Pinocchio (disebut pi·no·kio) (Itali: Le avventure di Pinocchio, "Kembara Pinocchio", disebut [piˈnɔkːjo] dalam bahasa Itali) merupakan novel bacaan kanak-kanak yang dikarang oleh sasterawan Itali, Carlo Collodi. Separuh pertama novel ini asalnya adalah siri yang diterbitkan dari tahun 1881 hingga 1883, kemudian dihimpunkan sebagai buku bacaan kanak-kanak pada Februari 1883. Kisahnya tentang pengembaraan Pinocchio, sebuah boneka bertali yang hidup kerana kuasa ghaib, dan "bapanya", seorang tukang kayu miskin bernama Geppetto. Karya ini dianggap sebagai kesusasteraan kanak-kanak klasik yang telah diadaptasikan kepada pelbagai bentuk kesenian, seperti filem animasi Disney yang dibikin pada tahun 1940, serta melahirkan konsep-konsep yang menjadi kebiasaan, seperti nama ejekan "hidung panjang" untuk memaksudkan pembohong dalam budaya Barat.

Le avventure di Pinocchio
Fail:AdvPinocchio.jpg
ilustrasi edisi 1911 oleh Attilio Mussino
Umum
PengarangCarlo Collodi
NegaraItali
BahasaItali
GenreFantasi
Penerbitan
PengilustrasiEnrico Mazzanti
Tarikh penerbitan
1883

Plot sunting

Cerita asal (separuh pertama) sunting

Kisahnya bermula di Tuscany. Seorang tukang kayu bernama Tuan Antonio, tetapi mendapat timangan Tuan Ceri kerana hidungnya yang merah berkilau, menemui sebongkah kayu pain yang dirancangkannya untuk diukir menjadi kaki mejanya. Sebaik sahaja mangacukan kapaknya, dia terdengar suara dari kayu itu berteriak "Jangan potong saya!" Terkejut oleh kayu bercakap itu, Tuan Ceri tidak pasti apa yang patut dibuatnya sehingga jirannya Geppetto, yang dikenali kerana tidak suka kanak-kanak memanggilnya "Polendina" (jagung kisar lembik), bersinggah untuk mencari kayu untuk dibentuk menjadi boneka bertali. Antonio mengambil kesempatan ini untuk menyerahkan bongkah itu kepada Geppetto.

 
Semasa Geppetto mengukir boneka, hidungnya mulai tumbuh.

Geppetto yang sangat miskin ini berancang untuk mencari nafkah sebagai dalang boneka dengan harapan memperoleh "sekerak roti dan segelas wain". Dia mengukir-ukir bongkah itu menjadi bentuk kanak-kanak lelaki, lalu memberikan nama "Pinocchio" kepadanya. Sebaik sahaja hidung Pinocchio diukir, hidung itu mulai bertumbuh mengikut kebiadaban bawaannya. Sebelum ia dibentuk pun, Pinocchio sudah lagi bersikap nakal; sebaik sahaja Geppetto siap mengukir kaki Pinocchio barulah boneka itu terus menendangnya.

Apabila boneka itu siap dan Geppetto mengajarnya cara berjalan, Pinocchio berlari ke luar pintu dan terus ke bandar. Ia ditangkap oleh seorang mata-mata, tetapi setelah mendengar kata-kata orang bahawa Geppetto benci kanak-kanak, maka mata-mata itu menyangka Pinocchio tidak dilayan dengan betul lalu memenjarakan Geppetto.

Pinocchio yang bersendirian pulang ke rumah Geppetto untuk mencari makanan. Setibanya di rumah, Sang Cengkerik Bercakap yang tinggal di rumah ini sejak lebih seabad lalu, memberitahunya bahawa anak-anak lelaki yang mengingkari nasihat ibu bapa membesar menjadi keldai. Pinocchio membalas dengan melontarkan tukul ke arah cengkerik itu dengan lebih tepat di sasaran daripada yang disangkanya, menyebabkan serangga itu mati tanpa disengajakannya.

