Terier Bedlington

baka anjing dari England

Terier Bedlington[a] ialah satu baka anjing kecil yang dinamai sempena bandar perlombongan Bedlington, Northumberland di England Timur Laut. Pada asalnya dibiakbakakan untuk berburu, terier Bedlington sejak itu telah kerap digunakan dalam perlumbaan anjing, banyak sukan anjing, serta dalam pertunjukan pengakuran dan sebagai anjing teman. Ia berkait rapat dengan terier Dandie Dinmont, whippet, dan anjing pemburu berang-berang.

Terier Bedlington
Nama lainTerier Rothbury
Terier Rodbery
Rothbury's lamb
Negara asalEngland
Trait
Berat 17–23 paun (7.7–10.4 kg)
Tinggi Jantan 16.5 inci (42 cm) diutamakan, 16–17.5 inci (41–44 cm) diterima
Betina 15.5 inci (39 cm) diutamakan, 15–16.5 inci (38–42 cm) diterima
Bulu Keriting, bertekstur 'rapuh' dengan toncet tersendiri, tidak bersalin bulu, bau minimum
Warna Biru, hati, atau kuning pasir, atau mana-mana daripada warna ini dengan titik-titik sawo matang
Saiz perinduk 3–6 ekor[1]
Jangka hayat 13.7 tahun
Anjing (Canis lupus familiaris)

Ia diperihalkan sebagai anjing sangat serba guna namun masih bercanggah. Ia mempunyai kemahiran renang berkuasa, dapat dibandingkan dengan yang pada anjing air seperti anjing Newfoundland, dan ketara kerana sangat pantas dan mempunyai daya ketahanan tinggi. Terier Bedlington terkenal kerana keserupaan penampilannya dengan anak biri-biri. Anjing ini mempunyai pewarnaan biru, hati, atau pasir, ketiga-tiganya mungkin mempunyai titik-titik sawo matang. Bulunya membentuk toncet di kepala anjing ini. Ia tidak bersalin bulu dan mempunyai bau minimum tetapi memerlukan penjagaan bulu mingguan untuk menanggalkan bulu mati.[2][3]

Pada asalnya dikenali sebagai terier Rothbury atau terier Rodbury,[b] nama "terier Bedlington" tidak digunakan untuk baka ini sehingga tahun 1825, tetapi sesetengah anjing mempunyai pedigri yang dapat dijejak kembali sejauh tahun 1782. Pertunjukan anjing pertama dengan kelas untuk terier Bedlington diadakan pada tahun 1870 di Bedlington. Terier Bedlington ditunjukkan pada pertunjukan-pertunjukan awal kerap dicelup untuk memperbaik penampilan bulunya. Pada tahun 1948, seekor terier Bedlington yang dikenali sebagai Rock Ridge Night Rocket memenangi best in show dalam Pertunjukan Anjing Westminster Kennel Club. Baka ini mempunyai angka tinggi bagi toksikosis tembaga.

Perihal sunting

Penampilan sunting

 
Anak terier Bedlington berwarna gelap, tetapi seiring dengan usia, bulunya mencerah.
 
Terier Bedlington

Terier Bedlington telah diperihalkan menyerupai anak biri-biri.[4][5] Ia juga telah dibandingkan dengan versi katik bagi anjing pemburu rusa Scotland.[6] George Shields menyatakan bahawa anjing yang dibiakbakakan dengan amat baik mempunyai semangat kuda lumba belima.[6]

Anjing mempunyai pewarnaan biru, hati, atau pasir, ketiga-tiganya mungkin mempunyai titik-titik sawo matang. Terier Bedlington membawa yang dikenali sebagai gen pengelabuan, iaitu trait dominan yang dibawa pada lokus G.[7] Gen ini menyebabkan anak anjing yang lahir dengan bulu hitam atau perang gelap mencerah ke arah kelabu atau hati seiring dengan usia.[7] Bulu terier Bedlington mewujudkan rupa bentuk pada bahagian atas kepala anjing yang dikenali sebagai toncet. Walaupun kebanyakan piawaian baka moden mensyaratkan agar toncet anjing ini berwarna lebih cerah daripada tubuhnya, semasa baka ini mula-mula sedang terbentuk, terdapat sekurang-kurangnya seorang pembiak baka terkemuka, Encik Pickett, yang percaya bahawa toncet patut berwarna lebih gelap dan bukan lebih cerah.[6]

