Terier Yorkshire

baka anjing dari England

Terier Yorkshire,[a] juga dikenali sebagai yorkie, ialah satu baka anjing mainan British daripada jenis terier. Ia merupakan antara terier terkecil dan sememangnya antara semua baka anjing dengan berat yang tidak lebih daripada 3.2 kg (7 lb).[1] Ia berasal dari abad kesembilan belas di kaunti Yorkshire di England yang sempenanya ia dinamai.[2] Lapis bulunya sawo matang di kepala dan kelabu keluli gelap pada tubuh; tiada warna lain yang diterima sama ada oleh The Kennel Club atau Persekutuan Kinologi Antarabangsa.[1][3]

Terier Yorkshire
Negara asalEngland
Trait
Berat tidak melebihi 3.2 kg (7 lb)
Anjing (Canis lupus familiaris)

Ia merupakan anjing suka bermain dan bertenaga yang biasanya dibela sebagai anjing teman. Ia telah menyumbang kepada perkembangan baka lain seperti terier sutera, dan juga kepada baka silang seperti yorkipoo.

Sejarah sunting

 
Seekor terier Yorkshire dari 1915
 
Dua ekor terier Yorkshire—"Huddersfield Ben" milik Pn. Foster dan "Katie" milik Lady Giffard (sekitar 1870)
 
Sebuah lukisan dari abad ke-19 yang menggambarkan terier mirip Yorkshire oleh Ernest Gustave Girardot

Terier Yorkshire berasal dari Yorkshire. Pada pertengahan abad kesembilan belas, buruh dari Scotland datang ke Yorkshire untuk mencari kerja dan membawa bersama dengan mereka beberapa keragaman anjing terier. Pembiakbakaan terier Yorkshire "terutamanya dicapai oleh orang ramai – kebanyakannya pekerja di kilang kapas dan wul – di kaunti Yorkshire dan di kaunti Lancashire."[4] Pada tahun 1800-an, para pelombong ingin mengembangkan terier pemburu tikus, maka membiakbakakan terier hitam dan sawo matang dengan terier Paisley dan terier Clydesdale.[5]

Butiran adalah jarang. Pn. A. Foster dipetik berkata pada tahun 1886,[6]

Jika kita menganggap bahawa pekerja kilang yang mewujudkan baka ini hampir kesemuanya merupakan lelaki jahil, yang tidak terbiasa menyampaikan maklumat untuk kegunaan awam, kita mungkin melihat sesetengah sebab fakta yang boleh dipercayai tidak mudah dicapai.

Baka ini berasal daripada dua ekor anjing berlainan, seekor jantan bernama Old Crab, seekor betina bernama Kitty, dan seekor lagi betina yang namanya tidak diketahui.[7] Terier Paisley, iaitu versi lebih kecil bagi terier Skye yang dibiakbakakan untuk lapis bulu sutera panjang cantik, juga terbentuk sebagai sebahagian anjing awal. Sesetengah pihak berkuasa percaya bahawa anjing Malta juga digunakan.[8] "Semuanya pada asalnya dibiakbakakan daripada terier Scotch (yang memaksudkan anjing dari Scotland, bukan baka terier Scotland kini) dan ditunjukkan oleh itu nama terier Yorkshire diberikan kepadanya kerana ia banyak diperelok di Yorkshire."[6]

Terier Yorkshire ditunjukkan dalam kategori pertunjukan anjing (kelas) yang pada masa itu dipanggil "Rough and Broken-coated, Broken-haired Scotch and Yorkshire Terriers" ("terier Scotch berbulu kasar dan putus-putus, berbulu putus-putus, dan Yorkshire"). Hugh Dalziel, yang menulis pada tahun 1878, mengatakan bahawa "pengelasan anjing-anjing ini dalam pertunjukan dan dalam Buku Pembaka The Kennel Club mengelirukan dan tidak masuk akal" dalam melonggokkan jenis berlainan ini.[9] Pada zaman awal baka ini, "hampir apa-apa dalam bentuk terier yang mempunyai lapis bulu panjang dengan biru pada tubuh dan kepala dan tungkai berwarna perang kekuning-kuningan dan perak, dengan ekor terpotong dan telinga terpotong juga, diterima dan dikagumi sebagai terier Yorkshire".[4] Walau bagaimanapun, pada lewat tahun 1860-an, terier Yorkshire jenis Paisley pertunjukan popular bernama Huddersfield Ben, yang dimiliki oleh seorang wanita yang tinggal di Yorkshire, Mary Ann Foster, terlihat dalam pertunjukan anjing di serata Great Britain dan menentukan jenis baka untuk terier Yorkshire.[10]

