Seoul

ibu kota negara Korea Selatan

Seoul (/sl/; 서울; Korea: [s⁽ʰ⁾ʌul]  ( dengar)) ialah ibu negara dan metropolis terbesar Korea Selatan. Seoul ialah bandar raya ke–16 terbesar di dunia mengikut populasi di mana ia membentuk Kawasan Ibu Negara Seoul bersama metropolis Incheon dan wilayah Gyeonggi. Hampir separuh penduduk Korea Selatan tinggal di Kawasan Ibu Negara Seoul, menjadikannya pusat ekonomi, politik dan kebudayaan utama di negara ini.

Seoul
서울시
Bandar Raya Khas Metropolitan Seoul
서울특별시
بندر راي خاص ميتروڤوليتن سوؤل
Transkripsi  
 • Hangul서울
 • Hanja서울特
 • Perumian SemakanSeoul Teukbyeolsi
 • McCune–ReischauerSŏul T'ŭkpyŏlsi
Arah jam dari atas: Namdaemun, Katedral Myeongdong, Cheongyecheon, Gyeongbokgung Geunjeongjeon, Bangunan 63, Menara N Seoul
Bendera Seoul
Mohor rasmi Seoul
Jata Seoul
Peta Korea Selatan dengan Seoul ditanda
Peta Korea Selatan dengan Seoul ditanda
Koordinat: 37°34′N 126°58′E / 37.567°N 126.967°E / 37.567; 126.967Koordinat: 37°34′N 126°58′E / 37.567°N 126.967°E / 37.567; 126.967
NegaraKorea Selatan
KawasanKawasan Ibu Negara Seoul
Daerah
Pentadbiran
 • JenisPemerintah Metropolitan Seoul
Datuk Bandar–Majlis
 • Datuk BandarOh Se-hoon (Kuasa Rakyat)
 • MajlisMajlis Metropolitan Seoul
Keluasan
 • Ibu Negara dan Bandar Raya Khas605.21 km2 (233.67 batu persegi)
Aras
38 m (125 ft)
Penduduk
 (2017)
 • Ibu Negara dan Bandar Raya Khas10,197,604
 • Kepadatan17,000/km2 (44,000/batu persegi)
 • Metro
25,600,000
 • Demonim
서울 사람 (Seoul saram) 서울시민 (Seoul-simin) Seoulite
 • Loghat
Gyeonggi
BurungMurai Korea
BungaForsythia
PokokGinkgo
KDNK (Metro)AS$ 1.05 trilion
KDNK per kapita (Metro)AS$ 41,015
Laman sesawangseoul.go.kr

Seoul sudah sekian lama menjadi petempatan manusia sejak pengasasannya sekitar tahun 18 SM oleh Baekje yang merupakan salah satu daripada Tiga Kerajaan Korea. Ia kekal sebagai ibu kota negara Korea di bawah Dinasti Joseon. Terdapat lima Tapak Warisan Dunia UNESCO di Kawasan Ibu Negara Seoul iaitu Istana Changdeok, Kubu Hwaseong, Kuil Jongmyo, Namhansanseong dan Makam Diraja Dinasti Joseon.[2] Seoul dikelilingi oleh pergunungan, yang tertinggi ialah Gunung Bukhan.[3] Tempat kelahiran K-pop dan Gelombang Korea, Seoul menerima lebih daripada 10 juta pelancong antarabangsa pada tahun 2014 menjadikan ia bandar raya ke–9 paling banyak dilawati di dunia.

Kini, Seoul dianggap sebagai sebuah bandar raya global peneraju hasil daripada pertumbuhan ekonomi yang mengubah bandar raya ini kepada ekonomi metropolitan ke–4 terbesar dengan KDNK sebanyak AS$845.9 bilion pada tahun 2014 selepas Tokyo, Bandar Raya New York dan Los Angeles. Kawasan Ibu Negara Seoul merupakan pusat kepada 15 syarikat Fortune Global 500 termasuk Samsung, LG dan Hyundai-Kia. Pada tahun 2014, KDNK per kapita bandar raya ini sebanyak $39,786 ialah setanding dengan negara Perancis dan Finland.

Seoul menikmati prasarana yang amat canggih dari segi teknologi. keretapi berkelajuan tinggi KTX dan Seoul Subway menyediakan kemudahan 4G LTE, WiFi dan DMB di dalam keretapi bawah tanah serta wifi di setiap stesen. Seoul dihubungkan melalui AREX ke Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon yang dinilai sebagai lapangan terbang terbaik di dunia selama sembilan tahun berturut-turut (2005–2013) oleh Majlis Antarabangsa Lapangan Terbang.[4] Menara Lotte World, sebuah pencakar langit 123 tingkat dengan ketinggian 556-meter telah dibina di Seoul.[5]

Seoul menganjurkan Sukan Asia 1986, Sukan Olimpik Musim Panas 1988, Piala Dunia FIFA 2002 dan Sidang Kemuncak G-20 2010. Bandar raya ini juga dinamakan sebagai Pusat Reka Bentuk Sedunia 2010.

Nama sunting

Dahulu kala, bandar raya ini dikenali dengan nama Wiryeseong (Hangul위례성; Hanja慰禮城, semasa era Baekje), Hanyang (Hangul한양; Hanja漢陽, semasa era Goryeo), Hanseong (Hangul한성; Hanja漢城, semasa era Joseon) dan Keijō (Hangul경성; Hanja京城, semasa era penjajahan Jepun).[6]

Semasa Pemerintahan Jepun di Korea, "Hanseong" (漢城) dinamakan semula kepada "Keijō" (京城) oleh pihak berkuasa Empayar untuk mengelakkan kekeliruan dengan hanja '' (terjemahan untuk sebuah perkataan Korea kuno "Han" (한) yang bermaksud "besar") dan ia juga merujuk kepada Bangsa Han.