Lapis bulu anjing ini telah diperihalkan sebagai lapis bulu berjumbai, keras, dan kusut dari segi gaya[8] dan juga bertekstur mirip lin, yang memberi baka ini nama gelaran "terier berbulu lin".[9] Lapis bulunya terdiri daripada gabungan bulu keras dan bulu lembut.[1] Pengekalan "gaya potongan bulu pertunjukan" adalah sangat sukar, walaupun untuk profesional, dan pendandanan dapat menjadi agak mahal.[1][5] Anjing yang memiliki yang dirujuk sebagai gaya potongan bulu pertunjukan, atau dirapikan untuk gelanggang pertunjukan, tidak boleh mempunyai bulu yang menonjol lebih daripada 1 inci (2.5 sentimeter) dari tubuhnya dan lapis bulu mesti mempunyai tekstur "halus".[4][10] Jika pendandanan tidak dilakukan dengan kerap, keadaan lapis bulu secepatnya merosot.[10] Atas sebab itu, kebanyakan terier Bedlington yang dibela semata-mata sebagai anjing peliharaan mengekalkan gaya "dandanan anjing peliharaan" yang memerlukan kurang penjagaan. Terier Bedlington —seperti pudel— telah dirujuk sebagai baka tidak bersalin bulu dan hipoalergenik.[2][3] Ia mempunyai bau anjing minimum selagi lapis bulu dan telinganya sihat dan lapis bulunya didandani dengan kerap untuk menanggalkan bulu mati. Terier Bedlington menyukai tukang dandan dan bekerjasama untuk waktu pemotongan bulu.[2]

Kepala anjing ini mesti berbentuk bulat tanpa stop.[4] Matanya berbentuk badam dan kecil dan bibirnya rapat dan kekurangan bibir atas ketara.[4] Belakang mesti melengkung dan tubuhnya patut lebih panjang sedikit berbanding dengan ketinggian.[4] Walaupun 16.5 inci (42 cm) ialah ketinggian keutamaan untuk anjing jantan, julat 16–17.5 inci (41–44 cm) diizinkan; untuk betina, ketinggian keutamaan ialah 15.5 inci (39 cm) dan julat boleh terima ialah 15–16.5 inci (38–42 cm).[4] Kedua-dua jantina mesti berukuran seberat 17–23 paun (7.7–10.4 kg).[4] Ia mempunyai gaya jalan ringan dan anjal.[1]

Perangai sunting

 
Terier Bedlington terkenal kerana kepantasan dan daya ketahanan, iaitu trait yang menjadikannya calon untuk ketangkasan anjing.

Terier Bedlington adalah tajam dan galak. Salakannya telah digelar mirip hound[9] dan telah dibandingkan dengan bunyi tembakan mesingan.[5] Sebagai anjing pantas dengan daya ketahanan tinggi,[1] terier Bedlington adalah sama cepat di dalam air seperti di darat dan kelajuan renangnya menyaingi kelajuan renang anjing Newfoundland.[9] Terier Bedlington "mempunyai rentak cukup untuk bersaing dengan kelajuan biasa kuda".[6] Oleh sebab kehadiran whippet dalam zuriatnya, ia mempunyai kecenderungan untuk meluru.[1] Keserbagunaannya telah dipuji dengan sesetengah anjing yang bersedia untuk "[menjadi] anjing rumah, gundog, anjing tikus, anjing bejar, atau, jika perlu, meluru ke arah rubah..."[11]

Ia juga terkenal kerana kecerdasan dan keberaniannya dalam menghadapi haiwan perosak.[9] Terier Bedlington agak gemar berlaga dan cenderung terhadap kecemburuan apabila berada di sekeliling anjing lain.[9] Seorang lelaki menyatakan bahawa "anjing ini hampir cergas untuk membunuh mana-mana anjing lain seberatnya"[9] dan membandingkannya dengan anjing laga yang digunakan dalam laga anjing.[9] Ia juga telah digunakan dalam laga anjing.[5]

