar armada Liga Suci. Perkara ini membuatkan pasukan Barbarossa lebih diharapkan dalam menghadapi pertempuran yang akan tercetus.

Barbarossa melayarkan kapalnya ke arah barat sebelum menuju ke pantai barat Greece dan memasuki Teluk Preveza. Di sana, beliau telah mengerahkan kontinjen tenteranya menuju ke daratan dan mengarahkan mereka untuk merebut kubu pertahanan penting di Actium supaya meriam-meriam Uthmaniyah dapat memberikan bantuan kepada kapal perang Barbarossa dari persisiran pantai dalam pertempuran akan datang.

 
Susunan kapal kedua-dua belah pihak.

Menyedari bahawa penguasaan ke atas kawasan pesisiran amat penting, kapal-kapal Venezia dan Paus telah berpecah dalam usaha untuk menguasai kubu pertahanan di Preveza yang hanya bertentangan dengan kubu Barbarossa di Actium. Pasukan ini ditewaskan sebanyak dua kali pada 25 dan 26 September setelah mereka ditangkis oleh flotila yang dikendalikan oleh orang bawahan Barbarossa, Murat Reis. Setelah itu, Doria menyedari bahawa Barbarossa telah berjaya mengukuhkan kedudukannya di kawasan pesisiran. Laksamana Genoa itu diikutkan tidak berani menyerang armada Uthmaniyah yang teratur secara depan-depan. Bahkan, beliau juga menganggap jumlah musuh yang sedikit tidak akan bertindak menyerang pasukannya.

Dengan beranggapan bahawa masa kini berada di pihaknya dan risau angin kencang lewat akan membadai kapal-kapalnya ke kedudukan berbahaya, Doria telah mengarahkan armadanya menuju ke 30 batu ke selatan. Angkatan ini kemudiannya berlabuh di Sessola, sebuah pulau kecil berhampiran Lefkada. Rancangan mereka adalah untuk melancarkan serangan di Lepanto bagi memaksa Barbarossa untuk memunculkan pasukannya dari markasnya. Walau bagaimanapun, idea untuk menggerakkan kira-kira 300 buah kapal terbukti sebagai satu mimpi ngeri dan gerakan ini telah meletakkan angkatan kapal Liga Suci berpecah dan terdedah kepada serangan musuh.

Barbarossa mengambil peluang ini untuk melancarkan serangan. Pada waktu subuh, kapal Barbarossa kelihatan dari Teluk Preveza dan mereka berpusing mengelilingi utara Lefkada dan menuju ke arah armada Kristian. Kapal beliau berkumpul dan membentuk formasi 'Y' yang terdiri daripada tiga pasukan di hadapan dan satu pasukan di belakang. Barbarossa sendiri memimpin pasukan tengah daripada kapal galinya manakala komander Seydi Ali Reis dan Salah Reis pula memimpin pasukan sayap. Pendekatan Barbarossa untuk menghampiri kelompok armada musuh langsung tidak dijangka oleh pakatan Kristian.

Jumlah tentera laut Liga Suci yang terlalu besar telah terbahagi kepada beberapa barisan. Kontinjen Sepanyol dan Genoa di bawah pimpinan Doria berada sejauh 10 batu di belakang pasukan Venezia, Sicily dan Malta yang bakal pertama diserang. Komander Venezia iaitu Condalmiero bertindak meminta arahan daripada Doria melalui penghantaran perahu dayung. Doria membalas beliau akan melayarkan kapalnya sewaktu pertempuran nanti. Tindak balas Doria telah melonjakkan keyakinan dalam kalangan pasukan Venezia yang akan menyiapkan diri mereka dalam pertempuran.

Pertempuran sunting

 
Pertempuran Preveza hasil lukisan Osman Nuri Pasha

Pada waktu tengah hari 28 September 1538, kedua-dua belah pihak telah bertembung dan pertempuran mula tercetus. Tentera Uthmaniyyah telah meraih kelebihan awal semasa pertempuran. Sementara itu, kapal layar Venezia pula tidak dapat berlayar dengan baik di atas lautan tidak berangin. Oleh itu, kapal gali Uthmaniyah yang didayung oleh golongan hamba dapat melintasi kapal musuh dengan mudah. Walau bagaimanapun, tentera Kristian mempunyai muslihat mereka yang tersendiri. Kemampuan model kapal pemimpin Venezia agak serupa dengan kapal tempur Venezia yang lain sekali gus mereka mempunyai daya tembakan luar biasa yang sama sekali tidak dapat ditandingi Uthmaniyah.