Nama yang digunakan sekarang berasal daripada perkataan bahasa Korea yang bermaksud "ibu kota," yang dipercayai terbit daripada perkataan Seorabeol (Hangul서라벌; Hanja徐羅伐), yang pada asalnya merujuk kepada Gyeongju, ibu kota Silla.[7]

Berbeza dengan kebanyakan nama tempat di Korea, nama "Seoul" tiada padannya dalam tulisan hanja (aksara Cina dalam bahasa Korea). Pada 18 Januari 2005, kerajaan Seoul secara rasminya menukar nama rasmi Bahasa Cina kepada Shou'er (Cina ringkas: 首尔Cina tradisional: 首爾pinyin: Shǒu'ěr) daripada perkataan Hancheng (Cina ringkas: 汉城Cina tradisional: 漢城pinyin: Hànchéng).[8]

Sejarah sunting

 
Gyeongbokgung

Penempatan di kawasan Sungai Han di mana Seoul sekarang terletak bermula sekitar 4000 SM.[9]

Seoul pertama kali direkodkan sebagai Wiryeseong, ibu kota Baekje (diasakan pada 18 SM) di kawasan timur laut Seoul.[9] Terdapat beberapa tembok bandar di kawasan tersebut yang masih kekal pada masa kini. Pungnaptoseong, sebuah tembok tanah di luar Seoul dipercayai secara meluas berada di tapak utama Wiryeseong.[10] Apabila Tiga Kerajaan Korea bersaing untuk kawasan strategik ini, kawalan jatuh daripada Baekje kepada Goguryeo pada abad ke–5 dan daripada Goguryeo kepada Silla pada abad ke–6.

Pada abad ke–11, Goryeo yang menggantikan Silla Bersatu, membina sebuah istana musim panas di Seoul yang dirujuk sebagai "Ibu Kota Selatan". Bermula tempoh ini, Seoul menjadi sebuah petempatan yang lebih besar.[9] Apabila Joseon menggantikan Goryeo, ibu kota telah dipindahkan ke Seoul (juga dikenali sebagai Hanyang atau Hanseong) di mana ia kekal sehingga kejatuhan dinasti ini. Istana Gyeongbok yang dibina pada abad ke–14 digunakan sebagai kediaman diraja sehingga tahun 1592. Istana besar yang lain, Changdeokgung yang dibina pada tahun 1405 digunakan sebagai istana diraja yang utama dari tahun 1611 sehingga 1872.[9]

Pada mulanya, kota ini dikelilingi secara sepenuhnya oleh sebuah tembok batu yang besar untuk melindungi rakyatnya daripada binatang buas, pencuri dan serangan. Kota ini telah berkembang sehingga luar tembok dan walaupun tembok ini sudah tidak lagi berdiri (kecuali di Gunung Bugaksan (Hangul북악산; Hanja北岳山) yang terletak di utara kawasan pusat kota[11]), pintu gerbang kekal berhampiran daerah pusat bandar Seoul termasuk Sungnyemun (biasanya dikenali sebagai Namdaemun) dan Heunginjimun (biasanya dikenali sebagai Dongdaemun).[12] Semasa dinasti Joseon, pintu gerbang ini dibuka dan ditutup setiap hari disertai dengan bunyi loceng besar di astaka Bosingak.[13] Pada lewat abad ke–19, selepas beratus-ratus tahun hidup terasingan, Seoul membuka pintu gerbangnya untuk orang asing dan mula menerima pemodenan. Seoul menjadi kota pertama di Asia Timur untuk menggunakan tenaga eletrik di dalam istana diraja yang dibina oleh Syarikat Pencahayaan Edison[14] dan sedekad kemudian, Seoul juga menggunakan lampu jalan elektrik.[15]

Selepas perjanjian penggabungan paksa pada tahun 1910, Empayar Jepun merampas Korea dan menamakan semula kota ini kepada Gyeongseong ("Kyongsong" dalam Bahasa Korea dan "Keijo" dalam Bahasa Jepun). Teknologi Jepun diimport manakala tembok bandar dan beberapa pintu gerbang telah dirobohkan. Jalan-jalan diturap dan bangunan dengan ciri-ciri barat telah dibina. Kota ini telah dibebaskan semasa akhir Perang Dunia Kedua.[9]

Pada tahun 1945, kota ini secara rasminya dinamakan Seoul dan telah dijadikan sebuah bandar khas pada tahun 1949.[9]

Semasa Perang Korea, Seoul bertukar tangan diantara tentera Korea Utara yang disokong Rusia / China dan tentera Korea Selatan yang disokong Amerika Syarikat beberapa kali, menyebabkan bandar ini rosak teruk selepas peperangan. Ibu negara telah dipindahkan buat sementara waktu ke Busan.[9] Selepas peperangan, sekurang-kurangnya 191,000 bangunan, 55,000 rumah dan 1,000 kilang dianggarkan rosak dengan teruk. Selain itu, ramai pelarian telah memasuki Seoul semasa perangd dengan populasi bandar ini dan kawasan metropolitannya dianggarkan sekitar 1.5 juta pada tahun 1955.[16]

Selepas perang, Seoul mula memberi tumpuan terhadap pembinaan semula dan pemodenan. Ketika ekonomi Korea mula berkembang pesat pada tahun 1960-an, proses pembandaran juga dipercepatkan dan pekerja-pekerja mula berpindah ke Seoul serta bandar-bandar besar lain.[16] Pada tahun 1970-an, saiz kawasan pentadbiran Seoul menjadi lebih besar selepas ia mengambil alih beberapa bandar dan kampung daripada daerah sekitar.[17]

Mengikut data banci tahun 2012, populasi Seoul membentuk sekitar 20% daripada jumlah penduduk keseluruhan Korea Selatan.[18] Seoul menjadi pusat ekonomi, politik dan kebudayaan utama negara ini[9] dengan beberapa syarikat Fortune Global 500 termasuk Samsung, SK Holdings, Hyundai, POSCO dan Kumpulan LG beribu pejabat di sini.[19]

Seoul menganjurkan Sukan Asia 1986, Sukan Olimpik Musim Panas 1988 dan Piala Dunia FIFA 2002.