 
Terier Bedlington
 
Terier Bedlington dengan gaya potongan bulu anjing peliharaan

Walau bagaimanapun, kedua-dua AKC dan ASPCA memanggil baka ini "sederhana" dan "lemah lembut" dan mengesyorkannya sebagai anjing yang baik dengan kanak-kanak.[4][12] PetFinder berkata bahawa baka ini berperangai lemah lembut, mesra, demonstratif, setia, dan anjing rumah pendiam.[13] Walaupun baka ini mungkin mengejar haiwan kecil di luar, ia menerima haiwan kecil di ruangan dalaman.[13] Baka ini, yang suka bermain dan ceria, dapat menjadi mudah teruja dan bersemangat, dan cenderung untuk menjadi keras kepala.[14] New Zealand Kennel Club memberikan amaran agar tidak membelanya dengan anjing yang mempunyai keperibadian dominan, "kerana sebaik dicabar, ia merupakan petarung menakutkan, walaupun berpenampilan lemah lembut",[14] tetapi sebaliknya baka ini bagus dengan anjing lain.[14]

Sesetengah pembiak baka, terutamanya George Newcombe, telah berhujah bahawa keupayaan kerja dan keberanian terier Bedlington telah merosot sejak ia mula dibiakbakakan untuk pertunjukan.[15] Pudel mungkin telah diperkenalkan ke dalam baka ini untuk menjadikan lapis bulunya lebih mudah diurus dan dijaga.[15] George Newcombe daripada Working Bedlington Terrier Club berkata bahawa "[terier Bedlington] tulen tidak lagi dapat dianggap sebagai baka pekerja serius" dan selanjutnya menyilangkan anjing-anjing beliau dengan terier Lakeland dalam usaha untuk mengembalikan kualiti pekerja terier Bedlington; nama Lakebed dan Bedland telah dicadangkan untuk silangan ini.[15]

Sejarah sunting

 
Imej seekor terier Bedlington, sekitar 1889

Kerana dibiakbakakan di kampung Bedlington di Northumberland, terier Bedlington telah diperihalkan sebagai "pendamping kegemaran pelombong utara".[9][8] Ia pada asalnya dikenali sebagai terier Rodbury,[1] terier Rothbury,[1][4] atau "Rothbury's lamb",[4] kerana Lord Rothbury telah menaruh rasa minat terhadap anjing ini.[4] Sebelum ini, ia dikenali sebagai "anjing gipsi", sempena orang Romani—yang dipanggil 'gipsi' pada zaman itu—dan pemburu haram menggunakannya untuk berburu.[4] Sebutan pertama terier Bedlington, atau seperti yang dikenali ketika itu, terier Rothbury atau Rodbury,[8] adalah pada tahun 1825,[9] kemungkinan besar dalam The Life of James Allen,[8] tetapi sesetengah pedigri anjing telah dijejak kembali sejauh tahun 1782.[9] Bapa kepada James, William, sangat dicari-cari sebagai pemburu berang-berang dan beliau membela terier Bedlington untuk membantunya untuk berburu.[8] Ia juga dihargai oleh pemiliknya sebagai anjing coursing arnab dan anjing lumba,[9] sehingga whippet menjadi lebih popular sebagai anjing lumba dan courser.[11]

Nama terier Bedlington pertama kali diberikan kepada seekor anjing bernama Young Piper, yang dimiliki oleh seorang lelaki bernama Joseph Ainsley.[9][8] Piper milik Ainsley telah dipanggil "yang terbaik antara kaumnya"[9] dan "mempunyai reputasi untuk keberanian dan kegalakan besar".[9] Piper mula bekerja dengan bejar pada usia lapan bulan dan terus memburu haiwan lain yang pada umumnya dianggap sebagai haiwan perosak sehingga ia buta.[9] Piper juga terkenal kerana menyelamatkan seorang kanak-kanak daripada seekor babi dengan menahan haiwan itu sehingga bantuan tiba.[9] Piper mati pada usia lima belas tahun.[9]

Sifat galak terier Bedlington juga kerap menjadi keburukannya. Banyak anjing dibunuh atau dimatikan selepas memburu bejar. Anjing pemburu bagus tahu untuk menjaga jarak dari bejar sehingga pemburu tiba. Terier lebih muda atau tidak berpengalaman menyerang bejar itu, biasanya dengan akibat mengerikan. Amputasi anggota tubuh atau rahang bawah yang dicabut oleh bejar lebih berkuasa adalah lazim.[16]