Gelombang kapal Barbarossa telah melakukan serangan ke atas kapal gali musuh dan salah satu daripadanya berjaya menjatuhkan bendera musuh utama yang megah berkibar. Namun sebaik sahaja mereka semakin menghampiri, kapal Barbarossa telah dihancurkan oleh ledakan meriam yang terdapat pada setiap kapal musuh. Tentera Uthmaniyah terpaksa untuk berundur tetapi buat sementara waktu. Barisan hadapan kapal Venezia dan Malta bertempur keras menentang Uthmaniyah dan sebahagian besar pertarungan ini berlaku di sekeliling kapal pemimpin Venezia. Kapal gali dari kedua-dua belah pihak yang menghampiri antara satu sama lain saling berbalas tembakan dan ledakan meriam dilepaskan dengan serta merta dari masa ke masa.

Sementara itu, Doria melengah-lengahkan janjinya untuk menyertai pertempuran. Sebaliknya, laksamana Genoa itu bertindak meninggalkan pasukan Venezia bersendirian bertempur sementara beliau menarik pasukannya ke lautan terbuka untuk mengumpan kapal tempur Uthmaniyah bertempur dengan mereka lebih jauh dari kawasan pesisiran pantai. Barbarossa tidak mudah termakan umpan musuh dengan berfikir kemampuan dirinya untuk bertempur menentang armada musuh di medan lautan yang terbentang luas.

Matahari mula berlabuh dan situasi menjadi cemas bagi pasukan hadapan Kristian. Pertempuran terus berlanjutan sehingga ke waktu malam. Kapal pemimpin Venezia masih lagi memasang pertahanan yang kukuh bagi menangkis sebarang serangan yang boleh mengaramkan kapalnya. Dengan mengambil sikap waspada akan kegagalan rancangannya untuk menawan kapal gergasi musuh, Barbarossa mengarahkan kapal-kapal galinya untuk berundur. Kapal geliung Venezia berjaya menyelinap pulang ke Corfu dan tidak ada orang yang dapat mempertikaikan perjuangan mereka yang berharga. Kapal gali Uthmaniyah sebaliknya mengalihkan perhatian ke arah kapal layar kecil Sicily dan Venezia. Lalu, kapal telah dikemudi dengan pantas dan mereka berjaya menenggelamkan dan menawan kapal-kapal Kristian yang lain sebelum menjelang subuh.

Pada waktu subuh, Doria telah membuat keputusan yang malang sama sekali. Dengan memanfaatkan kelebihan tiupan angin yang baik, beliau berundur daripada medan pertempuran dengan berlayar pulang ke Corfu. Utusan-utusan dari armada Venezia, Paus dan Malta merayu agar Doria meneruskan perjuangan tetapi ia telah diabaikan. Terdapat pelbagai sumber yang menerangkan sebab-sebab pengunduran Doria daripada medan pertempuran ini. Sesetengah berpendapat Doria biasanya memimpin kapal gali dan bukannya kapal layar seperti yang terdapat dalam armada Liga Suci yang terletak di bawah pimpinannya. Sesetengah pula berpendapat beliau merupakan pelaut Genoa yang setia. Beliau membenci pesaingnya iaitu Venezia sehinggakan beliau tidak sanggup untuk membahayakan anak kapalnya bagi menyelamatkan kapal tempur Venezia. Sesetengah lagi berpandangan keberanian Doria telah hilang dan pudar.

Kesan sunting

Barbarossa meraih kemenangan yang besar. Beliau berjaya menenggelamkan sepuluh buah kapal, membakar tiga buah kapal, menawan 36 buah kapal dan menawan 3,000 tahanan. Sementara itu, beliau sendiri tidak kehilangan bahkan satu buah kapal walaupun kapal galinya telah diserang hebat oleh kapal tempur Venezia. Hanya 400 tentera Uthmaniyyah yang terkorban manakala 800 orang lagi mengalami kecederaan. Kejayaan hebat Barbarossa yang tidak pernah disaksikan sebelum ini telah menjamin penguasaan Uthmaniyah di Mediterranean selama empat dekad.

Catatan sunting

  1. ^ a b c "Türk Tarihi: Battle of Preveza". Diarkibkan daripada yang asal pada 13 November 2007. Dicapai pada 18 Jun 2007.
  2. ^ a b c Corsari nel Mediterraneo: Hayreddin Barbarossa Diarkibkan 28 September 2007 di Wayback Machine
  3. ^ name="Türk Tarihi: Battle of Preveza"
  4. ^ name="corsaridelmediterraneo.it"

Pautan luar sunting