Sejarah Awal Islam di Parsi

Penawanan Islam di Parsi mengakhiri kerajaan Sassanid Parsi dan juga menandakan bermulanya kejatuhan Agama Majusi. Tetapi, pencapaian tamadun Parsi tidak berakhir begitu sahaja. Sejak dari detik ini, bermulalah pencapaian tamadun Parsi dalam tamadun Islam.

Peperangan Islam-Parsi Sassanid
Sebahagian daripada Penaklukan Islam
TarikhApril 633M - 642M
Lokasi
Kufah, Madain, Sungai Furat, Walaja, Ullais, Muazayyah, Hirah, Firaz, Qadisiyyah, Nihawand
Keputusan Kemenangan tentera Islam, kejatuhan Empayar Sassanid secara mutlak dan penguasaan wilayah Parsi oleh Khulafa al-Rasyidin
Perubahan
wilayah
Madain, Iraq dan seluruh wilayah Parsi dikuasai oleh tentera Islam
Pihak yang terlibat
Empayar Sassanid Khulafa al-Rasyidin
Komandan dan pemimpin
Hormuz, Indrazaghur, Rostam Farrokhzad, Bahman Jadu, Karanz bin Karianz, Aqqa ibn Qays, Shirazad, Abdul Aswad, Abdul Masih, Jaban, Abjar, Iyas, Wahman Mardansyah, Pirouzan Khalid Al-Walid, Sa'ad ibn Abi Waqqas, Muthanna ibn Harith, Huzaifah Al-Yamani, Nu'man ibn Muqarrin, Abu Ubaid, Qa'qa ibn Amru, Hisham ibn Utbah, Abu Laila
Kekuatan
Sekitar 250,000 Sekitar 90,000
Kerugian dan korban
Sekitar 150,000 Sekitar 15,000
Sejarah Iran
Empayar Parsi - Raja Parsi
sunting

Keadaan semasa sunting

Empayar Rom Byzantine dan empayar Parsi Sassanid menganggap bangsa Arab bukan merupakan ancaman besar bagi mereka pada ketika itu. Ini berdasarkan keadaan logistik, bentuk muka buminya yang berbukit, kegiatan harian orang Arab dan maklumat yang diperolehi daripada mereka yang tinggal di sempadan tanah Arab. Bangsa Arab ketika itu dikenali sebagai bangsa yang liar, keras dan suka membuat kekacauan di sempadan wilayah kedua-dua empayar. Struktur masyarakatnya yang sukar ditadbir oleh kedua-dua empayar dan kawasannya yang mempunyai hasil bumi yang sangat sedikit menyebabkan kedua-dua empayar tidak berminat untuk menakluk semenanjung tanah Arab. Disebabkan itulah kedua-dua kerajaan menubuhkan kerajaan campuran yang bertindak sebagai kerajaan pengaman dan penampan daripada kekacauan bangsa Arab. Untuk itu, kerajaan Lakhmid didirikan di Hirah bagi mewakili empayar Parsi manakala kerajaan Ghassan ditubuhkan sebagai lambang kuasa empayar Rom. Kawasan semenanjung Arab ketika itu dikenali sebagai pusat persinggahan para peniaga yang berulang-alik ketika berurusniaga.

Selepas tamatnya peperangan antara tentera Rom Byzantine dan tentera Parsi Sassanid dalam siri Peperangan Sassanid-Byzantine yang terakhir di Nineveh pada tahun 627 M, kedua-dua empayar mengalami masalah dalaman yang serius seperti masalah cukai yang tinggi, pertembungan sosio-budaya antara kerajaan Arab-Parsi iaitu Lakhmid yang berpusat di Hirah dengan empayar naungannya kerajaan Parsi Sassanid dan kerajaan Arab-Rom iaitu Ghassan yang berpusat di Damsyik dengan empayar naungannya Rom Byzantine. Tambahan pula dengan kedua-dua pihak mengalami keletihan selepas tempoh peperangan begitu lama dalam siri Peperangan Sassanid-Byzantine.