Huddersfield Ben sunting

Huddersfield Ben ialah seekor terier Yorkshire yang potretnya dilukis oleh George Earl[11] dan pada tahun 1891 pihak berkuasa mengenai baka ini menulis, "Huddersfield Ben ialah anjing pembaka terbaik daripada bakanya semasa hayatnya dan salah seekor daripada anjing paling luar biasa antara mana-mana baka anjing peliharaan yang pernah hidup; dan kebanyakan spesimen pertunjukan pada masa kini mempunyai satu atau lebih silangan bagi darahnya dalam pedigrinya."[12] Sebagai pemenang pertunjukan, Huddersfield Ben, melalui anak-anaknya, membantu untuk mentakrifkan baka terier Yorkshire. Ia masih dirujuk sebagai "bapa baka".[10]

Di Amerika Utara sunting

Terier Yorkshire diperkenalkan di Amerika Utara pada tahun 1872[13] dan terier Yorkshire pertama didaftarkan dengan American Kennel Club (AKC) pada tahun 1885.[2][14] Semasa era Victoria, terier Yorkshire ialah haiwan peliharaan dan anjing pertunjukan popular di England dan apabila orang Amerika menerima amalan era Victoria, begitu juga mereka menerima terier Yorkshire.[15] Kepopularan baka ini merosot pada tahun 1940-an, apabila peratusan anjing baka kecil yang didaftarkan jatuh ke paras terendah sepanjang masa iaitu 18% daripada jumlah pendaftaran.[16] Smoky, terier Yorkshire dan anjing perang masyhur dari Perang Dunia Kedua, dikreditkan dengan permulaan pembaharuan minat terhadap baka ini.[17] AKC menilai terier Yorkshire sebagai baka tulen ke-6 paling popular di Amerika Syarikat pada tahun 2012 dan tahun 2013.[2]

Bulu sunting

Untuk terier Yorkshire dewasa, American Kennel Club meletakkan kepentingan pada warna, kualiti, dan tekstur lapis bulu.[18] Menurut The Kennel Club (United Kingdom), bulu mesti licau, halus, lurus dan bak sutera. Secara tradisional, lapis bulunya tumbuh dengan sangat panjang dan terpisah di bahagian tengah belakang, tetapi "tidak boleh membatasi pergerakan".[19] Bulu terier Yorkshire dapat digunakan untuk menentukan kandungan logam pada organisma anjing.[20]

Dari belakang leher ke pangkal ekor, lapis bulu patut berwarna kelabu gelap hingga hitam,[18] dan bulu pada ekor patut berwarna hitam lebih gelap.[19] Pada kepala, dada tinggi, dan tungkai, bulu patut berwarna sawo matang pekat cerah yang lebih gelap pada akar berbanding dengan yang di tengah, yang berubah menjadi sawo matang lebih cerah di hujungnya, tetapi bukan untuk semua anjing. Juga, pada anjing dewasa, tidak patut ada bulu hitam yang bercampur dengan mana-mana bulu berwarna sawo matang.[18] Lapis bulu halus, lurus, bak suteranya dianggap hipoalergenik.

Terier Yorkshire dewasa yang warna lapis bulunya menyimpang daripada piawaian atau yang mempunyai lapis bulu wul atau terlebih halus, masih merupakan terier Yorkshire. Satu-satunya perbezaan ialah bahawa ada syor untuk tidak membiakbakakan terier Yorkshire tidak tipikal dengan sengaja.[21] Sebagai tambahan, penjagaan mungkin lebih sukar untuk lapis bulu bertekstur "wul" atau "kapas", atau lapis bulu yang terlalu halus.[18] Lapis bulu mungkin berbeza dari segi warna. Sebagai contoh, yorkie matang mungkin mempunyai warna biru perak dengan perang muda, manakala yorkie lain mungkin mempunyai warna hitam dan krim.