Oleh sebab gagal mencari makanan di rumah, Pinocchio merayau ke rumah jiran untuk mengemis makanan. Jiran itu jengkel akan kemisan Pinocchio kerana hari sudah lewat malam, lalu menyuruhnya untuk menghulurkan topinya, supaya dia boleh mencurahkan air besar setempayan ke atas boneka itu. Pinocchio pulang ke rumah kesejukan dan cuba memanaskan diri dengan meletakkan kakinya di atas dapur. Pada pagi keesokannya, ia bangun lalu menyedari bahawa kaki-kakinya sudah hangus terbakar. Bapanya yang baru dibebaskan dari penjara dan membawa tiga biji buah pear sebagai makanan, membuatkan sepasang kaki baru untuk boneka itu. Mendengar rayuan kelaparan Pinocchio, Geppetto memberikan buah pear itu lantas mengajar Pinocchio agar tidak boros. Pinocchio berhutang budi dengan janji untuk ke sekolah. Memandangkan Geppetto tiada duit untuk membeli buku sekolah, dia terpaksa menjual satu-satunya kot yang dimilikinya.

Teater boneka sunting

Pinocchio bertolak ke sekolah, tetapi di tengah jalan ia terdengar hingar muzik bercampur sorakan. Dengan rasa ingin tahu, ia mencari punca kebisingan itu sehingga menemui sekumpulan orang ramai yang berkumpul untuk menonton Teater Boneka Bertali Agung. Tidak terdaya untuk menahan nafsu, ia terus menjual buku sekolahnya untuk membeli tiket ke pertunjukan itu.

 
Teater boneka bertali di Prague.

Sewaktu persembahan, boneka-boneka Arlecchino, Pulcinella, dan Signora Rosaura yang berada di pentas ternampak Pinocchio lalu berhenti beraksi, kemudian berteriak, "Saudara kami, Pinocchio!" Di tengah kegirangan boneka-boneka itu, para penonton pula kemarahan, sehingga pengarah teater, Mangiafuoco, keluar untuk melihat apa yang berlaku. Dengan susah hati, dia mencerai-beraikan keterujaan itu lalu hendak menjadikan Pinocchio sebagai kayu api untuk memasak daging kambing untuk makan malam. Setelah mendengar rayuan Pinocchio agar dibiarkan hidup, Mangiafuoco akhirnya mengikut katanya, sebaliknya bercadang untuk membakar Harlequin. Pinocchio merayu pula untuk membela nasib Harlequin, Mangiafuoco akhirnya menyerah kalah. Sebaik sahaja mendengar cerita kemiskinan bapa Pinocchio, dia memberikan lima syiling emas kepada boneka hidup itu untuk Geppetto.

Sang Rubah dan Sang Kucing sunting

Ketika dalam perjalanan pulang untuk menyerahkan syiling kepada bapanya, Pinocchio berjumpa dengan Sang Rubah yang berpura-pura cacat, dan Sang Kucing yang berpura-pura buta, di tepi jaland. Mereka memberitahunya jika ia menanam syiling-syiling itu di Padang Mukjizat, di luar kota Acchiappa Citrulli (Tangkap Si Bodoh), maka syiling-syiling itu bertumbuh menjadi sebatang pokok yang membuahkan seribu syiling emas. Tanpa sedikit meragui mereka berdua, Pinocchio terus ke Acchiappa Citrulli bersama haiwan-haiwan licik itu. Dalam perjalanan, mereka bersinggah di Inapan Udang Karang Emas, di mana Sang Rubah dan Sang Kucing melahap makanan di situ sekenyang-kenyangnya tanpa menguntungkan Pinocchio. Sepanjang malam, penjaga inapan membangunkan Pinocchio untuk memberitahunya bahawa Sang Rubah dan Sang Kucing tiba-tiba keluar atas sebab kecemasan, tetapi akan bersua lagi dengan Pinocchio di Acchiappa Citrulli.