Geografi sunting

Seoul terletak di bahagian barat laut Korea Selatan. Seoul merangkumi tanah seluas 605.25 km².[1] Ia terbahagi kepada bahagian utara dan selatan oleh Sungai Han. Sungai Han dan kawasan sekitarnya memainkan peranan penting dalam sejarah Korea. Tiga Kerajaan Korea bertungkus-lumus merebut penguasaan tanah ini, di mana sungainya dijadikan laluan perdagangan ke China (menerusi Laut Kuning). Namun demikian, sungai tersebut tidak lagi digunakan untuk pelayaran, kerana kualanya terletak di sempadan antara dua Korea yang melarang kemasukan orang awam. Bandar raya ini bersempadan dengan lapan buah gunung, dan juga tanah pamah di dataran Sungai Han dan kawasan barat.

Iklim sunting

Seoul terletak di kawasan sempadan antara iklim subtropika lembap dan iklim kebenuaan lembap (pengelasan iklim Köppen Cwa/Dwa). Musim panas biasanya panas dan lembap, serta mengalami monsun Asia Timur dari bulan Jun hingga Julai. Bulan terpanas iaitu Ogos mencatat purata suhu 22.1 hingga 29.5 °C (72 hingga 85 °F). Musim sejuk biasanya agak sejuk, dengan purata suhu Januari sebanyak −6.1 hingga 1.6 °C (21.0 hingga 34.9 °F) dan lebih kering daripada musim panas, dengan purata 28 hari bersalji setahun. Kadang-kadang, suhu jatuh mendadak sehingga −10.0 °C (14.0 °F) dan pada waktu tertentu serendah −15.0 °C (5.0 °F) semasa pertengahan musim sejuk bulan Januari dan Februari. Suhu di bawah −20.0 °C (−4.0 °F) juga pernah direkodkan.

Data iklim untuk Seoul (normal 1981–2010, melampau 1907–sekarang)
Bulan Jan Feb Mac Apr Mei Jun Jul Ogo Sep Okt Nov Dis Tahun
Rekod tinggi suhu, °C (°F) 14.4
(57.9)
18.7
(65.7)
23.8
(74.8)
29.8
(85.6)
34.4
(93.9)
37.2
(99.0)
38.4
(101.1)
38.2
(100.8)
35.1
(95.2)
30.1
(86.2)
25.9
(78.6)
17.7
(63.9)
38.4
(101.1)
Purata maksimum suhu harian, °C (°F) 1.5
(34.7)
4.7
(40.5)
10.4
(50.7)
17.8
(64.0)
23.0
(73.4)
27.1
(80.8)
28.6
(83.5)
29.6
(85.3)
25.8
(78.4)
19.8
(67.6)
11.6
(52.9)
4.3
(39.7)
17.0
(62.6)
Purata suhu harian, °C (°F) −2.4
(27.7)
0.4
(32.7)
5.7
(42.3)
12.5
(54.5)
17.8
(64.0)
22.2
(72.0)
24.9
(76.8)
25.7
(78.3)
21.2
(70.2)
14.8
(58.6)
7.2
(45.0)
0.4
(32.7)
12.5
(54.5)
Purata minimum suhu harian, °C (°F) −5.9
(21.4)
−3.4
(25.9)
1.6
(34.9)
7.8
(46.0)
13.2
(55.8)
18.2
(64.8)
21.9
(71.4)
22.4
(72.3)
17.2
(63.0)
10.3
(50.5)
3.2
(37.8)
−3.2
(26.2)
8.6
(47.5)
Rekod rendah suhu, °C (°F) −22.5
(−8.5)
−19.6
(−3.3)
−14.1
(6.6)
−4.3
(24.3)
2.4
(36.3)
8.8
(47.8)
12.9
(55.2)
13.5
(56.3)
3.2
(37.8)
−5.1
(22.8)
−11.9
(10.6)
−23.1
(−9.6)
−23.1
(−9.6)
Purata kerpasan, mm (inci) 20.8
(0.82)
25.0
(0.98)
47.2
(1.86)
64.5
(2.54)
105.9
(4.17)
133.2
(5.24)
394.7
(15.54)
364.2
(14.34)
169.3
(6.67)
51.8
(2.04)
52.5
(2.07)
21.5
(0.85)
1,450.5
(57.11)
Purata bilangan hari kerpasan (≥ 0.1 mm) 6.5 5.8 7.4 7.8 9.0 9.9 16.3 14.6 9.1 6.3 8.7 7.4 108.8
Purata bilangan hari salji 8.0 5.2 3.4 0.1 0.0 0.0 0.0 0.0 0.0 0.1 2.1 6.1 24.9
Purata kelembapan relatif (%) 59.8 57.9 57.8 56.2 62.7 68.1 78.3 75.6 69.2 64.0 62.0 60.6 64.4
Purata bulanan jangka masa sinaran matahari 160.3 163.3 189.0 205.0 213.0 182.0 120.0 152.5 176.2 198.8 153.2 152.6 2,066
Peratus mungkin sinaran matahari 52.3 53.6 51.0 51.9 48.4 41.2 26.8 36.2 47.2 57.1 50.2 51.1 46.4
Sumber: Pentadbiran Meteorologi Korea

Daerah pentadbiran sunting

 
Daerah di Seoul

Seoul terbahagi kepada 25 gu (Hangul; Hanja) (daerah).[20] Daerah-daerah mempunyai keluasan berbeza (dari 10 sehingga 47 km2) dan populasi (dari kurang daripada 140,000 hingga 630,000). Daerah Songpa paling ramai penduduknya, manakala daerah Seocho paling luas kawasannya. Kerajaan setiap daerah menguruskan sebilangan besar fungsi yang diuruskan oleh kerajaan bandaraya di kawasan lain. Setiap gu terbahagi kepada "dong" (동; ) atau kawasan kejiranan. Sesetengah gu hanya mempunyai beberapa dong manakala yang lain seperti Daerah Jongno mempunyai banyak kawasan kejiranan. Daerah-daerah Seoul mempunyai 423 kawasan pentadbiran dong (Hangul행정동) secara keseluruhan.[20] Dong juga dibahagikan kepada 13,787 tong (Hangul; Hanja), yang seterusnya dibahagikan kepada 102,796 ban secara keseluruhan.