Lapis bulu panjang pada terier Yorkshire memerlukan pemberusan kerap.[2]

Bulu hipoalergenik sunting

Lapis bulu halus, lurus, dan bak sutera tipikal terier Yorkshire juga telah disenaraikan oleh banyak tapak web maklumat anjing popular sebagai lapis bulu hipoalergenik. Berbanding dengan banyak baka lain, yorkie tidak bersalin bulu pada tahap sama, kerana kehilangan sejumlah kecil apabila dimandikan atau diberus.[22] Bulu mati dan air liur anjing biasanya mencetuskan tindak balas alahan.[23] Pakar alahan sedar bahawa, pada masa-masa tertentu, pesakit alahan akan dapat mentoleransi anjing tertentu, tetapi mereka bersetuju bahawa "nasib segelintir orang dengan haiwan peliharaan mereka tidak dapat diregangkan agar sesuai dengan semua orang alah dan keseluruhan baka anjing."[24] Lapis bulu terier Yorkshire dikatakan gugur hanya apabila diberus atau dipatahkan, atau hanya dikatakan tidak gugur.[25] Walaupun kedua-dua kenyataan tersebut tidak bersetuju dengan yang diketahui oleh ahli biologi, doktor haiwan, dan pakar alahan tentang bulu anjing, pakar alahan "berfikir bahawa benar-benar terdapat perbezaan pengeluaran protein antara anjing yang mungkin membantu seseorang pesakit dan bukan pesakit lain".[24]

Warna lain sunting

Terier Yorkshire ialah anjing sawo matang dengan pelana biru. Anjing berwarna-warni wujud, tetapi tidak betul untuk piawaian baka. Lapis bulu berwarna-warni berwarna putih dengan biru hitam dan sawo matang. Warna putihnya disebabkan oleh gen piebald resesif. Pemerolehan anjing berwarna-warni adalah sangat jarang, dan jika terdapat pun, ia cenderung untuk menjadi sangat mahal.[26] Sesetengah terier Yorkshire berwarna keemasan padu, iaitu ia hanya menghasilkan feomelanin, yang lain berwarna hati atau coklat, iaitu warna perang; ia menghasilkan eumelanin perang dan bukan eumelanin hitam.[27][28] Piawaian sejelasnya menetapkan warna bulu tertakrif dan warna bukan piawai mungkin menunjukkan pembiakbakaan silang dengan baka lain atau dalam kes jarang malah masalah kesihatan.[21] Borang pendaftaran AKC untuk terier Yorkshire mengizinkan empat pilihan: biru dan sawo matang, biru dan emas, hitam dan sawo matang, hitam dan emas. Warna sahaja tidak menjejaskan sama ada anjing berkenaan ialah pendamping dan peliharaan baik atau bukan. Walaupun terier Yorkshire luar warna diiklankan pada harga premium, pemilikan warna luar biasa atau tidak tipikal tidak dinyatakan sebagai baharu, diingini, mahupun eksotik.[26]

Terier Yorkshire tidak sepadan tidak patut disilangkan dengan terier Biewer, iaitu baka baharu yang berasal dari Jerman.[29] Walaupun AKC tidak menafikan pendaftaran terier Yorkshire berdasarkan warna sahaja, yang bermaksud bahawa anjing berwarna-warni kini boleh didaftarkan dengan AKC, Yorkshire Terrier Club of America mempunyai arahan bahawa "sebarang warna padu atau gabungan warna selain hitam dan sawo matnag" untuk anjing dewasa ialah syarat penyingkiran dan "anjing dengan warna padu, gabungan warna luar biasa, dan warna-warni patut disingkirkan."[30]

Bulu anak anjing sunting

 
Seekor anak terier Yorkshire yang memaparkan lapis bulu hitam dan sawo matang

Masa Tiga tahun atau lebih mungkin diperlukan supaya lapis bulu mencapai warna akhir. Warna akhir biasanya warna hitam atau kekelabu-kelabuan.[30] P. H. Combs, yang menulis pada tahun 1891, mengadu tentang kemenangan pertunjukan yang dianugerahkan kepada anak anjing, iaitu apabila lapis bulu anjing ini tidak terbentuk sepenuhnya sehingga usia tiga atau empat tahun, "dan penghormatan kemenangan hadiah sedemikian (untuk anak anjing) oleh itu dapat mempunyai hanya sedikit manfaat praktikal kepada pemiliknya" kerana warna anjing dewasa tidak dapat setepatnya diramalkan.[31][32]