 
Sang Rubah dan Sang Kucing, lukisan Enrico Mazzanti

Sebaik sahaja Pinocchio bertolak untuk ke Acchiappa Citrulli, munculnya hantu Sang Cengkerik yang menyuruhnya supaya menyerahkan sahaja syiling-syiling dalam pegangannya kepada bapanya. Sekali lagi Pinocchio mengingkarinya, lalu bertolak terus ke kota itu. Ketika melalui hutan, Sang Rubah dan Sang Kucing yang menyamar sebagai perompak, tiba-tiba menghendap dan cuba merompak Pinocchio. Boneka itu menyorokkan syiling-syilingnya dalam mulutnya lalu memanjat pokok dengan segera, tetapi dua perompak itu membuka api di bawahnya supaya Pinocchio melompat ke bawah. Sekali lagi mereka cuba membuka mulutnya secara paksa, tetapi ia menggigit tangan Sang Kucing lalu berlari ke dalam hutan.

Dalam pelariannya di tengah hutan tebal, Pinocchio menemui sebuah rumah putih di hadapannya. Ia bersinggah untuk mengetuk pintu, lalu disambut oleh Sang Pari-Pari Berambut Firus. Akan tetapi, ketika Pinocchio bercakap dengannya, ia ditangkap oleh dua perompak itu lalu menggantungnya pada ranting pokok. Seketika kemudian, Sang Rubah dan Sang Kucing serik menanti detik kelemasan boneka itu.

Separuh kedua sunting

Sang Pari-Pari Berambut Firus menghantar seekor burung falko dan seekor anjing poodle untuk menyelamatkan Pinocchio, kemudian memanggil tiga tabib ternama untuk memastikan sama ada Pinocchio masih bernafas atau sebaliknya. Dua tabib pertama, seekor burung hantu dan seekor burung gagak tidak pasti, tetapi yang ketiga (mungkin roh Sang Cengkerik) tahu bahawa Pinocchio masih sihat lalu menegur boneka itu kerana mengingkari dan menyakiti hati bapanya.

Sang Pari-Pari menanya Pinocchio di mana syiling emas itu. Pinocchio berbohong dengan mengatakan kehilangan syiling-syilingnya. Semakin banyak ia berbohong, semakin panjang hidungnya tumbuh sehingga menjadi sukar untuknya menoleh kepala di dalam bilik. Sang Pari-Pari menerangkan bahawa bohong-bohongnya itulah yang memanjangkan hidungnya, lalu memanggil sekawan burung belatuk untuk memahat hidungnya.

Kota Tangkap Si Bodoh sunting

Pinocchio dan Sang Pari-Pari memutuskan untuk menjalin hubungan adik-beradik, kemudian Sang Pari-Pari mengundang Geppetto untuk berdiam bersama mereka di hutan. Pinocchio keluar untuk berjumpa dengan bapanya, tetapi dalam perjalanan sekali lagi ia bertembung dengan Sang Rubah dan Sang Kucing (yang belum dicamnya lagi sebagai perompak, walaupun ia merasakan sesuatu daripada tangan kucing yang terbalut kerana gigitannya awal-awal lagi; Sang Rubah meyakinkannya bahawa Sang Kucing tertipu kerana berbaik hati dengan seekor serigala). Mereka mengingatkan Pinocchio tentang Padang Mukjizat, dan akhirnya ia ingin pergi bersama mereka untuk menanam emasnya. Setelah berjalan selama setengah hari, akhirnya mereka tiba di Acchiappa Citrulli. Semua warga bandar itu pernah melakukan perkara yang teramat bodoh dan kini menderita sebagai akibatnya.