Demografi sunting

Bandaraya Seoul terkenal dengan kepadatan penduduknya yang hampir dua kali kepadatan Bandar Raya New York dan lapan kali lebih padat daripada Rom. Kawasan metropolitan Seoul adalah yang paling padat di kalangan negara OECD di Asia pada tahun 2012 dan kedua di dunia selepas Paris.[21] Jumlah penduduk Seoul setakat bulan Disember 2013 adalah 10.14 juta orang.[22] Populasi Seoul telah mengalami penurunan sejak awal tahun 1990–an oleh kerana kos sara hidup yang tinggi dan penduduk yang semakin tua.[22]

Setakat bulan Jun 2011, 281,780 warga asing tinggal di Seoul. 186,631 atau (66%) daripada mereka adalah warganegara China berketurunan Korea. Kumpulan terbesar seterusnya adalah warganegara China yang bukan berketurunan Korea; 29,901 daripada mereka tinggal di Seoul. Kumpulan terbesar seterusnya terdiri daripada 9,999 warganegara Amerika Syarikat bukan berketurunan Korea. Ia diikuti dengan warganegara Taiwan seramai 8,717 orang.[23] Dua agama utama yang dipeluk oleh penduduk Seoul ialah agama Buddha dan Kristian. Agama-agama yang lain termasuk Muisme dan Konfusianisme.

Ekonomi sunting

 
Kawasan Komersial Gangnam

Seoul ialah hab perniagaan dan kewangan Korea Selatan. Walaupun hanya menduduki 0.6 peratus kawasan darat Korea Selatan, namun Seoul menjana 23 peratus KDNK negara pada tahun 2012.[24] Pada tahun 2008, Indeks Pusat Perdagangan di Seluruh Dunia menyenaraikan Seoul di tempat ke–9.[25] Pada tahun 2015, Indeks Pusat Kewangan Global menyenaraikan Seoul sebagai bandar raya ke–6 paling kompetitif dari segi kewangan di dunia.[26]

Kewangan sunting

Seoul menempatkan banyak ibu pejabat syarikat antarabangsa termasuk 15 syarikat Fortune Global 500 seperti Samsung, LG and Hyundai.[27] Kebanyakan bank beribu pejabat di sini dan Bursa Korea terletak di Yeouido (Pulau Yeoui) yang kerap kali digelar sebagai "Wall Street Korea" telah berperanan sebagai pusat kewangan bandaraya ini sejak tahun 1980-an.[28]

Komersial sunting

 
Kawasan beli-belah Myeongdong

Pasar terbesar di Korea Selatan, iaitu Pasar Dongdaemun, terletak di Seoul.[29] Myeongdong merupakan sebuah kawasan beli-belah dan hiburan di pusat bandaraya Seoul yang dihuni oleh kedai barangan mewah, butik fesyen dan cawangan jenama antarabangsa.[30] Pasar Namdaemun yang berdekatan, dinamakan sempena Pintu Gerbang Namdaemun, merupakan pasar tertua yang masih beroperasi di Seoul.

Insadong ialah pasar seni kebudayaan di Seoul, di mana dijualnya hasil seni tradisional dan moden Korea, baik lukisan, arca mahupun kaligrafi.[31] Pasar Lambak Hwanghak-dong dan Pasar Antik Janganpyeong juga menawarkan barangan antik. Beberapa kedai pereka tempatan dibuka di Samcheong-dong yang letaknya berbilang galeri seni kecil. Itaewon memberi tumpuan kepada pelancong asing dan askar Amerika yang berpangkalan di bandaraya ini.[32] Daerah Gangnam adalah salah sebuah kawasan termewah di Seoul yang terkenal kerana kawasan beli-belah Apgujeong-dong, Cheongdam-dong dan COEX Mall. Pasar borongnya pula termasuk Pasar Borong Perikanan Noryangjin dan Pasar Garak. Pasar Elektronik Yongsan pula merupakan pasar elektronik terbesar di Asia. Kompleks Digital Gasan juga menawarkan pelbagai barangan elektronik.

Seni bina sunting

 
Sungnyemun

Di pusat bandaraya Seoul terletaknya pejabat kerajaan, ibu pejabat korporat, hotel, pasar lama, dan pusat kota lama Dinasti Joseon. Sungai kecil Cheonggyecheon yang mengalir dari barat ke timur melalui lembah sebelum berakhir di Sungai Han, sekian lama dilitupi oleh konkrit, tetapi baru-baru ini dipulihkan hasil projek pemulihan bandar pada tahun 2005.[33] Jalan raya yang paling penting dalam sejarah di Seoul ialah Jongno (Jalan Genta) di mana terletaknya Bosingak, sebuah astaka yang menyimpan sebuah loceng besar. Genta itu pernah digunakan untuk membunyikan waktu dan oleh itu mengawal empat pintu masuk utama di kota. Kini, loceng ini hanya digunakan untuk menyambut detik tengah malam Tahun Baru (berdenting 33 kali), tetapi pernah sekali ia dibunyikan untuk menyambut bermulanya jawatan Presiden Kim Dae-jung. Di utara pusat bandar terdapat Bukhansan (Gunung Utara Sungai Han), dan di selatannya pula ialah Namsan (Gunung Selatan) yang lebih kecil. Jauh di selatan pula adalah subbandar lama Daerah Yongsan dan Daerah Mapo. Di seberang Sungai Han terbinanya kawasan yang lebih baru dan kaya di Daerah Gangnam, Daerah Seocho dan kawasan kejiranan di sekitarnya.

Seni bina bersejarah sunting

 
Istana Changdeokgung

Seoul mempunyai banyak mercu tanda bersejarah dan kebudayaan. Di Tapak Petempatan Prasejarah Amsa-dong, Daerah Gangdong, tinggalan zaman neolitik diekskavasi lalu ditemui secara tidak sengaja ekoran banjir pada tahun 1925.[34]

Perancangan bandar dan sivil adalah penting sewaktu Seoul pertama kali dijadikan ibu negara pada akhir abad ke–14. Kerajaan Dinasti Joseon membina "Lima Istana Agung" di Seoul: Changdeokgung, Changgyeonggung, Deoksugung, Gyeongbokgung dan Gyeonghuigung, kelima-limanya di Daerah Jongno dan Daerah Jung. Di antaranya, Changdeokgung disertakan dalam Senarai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada tahun 1997, sebagai "contoh seni bina dan reka bentuk taman istana Timur Jauh yang luar biasa". Istana utama, Gyeongbokgung telah menjalani projek pemulihan semula berskala besar.[35] Istana-istana ini dilihat sebagai contoh terbaik seni bina zaman Joseon. Selain lima istana agung tersebut, Unhyeongung terkenal sebagai kediaman diraja Pemangku Raja Daewongun, ayahanda Maharaja Gojong pada akhir zaman Dinasti Joseon.