Setelah kewafatan Nabi Muhammad SAW pada tahun 632 Masihi, seluruh penduduk semenanjung Arab disatukan di bawah agama Islam mula memberikan ancaman yang besar. Pengganti Nabi Muhammad, khalifah Abu Bakar mula melancarkan serangan ke atas Syria dan Palestin dan berjaya menyatukan kedua-dua bandar ini menjadi sebahagian daripada negara Islam. Namun begitu, kedua-dua kota ini dituntut oleh empayar Rom atau Byzantine dan juga empayar Parsi Sassanid. Peristiwa ini seterusnya mengubah suasana dan geopolitik serta pengaruh masyarakat Arab kepada tamadun dunia.

Ancaman sunting

Setelah adanya ancaman ketenteraan yang serius dari pihak Arab Islam, kedua-dua empayar yang terkejut dengan serangan tentera Islam mula menumpukan kegiatan ekonominya untuk membiayai perbelanjaan ketenteraan bagi menghadapi kemaraan tentera Islam.

Kedua-dua empayar berpendapat bahawa serangan tentera Islam bukan hanya untuk melakukan kekacauan seperti mana keadaan Arab sebelum kedatangan Islam, tetapi serangan mereka lebih kepada perancangan untuk meluaskan jajahan serta menakluk wilayah Parsi dan Rom.

Ketika inilah bermulanya siri Peperangan Islam-Rom Byzantine di sebelah barat Arab dan peperangan Islam-Parsi di bahagian timur Arab.

Penawanan Islam di Iraq sunting

Setelah kewafatan Khusrau II, seorang raja Sassanid, kerajaannya berpecah belah dan organisasi tenteranya menjadi kacau bilau. Ini memudahkan tentera Arab Islam menawan kota Hirah pada tahun 633M. Tentera Parsi Sassanid kemudiannya menyusun semula kepimpinan mereka sebaik sahaja raja Sassanid baru ditabalkan iaitu Yazdegerd III.

Khalid ibn al-Walid, seorang Panglima Besar tentera Islam, berjaya menawan Iraq dari tangan Parsi Sassanid pada Januari 634M menerusi beberapa siri peperangan.

Perang Berantai sunting

Peperangan ini berlaku pada bulan April 633 M. Ia dinamakan Perang Berantai kerana sejumlah besar tentera pejalan kaki Parsi pimpinan Panglima Besar Hormuz diikat dengan rantai besi bagi mengukuh dan menguatkan serangan dan pertahanan secara berkumpulan. Dari segi teknikalnya, taktik ini akan memberi tekanan berat kepada tentera pejalan kaki musuh.

Bagi peperangan ini secara amnya tentera Parsi Sassanid berjumlah 25,000 orang. Ia mempunyai kelengkapan senjata berat dan tentera berkuda berat. Namun kelemahannya adalah pergerakannya yang lambat. Dengan kekuatan 18,000 orang, Khalid ibn al-Walid mengatasi masalah ini dengan tentera berkuda ringkasnya yang pantas & cepat. Ia membuat strategi dengan mengumpan tentera Parsi mengejarnya dari daerah Kufier hinggalah ke daerah Kazima yang mana membuatkan tentera Parsi keletihan. Keletihan yang dialami oleh tentera Parsi disebabkan oleh senjata berat yang mereka bawa.

Setibanya tentera Parsi di Kazima, mereka diserang hendap oleh tentera Islam dengan secara mengejut. Sewaktu peperangan, Hormuz meletakkan beberapa orang tentera elitnya untuk mengawal keselamatannya. Namun, kesemua tentera elit beliau dapat dibunuh oleh salah seorang panglima Islam iaitu Qa'qa ibn Amru. Akhirnya pertempuran ini dimenangi oleh tentera Islam. Hormuz juga terkorban dalam peperangan ini setelah Khalid ibn al-Walid berjaya membunuh beliau.

Bagi tentera Parsi, rantai yang diikat di kaki mereka memberi peluang kepada tentera Islam untuk menyerang dengan lebih mudah sehinggakan jumlah tentera Parsi yang terkorban mencecah ribuan orang.