Pertunjukan pertama yang mempunyai kelas untuk terier Bedlington diadakan pada tahun 1870 di Bedlington.[9] Pada tahun berikutnya, terdapat kelas terier Bedlington dalam sebuah pertunjukan yang diadakan di Crystal Palace. Di sana, seekor anjing merah bernama Miner merangkul hadiah pertama.[9] Miner juga memenangi pertunjukan yang diadakan di Birmingham.[9] Bedlington Terrier Club diasaskan pada tahun 1875.[9][11] Banyak anjing dalam pertunjukan awal melalui pemotongan bulu dan diwarnai untuk membawanya lebih dekat dengan piawaian baka dan meningkatkan peluang untuk menang.[9]

 
Sebuah lukisan seekor terier Bedlington (kiri) dan seekor terier Dandie Dinmont, sekitar 1881

Tidak ada pengetahuan sama ada para hakim pada masa itu menyedari amalan ini atau jika mereka peduli.[9] Amalan pemangkasan akhirnya diterima oleh The Kennel Club atas dakwaan bahawa pemangkasan dilakukan untuk "merapikan anjing untuk menunjukkan rupa bentuk dan kontur umumnya".[17]

Terier Bedlington berkait rapat dengan terier Dandie Dinmont.[9][8] Malah Earl Antrim[nyatakan menurut siapa?] pernah mempamerkan dua ekor terier daripada perinduk sama dan salah seekor memenangi pertunjukan sebagai terier Dandie Dinmont, manakala yang lagi seekor memenangi pertunjukan sebagai terier Bedlington.[9] Terier Bedlington juga berkaitan dengan terier biru Kerry dan terier gandum berbulu lembut.[4] Rupa bentuk belakangnya mencadangkan bahawa ia mungkin berkaitan dengan whippet[4] dan ia mungkin juga berkaitan dengan anjing pemburu berang-berang.[3] Terier Bedlington telah disilangkan dengan whippet untuk menghasilkan lurcher dengan "tambahan keberanian, semangat, [dan] baraan".[15]

Pada tahun 1948, Ch. Rock Ridge Night Rocket mendapat gelaran best in show dalam Pertunjukan Anjing Westminster Kennel Club dan kemudian ditampilkan dalam majalah LIFE.[3] Salah seekor keturunannya, Ch. Femars' Cable Car, ditampilkan pada muka hadapan Sports Illustrated dalam edisi 8 Februari 1960.[18]

 
Terier Bedlington

Kesihatan sunting

Kelanjutan usia sunting

Sebuah kajian United Kingdom tahun 2024 mendapati jangka hayat sebanyak 13.7 tahun untuk baka ini berbanding dengan purata 12.7 tahun untuk baka tulen dan 12 tahun untuk baka silang.[19]

Punca utama bagi kematian dalam kalangan terier Bedlington dalam tinjauan United Kingdom tahun 2004 merupakan usia lanjut (23%), masalah urologi (15%), dan masalah hati (12.5%).[20] Punca hepatik utama bagi kematian ialah toksikosis tembaga.[20] Anjing yang mati akibat penyakit hati biasanya mati pada usia lebih muda berbanding dengan anjing yang mati akibat kebanyakan sebab lain.[20]

Pemilik terier Bedlington di United Kingdom melaporkan bahawa isu kesihatan paling umum sesama anjing hidup merupakan isu pembiakan, desir jantung, dan masalah mata seperti epifora, displasia retina, dan katarak.[12] Terier Bedlington kelihatannya lebih terdedah kepada penyakit mata ini berbanding dengan baka lain.[1] Ia juga mempunyai insiden lebih tinggi bagi masalah ginjal.[12] Toksikosis tembaga berlaku dalam kalangan kira-kira 5% anjing hidup. Pembiakbakaan dalam ialah kebimbangan, kerana sesetengah anjing "yang [telah] dibiakbakakan ke dalam dan hingga takat merosakkan."[9][11] Pembiak baka bereputasi baik menjalankan ujian DNA ke atas semua perinduk dan tidak mengizinkan agar anak anjing yang membawa gen toksikosis tembaga dibiakbakakan, dalam amalan yang telah mengurangkan dengan ketara kejadian penyakit ini pada baka ini. Melainkan masalah ini, terier Bedlington pada umumnya ialah baka sangat sihat.[6]