Seoul dikelilingi oleh tembok-tembok yang dibina untuk mengawal keluar masuk pelawat dari tempat lain, serta melindungi kota daripada serangan. Pungnap Toseong ialah sebuah tembok rata yang diperbuat daripada tanah, dan dibina di tepi Sungai Han, dipercayai pernah menjadi tapak Wiryeseong. Mongchon Toseong pula ialah sebuah lagi tembok tanah yang dibina sekitar zaman Baekje, kini terletak di dalam Taman Olimpik Seoul. Tembok Istana Seoul adalah satu-satunya tembok binaan zaman Joseon yang tinggal di Seoul.

Walaupun banyak tembok dan kubu yang roboh, namun pintu istana dan kubu telah memainkan peranan penting dalam sanubari kota, seperti Sungnyemun (Namdaemun, Pintu Besar Selatan) dan Heunginjimun (Dongdaemun, Pintu Besar Timur). Namdaemun merupakan pintu buatan kayu yang paling lama di kota sehingga hangus akibat dibakar pada tahun 2008 dan telah dibuka semula selepas kerja pembaikpulihan pada tahun 2013.[36] Berdekatan pintu-pintu gerbang ini terletaknya pasar-pasar tradisional, iaitu Pasar Namdaemun dan Pasar Dongdaemun.

Terdapat juga banyak bangunan yang dibina dengan gaya antarabangsa pada akhir abad ke–19 dan awal abad ke–2. Pintu Kemerdekaan dibina pada tahun 1897 untuk mengilhamkan semangat kebebasan daripada pengaruh China. Stesen Seoul dibina pada tahun 1900 sebagai Stesen Gyeongseong.

Seni bina moden sunting

 
Plaza Reka Bentuk Dongdaemun

Terdapat banyak bangunan pejabat dan kediaman yang tinggi di Seoul seperti Pusat Kewangan Gangnam, Menara Istana, Menara Namsan Seoul dan Menara Lotte World. Bangunan tertinggi adalah Menara Lotte World yang mencapai ketinggian 555m. Ia dibuka kepada orang awam pada bulan April 2017.

Pusat Dagangan Dunia Korea yang terletak di Daerah Gangnam, menjadi tempat untuk mengadakan acara-acara eksposisi dan persidangan. Juga di Gangnam letaknya COEX Mall, sebuah kompleks beli-belah dan hiburan yang besar. Di hilir Gangnam adanya Yeouido, sebuah pulau di mana terletaknya Perhimpunan Kebangsaan, studio-studio penyiaran utama, Bangunan Kewangan Korea dan gereja Pentecost terbesar di dunia. Stadium Olimpik, Taman Olimpik, dan Lotte World terletak di Songpa-gu, di selatan Sungai Han, di hulu dari Gangnam. Dua mercu tanda moden yang baru di Seoul termasuk Plaza & Taman Reka Bentuk Dongdaemun dan Dewan Bandaraya Seoul yang baru.

Budaya sunting

Teknologi sunting

Seoul mempunyai infrastruktur yang sangat maju dari segi teknologi.[37] Seoul mempunyai penembusan jalur lebar gentian optik tertinggi di dunia membolehkan ia menerima sambungan internet terpantas di dunia dengan kelajuan sehingga 1 Gb per saat.[38] Seoul menyediakan kemudahan Wi-Fi percuma di kawasan awam. Projek bernilai 47.7 bilion won ($44 juta) ini akan memberikan penduduk dan pelancong kemudahan internet di 10,430 taman awam, jalan dan tempat-tempat awam yang lain menjelang tahun 2015. Walau bagaimanapun, kelajuan di beberapa bangunan pangsapuri telah mencapai 52.5Gbit/s dengan bantuan daripada Nokia.

Muzium sunting

 
Muzium Negara Korea

Seoul mempunyai 105 buah muzium, termasuk empat muzium kebangsaan dan sembilan muzium perbandaran rasmi. Muzium Negara Korea merupakan muzium yang paling mewakili bukan sahaja Seoul, bahkan juga seluruh Korea Selatan. Semenjak ditubuhkan pada tahun 1945, muzium ini telah menghimpunkan sekitar 220,000 artifak.[39] Pada bulan Oktober 2005, muzium ini berpindah ke bangunan baru di Taman Keluarga Yongsan. Muzium Rakyat Kebangsaan Korea terletak di tapak Istana Gyeongbokgung di Daerah Jongno. Ia menggunakan replika barang-barang bersejarah untuk menggambarkan sejarah budaya rakyat Korea.[40] Muzium Istana Kebangsaan Korea juga terletak di tapak Istana Gyeongbokgung. Cawangan Seoul untuk Muzium Seni Moden dan Kontemporari Kebangsaan yang mana muzium utamanya terletak di Gwacheon telah dibuka pada tahun 2013 di Sogyeok-dong.

Kampung Bukchon Hanok dan Kampung Namsangol Hanok merupakan daerah perumahan lama yang terdiri daripada rumah tradisional Korea (hanok), taman-taman dan muzium-muzium yang membolehkan pelawat untuk mengalami kebudayaan tradisional Korea.