Perang Sungai sunting

Lokasi peperangan ini terletak berhampiran dengan daerah Mesopotamia dan berlaku pada bulan April 633M. Tentera Parsi pimpinan Panglima Besar Karanz bin Karianz dengan dibantu oleh dua orang panglimanya yang terselamat dalam peperangan Berantai iaitu Qubaz dan Anusjahan.

Dengan kekuatan tentera seramai 30,000 orang, Karanz menyerang tentera Islam pimpinan Khalid ibn al-Walid yang jumlahnya hanya 18,000 orang, namun tentera Islam mampu bertahan dan sebaliknya mereka mampu menewaskan tentera Parsi.

Perang Walaja sunting

Berlaku pada bulan Mei 633 M. Perang ini adalah di antara tentera Islam pimpinan Khalid ibn al-Walid dengan tentera Parsi dan tentera Arab yang bersekutu dengan Parsi pimpinan Panglima Besar Indrazaghur. Kekuatan tentera Parsi dianggarkan antara 10,000 hingga 15,000 orang dan tentera Islam ialah 18,000 orang. Dalam peperangan ini, tentera Khalid berjaya mengalahkan tentera Parsi dengan taktik yang cukup berkesan. Taktik serangan dari arah belakang secara mengejut dari dua arah yang berlainan adalah asas kepada strategi Khalid ibn al-Walid dalam peperangan ini. Sehari sebelum hari peperangan, Khalid ibn al-Walid menghantar dua regu tentera berkuda seramai 2,000 orang yang diketuai oleh Busr ibn Abi Rahm dan Sa'id ibn Abi Marra untuk bersembunyi di sebalik dua bukit yang terletak beberapa batu di belakang petempatan khemah tentera Parsi.

Dengan ini, tentera Parsi menganggap bahawa bilangan tentera berkuda Islam adalah berkurangan daripada yang disangka. Sebagai umpannya, Khalid melantik Adi ibn Hatim dan Asim ibn Amr untuk mengetuai tentera pejalan kaki bersama-sama sejumlah kecil tentera berkuda pimpinan Khalid untuk menghadapi tentera Parsi.

Pada hari peperangan, ketika tentera Parsi yang sedang mengasak tentera Islam, Panglima Besar Khalid memberi isyarat kepada pasukan berkuda yang bersembunyi di sebalik bukit untuk membuat serangan balas. Indrazaghur terkejut dengan serangan dari arah belakang oleh dua pasukan berkuda tentera Islam pimpinan Busr dan Sa'id yang mana seterusnya menyebabkan kematian yang ramai bagi pihak tentera Parsi. Dalam pertempuran ini Indrazaghur terkorban.

Perang Ullais sunting

Juga dikenali sebagai Perang Sungai Darah. Berlaku pada bulan Mei 633M. Selepas tewasnya tentera Parsi kepada tentera Islam di Perang Walaja, tentera Parsi yang terselamat melarikan diri ke Ullais (10 batu dari Walaja).

Pada awalnya tentera Islam tidak menganggap saki baki tentera Parsi itu boleh membawa ancaman. Namun setelah mendapat berita bahawa kerajaan Hirah menghantar sejumlah tentera sehingga kekuatan saki baki tentera Parsi tadi bergabung dengan tentera Hirah mencecah sehingga 30,000 orang, Panglima Besar Khalid ibn al-Walid memimpin tenteranya melintasi Sungai Khasif dan menuju ke Ullais dengan kekuatan seramai 15,000 orang. Sayap kiri diketuai oleh Panglima Asim ibn Amr dan sayap kanan diketuai oleh Panglima Adi ibn Hatim. Sebagai persediaan, tentera Parsi dipimpin oleh Panglima Besar Abdul Aswad yang berketurunan Arab dengan dibantu oleh Panglima Jaban dan Panglima Abjar.

