Syed Mokhtar Al-Bukhary

Ahli perniagaan Malaysia

Tan Sri Dato' Syed Mokhtar Shah bin Syed Nor Al-Bukhary (lahir 12 Disember 1951)[1] merupakan seorang ahli perniagaan dan antara jutawan Melayu terkaya Malaysia. Beliau ialah Pengerusi Yayasan Albukhary. Pada 2008, beliau diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah sempena sambutan Maal Hijrah 1429H peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).[2] Beliau ialah seorang yang suka berahsia serta pernah dipilih sebagai Tokoh Melayu Terbilang 2009.[3]


Syed Mokhtar Al-Bukhary
Kelahiran
Syed Mokhtar Shah bin Syed Nor Al-Bukhary

(1951-12-12) 12 Disember 1951 (umur 72)
PekerjaanUsahawan, jutawan pengasas Yayasan Albukhary
Nilai bersih AS$ 1.4 bilion (2020)
PasanganPuan Sri Sharifah Zarah Al-Bukhary
Anak-anak5

Menurut majalah Malaysian Business beliau mempunyai harta bernilai RM8.84 bilion pada 2005 seterusnya menjadi orang ketujuh terkaya di Malaysia pada 2005 hingga 2011.[4] Menurut majalah Forbes, beliau merupakan orang ke-32 terkaya di Asia Tenggara, selepas pengerusi Berjaya Corp, Vincent Tan. Syarikatnya mempunyai 67,700 tenaga kerja. Beliau juga 'Wira Dermawan Asia' selain Datuk Mohd Zaid Ibrahim, Leonard Linggi Tun Jugah, dan Hishamudin Ubaidulla.[5]

Kehidupan awal sunting

Beliau dilahirkan di Alor Setar, Kedah pada 12 Disember 1951. Syed Mokhtar tidak sempat mengambil periksaan SPM kerana tidak mempunyai wang untuk membayar yuran peperiksaan. [6]

Keluarga bapanya Syed Nor AlBukhary dan ibunya Sharifah Rokiah Syed Mohamed Rahmat berasal dari Hadhramaut, Yemen. Sebelum mengambil keputusan menetap di Kedah, bapanya mengembara hingga ke Asia Tengah untuk berniaga. Seterusnya, bapanya ke Thailand. Pada pertengahan tahun 40-an, barulah bapa Syed Mokhtar mengambil keputusan menetap di Alor Setar, Kedah. Pada tahun 1946, bapanya mendirikan rumah tangga. Ketika umur 9 tahun, beliau dihantar tinggal bersama bapa saudaranya Syed Omar di Johor Baru hingga ke Tingkatan Dua. Kemudian kembali ke Kedah dan bersekolah di Sekolah Saint Michael's.

Syed Mokhtar mempunyai tujuh orang adik beradik dan beliau ialah anak yang ketiga. Tan Sri Syed Mokhtar hidup dalam keadaan yang serba kekurangan hinggakan rumah kayunya yang terletak di Kampung Hutan Keriang tidak mempunyai katil, meja mahupun kerusi. Ini menyebabkan beliau susah hendak menelaah. Beliau diasuh oleh ibunya sejak kecil oleh ibunya Sharifah Rokiah Syed Mohamed Rahmat untuk menderma kepada orang miskin.

Syed Mokhtar berkahwin dengan Sharifah Zarah binti Tan Sri Syed Kechik Syed Mohamed Al-Bukhary. Sharifah Zaharah adalah hasil perkahwinan kedua Syed Kechik dengan Puan Sri Sofiah Moo Abdullah.[7] Syed Mokhtar mempunyai tujuh orang anak.

Kerjaya perniagaan sunting

Perniagaan runcit sunting

Beliau membantu ibunya menanam sayur-sayuran bagi menampung pendapatan keluarga. Seterusnya menjual nasi lemak di pasar Jalan Telok Wan Jah. Beliau membantu bapanya menternak lembu dan kerbau tetapi berhadapan dengan masalah wabak kaki dan mulut yang merebak ke seluruh selatan Thailand, Kedah dan Perlis. Semua ternak petani mati begitu sahaja. Sejak itu beliau meninggalkan bidang ternakan dan memulakan perniagaan sebagai pengusaha daging lembu dan kerbau pada tahun 1970 ketika berumur 19 tahun, selepas mengambil peperiksaan SPM. Beliau membeli daging lembu yang tidak terjual di pasar dan menjual semula kepada peniaga Bumiputera dan restoran-restoran sekitar Alor Setar.[8]

Pada 1972, beliau mendapat permit bagi empat buah lori Kelas A dan meminjam RM110,000 daripada MARA untuk membeli dua buah lori Mercedes 911LS. Selepas membeli dua buah lori itu, Tan Sri Syed membuka syarikat pengangkutan 'Syarikat Pengangkutan Sentosa' dan melantik kerani Cina sebagai pengurus syarikatnya itu. Lori-lori itu digunakan untuk memulakan perniagaan beras. Syarikat Kenderaan Sentosa kini memiliki lebih daripada 40 buah lori.