Toksikosis tembaga sunting

 
Dua ekor terier Bedlington, kelabu dan berwarna hati, memudar ke arah putih pada tahap ini

Toksikosis tembaga, yang juga dikenali sebagai penyakit simpanan tembaga dan sindrom beban lebih tembaga, ialah penyakit resesif autosom yang bercirikan penumpukan tembaga di dalam hati.[21] Ini berkait rapat dengan penyakit Wilson pada manusia.[21] Terier Bedlington lebih terdedah kepada toksikosis tembaga berbanding dengan kebanyakan baka anjing lain.[21] Terier putih Tanah Tinggi Barat, terier Skye, dan pincer Dobermann juga terdedah kepada penyakit simpanan tembaga.[21] Terier Bedlington ialah satu-satunya baka anjing yang padanya hemolisis telah dilaporkan, tetapi belum ada laporan tentang penglibatan neurologi pada mana-mana baka anjing.[21]

Kajian telah menunjukkan bahawa pada terier Bedlington, penyakit ini disebabkan oleh metalotionein cacat[22] yang menyebabkan lisosom sel menjadi tepu dengan tembaga.[21] Ini menyebabkan sel menyimpan tembaga di dalam nukleus.[21] Terdapat tiga keragaman bagi penyakit ini: bentuk tanpa gejala berlaku apabila tembaga menumpuk tetapi tiada gejala klinikal bagi gangguan tersebut; bentuk fulminat, yang kebanyakannya terlihat pada anjing muda, menyebabkan kematian dalam dua hingga tiga hari dan dianggap disebabkan oleh tekanan; dan bentuk kronik, yang bercirikan tempoh masa panjang untuk penyakit hati perlahan-lahan menyebabkan kematian anjing berkenaan.[21] Terier Bedlington juga mempunyai kecenderungan untuk menumpukkan besi di dalam hati, tetapi tidak hampir setakat penumpukan tembaga.[22]

Catatan sunting

  1. ^ Jawi: تيريئر بيدليڠتن; bahasa Inggeris: Bedlington terrier
  2. ^ Jawi: تيريئر روتبري; تيريئر رودبري; bahasa Inggeris: Rodbury terrier; Rothbury terrier