Setelah mendapat maklumat risikan daripada Panglima Muthanna ibn Harith, Panglima Besar Khalid ibn al-Walid bergerak ke arah Ullais dan bertempur secara berdepan tanpa pendekatan taktikal yang khusus memandangkan Ullais berada di antara Sungai Khasif dan Sungai Furat. Namun begitu, seperti biasa, Khalid menggunakan tentera berkudanya untuk menewaskan tentera Parsi Sassanid ini. Walaupun begitu, peperangan ini mengambil masa selama tiga hari berikutan tentangan hebat daripada Abdul Aswad sehinggakan Khalid ibn al-Walid memuji kekentalan musuhnya di dalam peperangan ini. Akhirnya, peperangan ini dimenangi oleh tentera Islam dengan Abdul Aswad dapat dibunuh oleh Khalid ibn al-Walid sendiri.

Perang Hirah sunting

Beberapa hari selepas pertempuran di Ullais, Khalid dengan kekuatan seramai 15,000 tentera Islam menuju ke Hirah untuk menawan kerajaan boneka Parsi iaitu Lakhmid.

Pertahanan kerajaan Lakhmid yang berpusat di dalam kota istana seramai 10,000 orang tentera pimpinan Panglima Iyas dan Panglima Abdul Masih menggunakan manjanik untuk mencegah kemaraan tentera Islam daripada menakluki kota tersebut. Namun setelah beberapa hari bertahan, kota yang tersergam indah itu akhirnya jatuh ke tangan tentera Islam. Banyak peralatan peperangan milik tentera Parsi jatuh ke tangan tentera Islam.

Perang ini juga menamatkan riwayat kerajaan Lakhmid di Hirah seterusnya mengukuhkan lagi pertahanan tentera Islam di timur Arab.

Perang Anbar sunting

Selepas berjaya menakluki kota Hirah, Khalid ibn al-Walid mara ke suatu tempat yang bernama Anbar yang mana ia terletak 80 batu dari Iraq. Di sini tentera Parsi berpusat di dalam kota untuk bertahan daripada serangan tentera Islam.

Tentera Parsi terpaksa berundur dan bertahan kerana banyak peralatan peperangan mereka seperti manjanik mahupun kenderaan penggempur telah digunakan ketika peperangan di Hirah dahulu. Manakala bagi tentera Islam, dengan senjata dan peralatan peperangan yang baru dan terkini milik tentera Parsi yang dapat mereka rampas setelah beberapa kali memenangi pertempuran dengan tentera Parsi sebelum ini memberi kelebihan dari segi kelengkapan senjata untuk menjalankan operasi ketenteraan.

Di dalam pertempuran ini tentera Islam seramai 9,000 orang bertempur dengan tentera Parsi pimpinan Panglima Shirazad seramai 10,000 orang. Oleh kerana sukar untuk menembusi kota Anbar, maka Khalid mengarahkan tenteranya menggunakan manjanik untuk memberi tekanan kepada pertahanan musuh, manakala para pemanah pula diarahkan memanah mana-mana tentera Parsi yang menjengukkan kepalanya atau mengintai dari lubang kota.

Akibat tekanan dan serangan yang bertali arus daripada kumpulan pemanah tentera Islam semasa kepungan, akhirnya Shirazad menyerah dan tunduk kepada tekanan tentera Islam seterusnya membayar jizyah kepada kerajaan Islam.

Perang Ainul Tamar sunting

Lokasi peperangan ini terletak di bahagian barat daerah Anbar. Tentera Parsi pimpinan Panglima Aqqa ibn Qays dapat ditewaskan oleh Khalid ibn al-Walid dan Aqqa sendiri dapat ditangkap oleh Khalid.

Perang Muzayyah sunting

Pada November 633, seorang panglima tentera Parsi yang berpengalaman luas, Bahman Jadu dilantik oleh Yazdegerd III untuk menyusun semula kekuatan tentera Parsi supaya bergabung dengan saki baki tentera yang terselamat dalam Perang Ullais. Dengan menggerakkan tenteranya di Muzayyah sementara menanti sokongan daripada tentera Parsi yang telah berperang di Ullais, Bahman Jadu membuat garisan pertahanan di situ.