Setibanya di "Padang Mukjizat", Pinocchio menanam emasnya lalu pergi dari situ untuk menunggu berlalunya dua puluh minit yang perlu diambil untuk pertumbuhan emasnya. Dua puluh minit kemudian, ia datang balik untuk menyedari tak sebatang pokok yang tumbuh, maka tak sebutir pun syiling emas. Setelah menyedari hakikatnya, ia pergi ke kota goes Acchiappa Citrulli untuk memberitahu hakim di situ mengenai perbuatan Sang Rubah dan Sang Kucing. Mengikut adat Acchiappa Citrulli, hakim itu memenjarakan Pinocchio atas kebodohannya. Tiba-tiba sahaja, maharaja kota mengisytiharkan perayaan dan membebaskan semua banduan, termasuk Pinocchio.

Ketika pulang ke hutan, Pinocchio menemui seekor ular gergasi dengan ekor berasap yang menghalang jalannya. Setelah meredakan sedikit kekeliruan, ia meminta ular itu agar beralih, tetapi ular itu tidak beranjak sedikit pun. Menyangka bahawa ular itu mati, Pinocchio mulai memijaknya, tetapi tiba-tiba ular itu bangun lalu mendesis-desis ke arah boneka itu, kemudian menjatuhkan boneka itu ke atas kepalanya. Tercuit hati oleh ketakutan dan kelucuan Pinocchio, ular itu ketawa terbahak-bahak sehingga salur darahnya terpecah lalu mati.

Petani sunting

Ketika menyelinap masuk ke dalam halaman seorang petani untuk mengambil anggur, Pinocchio terkena jerat wesel. Sebaik sahaja keluar lalu berjumpa dengan Pinocchio, dia mengikatnya pada rumah anjing untuk menjaga reban ayamnya.

Pada malam kemudian, sekawan wesel datang untuk memberitahu Pinocchio bahawa mereka bersepakat dengan seekor bekas anjing penjaga bernama Melampo untuk membenarkan mereka menyerang reban ayam apabila diminta ayam oleh boneka itu. Pinocchio berkata ia mahu dua ekor ayam, maka wesel-wesel itu bersetuju lalu memasuki reban itu. Pinocchio kemudian mengunci pintu lalu menyalak sekuat-kuatnya. Petani itu kemudian menangkap wesel-wesel itu serta membebaskan Pinocchio sebagai ganjaran.

Pinocchio kembali ke tapak rumahnya lalu menemui sebuah batu nisan sahaja. Menyangka bahawa Sang Pari-Pari mati kerana berduka, ia menangis-nangis sehingga seekor burung merpati yang mesra mengajaknya untuk pergi ke tepi laut, di mana Geppetto memasang sebuah perahu untuk keluar mencari Pinocchio. Mereka bergegas ke tepi laut, dan akhirnya Pinocchio melihat kelibat Geppetto dalam perahu. Boneka itu menerjun ke dalam air dan cuba berenang ke arah Geppetto, tetapi ombak laut terlalu kencang sehingga Pinocchio terhanyut ke dalam laut sementara Geppetto ditelan oleh seekor ikan raksasa yang bengis.

Seekor dolfin yang baik hati mengangkut Pinocchio ke pulau terdekat, iaitu Pulau Kesibukan. Di situ, semua penduduknya sibuk bekerja dan tak siapa pun yang sanggup menyedekahkan makanan kepada Pinocchio selagi ia tidak menolong mereka. Akhirnya boneka itu menolong seorang wanita membawa sebiji jag ke rumah lalu diberi makanan dan air.

Sang Pari-Pari Kembali sunting

Pinocchio akhirnya mengecam wanita itu sebagai Sang Pari-Pari Berambut Firus yang sudah berubah menjadi cukup tua untuk menjadi ibunya. Sang Pari-Pari memainkan peranan sebagai ibu Pinocchio dan sudah tiba masanya untuk Pinocchio bersekolah. Sang Pari-Pari membayangkan bahawa jika Pinocchio cemerlang di sekolah bolehlah dia menjadi budak manusia yang sebenar.

