Sultan Mahmud Badaruddin II

Untuk lapangan terbang dengan nama yang sama, sila lihat Lapangan Terbang Sultan Mahmud Badaruddin II.

Sultan Mahmud Badaruddin II (l: Palembang, 1767, w: Ternate, 26 September 1852) ialah Sultan Palembang Darussalam (1803-1819) setelah mewarisi pemerintahan ayahnya, Sultan Muhammad Bahauddin.

Mahmud Badaruddin II
Sultan Palembang Darussalam
Sultan Mahmud Badaruddin II
Pemerintahan18041812, 1813 & 1818-1821
Nama penuhSultan Mahmud Badaruddin II
Nama keputeraanRaden Hasan Pangeran Ratu
PenggantiSultan Ahmad Najamuddin III

Dalam masa pemerintahannya, Sultan Mahmud Badaruddin II beberapa kali memimpin pertempuran melawan Britain dan Belanda, termasuk Perang Menteng. Pada tahun 1821, ketika Belanda secara rasmi menguasai Palembang, Sultan Mahmud ditangkap dan diasingkan ke Ternate. Namanya kini diabadikan sebagai nama lapangan terbang antarabangsa di Palembang, Lapangan Terbang Sultan Mahmud Badaruddin II.

Jenis mata wang 10,000 rupiah yang dikeluarkan pada 20 Oktober 2005 menonjolkan Sultan Mahmud Badaruddin II sebagai gambar hiasannya. Malangnya, penggunaan gambar ini telah menjadi kes pelanggaran hak cipta disebabkan gambar tersebut telah digunakan tanpa izin pelukisnya. Namun kemudian terungkap bahawa gambar ini telah menjadi hak milik jawatankuasa penganjur lumba lukis wajah SMB II.[perlu rujukan]

Konflik dengan Britain sunting

Sejak timah ditemui di Bangka pada pertengahan abad ke-18, Palembang dan wilayahnya telah menjadi incaran Britain dan Belanda, dan mereka berdalih menjalin kontrak perdagangan untuk niat menguasai Palembang. Awal bercokolnya, penjajahan bangsa-bangsa Eropah biasanya ditandai dengan penempatan loji. Di Palembang, loji pertama Belanda ditubuhkan pada tahun 1742 di tepi Sungai Aur (10 Ulu).

Orang Eropah pertama yang menghadapi Sultan Mahmud Badaruddin II (SMB II) ialah Sir Thomas Stamford Raffles. Raffles faham akan tabiat Sultan Palembang ini dan oleh itu, sangat menaruh hormat di samping berasa khuatir sebagaimana yang tertulis dalam laporannya kepada Lord Minto, pegawai atasannya, pada 15 Disember 1810:

Sultan Palembang adalah salah seorang pangeran Melayu yang terkaya dan adalah benar tentang apa yang dikatakan gudangnya penuh dengan dolar dan emas yang telah ditimbun oleh para leluhurnya. Saya menganggap inilah yang merupakan satu pokok yang penting untuk menghalangi Daendels memanfaatkan pengadaan sumber yang besar tersebut.

Bersamaan dengan adanya hubungan antara Britain dan Palembang, hal yang sama juga dilakukan Belanda. Melalui utusannya, Raffles berusaha memujuk Sultan Mahmud untuk mengusir Belanda dari Palembang (surat Raffles bertarikh 3 Mac 1811). Dengan bijaksana, Sultan Mahmud membalas surat Raffles yang intinya mengatakan bahawa Palembang tidak ingin terlibat dalam permusuhan antara Britain dan Belanda, serta tidak berniat bekerjasama dengan negara itu. Namun akhirnya, terjalin kerjasama Britain-Palembang yang menyebabkan pihak Palembang lebih diuntungkan.

Pada 14 September 1811, terjadi peristiwa pemusnahan dan pembunuhan beramai-ramai di loji Sungai Alur. Belanda menuduh Britain yang membangkitkan kemarahan Palembang supaya mengusir Belanda. Sebaliknya, Britain cuci tangan, bahkan langsung menuduh Sultan Mahmud yang mencetuskannya.