Tugu Peringatan Perang, salah sebuah muzium perbandaran di Seoul, menawarkan pengalaman pendidikan dan emosi kepada para pengunjung mengenai segala peperangan yang dilalui oleh Korea, termasuklah Perang Korea.[41] Penjara Seodaemun ialah sebuah bekas penjara yang dibina ketika zaman penjajahan Jepun, dan kini dijadikan muzium sejarah.[42]

Muzium Kesenian Seoul dan Muzium Kesenian Ilmin memelihara wajah bangunan lama yang amat menonjol dalam latar kemodenan bangunan yang tinggi-tinggi belaka. Muzium Kesenian Seoul dikendalikan oleh Majlis Bandaraya Seoul dan terletak dekat dengan Gyeonghuigung, sebuah istana diraja zaman Joseon. Bagi penggemar filem Korea dari seluruh dunia, Arkib Filem Korea mengendalikan Muzium Perfileman Korea dan Cinematheque KOFA di pusat utamanya di Digital Media City (DMC), Sangam-dong. Muzium Tteok & Perkakas Dapur dan Muzium Kimchi pula menjadi wadah sejarah masakan Korea.

Tempat ibadat sunting

Terdapat juga bangunan keagamaan yang memainkan peranan penting dalam masyarakat dan siasah Korea. Mazbah Wongudan pernah dijadikan tapak korban untuk upacara suci raja-raja Korea sejak zaman Tiga Kerajaan. Semenjak Dinasti Joseon memeluk Konfusianisme sebagai ideologi negara pada abad ke-14, maka banyaknya kuil Confucius yang dibina di merata negara. Waris kerabat diraja Joseon masih mengadakan upacara memperingati leluhur mereka di Jongmyo, kuil Confucius diraja tertua yang terpelihara di mana upacara penuh tradisi diamalkan secara berterusan sejak abad ke-14. Munmyo dan Dongmyo dibina pada zaman yang sama juga. Sungguhpun ditindas oleh kerajaan Joseon, namun agama Buddha masih bertahan sampai kini. Jogyesa ialah markas utama Mazhab Jogye agama Buddha di Korea. Kuil-kuil Buddha yang lain di Seoul termasuk Hwagyesa dan Bongeunsa.

Gereja Besar Myeongdong ialah sebuah mercu tanda di Daerah Myeongdong dan juga gereja Katolik pertama yang dibina di Korea, justeru menjadi lambang utama agama Kristian di Korea. Gereja ini juga menjadi tumpuan penentangan politik pada akhir abad ke-20.

Masjid Pusat Seoul yang terletak di Hannam-dong, Daerah Yongsan, merupakan masjid pertama yang dibina di Korea selepas Perang Korea, dan masih satu-satunya masjid di Seoul. Ia menjadi tarikan pelancong untuk rakyat Korea yang berkunjung pada hujung minggu untuk menghadiri dakwah Islam.

Taman awam sunting

 
Taman Olimpik, Seoul

Walaupun kepadatan populasi bandaraya ini sangat tinggi, Seoul mempunyai jumlah taman awam yang sangat banyak. Di Taman Namsan, pelawat boleh menikmati kegiatan kembara jalan kaki, rekreasi dan pemandangan latar langit pusat bandaraya Seoul. Di taman awam ini juga letaknya Menara N Seoul. Taman Olimpik Seoul di Daerah Songpa, dibina khas untuk Sukan Olimpik 1988. Antara taman-taman awam terbesar yang lain di bandaraya ini termasuk Seoul Forest, Dream Forest dan Taman Haneul. Pagoda Wongaksa 10 aras terletak di Taman Tapgol, sebuah taman awam kecil seluas 19,599 m². Kawasan sekitar anak sungai dijadikan tempat istirahat dan rekreasi awam. Anak sungai Tancheon dan kawasan sekitarnya merupakan taman besar yang dilengkapi laluan pejalan kaki dan basikal. Anak sungai Cheonggyecheon yang mengalir sepanjang 6 km melalui pusat bandaraya Seoul, terkenal di kalangan penduduk Seoul dan pelancong.

Terdapat banyak taman awam di sepanjang Sungai Han termasuk Taman Ichon Hangang, Taman Yeouido Hangang, Taman Mangwon Hangang, Taman Nanji Hangang, Taman Banpo Hangang, Taman Ttukseom Hangang dan Taman Jamsil Hangang. Kawasan Ibu Negara Seoul juga ada sebuah kawasan hijau yang bertujuan mengelakkan merebaknya proses pembandaran ke wilayah jiran Gyeonggi. Kawasan-kawasan sedemikian sering dicari-cari oleh sesiapa yang ingin melarikan diri dari kehidupan bandar pada hujung minggu dan musim cuti.

Seoul juga merupakan tempat terletaknya salah sebuah taman hiburan dalam bangunan yang terbesar di dunia, Lotte World. Pusat-pusat rekreasi lain termasuk stadium-stadium Olimpik dan Piala Dunia, dan halaman awam dewan bandaraya.

Sukan sunting

Fail:Seoul.Olympic.Stadium.01 copy.jpg
Stadium Olimpik Seoul.

Seoul ialah pusat utama untuk sukan di negara ini di mana ia mempunyai kemudahan dan kelab sukan profesional terbanyak di Korea Selatan.

Seoul menganjurkan Sukan Asia 1986, Sukan Olimpik dan Paralimpik 1988. Ia juga merupakan salah satu daripada bandaraya penganjur Piala Dunia FIFA 2002. Stadium Piala Dunia Seoul menganjurkan upacara pembukaan dan perlawanan pertama kejohanan tersebut.

Taekwondo ialah sukan kebangsaaan Korea Selatan. Seoul merupakan lokasi Kukkiwon, ibu pejabat dunia taekwondo dan juga Persekutuan Taekwondo Dunia.

Pengangkutan sunting

Sistem pengangkutan Seoul telah wujud sejak zaman Empayar Korea, apabila landasan trem pertama mulai dibina dan sebuah landasan kereta api yang menghubungkan Seoul dan Incheon disiapkan. Aliran trem yang terutama di Seoul ini pernah merentasi Jongno sebelum diganti oleh Aliran 1 sistem bawah tanah pada awal 1970-an. Selain Jongno, jalan raya utama yang lain di Seoul termasuklah Euljiro, Teheranno, Sejongno, Chungmuro, Yulgongno, dan Toegyero. Terdapat sembilan landasan tren bawah tanah yang menjangkau 250 kilometer.

