Racun makhluk perosak

Racun makhluk perosak atau ringkasnya racun perosak ialah sebarang bahan atau sebatian bertujuan untuk mengawal, mencegah, memusnah, melemah, menghalau, melegakan atau mengurangkan jumlah makhluk perosak. Racun perosak mungkin terdapat dalam bentuk bahan kimia, agen biologi (seperti virus atau bakteria), antimikrob, bahan penyahjangkit atau alatan digunakan terhadap apa-apa jenis makhluk perosak. Makhluk perosak termasuklah serangga, patogen tumbuhan, rumpai, moluska, burung, mamalia, ikan, nematod, dan mikrob yang merosakkan benda, menyebarkan penyakit atau menjadi vektor untuk penyakit. Walaupun ada kebaikan dalam menggunakan racun perosak, ia tetap ada keburukannya seperti potensi keracunan terhadap manusia dan haiwan lain. Mengikut Konvensyen Stockholm Mengenai Pencemar Organik Berterusan, 9 daripada 12 bahan kimia organik yang berbahaya dan bersifat kekal (berterusan) ialah racun perosak.

Kapal terbang sedang menyembur racun perosak di ladang.

Racun perosak boleh dikategorikan kepada empat peganti kimia iaitu racun rumpai, racun kulat, racun serangga dan racun bakteria.[1][2]

Sejarah sunting

Daripada rekod-rekod sejarah ternyata bahawa racun perosak telah lama digunakan iaitu sejak dari awal tamadun manusia lagi. Ketika itu bahan kimia yang digunakan adalah dalam bentuk ringkas. Misalnya dalam rekod sejarah Rom, ada tercatat yang sulfur telah digunakan untuk mengawal serangga. Dengan perkembangan teknologi sekarang jumlah racun perosak semakin bertambah dan bahan-bahan kimia ini jauh lebih kompleks. Dalam abad ke-9, orang-orang Cina telah menggunakan garam arsenik untuk tujuan mengawal serangga di dalam taman. Dalam tahun 1690, ekstrak tembakau digunakan sebagai racun serangga sentuhan. Pada awal abad ke-19, piretrum dan rotenon pula telah diketahui boleh mengawal pelbagai spesies serangga. Manakala pada tahun 1883, Millardet telah menjumpai campuran Bordeaux sebagai racun kulat. Selepas itu hasil penemuan racun perosak yang baru semakin meningkat. Racun rumpai dan racun serangga organik yang pertama telah disintesiskan dalam tahun 1900. Kemudian dalam tahun 1939, Paul Muller mendapati sebatian DDT mempunyai sifat sebagai racun serangga. Dengan ini selepas Perang Dunia Kedua berakhir, lebih banyak sebatian racun perosak organik disintesiskan untuk berbagai-bagai kegunaan. Sebatian hidrokarbon berklorin pula mula dihasilkan secara komersil. Pada masa ini terdapat hampir 1 000 jenis perawis aktif racun perosak yang dirumuskan dalam lebih 40 000 jenis jenama secara komersil.

 
Belerang telah digunakan sejak zaman Rom lagi untuk mengawal serangga perosak.

Definasi sunting

Jenis racun perosak Sasaran kumpulan perosak
Racun alga (Algaecide) Algae
Racun burung (Avicide) Burung
Racun bakteria (Bacteriacide) Bakteria
Racun kulat (Fungicide) Kulat danOomycete
Racun serangga (Insecticide) Serangga
Racun kutu (Miticide/Acaricide) Kutu
Racun moluska (Molluscicide) Siput
Racun kulat (Nematicide) Nematod
Racun roden (Rodenticide) Roden
Racun virus (Rodenticide) Virus

Dalam Akta Racun Makhluk Perosak 1974, racun perosak ditakrifkan sebagai sebarang bahan yang digunakan untuk mengawal penyebaran atau untuk membunuh perosak-perosak seperti kulat patogen, serangga, haiwan dan rumpai.[3] Berdasarkan definasi yang tercatat dalam akta ini, ternyata racun perosak dikelaskan dalam racun yang mempunyai kepentingan dari segi ekonomi dan kesihatan.

Terdapat beberapa kelas racun perosak dalam istilah Inggeris yang berakhir dengan "cide", yang berasal daripada perkataan Latin bermaksud "untuk membunuh". Misalnya racun serangga (insecticide) yang digunakan untuk membunuh serangga, racun rumpai (herbicide) untuk mengawal rumpai, racun kulat (fungicide) untuk membunuh kulat patogen dan racun bakteria (bactericide) untuk membunuh bakteria.