Pada 1974, Syed Mokhtar membeli rumah kedai yang pertama di Jalan Telok Wan Jah di bawah perjanjian sewa beli dengan Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA).Pada 1975, beliau menubuhkan Syarikat Shah dan memohon lesen perdagangan beras daripada Lembaga Padi Negara (LPN) yang kini dikenali sebagai Bernas. Beliau berjaya mendapat kontrak bagi membekalkan beras ke pihak FELDA, MARA Senama, Pernas Edar dan juga Sergam Sdn. Bhd., iaitu anak syarikat Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Johor. Semua ini hasil langkah kerajaan melaksanakan Dasar Ekonomi Baru.[9]

Syarikat usahasama sunting

Beliau turut menubuhkan syarikat usaha sama dengan dua orang peniaga Cina, iaitu Ng Ghiak Gee dan Chua Chong Tan. Ghiak Gee adalah pedagang beras manakala Chong Tan pula pengilang beras. Syed Bukhari memegang 52 % saham dan Ghiak Gee dan Chong Tan masing-masing 32 % dan 16 %. Syarikat usahasama ini dinamakan sebagai Bukhary Sdn. Bhd pada 15 Julai 1976 dan beroperasi di pejabatnya di Jalan Telok Wan Jah. Melalui Bukhary Sdn. Bhd.,beliau memulakan perniagaan gula dan kini mencecah RM250 juta.

Pada 1977, beliau menubuhkan Bukhary (KL) Sdn. Bhd dan beroperasi di rumah kedai empat tingkat di Jalan Pahang yang juga dibeli melalui perjanjian sewa beli dengan UDA. Syarikat ini diberikan kontrak bagi membekalkan beras, teh, tepung coklat, tepung susu dan juga minyak sapi kepada kerajaan. Bahagian bawah pejabatnya diubah suai menjadi pusat pembungkusan.

Pada 1979,Syed Mokhtar menubuhkan syarikat usahasama, Susu Mas Sdn. Bhd (51 %) dengan New Zealand Milk Products (49 %). Pelbagai produk diedarkan dengan jenama Fernleaf dan Anchor.Pada 1985, Syed Mokhtar menjual kepentingannya dalam Susu Mas Sdn. Bhd. ekoran kemelesetan ekonomi.

Tahun 1978, beliau menyertai delegasi perdagangan ke Ekspo Perdagangan Canton, China. Beliau berjaya menjalankan sistem barter, iaitu menukarkan koko dari Malaysia dengan teh dari China. Syarikatnya mendapat kontrak membekalkan 120,000 pasang kasut dan 330,000 pasang pakaian seragam tentera. Beliau membeli secara terus daripada pengilang.

Beliau menubuhkan kilang Amtek Holdings bagi mengeluarkan kasut dan menubuhkan kilang Oriental Garments Uniform Division bagi mengeluarkan pakaian. Oriental Garments Uniform Division adalah syarikat usaha sama dengan Oriental Garment yang berpusat di Seberang Perai. Amtek Holdings disenaraikan di Papan Kedua Bursa Saham Kuala Lumpur pada tahun 1998, beliau menggunakan wang penyenaraian yang diperolehnya bagi membeli Spark Manshop dan hak bagi mengeluarkan dan memasarkan pakaian berjenama Crocodile. Kini, anak syarikat Amtek Holdings mengeluarkan kasut tentera (Amtek Shoes) dan pakaian berjenama Lee Coopers dan Lois (Amtek Garments Sdn. Bhd.) bagi pasaran eksport.

Penswastaan pelabuhan sunting

Syed Bukhari menubuhkan Bukhari Shipping dan bertindak sebagai broker kapal di bawah polisi CABOTAGE dari Perbendaharaan Malaysia. Beliau membeli sebuah kapal buatan Jerman yang berusia 28 tahun pada harga USD1 juta dan diberi nama 'Angsa Mas'. Kapal itu mengangkut beras dari Thailand ke Sabah dan Sarawak. Beliau terpaksa menjual kapalnya pada harga USD600,000, kerana rugi sebanyak USD400,000 (USD1 juta – USD600,000).

Seterusnya beliau membeli beberapa bidang tanah di Alor Setar dan memulakan beberapa projek perumahan di bawah syarikat Bukhary Development.