Bas sunting

Sistem bas Seoul dikendalikan oleh Kerajaan Metropolitan Seoul, terdiri daripada empat tatarajah bas utama yang memberi kemudahan kepada hampir seluruh bandaraya. Seoul juga mempunyai banyak terminal bas antarabandar/ekspres yang besar untuk menghubungkan Seoul dengan tempat lain di Korea Selatan, seperti Terminal Bas Ekspres Seoul, Terminal Pusat Bandaraya dan Terminal Seoul Selatan yang terletak di daerah Seocho, Terminal Bas Seoul Timur di Daerah Gwangjin dan Terminal Sangbong di Daerah Jungnang.

Rel bandar sunting

 
Stesen Seoul.

Seoul mempunyai sebuah sistem alihan rel yang menyeluruh iaitu sebanyak 21 laluan transit aliran deras, alihan laju ringan dan komuter yang menghubungkan setiap daerah di bandaraya ini dan juga kawasan-kawasan sekitarnya (Incheon, Wilayah Gyeonggi, barat Wilayah Gangwon dan utara Wilayah Chungcheong Selatan). Dengan lebih 8 juta penumpang sehari, Seoul mempunyai salah sebuah sistem bawah tanah yang paling sibuk dan terbesar di dunia dengan landasan sepanjang 940 km. Sistem Seoul Metropolitan Subway terdiri daripada 12 aliran yang memberikan kemudahan kepada wilayah-wilayah Seoul, Incheon, Gyeonggi dan Chungnam. Selain itu, demi melayan pelbagai kaedah pengangkutan, kerajaan metropolitan Seoul mendapatkan khidmat beberapa ahli matematik untuk menyelaraskan jadual bawah tanah, bas dan trafik kepada satu jadual waktu. Aliran-aliran ini dikendalikan oleh Korail, Seoul Metro, Perbadanan Transit Laju Metropolitan Seoul, NeoTrans Co. Ltd., AREX dan Syarikat Laluan 9 Seoul Metro.

Kereta api sunting

Seoul disambungkan dengan semua bandaraya lain di Korea Selatan melalui landasan kereta api, terutamanya perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi KTX yang mampu menjangkau kelajuan 300 km/j (186 bsj). Stesen-stesen kereta api utama di Seoul ialah:

  • Stesen Seoul, Daerah Yongsan: laluan Gyeongbu (KTX/ITX-Saemaeul/Nuriro/Mugunghwa-ho)
  • Stesen Yongsan, Daerah Yongsan: laluan Honam (KTX/ITX-Saemaeul/Nuriro/Mugunghwa), laluan Jeolla/Janghang (Saemaul/Mugunghwa)
  • Stesen Yeongdeungpo Daerah Yeongdeungpo: laluan Gyeongbu/Honam/Janghang (KTX/ITX-Saemaeul/Saemaul/Nuriro/Mugunghwa)
  • Stesen Cheongnyangni, Daerah Dongdaemun: laluan Gyeongchun/Jungang/Yeongdong/Taebaek (ITX-Cheongchun/ITX-Saemaeul/Mugunghwa)
  • Stesen Suseo (HSR), Daerah Gangnam: Suseo HSR (SRT)

Udara sunting

Seoul dilengkapi dengan dua lapangan terbang utama, Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon dan Lapangan Terbang Antarabangsa Gimpo.

Lapangan Terbang Antarabangsa Gimpo dibuka pada tahun 1939 sebagai lapangan terbang Tentera Darat Imperial Jepun dan dibuka untuk pesawat awam pada tahun 1957. Sejak pembukaan Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Lapangan Terbang Antarabangsa Gimpo mengendalikan penerbangan domestik dan penerbangan antarabangsa jarak dekat ke Tokyo, Osaka, Taipei, Shanghai dan Beijing.

Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon yang dibuka pada bulan Mac 2001 di pulau Yeongjong kini bertanggungjawab untuk penerbangan antarabangsa utama dan beberapa penerbangan ulang-alik domestik. Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon ialah lapangan terbang kelapan paling sibuk di Asia dari segi jumlah penumpang, keempat paling sibuk di dunia dari segi trafik kargo dan kelapan paling sibuk di dunia dari segi penumpang antarabangsa pada tahun 2014. Pada tahun 2016, 57,765,397 penumpang menggunakan lapangan terbang ini.

Incheon dan Gimpo dihubungkan ke Seoul oleh lebuh raya dan sesama diri oleh AREX ke Stesen Seoul. KTX melalui AREX dibuka pada 30 Jun 2014. Perkhidmatan bas antara bandar boleh didapati ke pelbagai destinasi di seluruh negara.

Pendidikan sunting

Universiti sunting

Seoul menempatkan majoriti universiti berprestij di Korea Selatan termasuk Universiti Kebangsaan Seoul, Universiti Korea, Universiti Yonsei, Universiti Hanyang, Universiti Sungkyunkwan, Universiti Sogang, Universiti Pengajian Asing Hankuk, Universiti Kyung Hee, Universiti Chung-Ang, Universiti Wanita Ewha dan Akademi Ketenteraan Korea.

Pendidikan menengah sunting

Pendidikan dari gred 1-12 adalah wajib. Para pelajar bersekolah rendah selama enam tahun, diikuti tiga tahun di sekolah menengah dan tiga tahun di sekolah tinggi. Sekolah menengah dan tinggi biasanya mewajibkan pelajarnya berpakaian seragam. Tiadanya ujian pelepasan dari sekolah tinggi, tetapi pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran ke tahap universiti dikehendaki mengambil ujian SAT yang diadakan setiap November.

Seoul menempatkan pelbagai sekolah tinggi khusus termasuk tiga sekolah tinggi sains (Sekolah Tinggi Sains Seoul, Sekolah Tinggi Sains Hansung, dan Sekolah Tinggi Sains Sejong), enam sekolah tinggi bahasa asing (Sekolah Tinggi Bahasa Asing Daewon, Sekolah Tinggi Bahasa Asing Myungdeok, Sekolah Tinggi Bahasa Asing Ewha, Sekolah Tinggi Bahasa Asing Daeil, Sekolah Tinggi Bahasa Asing Hanyoung dan Sekolah Tinggi Bahasa Asing Seoul). Pejabat Pendidikan Metropolitan Seoul merangkumi 235 sekolah tinggi persediaan kolej, 80 sekolah vokasional, 377 sekolah menengah dan 33 sekolah pendidikan khas dalam bidang kuasanya setakat tahun 2009.