Selain daripada bahan-bahan tersebut terdapat juga sebatian-sebatian kimia yang tidak mempunyai akhiran cide tetapi masih tergolong di dalam racun perosak. Contoh sebatian-sebatian itu ialah seperti bahan pengontang, peluruh daun, pengatur tumbesaran, bahan pengusir dan bahan penyahjangkitan. Kebanyakan bahan tersebut tidak membunuh perosak.

Nama racun perosak sunting

Setiap racun perosak mempunyai tiga jenis nama iaitu nama biasa, nama dagangan dan nama kimia. Nama dagangan ialah nama sesuatu keluaran racun perosak yang diberikan sendiri oleh pihak pengeluar atau pengilang. Terdapat beberapa racun perosak yang mempunyai perawis aktif yang sama tetapi mempunyai nama dagangan yang berbeza-beza bergantung kepada pengeluar. Contohnya, parakuat iaitu nama biasa mempunyai pelbagai nama dagangan seperti Gramoxone® (keluaran I.C.I), Harquat® (Crop Protection), OZA 276 (Rachuta) dan berbagai-bagai lagi nama lain. Terdapat juga syarikat pengeluar yang sama menggunakan nama dagangan yang berbeza disebabkan perbezaan kandungan dalam perumusan tersebut.

Nama biasa ialah nama perawis aktif sesuatu perumusan. Misalnya parakuat, malation dan kaptan ialah nama biasa bagi perawis aktif sesuatu perumusan. Bahan inilah yang memberi kesan ke atas rumpai, serangga atau kulat yang hendak dikawal. Nama biasa sesuatu bahan diberikan secara rasmi oleh badan atau pertubuhan yang disahkan oleh Pertubuhan Pemiawaian Antarabangsa (ISO) atau Institut Pemiawaian British (BSI). Biasanya nama biasa racun rumpai diberikan oleh Persatuan Sains Rumpai Amerika (PSRA), racun serangga oleh Persatuan Entomologi Amerika (ESA) dan racun kulat oleh Persatuan Fitopatologi Amerika (PFA). Penggunaan nama biasa bertujuan untuk mengelakkan kekeliruan akibat perbezaan nama dagangan dan mengelakkan daripada penonjolan hasil sesuatu pengilang atau pengeluar.

Nama kimia sesuatu molekul racun adalah berasaskan prinsip-prinsip yang ditentukan oleh Perkhidmatan Abstrak Bahan Kimia yang dianggap sebagai piawai di seluruh dunia. Nama kimia ini biasanya ditulis di bawah formula struktur sesuatu sebatian. Sekiranya ia tidak diketahui, maka formula molekul yang hanya mengandungi bilangan atom sahaja ditulis.

Formulasi racun makhluk perosak sunting

Racun perosak tidak digunakan dalam bentuk bahan kimia tetapi sebaliknya sebatian kimia tersebut perlu diproseskan terlebih dahulu oleh pengilang sebelum boleh digunakan. Pengeluar kelazimannya akan memproses sesuatu sebatian tersebut dengan cara mencampurkan dengan bahan-bahan lain seperti pengemulsi, pelarut atau agen pembasah tertentu. Proses tersebut dikenali sebagai perumusan. Racun perosak boleh digunakan dengan hanya mengikut cara-cara yang diberikan pengeluar. Biasanya pengguna hanya perlu mencairkan racun tersebut atau boleh juga digunakan terus bergantung kepada jenis perumusan. Faedah-faedah lain yang boleh didapati daripada perumusan itu ialah:

  1. meningkatkan fitotoksik racun rumpai
  2. membolehkannya lama disimpan dan tidak cepat rosak akibat perubahan cuaca dan masa
  3. mudah diurus oleh pengguna.