Dalam peperangan ini, Khalid ibn al-Walid membahagikan tenteranya kepada 3 kumpulan yang mana kumpulan pertama diketuai oleh beliau sendiri untuk berhadapan dengan tentera induk Parsi pimpinan Bahman di Muzayyah, kumpulan kedua diketuai oleh Qa'qa ibn Amru untuk berdepan dengan tentera sokongan Parsi di Husaid dan kumpulan ketiga diketuai oleh Abu Laila untuk berdepan dengan tentera bantuan Parsi di Khanafi. Dalam hal ini, Khalid berpendapat untuk memecahkan kekuatan tentera Parsi Sassanid, tentera Islam perlu berhadapan dengan tentera Parsi di tiga tempat yang berlainan dengan menggunakan tentera berkuda.

Hasilnya, tentera Islam dapat menyekat dan mencegah kemaraan tentera Parsi dalam pertempuran berskala kecil di tiga tempat yang berlainan. Taktik ini berjaya menewaskan kesemua tiga kumpulan tentera Parsi Sassanid. Jumlah kekuatan tentera Islam adalah 15,000 orang sementara tentera Parsi seramai 18,000 orang.

Perang Firaz sunting

Buat pertama kalinya, Khalid berhadapan dengan tentera gabungan di mana tentera Parsi Sassanid bergabung dengan tentera Rom Byzantine dan tentera Arab Nasrani sehingga kekuatan tentera gabungan ini mencecah 150,000 orang.

Tujuan gabungan ini adalah untuk mencegah kemaraan tentera Islam daripada menakluk wilayah Firaz. Ini kerana para penduduk di Firaz mempunyai hubungan dagang yang mantap antara kerajaan Parsi Sassanid dan Rom Byzantine.

Dengan menggunakan strategi serangan tentera berkuda yang pantas dan cepat, tentera Islam seramai 15,000 orang pimpinan Khalid ibn al-Walid sekali lagi berjaya mengalahkan tentera pakatan ini pada bulan Januari 634 M dan menawan hampir keseluruhan Iraq.

Selepas perang ini, Panglima Besar Khalid bertukar tugas ke Syria untuk menumpaskan tentera Rom Byzantine yang mana beliau berganding bahu bersama seorang lagi sahabat Nabi Muhammad yang terkemuka iaitu Abu Ubaidah Al-Jarrah dalam siri Peperangan Islam-Rom Byzantine. Tempat beliau diganti oleh Abu Ubaid.

Perang Jambatan sunting

Berlaku pada bulan Oktober 634 M. Tentera Parsi Sassanid di bawah pimpinan Panglima Bahman Jadu menyusun semula kekuatan dengan strategi baru. Setelah mengenalpasti kekuatan serangan tentera Islam adalah berasaskan kepantasan serangan tentera berkuda, Bahman Jadu menggunakan khidmat tentera bergajah.

Lokasi pertempuran ini terletak berdekatan dengan Sungai Furat, Kufah. Ketika hari pertempuran, tentera Islam pimpinan Abu Ubaid mara dan menguasai medan peperangan. Namun Bahman kemudiannya menyerang balas terhadap tentera Islam dengan tentera bergajah mereka. Akibat daripada serangan tentera bergajah Parsi, tentera berkuda Islam yang tidak mempunyai pengalaman berhadapan dengan tentera bergajah terpaksa berundur dan ini membuatkan tentera Parsi berjaya mengalahkan mereka. Abu Ubaid terbunuh dalam serangan ini.

Seramai 4,000 orang tentera Islam terkorban syahid. Ketika itu tentera Islam kemudiannya dipimpin oleh Muthanna ibn Harith. Pengunduran tentera Islam di bawah pimpinan Panglima Muthanna ibn Harith berjaya mengelakkan tentera Islam terkorban dengan lebih ramai.

Pada ketika Bahman Jadu ingin mengejar tentera Islam untuk menghancurkan kekuatan tentera Islam yang mempunyai petempatan sementara di Sungai Furat, Panglima Besar Parsi Rostam Farrokhzad memanggil beliau supaya pulang ke Madain, ibu kota Parsi kerana berlakunya masalah dalaman negara. Ini menyebabkan pasukan tentera Islam terselamat daripada serangan balas pihak Parsi. Buat pertama kali, tentera Islam tewas dalam pertempuran dengan tentera Parsi.