Penjagaan bulu sunting

 
Seekor terier Yorkshire selepas sehari di kedai pendandan

Pemilik boleh memangkasa bulu sehingga pendek untuk penjagaan lebih mudah. Untuk pertunjukan, lapis bulunya dibiarkan panjang dan boleh dipangkas mengikut panjang lantai untuk memudahkan pergerakan dan memberikan penampilan lebih kemas. Bulu pada kaki dan di hujung telinga juga boleh dipangkas.[18][19] Lapis bulu panjang tradisional memerlukan penyelenggaraan sangat tinggi. Lapis bulunya mungkin bersimpul jika tidak diberus setiap hari (berus kejur untuk lapis bulu pendek dan tercukur dan berus pin untuk lapis bulu panjang). Untuk mengelakkan kepecahan, lapis bulu boleh dibalut dengan kertas beras, kertas tisu, atau plastik, selepas penyapuan sedikit minyak lapis bulu. Minyak perlu dicuci supaya tanggal sebulan sekali dan pembalut mesti dibaiki secara berkala sepanjang minggu untuk mengelakkannya daripada tergelincir ke bawah dan memecahkan bulu. Penjagaan terperinci lapis bulu bermula dari hari-hari terawal baka ini. Pada tahun 1878, John Walsh memerihalkan persiapan serupa: lapis bulunya "dilumuri dengan baik" dengan minyak kelapa, anjing dimandikan setiap minggu, dan kaki anjing "disimpan dengan teliti di dalam stoking".[33]

Perangai sunting

 
Perwatakan terier Yorkshire diperihalkan sebagai perwatakan "yang membawa angin penting". Menurut piawaian, cara bawa kepala tinggi dan cara yakin anjing ini patut memberikan kesan bertenaga dan kepentingan diri.

Perwatakan atau "keperibadian" unggul terier Yorkshire telah diperihalkan oleh The Kennel Club sebagai perwatakan yang mempunyai "gaya angkat sangat tegak yang membawa angin penting".[19]

Terier Yorkshire ditempatkan di kedudukan ke-34 dalam The Intelligence of Dogs karya Stanley Coren.[34]

Kesihatan sunting

Isu kesihatan yang kerap terlihat pada terier Yorkshire termasuk bronkitis, limfangiektasia, pirau portosistemik, katarak, dan keratitis sika.[35] Selain itu, terier Yorkshire kerap mempunyai sistem pencernaan rapuh dengan muntah atau cirit-birit akibat pengambilan makanan di luar diet biasa.[36] Saiz agak kecil terier Yorkshire bermakna bahawa ia biasanya mempunyai toleransi lemah untuk anestesia. Selain itu, anjing mainan seperti terier Yorkshire lebih berkemungkinan untuk cedera akibat terjatuh, anjing lain, dan kecemerkapan pemilik.[36] Tindak balas suntikan (keradangan atau keguguran bulu di tapak suntikan) dapat berlaku. Selain itu, alahan dapat menyebabkan kulit menjadi kering, gatal, dan/atau merah.[37]

Terier Yorkshire mempunyai jangka hayat melebihi purata. Sebuah kajian di United Kingdom mengenai rekod pesakit mendapati bahawa baka ini mempunyai jangka hayat selama 13 tahun yang lebih tinggi daripada purata.[36][38] Sebuah lagi kajian serupa di United Kingdom mendapati baka ini mempunyai jangka hayat sebanyak 12 tahun setengah.[39] Sebuah kajian di Jepun yang berdasarkan data tanah perkuburan haiwan peliharaan mendapati jangka hayat sebanyak 14.3 tahun yang melebihi purata jangka hayat.[40] Terier Yorkshire bersaiz kecil (di bawah 3 lb atau 1.4 kg) pada umumnya mempunyai jangka hayat lebih pendek, kerana ia sangat terdedah kepada masalah kesihatan seperti cirit-birit dan pemuntahan kronik; lebih peka terhadap anestesia; dan lebih mudah tercedera.[36]

Alopesia pencairan warna, iaitu suatu bentuk alopesia yang berkaitan dengan lapis bulu warna biru, adalah lazim pada terier Yorkshire.[41]