Raffles tersepit oleh peristiwa loji Sungai Aur, tetapi masih berharap dapat berunding dengan Sultan Mahmud dan mendapatkan Bangka sebagai ganti rugi untuk Britain. Harapan Raffles ini tentu sahaja ditolak oleh Sultan Mahmud. Akibatnya, Britain menurunkan sebuah angkatan laut tentera di bawah pimpinan Gillespie dengan alasan menghukum Sultan Mahmud. Dalam sebuah pertempuran singkat, Palembang dikuasai dan Sultan Mahmud menyingkir ke Muara Rawas, jauh di hulu Sungai Musi.

Setelah berjaya menduduki Palembang, Britain merasa perlu mengangkat penguasa boneka yang baru. Setelah menandatangani perjanjian dengan syarat-syarat yang menguntungkan Britain pada 14 Mei 1812, Pangeran Adipati (adik kandung Sultan Mahmud) diangkat menjadi sultan dengan gelaran Ahmad Najamuddin II atau Husin Diauddin. Pulau Bangka berhasil dikuasai dan namanya diganti menjadi Duke of York’s Island. Meares dilantik sebagai residen di Mentok yang kemudian dinamakan Minto.

Meares mencita-citakan penangkapan Sultan Mahmud yang telah membuat kubu di Muara Rawas. Pada 28 Ogos 1812, beliau membawa pasukan dan persenjataan yang diangkut dengan perahu untuk menyerbu Muara Rawas. Dalam sebuah pertempuran di Buay Langu, Meares tertembak dan akhirnya maut selepas dibawa kembali ke Mentok. Kedudukannya digantikan oleh Datuk Bandar Robison.

Membelajari daripada pengalaman Meares, Robison ingin berdamai dengan Sultan Mahmud. Melalui serangkaian perundingan, Sultan Mahmud kembali ke Palembang dan naik takhta kembali pada 13 Julai 1813 hingga digulingkan pada Ogos beberapa bulan kemudian. Sementara itu, Robison dipecat dan ditahan oleh Raffles kerana mandat yang diberikannya tidak sesuai.

Konflik dengan Belanda sunting

Konvensyen London pada 13 Ogos 1814 menyebabkan Britain menyerahkan kembali kepada Belanda semua tanah penjajahannya di seberang lautan sejak Januari 1803. Kebijakan ini tidak menyenangkan Raffles kerana beliau harus menyerahkan Palembang kepada Belanda. Penyerahan terjadi pada 19 Ogos 1816 setelah tertunda dua tahun, itu pun selepas Raffles digantikan oleh John Fendall.

Belanda kemudian mengangkat Edelheer Mutinghe sebagai pesuruhjaya di Palembang. Tindakan pertama yang dilakukannya adalah untuk mendamaikan kedua-dua Sultan Mahmud dan Husin Diauddin. Tindakannya berjaya dan Sultan Mahmud naik takhta kembali pada 7 Jun 1818. Sementara itu, Husin Diauddin yang pernah bersekutu dengan Britain dipujuk oleh Mutinghe ke Batavia dan akhirnya dibuang ke Cianjur.

Pada dasarnya, penjajah Belanda tidak percaya akan raja-raja Melayu. Mutinghe menguji Sultan Mahmud dengan membuat ajakan ke pedalaman wilayah Kesultanan Palembang dengan alasan memeriksa dan membuat inventori daerah. Ternyata di daerah Muara Rawas, beliau dan pasukannya diserang oleh pengikut-pengikut Sultan Mahmud yang masih setia. Sekembalinya ke Palembang, beliau menuntut agar Putera Mahkota diserahkan kepadanya sebagai jaminan kesetiaan sultan kepada Belanda. Bertepatan dengan habisnya waktu kata dua Mutinghe untuk penyerahan Putera Mahkota, Sultan Mahmud mulai menyerang Belanda.