Sesuatu racun perosak boleh didapati dalam beberapa bentuk perumusan yang berbeza iaitu sama ada dalam bentuk emulsi pekat, serbuk atau granul. Walaupun begitu, keadaan ini jarang terdapat dalam pasaran kerana kebanyakan racun perosak akan ada dalam satu bentuk sahaja. Sekiranya terdapat beberapa bentuk perumusan bagi satu jenis racun perosak, maka pengguna mempunyai peluang untuk memilih perumusan yang lebih berkesan bagi sesuatu perosak. Pemilihan boleh dibuat berasaskan keberkesanan dalam mengawal perosak dan kesesuaian alat penyembur. Selain daripada itu faktor-faktor lain seperti masalah hanyutan dan kesan kecedaraan ke atas bahagian-bahagian yang dikawal juga mempengaruihi pemilihan sesuatu bentuk perumusan.

Kesan sampingan racun makhluk perosak sunting

Kadar penggunaan yang sangat tinggi untuk racun perosak menimbulkan kebimbangan di kalangan orang ramai kerana terdapat bukti bahawa ia telah menimbulkan berbagai-bagai kesan buruk ke atas alam sekitar dan manusia sendiri. Terdapat pelbagai kesan dalam penggunaan racun perosak.

 
Tanda amaran mengenai bahayanya racun perosak.

Kerintangan sunting

Salah satu daripada kesan yang ditimbulkan oleh racun perosak ialah kewujudan kerintangan perosak terhadap bahan yang digunakan. Ini bermakna perosak lali terhadap racun yang digunakan. Keadaan ini selalunya wujud akibat penggunaan satu jenis racun sahaja secara berterusan. Akibat daripada wujudnya daya rintangan itu maka perbelanjaan untuk mengawal perosak makin meningkat. Jenis racun terpaksa ditukar bagi mengelakkan wujudnya kerintangan di kalangan perosak. Keadaan ini sudah tentu akan menyebabkan kerugian kepada petani kerana perbelanjaan yang lebih besar diperlukan untuk mengawal perosak.

Kerintangan perosak bukanlah suatu perkara baru, ia telah dikesan berlaku beberapa dekad yang lalu. Keupayaan perosak mewujudkan daya rintangan telah mula dikesan sejak 1908. Quadraspidiotus perniciosus didapati mewujudkan daya rintangan terhadap sulfur. Kemudiannya kerintangan "codling moth" terhadap plumbum arsenat mula dikesan dalam tahun 1928.

Kecederaan kepada tanaman sunting

Penggunaan racun perosak boleh menyebabkan kecederaan kepada tanaman sekiranya racun tersebut tidak digunakan dengan cermat. Racun rumpai sering menyebabkan kecederaan pada tanaman berbanding dengan racun perosak yang lain. Ini mungkin kerana fungsinya untuk membunuh tumbuh-tumbuhan sedangkan racun-racun lain pula digunakan untuk membunuh perosak yang mempunyai sifat-sifat fisiologi yang berbeza dengan tumbuhan.

Kesan kecederaan racun ke atas tanaman dapat dilihat daripada perubahan-perubahan yang berlaku pada bentuk, warna daun dan pertumbuhan pokok. Bagaimanapun perubahan fizikal yang berlaku akibat racun tersebut agak sukar untuk dibezakan dengan kesan yang disebabkan oleh kekurangan nutrien. Racun yang terkena atau diserap oleh tumbuh-tumbuhan boleh menyebabkan daun menjadi kerinting dan kadang-kadang terdapat tompok-tompok kuning di atas permukaan daun. Terdapat juga tanaman yang terencat pertumbuhannya akibat sisa racun di dalam tanah. Kesan-kesan fitotoksik ini jelas kelihatan terutama pada benih tanaman. Glisofat dan amitrol mengurangi ketinggian pokok, panjang daun dan berat basah pucuk[4]. Kesan fitotoksik pada peringkat awal pertumbuhan akan mempengaruhi penghasilan tanaman. Pada peringkat sel pula, racun perosak boleh mempengaruhi pelbagai proses. Misalnya glifosat dalam tisu jagung dan kapas boleh merencatkan pengangkutan auksin, iaitu hormon yang penting dalam proses pembahagian dan pembesaran sel[5]. Tymoko [6] mendapati bahawa glisofat pada kepekatan 5 mm boleh mengurangkan sintesis protein, RNA dan lipid pada sel daun kacang soya.