Rujukan sunting

  1. ^ a b c d e f g h i Kern, Kerry V.; Vriends, Matthew M. (1988). Descriptions of Terrier Breeds: Bedlington Terrier. The New Terrier Handbook: Everything about Purchase, Care, Nutrition, Breeding, Behavior, and Training (dalam bahasa Inggeris). Barron's Educational Series. m/s. 77–79. ISBN 9780812039511. Dicapai pada 5 Mac 2024.
  2. ^ a b c Lee, Muriel P. (2001). Bedlington terrier (dalam bahasa Inggeris). Dorking, United Kingdom: Interpet. m/s. 26ff. ISBN 1-903098-85-8.
  3. ^ a b c d Best U.S. Dog: A blue-coated Bedlington terrier becomes king of canine bluebloods (dalam bahasa Inggeris). LIFE. 23 Februari 1948. m/s. 107. Dicapai pada 5 Mac 2024.
  4. ^ a b c d e f g h i j k l m n "Bedlington Terrier". Meet The Breeds (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. Dicapai pada 5 Mac 2024.
  5. ^ a b c d Stall, Sam (28 April 2005). Bedlington Terrier. The Good Bad, and the Furry: Choosing the Dog That's Right for You (dalam bahasa Inggeris). Quirk Books. m/s. 53. ISBN 9781594740213. Dicapai pada 5 Mac 2024.
  6. ^ a b c d e Shields, George O. (1891). "The Bedlington Terrier". The American Book of the Dog: The Origin, Development, Special Characteristics, Utility, Breeding, Training, Points of Judging, Diseases, and Kennel Management of All Breeds of Dogs (dalam bahasa Inggeris). Rand McNally. m/s. 395–411. Dicapai pada 5 Mac 2024.
  7. ^ a b "The Greying Gene". Dog Coat Color Genetics (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 5 Mac 2024.
  8. ^ a b c d e f g "The Bedlington Terrier". The Cultivator & Country Gentleman (dalam bahasa Inggeris). Luther Tucker & Son. 1889. Dicapai pada 5 Mac 2024.
  9. ^ a b c d e f g h i j k l m n o p q r s t u v w x y z Lee, Rawdon Briggs (2005) [1894]. A History and Description of the Modern Dogs of Great Britain and Ireland (The Terriers) (dalam bahasa Inggeris). Elibron.com (Originally Horace Cox). m/s. 173–194. ISBN 9781402176494. Dicapai pada 5 Mac 2024.
  10. ^ a b Barton, Frank Townend (1908). Terriers, their points and management (dalam bahasa Inggeris). M. Kennerley. m/s. 115–118. Dicapai pada 5 Mac 2024.
  11. ^ a b c d Compton, Herbert (1904). Bedlington Terrier. The Twentieth Century Dog (dalam bahasa Inggeris). G. Richards. m/s. 309–319. Dicapai pada 5 Mac 2024. Bedlington Terrier.
  12. ^ a b c Gerstenfeld, Sheldon (1 September 1999). Bedlington Terrier. ASPCA Complete Guide to Dogs (dalam bahasa Inggeris). Chronicle Books. m/s. 274. ISBN 9780811819046. Dicapai pada 5 Mac 2024.
  13. ^ a b "Adopt a Bedlington Terrier" (dalam bahasa Inggeris). Petfinder. Dicapai pada 5 Mac 2024.
  14. ^ a b c "Bedlington Terrier". Breed Standards (dalam bahasa Inggeris). New Zealand Kennel Club. Dicapai pada 5 Mac 2024.
  15. ^ a b c d Plummer, David Brian (1 April 2001). In Pursuit of Coney (dalam bahasa Inggeris). Coch Y Bonddu Books. m/s. 92–93. ISBN 9780953364886. Dicapai pada 5 Mac 2024.
  16. ^ King, H. (2013). Working Terriers (dalam bahasa Inggeris). Read Books Ltd. ISBN 978-1-4465-4502-7. OCLC 936198832.
  17. ^ Jaquet, Edward William (1905). The Kennel Club: A History and Record of Its Work (dalam bahasa Inggeris). Kennel Gazette. m/s. 130. Dicapai pada 5 Mac 2024.
  18. ^ "The Westminster: Road To Ruin". Sports Illustrated (dalam bahasa Inggeris). 8 Februari 1960.
  19. ^ McMillan, Kirsten M.; Bielby, Jon; Williams, Carys L.; Upjohn, Melissa M.; Casey, Rachel A.; Christley, Robert M. (1 Februari 2024). "Longevity of companion dog breeds: those at risk from early death". Scientific Reports (dalam bahasa Inggeris). Springer Science and Business Media LLC. 14 (1). doi:10.1038/s41598-023-50458-w. ISSN 2045-2322.
  20. ^ a b c Adams, V. J.; Evans, K. M.; Sampson, J.; Wood, J. L. N. (1 Oktober 2010). "Methods and mortality results of a health survey of purebred dogs in the UK". Journal of Small Animal Practice (dalam bahasa Inggeris). 51 (10): 512–524. doi:10.1111/j.1748-5827.2010.00974.x.
  21. ^ a b c d e f g h Leone, Arturo; Mercer, Julian F. B. (1999). Copper Overload Syndrome (Wilson's Disease) in Other Animals. Copper Transport and Its Disorders: Molecular and Cellular Aspects (dalam bahasa Inggeris). Springer. m/s. 141. ISBN 9780306460456. Dicapai pada 5 Mac 2024.
  22. ^ a b Ingram, Peter; Shelburne, John D.; Roggli, Victor L.; LeFurgey, Ann (29 Oktober 1999). Microprobe Analysis in Hepatic Metal Overload Disease States. Biomedical Applications of Microprobe Analysis (dalam bahasa Inggeris). Academic Press. m/s. 357. ISBN 9780080524566. Dicapai pada 5 Mac 2024.

Pautan luar sunting