Republik Sosialis Vietnam ialah sebuah negeri satu parti. Satu perlembagaan negara baru diluluskan pada April 1992, menggantikan versi lama yang digubal pada tahun 1975. Peranan pusar Parti Komunis ditegaskan semula dalam semua alat-alat kerajaan, politik dan masyarakat. hanya pertubuhan politik yang bergabung dengan atau didukung oleh Parti Komunis dibenarkan untuk bertanding dalam pilihanraya. Ini termasuklah Barisan Tanahair Vietnam, para buruh dan parti-parti kesatuan sekerja. Walaupun negara masih secara rasminya komited kepada sosialisme sebagai fahaman penentuannya, namun kepentingan fahaman ini banyak berkurangan sejak 1990-an. Presiden Vietnam ialah ketua negara dan ketua panglima tentera Vietnam pada nama sahaja, serta mengerusi Majlis Pertahanan dan Keselamatan Negara. Perdana Menteri Vietnam Nguyen Tan Dung ialah ketua kerajaan mengetuai sebuah majlis menteri-menteri yang terdiri daripada 3 timbalan perdana menteri dan ketua-ketua 26 kementerian dan suruhanjaya.

Perhimpunan Kebangsaan Vietnam ialah badan perundangan tunggal dalam kerajaan yang terdiri daripada 498 orang ahli dan berpangkat lebih tinggi berbanding cabang eksekutif dan kehakiman. ahli majlis menteri-menteri dilantik daripada Perhimpunan Kebangsaan. Mahkamah Rakyat Agung Vietnam, iaitu mahkamah rayuan tertinggi dalam negara, juga bertanggungjawab terhadap Perhimpunan Kebangsaan. Di bawah Mahkamah Rakyat Agung terdirinya mahkamah perbandaran peringkat wilayah dan mahkamah tempatan. Mahkamah tentera juga merupakan sebahagian cabang kehakiman yang berkuasa dengan bidang kuasa khusus dalam hal-ehwal keselamatan negara. Semua alat-alat kerajaan Vietnam dikawal oleh Parti Komunis. Kebanyakan lantikan kerajaan merupakan ahli-ahli parti. Setiausaha Agung Parti Komunis barangkalinya merupakan salah seorang ketua politik terpenting dalam negara, dengan peranan mengawal organisasi kebangsaan negara dan perlantikan negeri, serta juga menggubal dasar.

Tentera Rakyat Vietnam ialah nama rasmi bagi tiga perkhidmatan tentera di Vietnam, yang didirikan berasaskan Tentera Pembebasan Rakyat China. Tentera Rakyat terbahagi kepada Angkatan Darat Rakyat Vietnam (termasuk Angkatan Barisan Belakang Strategik dan Angkatan Pertahanan Sempadan), Tentera Laut Rakyat Vietnam, Tentera Udara Rakyat Vietnam dan pengawal pantai. Di sepanjang sejarah moden Vietnam, Tentera Rakyat banyak terlibat dalam tenaga kerja Vietnam untuk mengembangkan ekonomi Vietnam, dengan tujuan menyelaraskan pertahanan negara dengan ekonomi. Tentera Rakyat terlibat dalam bidang-bidang seperti perindustrian, pertanian, perhutanan, perikanan dan telekomunikasi. Jumlah kekuatan tentera Vietnam menghampiri 500,000 orang askar. Kerajaan juga mengadakan dan mengekalkan tentera awam wilayah dan angkatan polis. Peranan tentera dalam kehidupan rakyat banyak berkurangan sejak 1980-an.