Tanaman hiasan

tumbuhan yang ditanam untuk tujuan hiasan

Tanaman hiasan atau pokok hiasan adalah tumbuhan yang ditanam untuk tujuan hiasan pada taman dan projek reka bentuk landskap, sebagai tanaman rumah, untuk bunga potong dan pameran spesimen. Penanaman ini membentuk satu cabang besar hortikultur.[1]

Tanaman hiasan Petunia.

Jenis-jenis sunting

Tanaman palma sunting

Palma ialah pokok dari keluarga Palmae yang biasanya berbatang tunggal yang berhujung dengan sejambak daun berpelepah. Contoh palma adalah pinang raja (Cyrtostachys lakka) dan kelapa gading (Cocos nucifera).

Tanaman kaktus sunting

Kaktus merupakan sejenis pokok atau tumbuhan berbatang hijau, berisi dan berduri yang biasanya dijadikan penghias laman atau tanaman meja. Contoh kaktus ialah kaktus centung (Opuntia cochenillifera) dan kaktus belang (Haworthiopsis attenuata)

Tanaman teduhan sunting

Pokok teduhan atau pokok naungan ialah pokok bersaiz besar dan rendang yang ditanam untuk dibuat teduhan. Pokok jenis ini ditanam di pinggir jalan atau kawasan taman menjadi tempat untuk berehat. Ia boleh dibiakkan melalui biji benih, keratan batang atau cantuman. Contohnya pokok tembusu (Fragrea fragrans), ketapang (Terminalia catappa) dan bongor (Lagerstroemia speciosa).

Tanaman renek sunting

Pokok renek ialah tumbuhan yang mempunyai banyak batang, tumbuh tegak dari pangkal dan mempunyai ketinggian kurang daripada lima meter. Pokok renek boleh dibahagikan kepada 2 jenis:

Renek berdaun sunting

Biasanya tidak mengeluarkan bunga yang menarik tetapi mempunyai daun yang cantik. Contohnya keladi merah (Caladium bicolor) dan adal-adal (Codiaeum sp).

Pokok renek yang ditanam rapat-rapat dalam barisan untuk dijadikan pemisah atau penanda kawasan pula disebut pokok pagaran atau rimbunan. Pertumbuhan daun dan rantingnya rapat dan boleh dibentuk menjadi pagar atau dinding, atau dibiarkan tumbuh mengikut bentuk semula jadi. Contohnya pokok teh pagar (Ehretia microphylla) dan jejari hantu (Alternanthera elliptica).

Renek berbunga sunting

Biasanya mempunyai bunga-bunga yang berwarna menarik atau berbau harum. Pokok ini boleh ditanam secara tunggal atau berkelompok. Contohnya bunga raya (Hibiscus rosa-sinensis) dan bunga kertas (Bougainvillea sp).

Pokok renek berbunga yang hanya mampu hidup dalam jangka masa yang singkat selepas mengeluarkan bunga pula disebut pokok semusim. Contohnya pokok balung ayam (Celosia argentea), keembung (Impatiens balsamina), bunga matahari dan kekwa.

Tanaman memanjat sunting

Pokok memanjat dan epifit boleh dibahagikan kepada dua jenis:

Pertama adalah yang mempunyai sulur, pencangkuk atau akar pendakap yang digunakan untuk memanjat atau membelit sokongan. Contohnya sirih gading (Epipremnum aureum), bunga kembang songsang (Gloriosa superba) dan kembang pagi (Ipomoea sp.). Tanaman jenis anggerik pula digolongkan dalam tumbuhan epifit.

Kedua pula adalah tumbuhan memanjat yang dilatih khusus untuk tujuan tersebut. Tanaman hiasan yang tumbuh tegak akan diberikan sokongan dari struktur lain untuk dibiarkan tumbuh memanjat. Contohnya bunga mawar, bunga kertas (Bougainvillea sp.) dan pokok jambangan ungu (Petrea volubilis).

Tanaman menjalar sunting

Pokok menjalar hanya tumbuh melata di atas tanah. Tumbuhan jenis penutup bumi pula berguna untuk mencegah hakisan. Contohnya rumput jepun (Zoysia japonica) dan kerukut kembang (Portulaca grandiflora).

Kegunaan sunting

 
Laman rumah tradisional di Kalimantan Selatan.

Tanaman hiasan ialah tanaman yang ditanam bagi mewujudkan suasana yang cantik dan indah di sesuatu kawasan seperti di rumah kediaman, sekolah, pejabat dan taman. Tanaman hiasan boleh ditanam di dalam pasu atau terus di atas tanah. Selain dijadikan hiasan mencantikkan kawasan di luar rumah, tumbuhan ini juga sering ditanam di dalam rumah terutama jenis tertentu yang hanya memerlukan sedikit cahaya matahari.

Pokok yang ditanam dalam rumah juga menghasilkan oksigen yang secara tidak langsung akan memberikan kesenangan kepada penghuninya. Pokok hiasan ini akan memberikan kesan psikologi positif kepada pemilik dan orang awam yang melihatnya secara langsung. Cara penyusunan pokok, pemilihan jenis tanaman, warna dan reka bentuk tanaman adalah penting untuk membuatkan laman terlihat kemas.[2]

Ada pula tanaman hiasan yang ditanam bersama dengan tanaman lanskap yang boleh dimakan (edible landscape). Antara jenis tanaman tersebut adalah seperti tanaman sayur-sayuran, buah-buahan, ulam-ulaman, dan tanaman herba serta rempah ratus.

Gambar sunting

 
Serumpun pinang raja.
 
Daun ati-ati bermacam corak.
 
Pokok trellis yang tumbuh memanjat.

Lihat juga sunting

Rujukan sunting

  1. ^ "JENIS-JENIS TANAMAN HIASAN". Ilmu Pertanian. Alamtanimoden. 2013.
  2. ^ "TANAMAN HIASAN - SATU CATITAN". Anim Agro Technology. Dato' Mohd Anim Hosnan. 2017.

Pautan luar sunting