Pada keesokan hari, Pinocchio bertolak ke sekolah dan mudah bergaul dengan kanak-kanak lain di sekolah. Sebentar nanti, sekumpulan budak-budak nakal memperdaya Pinocchio untuk ponteng sekolah dengan memberitahunya bahawa mereka menjumpai seekor ikan paus besar di pantai. Menyangka bahawa itulah ikan raksasa yang menelan Geppetto, Pinocchio mengikut mereka ke pantai semata-mata untuk menyedari dirinya ditipu lagi, maka ia bergaduh dengan budak-budak itu. Seorang budak merampas sehelai buku Pinocchio lalu melontarkannya ke arah boneka itu. Pinocchio membongkak cepat-cepat sehingga buku itu terkena seorang lagi budak bernama Eugenio sampai pengsan. Budak-budak lain berlari dari situ sementara Pinocchio cuba membangunkan Eugenio.

Kemudian, dua orang polis datang lalu menuduh Pinocchio kerana mencederakan Eugene. Tidak sempat menjelaskan apa-apa, ia dibawa oleh polis ke penjara. Di situ ia dapat memecah keluar, tetapi dikejar hingga ke laut oleh anjing polis. Anjing itu hampir lemas tetapi sempat diselamatkan oleh Pinocchio. Anjing itu berasa berhutang budi dan berjanji untuk berkawan dengan Pinocchio. Dengan gembiranya Pinocchio mulai berenang ke pinggir pantai.

Malangnya, Pinocchio ditangkap oleh seekor bota bernama Nelayan Hijau yang menyangka Pinocchio sebagai ikan yang istimewa. Selepas menanggalkan pakaiannya dan melitupinya dengan tepung, bota itu bersedia untuk memakan Pinocchio. Mujurlah anjing polis itu masuk untuk menyelamatkan Pinocchio dari bota itu. Dalam perjalanan pulang, Pinocchio bersinggah di rumah orang lain untuk bertanyakan keadaan Eugenio. Kata orang itu Eugenio sihat, tetapi Pinocchio pasti ponteng sekolah. Pinocchio berkata bahawa ia sentiasa jujur dan menurut kata, maka hidungnya memanjang sekali lagi, barulah Pinocchio cepat-cepat menyatakan perkara sebenar mengenai dirinya agar hidungnya kembali seperti biasa.

Pinocchio akhirnya pulang di malam buta. Ia mengetuk pintu lalu disambut oleh seekor siput babi yang membuka tingkap di aras ketiga. Pinocchio merayu agar dibenarkan masuk, dan dijawab oleh siput itu yang berkata akan turun ke bawah. Siput babi berjalan sangat perlahan, sehingga mengambil masa sepanjang malam untuk turun dan membenarkan Pinocchio masuk. Sebaik sahaja siput itu turun, Pinocchio terhentak kakinya pada pintu sampai tersekat itu. Siput babi membawakan makanan pelik-pelik kepada Pinocchio, menyebabkan boneka itu pengsan. Apabila sedar, ia berada di atas kerusi panjang lalu mendengar pemberian peluang kedua dari Sang Pari-Pari.

Pinocchio cemerlang di sekolah dan lulus dengan kepujian tinggi. Sang Pari-Pari berjanji bahawa Pinocchio akan menjadi manusia pada hari keesokannya, dan memintanya agar menjemput semua kawan-kawannya ke parti. Maka ia keluar untuk menjemput semua orang, dan mula-mula berjumpa dengan seorang rakan sedarjah bernama Romeo, atau lebih dikenali dengan nama timangan Lucignolo (sumbu dian) kerana badannya yang tinggi lagi kurus. Lucignolo dalam perjalanan ke Tanah Mainan, di mana semua orang curi tulang dan bermain sepanjang hari. Pinocchio ikut bersamanya ke situ untuk menghabiskan masa berseronok di Tanah Mainan, sehingga saat Pinocchio bertelinga keldai. Seekor tikus menegurnya bahawa kanak-kanak yang asyik bermain tanpa bekerja akan membesar menjadi keldai.