Hubungan antarabangsa sunting

Bandar kembar dan saudara sunting

Rujukan sunting

  1. ^ a b "Seoul Statistics (Land Area)". Seoul Metropolitan Government. Dicapai pada 2010-03-24.
  2. ^ "Lists: Republic of Korea". UNESCO.
  3. ^ "Bukhansan National Park (북한산국립공원)". English.visitkorea.or.kr. Diarkibkan daripada yang asal pada 2013-09-28. Dicapai pada 2013-08-07.
  4. ^ "Incheon Airport tops service quality for 9th year". The Korea Herald. 2014-05-27. Dicapai pada 2017-09-27.
  5. ^ "Lotte World Premium Tower". CTBUH. Dicapai pada 2011-04-10.
  6. ^ "Seoul". Encyclopædia Britannica. 2009. Dicapai pada 2009-09-06.
  7. ^ "yahoo". Uk.holidaysguide.yahoo.com. Diarkibkan daripada yang asal pada 2007-01-07.
  8. ^ "서울특별시표기 首爾로...중국, 곧 정식 사용키로 :: 네이버 뉴스". News.naver.com. 2005-10-23. Dicapai pada 2012-02-10.
  9. ^ a b c d e f g h "Seoul". Encyclopædia Britannica. Dicapai pada 2014-02-07.
  10. ^ "Pungnap-toseong (Earthen Ramparts)". Seoul Metropolitan Government. Dicapai pada 2014-02-07.
  11. ^ "Bugaksan Mountain". Korea Tourism Organization. Dicapai pada 2014-02-07.
  12. ^ "Seoul City Wall". UNESCO. Dicapai pada 2014-02-07.
  13. ^ "Bosingak Belfry". Korea Tourism Organization. Dicapai pada 2014-02-07.
  14. ^ Nam Moon Hyon. "Early History of Electrical Engineering in Korea: Edison and First Electric Lighting in the Kingdom of Corea" (PDF). Promoting the History of EE Jan 23–26, 2000. Institute of Electrical and Electronics Engineers. Dicapai pada 2014-02-07.
  15. ^ Kyung Moon Hwang (2010). A History of Korea. Palgrave Macmillan. m/s. 142. ISBN 9780230364523.
  16. ^ a b Stephen Hamnett, Dean Forbes, penyunting (2012). Planning Asian Cities: Risks and Resilience. Routledge. m/s. 159. ISBN 9781136639272.
  17. ^ "Urban Planning of Seoul". Seoul Metropolitan Government. 2009. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2016-01-25. Dicapai pada 2014-02-07.
  18. ^ "Facts about Korea". Korea.net. Dicapai pada 2014-02-07.
  19. ^ "GLOBAL 500". CNN Money. 2012-07-23. Dicapai pada 2014-02-07.
  20. ^ a b "Administrative Districts". Seoul Metropolitan Government. Diarkibkan daripada yang asal pada 2011-08-10. Dicapai pada 2014-02-08.
  21. ^ "Regional population density: Asia and Oceania, 2012: Inhabitants per square kilometre, TL3 regions". OECD Regions at a Glance 2013. OECD Publishing. 2013. Dicapai pada 2014-02-11.
  22. ^ a b "Seoul's Population Drops Below 10 Million for First Time in 25 Years". Chosun Ilbo. 2014-02-14. Dicapai pada 2014-02-16.
  23. ^ "Korean Chinese account for nearly 70% of foreigners in Seoul". The Korea Times. 2011-09-11. Dicapai pada 2014-02-11.
  24. ^ Industrial Policy and Territorial Development: Lessons from Korea. OECD Development Center. m/s. 58.
  25. ^ "Worldwide Centers of Commerce Index™" (PDF). MasterCard. Dicapai pada 2014-02-13.
  26. ^ "The Global Financial Centres Index 12" (PDF). Z/Yen Group. 2012. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2014-03-23. Dicapai pada 2014-02-11.
  27. ^ "Global : Cities". CNN.
  28. ^ "Neon shines brightly during the bustle on Yeouido stock street". Korea JoongAng Daily. 2010-01-05. Dicapai pada 2014-02-13.
  29. ^ "Dongdaemun Market". Visit Seoul. Dicapai pada 2014-02-11.
  30. ^ "Myeong-dong". Korea Tourism Organization. Dicapai pada 2014-02-11.
  31. ^ "Insa-dong". Korea Tourism Organization. Dicapai pada 2014-02-11.
  32. ^ "Itaewon: Going Gangnam Style?". The Korea Times. 2013-02-14. Dicapai pada 2014-02-12.
  33. ^ "Seoul's Cheonggyecheon Stream symbolizes Korea's past, present and tomorrow". Korea.net. Dicapai pada 2014-02-12.
  34. ^ "Amsa-dong Prehistoric Settlement Site". Organisasi Pelancongan Korea. Diarkibkan daripada yang asal pada 2014-02-22. Dicapai pada 2014-02-12.
  35. ^ "About the Palace". Gyeongbokgung Palace. Dicapai pada 2014-02-12.
  36. ^ "Sungnyemun to open to great fanfare after more than five years of renovation". The Korea Herald. 2013-04-30. Dicapai pada 2013-05-01.
  37. ^ "Tech capitals of the world – Technology". The Age. Melbourne, Australia. 2007-06-18.
  38. ^ McDonald, Mark (2011-02-21). "South Korea Seeks Internet Speed of 1 Gigabit a Second". The New York Times.
  39. ^ "Seoul's best museums". CNN. 2011-10-27. Dicapai pada 2013-06-02.
  40. ^ "National Folk Museum of Korea". Korea Tourism Organization. Dicapai pada 2014-09-18.
  41. ^ "The War Memorial of Korea". Korea Tourism Organization. Dicapai pada 2014-09-18.
  42. ^ "Seodaemun Prison History Museum". Korea Tourism Organization. Dicapai pada 2014-09-18.

Pautan luar sunting