Selat Melaka

selat di antara Semenanjung Tanah Melayu dan Sumatera

Selat Melaka (juga Selat Malaka Ind.[1], dua-dua dalam Jawi: سلت ملاک) adalah kawasan perairan sempit yang memisahkan semenanjung Malaysia dan Pulau Sumatera di Indonesia. Panjangnya adalah 580 mi ( 930 km). Sebagai laluan perhubungan utama antara Lautan Hindi dan Lautan Pasifik. Ia merupakan salah satu laluan perkapalan yang terpenting di dunia. Ia dinamakan Selat Melaka sempena pokok melaka (Phyllanthus emblica atau Emblica officinalis) yang popular di negeri Melaka dan Sumatera.[2]

Selat Melaka (Ditanda dengan warna kelabu)
Selat Melaka
Selat Melaka menghubungkan Lautan Pasifik di bahagian timur dengan Lautan Hindi di bahagian barat.
LokasiLaut Andaman-Selat Singapura
Koordinat4°N 100°E / 4°N 100°E / 4; 100 (Selat Melaka)Koordinat: 4°N 100°E / 4°N 100°E / 4; 100 (Selat Melaka)
JenisSelat
Nama asliMelayu: Selat Melaka
Indonesia: Selat Malaka
Bahasa Thai: ช่องแคบมะละกา
Tamil: மலாக்கா நீரிணை, Malākkā nīriṇai
Hindi: मलक्का जलडमरूमध्य
Cina: 馬六甲海峽/马六甲海峡
Negara lembangan Malaysia
 Indonesia
 Thailand
Panjang maksimum930 km (580 bt)
Lebar minimum38 km (24 bt)
Kedalaman purata25 meter (82 ka) (minimum)[3]
PetempatanSingapura
Batu Pahat
Bandar Melaka
Port Dickson
Pelabuhan Klang
Lumut
Pulau Pinang
Langkawi
Satun
Phuket
Aceh
Medan
Riau
Port Blair

Sejarah sunting

Para pedagang dari Arab, Afrika, Parsi, dan kerajaan di selatan India berkunjung ke Kedah sebelum tiba di Guangzhou, China. Kedah berperanan sebagai pelabuhan barat di Semenanjung Tanah Melayu. Mereka menjual barang tembikar, kapur barus, barang kapas, gading, cendana, minyak wangi, dan batu permata. Pedagang ini berlayar ke Kedah melalui angin monsun antara bulan Jun dan November. Mereka pulang antara bulan Disember dan Mei. Kedah menyediakan kemudahan seperti tempat tinggal, kapal kecil, rakit buluh, gajah, dan juga kutipan cukai untuk barang yang akan dibawa ke darat untuk ke pelabuhan timur Semenanjung Tanah Melayu seperti di Langkasuka dan Kelantan. Setelah abad Kesepuluh, kapal dari China mula berdagang di pusat perdagangan dan pelabuhan timur ini. Kedah dan Funan merupakan pusat pelabuhan yang terkenal sepanjang abad ke-6, sebelum pelayaran ini mulai memanfaatkan Selat Melaka itu sendiri sebagai jalan perdagangan.

Pada abad ke-7 kerajaan maritim Srivijaya yang berpusat di Palembang, Sumatera, mulai berkuasa, dan pengaruhnya berkembang dengan meluas ke semenanjung Tanah Melayu dan Jawa. Kerajaan ini berjaya menguasai dua selat di kawasan Asia Tenggara; iaitu Selat Melaka dan Selat Sunda. Dengan melancarkan beberapa siri penaklukan dan serangan di pelabuhan pesaing yang berpotensi di buah selat, Srivijaya memastikan penguasaan ekonomi dan ketenteraannya di rantau ini, yang bertahan selama sekitar 700 tahun. Srivijaya mendapat faedah yang besar dari perdagangan rempah . Selat Melaka menjadi laluan perdagangan maritim yang penting diantara India dan China. Kepentingan Selat Melaka dalam jaringan perdagangan global terus berlanjutan sehingga abad-abad seterusnya dengan kemunculan Kesultanan Melaka pada abad ke-15, Kesultanan Johor, dan kebangkitan negara kota Singapura yang moden.

Sejak abad ke-17, selat Melaka telah menjadi laluan pelayaran dan perdagangan utama antara Lautan Hindi dan Lautan Pasifik. Terdapat banyak kerajaan dan kuasa besar di sekitar selat Melaka yang telah menguruskan selat dalam tempoh sejarah yang berbeza.