Keselamatan semasa pengendalian racun perosak sunting

Terdapat banyak kes yang dilaporkan mengenai orang terminum racun perosak atas sebab-sebab kecuaian. Ramai di antara mangsa maut akibat lambat mendapat rawatan. Kemalangan yang berlaku mungkin dapat dielakkan sekiranya para pengguna mengambil langkah-langkah keselamatan. Setiap pengguna wajib mengetahui cara-cara mengendalikan racun perosak, bermula dari pembelian sehinggalah kepada cara-cara membuang bekas-bekas isian racun perosak. Pengetahuan ini penting agar dapat mengelakkan sebarang kejadian yang tak diingini berlaku berkenaan racun perosak.

Pihak majikan perlu memberi penerangan kepada para pekerja mereka tentang bahaya racun perosak. Bagi memastikan segala peraturan diikuti oleh para pekerja, maka majikan perlu menyediakan pakaian dan alat yang sesuai kepada setiap pekerja serta meminta mereka menggunakan pakaian dan alat tersebut ketika mengendalikan racun perosak. Kebanyakan pekerja tidak mengetahui teknik mencampur atau menyembur racun perosak mengikut kaedah-kaedah yang disyorkan. Oleh yang demikian majikan perlulah memberi tunjuk dan panduan kepada para pekerja mereka agar kemalangan dapat dielakkan.

Sebelum membeli sesuatu racun perosak, maka pengguna mestilah memastikan apakah jenis perosak yang hendak dikawal. Racun perlulah dipilih sesuai dengan perosak yang ingin dituju dengan membaca label yang terlekat pada botol racun atau bungkusan racun perosak.

Mengangkut racun perosak sunting

Terdapat kemungkinan kemalangan berlakunya ketika mengangkut bahan-bahan kimia toksik. Oleh sebab itu amatlah perlu bagi para pekerja yang bertanggungjawab mengangkut racun tersebut mengambil langkah-langkah keselamatan supaya kemalangan dapat dihindari. Antara yang perlu dilakukan adalah:

  1. Sekiranya racun yang diangkut itu merupakan serbuk maka kertas pembalutnya perlulah dilindungi daripada terdedah kepada hujan atau air. Elakkan kertas tersebut daripada terkoyak ketika kerja-kerja pemunggahan dilakukan.
  2. Bagi formulasi dalam bentuk cecair, bekas-bekasnya perlu ditutup rapat; elok jika racun tersebut dibiarkan dalam bekas asal. Ini akan dapat mengelakkan lelehan racun yang mencemar bekas tersebut. Elakkan mengangkut dalam bekas kaca kerana bekas-bekas itu mudah pecah. Jika perlu juga, hendaklah langkah-langkah keselamatan yang lebih ketat perlulah diambil.
  3. Bekas-bekas racun yang telah dimasukkan ke dalam kenderaan perlu disusun supaya ia tidak menggelongsor dan boleh mengakibatkan bekas bocor. Bekas-bekas boleh diangkut dengan mengisinya dalam kotak atau plastik.
  4. Jangan mengangkut racun rumpai dengan racun perosak lain, makanan haiwan atau baja. Dikhuatiri ia akan tercampur dan mencemarkan bahan-bahan tersebut yang boleh membawa kepada kejadian yang tak diingini nanti.
  5. Dilarang sama sekali kanak-kanak turut serta bersama-sama pengendalian racun kerana mereka mudah terdedah dengan bahaya racun perosak yang seterusnya boleh membawa kepada kecederaan ataupun lebih teruk kematian.

Bacaan lanjut sunting

  • Ismail, S. (1988). Racun Makhluk Perosak. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Rujukan sunting

  1. ^ (Inggeris) Panduan racun perosak. Diarkibkan 2017-06-23 di Wayback Machine
  2. ^ Gilden RC, Huffling K, Sattler B (2010). "Pesticides and health risks". J Obstet Gynecol Neonatal Nurs. 39 (1): 103–10. doi:10.1111/j.1552-6909.2009.01092.x. PMID 20409108. Unknown parameter |month= ignored (bantuan)CS1 maint: multiple names: authors list (link)
  3. ^ Akta Racun Makhluk Perosak 1974.
  4. ^ Fletcher, W.W. (1978). Phytotoxic action of glyphosate and amitrole on corn seedlings. Can. J. Bot. 56: 2196-2202.
  5. ^ Baur, J.R. (1979). Effect of glyphosate on auxin transport in corn and cotton tissues. Plant physiol. 63: 882-886.
  6. ^ Tymonko, J.M. 1979. Studies on the metabolic sites of action of glyphosate. Dessertation Abstracts Int. B. 39, 9: 3624-3625.

Pautan luar sunting