Selepas peperangan ini, tentera Islam mula memperlahankan rentak dan mengambil sikap hanya bertahan dengan membina sebuah markas pertahanan di Kufah. Ini kerana terdapatnya masalah logistik, kekurangan bekalan asas dan ketiadaan panglima perang yang cekap untuk memimpin tentera untuk menakluk negara Parsi. Dengan ini, operasi ketenteraan terhenti buat seketika waktu. Walau bagaimana pun tentera Parsi masih menganggap garisan pertahanan yang dibuat oleh tentera Islam memberi ancaman yang serius.

Perang al-Qadisiyyah sunting

Pada tahun 636 M, Panglima Besar Sassanid, Rostam Farrokhzad mengetuai tentera Parsi dengan kekuatan 120,000 bagi menyeberangi Sungai Furat ke al-Qadisiyyah di Hilla, Iraq untuk menumpaskan tentera Islam. Rostam beranggapan kemaraan tentera Islam sudah terlalu hampir dengan ibu kota kerajaan Parsi Sassanid. Untuk itu, dia mengatur langkah untuk mencegah kemaraan ini dengan mengetuai seluruh angkatan perang Parsi untuk berperang di bumi Qadisiyyah. Para sejarawan menganggap tindakan beliau ini merupakan sebuah kesilapan besar dari segi taktikal kerana berhadapan dengan tentera Arab Islam di bumi mereka bukanlah keputusan yang bijak.

Khalifah Umar Al-Khattab mengutuskan 30,000 tentera dibawah arahan Panglima Besar Sa'ad ibn Abi Waqqas untuk menyerang tentera Parsi ini. Peperangan berlaku selama empat hari di mana pada awalnya tentera Islam berkuda tidak mampu berhadapan dengan tentera bergajah Parsi. Setelah dua hari diasak oleh tentera bergajah Parsi, Khalifah Umar mengarahkan Abu Ubaidah Al-Jarrah yang pada ketika itu berada di dalam siri Peperangan Islam-Rom Byzantine menghantar bantuan ketenteraan seramai 5,000 orang tentera pejalan kaki di bawah pimpinan Panglima Qa'qa ibn Amru. Qa'qa ibn Amru tiba pada malam pertempuran hari kedua. Ketika perbincangan dengan para panglima tentera, Qa'qa berpendapat tentera bergajah Parsi adalah ancaman utama bagi tentera Islam. Lalu, dia mencadangkan agar kuda-kuda dan unta-unta disolek dan dihias dengan hiasan yang menggerunkan. Taktik ini berjaya menakutkan gajah-gajah Parsi.

Pada hari ketiga, 1,000 orang tentera berkuda pimpinan Panglima Hisham ibn Utbah tiba. Di dalam tentera ini terdapat dua orang bangsa Parsi yang sudah memeluk Islam iaitu Dakhar dan Salam. Mereka mencadangkan belalai gajah perang milik kegunaan tentera Parsi hendaklah dipotong dan mata gajah tersebut hendaklah dibutakan bagi mengkucar-kacirkan tentera bergajah Parsi. Taktik ini berjaya. Pertempuran hari ketiga itu dikuasai oleh tentera Islam setelah tunjang utama kekuatan tentera Parsi iaitu tentera bergajah dapat ditewaskan.

Pada hari terakhir pertempuran, Panglima Besar Sa'ad ibn Abi Waqqas menyusun barisan tenteranya. Berbanding Khalid yang gemar menggunakan sepenuhnya tentera berkuda, kumpulan bersayap dan serangan balas yang pantas, Sa'ad lebih gemar menggunakan kumpulan pemanah. Penyusunan barisan tentera berkuda di hadapan, dan tentera pejalan kaki dengan bantuan kumpulan pemanah memberi kelebihan kepada tentera Islam. Sesuai dengan kemahirannya dalam memanah, Sa'ad ibn Abi Waqqas menggunakan sepenuhnya kumpulan pemanah di hari terakhir pertempuran yang membawa kepada kejayaannya di Qadisiyyah. Dalam peperangan ini, Bahman Jadu dan Rostam Farrokhzad terkorban dan inilah bermula titik tolaknya kejatuhan Empayar Parsi Sassanid.