Pada awal abad ke-19, kerajaan Belanda dan Britain telah membuat garis sempadan dengan sewenang-wenangnya di selat Melaka dan berjanji untuk membanteras lanun di sempadan masing-masing yang telah ditetapkan; garis sempadan itu dijadikan sempadan moden hari ini diantara negara Malaysia dan Indonesia. Perjanjian itu dinamakan sebagai perjanjian London 1824 atau Perjanjian Inggeris-Belanda 1824. Antara syarat dan keputusan daripada perjanjian ini ialah Semenanjung Tanah Melayu diserahkan kepada Inggeris dan Belanda tidak boleh membuka penempatan baru di Semenanjung, manakala Sumatera beserta jajahan Inggeris di Sumatera diserahkan kepada Belanda dan Inggeris tidak boleh mebuka penempatan baru di Sumatera.

Kepentingan ekonomi sunting

Dari segi ekonomi dan strategik, Selat Malaka merupakan salah satu jalur pelayaran terpenting di dunia, sama pentingnya dengan Terusan Suez atau Terusan Panama. Selat Melaka membentuk jalur pelayaran terusan antara Lautan Hindi dan Lautan Pasifik serta menghubungkan tiga dari negara-negara dengan jumlah penduduk terbesar di dunia: India, Indonesia dan China.

Kira-kira 50,000 kapal kargo dan kapal minyak melalui Selat Melaka dari barat ke Timur setiap tahun. Justeru itu Selat Melaka sangat penting kepada kestabilan ekonomi dunia khususnya kepada negara Amerika Syarikat, Jepun , China dan lain-lain negara di Asia Tenggara. Hampir satu perlima perdagangan dunia terpaksa melalui Selat Melaka. Pada 2003, 11 juta kontena barangan melaluinya setiap hari.

Selat Melaka menjadi nadi pembangunan bagi negara pulau Singapura yang terletak di selatan Johor , Malaysia. Singapura mengambil kesempatan dari kedudukannya itu untuk menjadi pelabuhan enteport terpenting di dunia. Peningkatan kegiatan kumpulan Abu Sayyaf di Filipina, Gerakan Acheh Merdeka dan lanun memberi dorongan kepada Amerika Syarikat untuk mendirikan sebuah pangkalan di perairan tersebut. Namun, tindakan Amerika Syarikat yang bercita-cita ingin menguasai Selat Melaka ini mendapat bantahan keras dari Indonesia dan Malaysia. Dengan ini, pihak pertahanan maritim dari ketiga-tiga negara yakni Indonesia, Malaysia dan Singapura berhasrat ingin mengadakan rondaan bersama di perairan Selat Melaka pada Julai, 2004, sungguhpun Singapura pada masa itu agak keberatan untuk menyertai rondaan ini yang ditaja oleh kementerian pertahanan dari kedua-dua buah negara nusantara tersebut.

Pada 1994 serangan lanun berjumlah 25 dan mencapai 220 serangan lanun pada tahun 2000. Pada 2003 pula terdapat 150 serangan lanun.

Lanun ialah sebahagian cara hidup di Selat Melaka sejak dahulu lagi. Kegiatan lanun berperanan sebagai pengutip cukai secara tidak rasmi kepada kerajaan Dinding di Perak . Pada suatu ketika, kegiatan lanun akan berkurang jika kapal-kapal membayar 'cukai'. Namun, hasil dari rondaan bersama ini, sebanyak 239 kes serangan lanun berjaya dipatahkan oleh unit-unit marin tentera dan polis tiga negara tersebut mengikut perangkaan dari Biro Maritim Antarabangsa yang berpusat di Kuala Lumpur. Ini membolehkan Amerika Syarikat memberi kepercayaan penuh kepada ketiga-tiga negara ini sekaligus membatalkan hasratnya untuk menguasai Selat Melaka.

Kesesakan perkapalan Selat Melaka dapat diatasi dengan membina terusan di Segenting Kra, selatan Thailand. Walau bagaimanapun, projek terusan ini menelan kos perbelanjaan yang amat besar, dan kerajaan Thailand bercadang untuk menggantikan projek tersebut dengan membina jambatan darat yang menghubungkan pelabuhan-pelabuhan Ranong di pantai barat dan Chumphon di pantai timur.

Lihat juga sunting

Nota sunting

Rujukan sunting

  1. ^ "Selat". kbbi.kemdikbud.go.id. Badan Pengembangan dan Pembinaan Bahasa, Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan Republik Indonesia. -- Malaka
  2. ^ "Malaka". kbbi.kemdikbud.go.id. Badan Pengembangan dan Pembinaan Bahasa, Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan Republik Indonesia.
  3. ^ Malaccamax
    As the name suggests, Malaccamax ships are the largest ships that can pass through the Strait off Malacca which is 25 m (82 ft) deep. As per the current permissible limits, a Malaccamax vessel can have a maximum length of 400 m (1,312ft), beam of 59 m (193.5 ft), and draught of 14.5 m (47.5 ft). Comparison of Tanker sizes

Pautan Luar sunting