Syarif Mekah ialah gelaran yang diberikan kepada gabenor yang memerintah Tanah Suci Mekah dan Madinah. Mereka digelar dengan gelaran syarif kerana mereka berasal daripada keturunan Rasulullah SAW atau lebih dikenali sebagai Ahlul Bait daripada cabang keturunan Hassan, putera Khalifah Ali bin Abi Talib. Menurut tradisi umat Islam, gelaran Syarif diberikan kepada Ahlul Bait Rasulullah SAW yang berasal daripada keturunan Hassan Bin Ali Bin Abi Talib manakala gelaran Sayyid atau Habib ialah gelaran bagi Ahlul Bait daripada keturunan Hussein Bin Ali Bin Abi Talib.

Jawatan gabenor atau Amir Mekah sejak pemerintahan Dinasti Qitadah tidak lagi dipilih oleh khalifah tetapi menjadi hak turun temurun golongan Ahlul Bait dari Dinasti Qitadah. Dinasti Qitadah memerintah Mekah dan Madinah daripada tahun 1201-1924. Pemerintah terakhirnya ialah Syarif Husain bin ali

Dinasti Syarif Mekah, Khadim Al Haramain sunting

Makkah Al Mukarramah ialah kota paling suci dalam Islam kerana ia menempatkan Kaabah yang merupakan kiblat bagi umat Islam. Dua lagi kota suci dalam Islam ialah Madinah Al Munawwarah, tempat makam Rasulullah SAW berada dan Baitulmaqdis, kiblat pertama umat Islam. Sebelum dinasti Syarif Mekah diasaskan, pemerintah Mekah lebih dikenali sebagai Wali (Gabenor) Mekah yang dilantik oleh Khalifah umat Islam.

Pada zaman Khulafa al-Rasyidin, pemilihan gabenor Mekah kurang diberi perhatian kerana banyak menumpukan perhatian kepada pembukaan wilayah baru dan pergolakan dalam negara ketika di bawah pemerintahan Khalifah Uthman ibn Affan dan Khalifah Ali. Ketika itu pemilihan wali diambil dari kalangan keluarga Bani Hasyim. Pada zaman Bani Umayyah dan Abbassiyah, wali Mekah dilantik dari kalangan keluarga mereka atau penyokong-penyokong mereka.

Pada akhir abad ke 9M, wujud gerakan yang bergelar Qaramithah yang diasaskan oleh Abu Tahir ibnu Abu Said Al Jaunabi Al Qarmati. Mereka ialah kelompok pelampau agama yang telah berjaya memerintah Oman dan kemudiannya menakluki Mekah pada tahun 929M dan membunuh rombongan jemaah haji. Mereka terus memerintah Mekah sehingga tahun 965M, sehinggalah mereka dikalahkan dan diusir dari Mekah oleh Syarif Jaafar ibnu Muhammad Al Hassani yang mengetuai rombongan jemaah haji dari Mesir. Tindakan mengusir puak Qaramithah ini disokong oleh Kerajaan Fatimiyyah yang merupakan pesaing kepada kerusi kekhalifahan kepada Bani Abbassiyah.

Semenjak itu, kerusi penguasa Mekah sentiasa berada di dalam tangan Ahlul Bait dari cabang Al Hassan, cucu Rasulullah SAW. Pada mulanya, Mekah diperintah oleh Dinasti Al Hassani yang diasaskan oleh Syarif Jaafar ibnu Muhammad Al Hassani yang bertahan selama 100 tahun dan penguasa terakhirnya ialah Muhammad Syukr ibnu Abdul Futuh. Beliau tidak memiliki waris dan menyerahkan kuasa pemerintahan Mekah kepada seorang pembesar Bani Abi Tib, Muhammad ibnu Abi Fatik pada 1061M tetapi kuasanya dirampas oleh seorang pemimpin Yaman bernama Ali ibnu Muhammad Al Suhaili. Untuk sementara waktu, wali Mekah bukan dari kalangan Ahlul Bait tetapi Ali tidak lama memerintah sehingga beliau terpaksa menyerahkan semula takhta Mekah kepada keluarga Ahlul Bait semula pada tahun 1062M.