Penawanan Penara Parsi sunting

Walaupun Iraq dan ibu kota Sassanid berjaya ditawan tentera Islam, tetapi raja Sassanid, Yazdegerd III berjaya melarikan diri ke penara Parsi. Maka, para panglima Islam kemudiannya mara ke hadapan ke tanah Parsi. Mereka berasa bimbang Yazdegerd III akan menghimpunkan semula tentera Parsi dan menentang tentera Islam.

Yazdegerd walau bagaimanapun berjaya menghimpunkan semula tenteranya untuk berhadapan dengan tentera Islam. Pada tahun 642 M, pasukan ini berkubu di Nihawand 40 batu di selatan Hamadan. Khalifah Umar apabila mendengar berita ini, melantik Nu'man ibn Muqarrin sebagai Panglima Besar tentera Islam.

Perang Nihawand sunting

Pada peringkat awal, pasukan tentera Islam diketuai oleh Sa'ad ibn Abi Waqqas. Namun beliau dipanggil ke Madinah oleh Umar Al-Khattab kerana berlaku masalah pentadbiran. Seterusnya Umar melantik Nu'man ibn Muqarrin selaku Panglima Besar tentera Islam. Di bawah pimpinan Panglima Besar Nu'man ibn Muqarrin dan dibantu oleh Panglima Huzaifah Al-Yamani tentera Islam seramai 30,000 berhadapan dengan tentera Parsi seramai 100,000 orang pimpinan Panglima Besar Wahman Mardansyah dan pembantunya adalah Panglima Pirouzan.

Berikutan pengalaman berperangnya bersama Khalid ibn al-Walid dan Sa'ad ibn Abi Waqqas di awal perjuangannya, Nu'man ibn Muqarrin menggunakan kepantasan serangan tentera berkuda dan kecekapan pasukan pemanah sebagai tunjang utama untuk menewaskan pertahanan tentera Parsi.

Umat Islam menggelarkan peperangan ini sebagai "Kemenangan Bagi Segala Kemenangan" berikutan tumbangnya Empayar Parsi Sassanid. Peperangan ini berlaku pada tahun 642 M. Kedua-dua panglima Parsi terkorban dalam peperangan ini manakala di pihak tentera Islam, Nu'man ibn Muqarrin sendiri terkorban dan tempatnya digantikan oleh Huzaifah Al-Yamani.

Selepas kekalahan teruk di Nihawand, Yazdegerd gagal untuk menghimpunkan semula tenteranya dan kini menjadi pelarian. Beliau kemudiannya dibunuh oleh seorang petani di Merv pada 651 M [1] Maka, berakhirlah kerajaan Sassanid dan bermulalah era Islam di bumi Parsi. Tentera Islam kemudiannya menawan Afghanistan, Transxonia dan Balochistan. Setelah kejatuhan Empayar Sassanid, banyak kuil-kuil Majusi dirobohkan dan pengamalan agama ini diharamkan kerana dianggap melencong daripada ajaran sebenar.

Pengislaman Bangsa Iran sunting

Pengislaman Bangsa Iran atau Parsi merupakan sebuah proses yang perlahan dan mengambil masa yang lama. Ketika pemerintahan Umayyah, bahasa dan kebudayaan parsi diharamkan manakala tulisan Parsi digantikan dengan aksara Arab.[2] Bangsa Parsi pula ditindas dan didiskriminasi. ini menyebabkan ramai Bangsa Iran benci terhadap pemerintah Arab dan Islam

Setelah kejatuhan wangsa Umayyah, tampuk kepimpinan Islam digantikan oleh Khalifah Abbasiyyah. Empayar bertukar kebijakan daripada bertumpu kepada Islam Arab kepada Islam keseluruhannya.[3] Birokrat-birokrat kerajaan haruslah umat Islam tidak mengira suku bangsanya. Era ini menyaksikan ramai bangsa Iran memeluk Islam. Ketika zaman ini juga, terdapat migrasi bangsa Arab keluar semenanjung Arab.[3]

Rujukan sunting

Lihat juga sunting