Dasar penswastaan dijalankan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi mengurangkan pergantungan kerajaan. Menteri Besar Johor ketika itu ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin. Syed Mokhtar membeli Johor Port melalui tender pada harga RM330 juta menerusi program penswastaan dan menjayakan Pelabuhan Tanjung Pelepas bagi menyaingi Singapura. Johor Tenggara Oil Palm Sdn. Bhd. pula dibelinya pada harga RM135 juta. Pelabuhan itu semakin maju hingga berjaya meyakinkan dua buah syarikat perkapalan antarabangsa, iaitu Maersk Sealand dari Denmark dan Evergreen Marine dari Taiwan supaya berpindah dari Pelabuhan Singapura ke Pelabuhan Tanjung Pelepas.

Apabila bekalan air diswastakan, beliau menubuhkan syarikat usahasama Equiventure Sdn. Bhd. dengan Kembangan Dinamik (49 %) dan Pilecon Bhd. serta syarikat Perancis, Oneo.

Lebuh raya sunting

Syed Mokhtar membeli syarikat kejuruteraan MMC Corporation pada harga RM3 sesaham daripada Permodalan Nasional Berhad (PNB). MMC dapat kontrak membina Lebuh Raya Pantai Timur iaitu membina lebuh raya sambungan dari Karak ke Kuala Terengganu. Beliau turut memilik saham 22.7 % dalam Malakoff Berhad iaitu IPP iaitu syarikat pembekalan elektrik dan Gas Malaysia. 20 peratus pegangan dalam IJM Corporation Berhad di mana perniagaan utamanya adalah pembuatan

Selain itu, beliau memiliki 18 % pegangan dalam Bernas yang terlibat dalam perdagangan beras dan 32 % pegangan dalam Pernas International Holdings Berhad, iaitu konglomerat yang terlibat dalam banyak sektor perniagaan. Manakala 18.7 % pegangan dalam Fiamma Holdings Berhad, syarikat pemasaran dan pengedaran barangan elektronik.

Syed Mokhtar juga merupakan pemilik kepada Syarikat Gulf International Investment Group Capital (GIIG) yang mempunyai kepentingan dalam Projek Hidro Elektrik Bakun. Di samping itu, beliau mempunyai kepentingan dalam Malaysia Mining Corporation Berhad (MMC), PERNAS, Padiberas Nasional Berhad (Bernas), Malakoff Berhad, Seaport Terminal Johor Sdn. Bhd., Johor Port Berhad, Impian Teladan Sdn. Bhd., Indra Cita Sdn. Bhd. dan banyak lagi.

MMC Corp Bhd telah bergabung dengan Gamuda Berhad dan berjaya mendapatkan projek landasan kereta api berkembar bernilai RM14.5 billion sebelum ia dibekukan oleh kerajaan kerana faktor pemulihan ekonomi. Projek ini bernilai $3.8 bilion dan tender diperolehi sebelum Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan pada 2003.[10]

Syed Mokhtar juga dikatakan telah membeli kepentingan majoriti dalam Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor. MMC juga mempunyai tanah di Senai Industrial Park dan membeli Senai Terminal Services Sdn. Bhd. (SATS).[11] Pada 1 November 2003,SATS mengambilalih Lapangan Terbang Antarabangsa Senai daripada Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) pada harga RM80 juta.[12]

Menerusi syarikat DRB-Hicom Bhd. (DRB)miliknya, membeli syarikat kereta Lotus dari Proton Holding bhd pada harga RM1.29 bilion.[13] DRB-Hicom juga memiliki 32.21 % dalam Pos Malaysia Bhd.

Aktiviti kebajikan sunting

Syed Mokhtar telah mengasaskan Yayasan (Islam) Al-Bukhary pada 1996 yang telah membina dan menguruskan Muzium Kesenian Islam bernilai RM70 juta di Kuala Lumpur selain banyak menjalankan kerja-kerja amal dan kebajikan terutamanya sekitar Negeri Kedah dan Perak. Melalui Yayasan ini, sebanyak RM1 Bilion telah disumbangkan/ didermakan untuk membiayai pelbagai program kebajikan.

Menerusi Program Tuisyen Albukhary pada 2001, sebanyak 500 pusat tuisyen telah ditubuhkan. Setiap tahun lebih 22,000 pelajar menyertai kelas itu dan mereka yang berjaya cemerlang menerima biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi. Setiap guru tuisyen dibayar RM40 sejam untuk mengajar Sains dan Matematik dan Bahasa Inggeris. Bantuan turut disalurkan kepada ke negara Pakistan, Uganda, Afrika Selatan dan Lubnan dengan 300 pemegang Biasiswa Albukhary dari lebih 47 buah negara Islam kini belajar di Malaysia.