Pemerintahan Mekah kini dipegang pula oleh Syarif Muhammad ibnu Jaafar yang mendirikan Dinasti Abi Hasyim yang terus memerintah sehingga tahun 1200M. Malangnya, pemerintah-pemerintah Dinasti Abi Hasyim dikatakan lemah sehingga menyebabkan ketidakpuasan hati penduduk Mekah lalu pembesar-pembesar Mekah telah menemui Syarif Qitadah, pemerintah Yanbu untuk meminta beliau bertindak.

Qitadah kemudiannya mengirim puteranya, Handalah untuk mengusir Mikhtar ibnu Isa, pemerintah Abi Hasyim terakhir dalam tahun1201M. Mikhtar meninggal dunia dalam buangan di Yaman 2 tahun kemudian.

Sejak pemerintahan Bani Qitadah, wali-wali Mekah tidak lagi dipilih oleh khalifah tetapi menjadi hak warisan keturunan Qitadah. Dinasti Qitadah dapat memerintah Mekah selama 700 tahun bermula dari tahun 1201M hingga 1924M.

Berakhirnya Dinasti Qitadah sunting

Berakhirnya penguasaan Dinasti Qitadah terhadap kerusi Syarif Mekah apabila dirampas oleh keluarga Muhammad ibnu Saud Al Dar'iyyah yang berasal dari Najd. Kaum Saudiyyah adalah penganut fahaman Wahabi yang diasaskan oleh Muhammad ibnu Abdul Wahab.Mereka ialah kelompok yang ekstrim dalam menjalankan penyebaran fahaman mereka. Mereka menghukum bidaah apa sahaja perkara yang tidak ada pada zaman Rasulullah SAW. Mereka juga menganggap Syarif Mekah ialah seorang ahli bidaah.

Kaum Saudiyyah selama 300 tahun mereka telah beberapa kali mencuba menakluki Mekah daripada tangan Ahlul Bait tetapi tidak berjaya kerana Empayar Turki Uthmaniyah melindungi Mekah daripada serangan Saudiyyah. Mekah ketika itu ialah salah satu wilayah naungan Uthmaniyah.

Selepas kejatuhan Uthmaniyah pada tahun 1924, Syarif Mekah terakhir, Syarif Husain ibnu Ali telah mengisytiharkan dirinya sebagai Khalifah umat Islam. Walau bagaimanapun, pihak barat tidak mahu melihat kembali kewujudan Khilafah Islam kerana khuatir umat Islam akan bersatu semula untuk melawan pengaruh Barat di negara-negara umat Islam yang telah dijajah.

Oleh itu, bersama-sama pemimpin Saud yang memerintah Najd, British telah merampas kerusi Syarif Mekah daripada tangan Ahlul Bait dan diserahkan kepada kaum Saudiyyah. Wilayah Hijaz dan Najd disatukan dan dinamakan Arab Saudi sempena nama pemimpin pertama mereka.

Syarif Husain ibnu Ali, Amir Mekah dan penguasa Hijaz dan Tanah Arab melarikan diri ke Jordan (ketika itu dikenali sebagai Transjordan yang meliputi tanah Palestin). Jordan diperintah oleh putera Syarif Husain, Raja Abdullah atau Abdullah I dari Jordan sebagai raja Jordan pertama. Iraq juga diperintah oleh keluarga Syarif Husain dengan Raja pertamanya, Raja Faisal juga putera Syarif Husain tetapi Dinasti Syarif Husain di Iraq hanya bertahan sehingga 3 generasi sahaja iaitu Raja Faisal I, Raja Ghazi I dan Raja Faisal II. Raja Faisal II terbunuh dalam rampasan kuasa yang dilakukan oleh pihak tentera. Sejak itu, Iraq diperintah sebagai sebuah republik.

Kejatuhan Syarif Husain sebagai Amir Mekah sebenarnya ada kaitan dengan penolakan beliau untuk mengiktiraf negara Israel. Sebagai Khadim Al Haramain atau 'Penjaga Dua Kota Suci', beliau tidak sanggup mengkhianati amanah yang diberikan oleh umat Islam dengan mengiktiraf negara haram Israel yang didirikan di atas tanah kaum muslimin. Beliau terpaksa membayar penolakan tersebut dengan harga yang sangat mahal iaitu kehilangan kedudukan sebagai Amir Mekah dan Raja Hijaz.

Rujukan sunting

  • Suzana Hj Othman & Hj Muzaffar Dato Hj Mohamad (2006). Ahlul-Bait (keluarga) Rasulullah SAW & Kesultanan Melayu. Crescent News (K.L.) Sdn.Bhd. ISBN 9833020011.