Pertempuran melawan Belanda yang dikenali sebagai Perang Menteng (dalam kata-kata Mutinghe) tercetus pada 12 Jun 1819. Perang ini merupakan perang yang paling dahsyat pada waktu itu, dengan amat banyak orang Belanda terkorban. Pertempuran berlanjutan hingga keesokan hari, tetapi pertahanan Palembang tetap sulit ditembus dan akhirnya, Mutinghe kembali ke Batavia tanpa membawa kemenangan.

Belanda tidak menerima kenyataan itu. Gabernor Jeneral Van der Capellen merundingkannya dengan Laksamana JC Wolterbeek dan Mayjen Herman Merkus de Kock dan memutuskan untuk menurunkan sebuah ekspedisi ke Palembang dengan kekuatan dilipatgandakan. Tujuannya ialah untuk menghukum dan menggulingkan Sultan Mahmud, dan kemudian mengangkat sepupunya (Pangeran Jayaningrat) sebagai pengganti.

Sultan Mahmud telah memperhitungkan akan ada serangan balas. Oleh itu, baginda menyiapkan sistem pengubuan yang kukuh. Di beberapa tempat di Sungai Musi sebelum masuk Palembang, Sultan Mahmud membuat kubu-kubu pertahanan yang diketuai oleh kerabatnya. Kubu-kubu ini terbukti sangat berkesan dalam pertahanan Palembang.

Pertempuran sungai dimulai pada 21 Oktober 1819 oleh Belanda dengan tembakan atas perintah Wolterbeek. Serangan ini disambut dengan tembakan-tembakan meriam dari tepi Musi. Pertempuran baru berlangsung beberapa hari ketika Wolterbeek menghentikan serangan dan akhirnya kembali ke Batavia pada 30 Oktober.

Sultan Mahmud masih memperhitungkan dan mempersiapkan diri terhadap satu serangan balasan. Persediaan pertama baginda adalah penyusunan semula pemerintahannya. Pada Disember 1819, putera Mahkota, Pangeran Ratu, diangkat sebagai sultan dengan gelaran Ahmad Najamuddin III ketika Sultan Mahmud turun dari takhta. Tanggungjawab untuk kubu-kubu digilirkan, tetapi masih dikekalkan dalam lingkungan kerabat sultan.

Melalui pengambilan bangsawan-bangsawan dan orang-orang Arab Palembang untuk menjalani pengintipan, serta persediaan angkatan perang yang kuat, Belanda kembali ke Palembang dengan kekuatan yang lebih besar. Pada 16 Mei 1821, armada Belanda sudah memasuki perairan Musi. Kontak senjata pertama terjadi pada 11 Jun 1821 hingga menghebatnya pertempuran pada 20 Jun 1821. Pada pertempuran 20 Jun ini, Belanda sekali lagi mengalami kekalahan. De Kock tidak memutuskan untuk kembali ke Batavia, melainkan mengatur strategi penyerangan.

Pada Jun 1821 bertepatan dengan bulan suci Ramadhan, kedua-dua pihak bersetuju untuk beribadat. De Kock memanfaatkan kesempatan ini dengan memerintahkan pasukannya untuk tidak menyerang pada hari Jumaat dengan harapan Sultan Mahmud juga tidak menyerang pada hari Ahad. Pada pagi-pagi benar hari Ahad, 24 Jun, ketika rakyat Palembang sedang makan sahur, Belanda menyerang Palembang secara tiba-tiba. Serangan secara dadak ini tentu sahaja melumpuhkan Palembang kerana mengira pada hari Ahad, orang Belanda tidak akan menyerang. Setelah perlawanan yang hebat pada 25 Jun 1821, Palembang jatuh ke tangan Belanda. Kemudian pada 1 Julai 1821, berkibarlah bendera rod, wit, en blau di kubu Kuto Besak, maka rasmilah penjajahan Hindia Timur Belanda di Palembang.

Pada 13 Julai 1821 menjelang tengah malam, Sultan Mahmud beserta kerabatnya menaiki kapal Dageraad menuju ke Batavia. Dari Batavia, Sultan Mahmud dan kerabatnya diasingkan ke Ternate hingga akhir hayatnya pada 26 September 1852.

Pautan luar sunting