Beliau menubuhkan universiti swasta, Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU) di Alor Setar, Kedah pada 2010. Bekas Naib Canselor USM Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak dilantik sebagai Naib Canselor AIU.Kampus AIU terletak di dalam Pusat Ilmu Sharifah Rokiah di Jalan Tun Abdul Razak di Alor Setar. [14]

Pusat Perubatan Albukhary di Kompleks Albukhary di Alor Setar dilengkapi dengan pusat dialisis dan mempunyai 36 unit mesin hemodialisis secara percuma.

Menerusi Yayasan al Bukhary, 20 buah masjid dibina dan membaik pulih Masjid Negara supaya terang dan bercahaya. Antaranya ialah masjid di Rantau (RM7.9 juta - 2500 jemaah); Seremban 2 (RM7.5 juta -3000 jemaah); Kampung Paroi; Kampung Gebok, Mantin; Kampung Melang, Kuala Pilah; Pedas Tengah, Rembau dan Taman Anggerik, Batu Kikir.

Yayasan juga membina Muzium Kesenian Islam (RM70 juta) pada 1998. Yayasan ini juga membiayai golongan fakir terutama imam, bilal dan siak masjid untuk menunaikan Haji setiap tahun.

Kompleks al-Bukhary bernilai RM400 juta di Kedah siap pada 2004. Kompleks itu lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti masjid, pusat perubatan, pusat komuniti, rumah anak yatim, akademi khas bagi warga tua dan pusat pengajian tinggi.

Muzium Kesenian Islam Malaysia di Kuala Lumpur bernilai RM100 juta. Muzium empat tingkat itu adalah muzium pertama di rantau Asia Pasifik yang memaparkan hasil seni Islam.

Pada tahun 2000, Yayasan al-Bukhary mendermakan sejumlah RM7.75 juta kepada Oxford Centre for Islamic Studies, iaitu pusat pengajian Islam yang terkenal di serata dunia. Yayasan al-Bukhary juga kini sedang membantu Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) dalam projek bagi mengasaskan Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST) di Sungai Petani, Kedah.

Yayasan al-Bukhary juga sering mengadakan dialog peradaban bagi menggalakkan toleransi dan persefahaman antara masyarakat berbilang agama dan kepercayaan.

Yayasan al-Bukhary juga menyumbang sebanyak RM satu juta bagi Projek Langkawi, iaitu projek yang dimulakan oleh MCA bagi mengumpul dana bagi menjalankan projek pendidikan di luar bandar dan juga memberi biasiswa kepada para pelajar yang kurang mampu.

Tokoh Maal Hijrah 2008/1429H sunting

Pada 10 Januari 2008, Syed Mokhtar diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah peringkat kebangsaan . Beliau menerima hadiah berupa piala, pingat dan wang tunai RM80,000 yang disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin.Turut hadir di majlis itu ialah Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan isteri Datin Seri Jeanne Abdullah dan Timbalan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.[15]

Penghargaan sunting

Rujukan sunting

  1. ^ Wong Chun Wai (16 Disember 2018). A touch of class - On The Beat The Star Online. Dicapai pada 5 Mei 2019.
  2. ^ Syed Mokhtar Albukhary tokoh Maal Hijrah
  3. ^ Hartawan yang tidak pernah lupa nikmat Allah
  4. ^ Robert Kuok Dahului Senarai 40 Individu Terkaya Malaysia
  5. ^ Zaid Ibrahim, Syed Mokhtar antara wira dermawan Asia
  6. ^ Hartawan yang tidak pernah lupa nikmat Altlah
  7. ^ Rayuan Isteri Kedua Syed Kechik Dan Anak Perempuannya Ditolak
  8. ^ Hartawan yang tidak pernah lupa nikmat Allah
  9. ^ Hartawan yang tidak pernah lupa nikmat Allah
  10. ^ Billionaire Syed Mokhtar’s DRB-Hicom to Buy Control of Lotus-Owner Proton
  11. ^ Tiada masalah kewangan
  12. ^ MMC dapat sokongan besar beli SATS
  13. ^ Billionaire Syed Mokhtar’s DRB-Hicom to Buy Control of Lotus-Owner Proton
  14. ^ Dzulkifli Dilantik Naib Canselor AIU
  15. ^ Syed Mokhtar Albukhary tokoh Maal Hijrah
  16. ^ "Semakan Penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat". Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-09-29. Dicapai pada 2019-05-07.
  17. ^ "Semakan Penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat". Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-09-29. Dicapai pada 2019-05-07.
  18. ^ "Semakan Penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat". Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-09-29. Dicapai pada 2019-05-07.
  19. ^ "Semakan Penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat". Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-09-29. Dicapai pada 2019-05-07.

Pautan luar sunting