Menjadi keldai sunting

Dalam sekelip mata Pinocchio bertukar menjadi keldai, lalu dijual kepada sarkas dan dilatih untuk membuat bermacam-macam kepandaian. Lama-kelamaan, pada satu malam ia terjatuh lalu terseliuh sebatang kaki di tengah persembahan. Penjual sarkas itu menjual keldai itu kepada seorang yang mahu mengulitnya untuk membuat dram. Orang itu menghumban keldai itu ke dalam laut untuk melemaskannya, tetapi ia timbul balik dalam bentuk budak kayu yang bernafas. Pinocchio menerangkan bahawa kulit keldainya sudah habis disiat-siat oleh ikan jadi ia bertukar balik menjadi boneka.

Pinocchio terjun balik dan terus berenang dalam laut, sehingga ditelan oleh Ikan Yu Raksasa. Di dalam ikan itu, Pinocchio bertemu dengan seekor ikan tuna yang mudah menerima takdir dan sekadar berkata terpaksalah mereka berdua menunggu saat dicerna. Pinocchio ternampak sinaran cahaya dari jauh lalu mengejarnya. Di hujung itu adalah Geppetto yang selama ini berada dalam perahu yang ditelan oleh ikan yu itu. Pinocchio, Geppetto dan ikan tuna itu berjaya melepaskan diri dari dalam ikan yu itu, kemudian Pinocchio berani cuba berenang bersama Geppetto ke pantai yang rupanya terlalu jauh; mujurlah, ikan tuna membantu mereka cepat ke pantai.

Pinocchio dan Geppetto cuba mencari tempat untuk berteduh. Mereka terserempak dengan dua pengemis, iaitu tak lain tak bukan Sang Rubah yang benar-benar cacat, kurap dan sudah ketiadaan ekornya (kerana menjual ekor itu untuk wang), bersama Sang Kucing yang benar-benar buta. Mereka mengemis makanan dan duit, tetapi Pinocchio tidak memberikan apa-apa kepada mereka. Pinocchio dan Geppetto tiba di sebuah rumah kecil yang didiami oleh Sang Cengkerik yang mengizinkan mereka bersinggah. Pinocchio mendapat kerja sebagai pembantu petani, dan petani ini ada seekor keldai yang berada di akhir hayat. Pinocchio mengecam keldai itu sebagai Lucignolo. Pinocchio meratapi kematian Lucignolo, menyebabkan petani itu hairan. Jelas Pinocchio, Lucignolo adalah kawan baiknya dan mereka pernah bersekolah bersama, tetapi petani itu semakin keliru.

Penamat sunting

Setelah berbulan-bulan bekerja untuk petani itu untuk menyara bapanya Geppetto yang uzur, Pinocchio pergi ke pekan dengan duit 40 syiling tembaga yang disimpannya untuk membeli baju baru untuk dirinya. Ia bertemu dengan sang siput yang memberitahunya bahawa Sang Pari-Pari Berambut Firus uzur dan memerlukan wang. Pinocchio segera memberikan semua wangnya kepada siput itu, dengan berjanji bahawa ia akan menolong ibunya sebaik-baik ia menolong bapanya. Pada malam itu, Pinocchio bermimpi akan kunjungan Sang Pari-Pari yang memberikan ciuman kepadanya. Selepas bangun, akhirnya boneka itu menjadi kanak-kanak manusia. Apalagi, Sang Pari-Pari meletakkan baju dan kasut baru untuknya, serta sebiji bungkus yang disangkanya berisi 40 syiling yang pernah dipinjamkannya kepada Sang Pari-Pari. Terperanjat pula budak itu setelah mendapati bungkus itu berisi 40 syiling emas yang baru ditempa. Pinocchio juga bersatu semula dengan Geppetto yang kini sihat dan kembali giat bertukang kayu. Maka mereka hidup bahagia selama-lamanya.

Rujukan sunting

Pautan luar sunting