 
Seekor anak morkie (separuh anjing Malta, separuh terier Yorkshire) dengan gigi susunya dan gigi dewasa yang sedang tumbuh
 
Taring susu kekal seekor terier Yorkshire

Kecacatan genetik sunting

Gangguan genetik tertentu dapat ditemukan pada terier Yorkshire, termasuk distikiasis, hidrosefalus, hypoplasia of dens, sindrom Legg–Calvé–Perthes, tempurung lutut terkehel, pirau portosistemik, displasia retina, dan batu pundi kencing.[42] Yang berikut merupakan antara kecacatan kongenital paling umum yang menjejaskan terier Yorkshire:

  • Distikia, bulu mata yang timbul daripada tempat abnormal (biasanya salur kelenjar Meibom di pinggir kelopak mata), kerap ditemukan pada terier Yorkshire.[43] Distikia dapat merengsakan mata dan menyebabkan koyakan, juling, keradangan, lelasan kornea atau ulser kornea, dan parut. Pilihan rawatan mungkin termasuk pembuangan manual, elektrolisis, atau pembedahan.[44]
  • Hypoplasia of dens ialah ketiadaan pembentukan titik pangsi vertebra serviks kedua, yang membawa kepada kerosakan saraf tunjang.[42] Permulaan keadaan ini mungkin berlaku pada sebarang umur dengan menghasilkan tanda-tanda daripada sakit leher hingga kuadriplegia.[45]
  • Sindrom Legg–Calvé–Perthes, yang menyebabkan bahagian atas femur (tulang paha) merosot, berlaku pada terier Yorkshire pada susur garis tertentu.[46] Keadaan ini kelihatannya disebabkan oleh peredaran tidak cukup ke kawasan di sekitar sendi pinggul. Apabila bekalan darah berkurangan, tulang di kepala femur runtuh dan mati dan salutan rawan di sekelilingnya menjadi retak dan cangga.[46] Biasanya penyakit ini muncul apabila terier Yorkshire masih muda (pada usia antara lima dengan lapan bulan); tanda-tandanya merupakan nyeri, kepincangan, atau ketempangan.[47] Rawatan piawai ialah pembedahan untuk membuang bahagian tulang terjejas.[47] Selepas pembedahan, otot menahan femur di tempatnya dan tisu berserat terbentuk di kawasan pembuangan untuk mencegah gosokan tulang pada tulang.[48] Walaupun tungkai terjejas akan menjadi lebih pendek sedikit daripada sebelum pembedahan, terier Yorkshire mungkin mendapat semula penggunaan hampir normal.[47]
  • Tempurung lutut terkehel (tempurung lutut tergelincir) ialah satu lagi kecacatan umum yang dianggap sebagai keadaan genetik pada terier Yorkshire, walaupun ini mungkin juga disebabkan oleh kejatuhan secara tidak sengaja. Ligamen dan tendon lemah pada lutut atau alur tempurung lutut cacat bentuk (terlalu cetek) membolehkan tempurung lutut tergelincir keluar dari alurnya ke arah tepi.[49] Ini menyebabkan tungkai 'terkunci' dengan kaki yang tertahan daripada diletakkan di atas tanah.[49] Anjing dengan masalah ini mungkin mengalami kesakitan dan ketempangan kerap, atau mungkin terganggu olehnya hanya sekali-sekala. Lama-kelamaan, rabung tempurung lutut dapat menjadi haus, lalu menjadikan alur lebih cetek dan menyebabkan anjing berkenaan menjadi semakin tempang.[49] Pembedahan ialah pilihan rawatan utama yang tersedia untuk tempurung lutut terkehel, walaupun ini tidak perlu untuk setiap anjing dengan keadaan ini. Keparahan tempurung lutut terkehel adalah pada skala 1 hingga 4, dengan 4 sebagai yang paling parah. Banyak anjing tidak akan berkembang melepasi peringkat 1 atau 2.
  • Pirau portosistemik, iaitu cacat bentuk kongenital bagi vena portal (yang membawa darah ke hati untuk pembersihan), juga lazim pada terier Yorkshire. Dalam keadaan ini, darah sesetengah anjing memintas hati dan darah "kotor" terus meracuni jantung, otak, paru-paru, dan organ lain dengan toksin. Terier Yorkshire dengan keadaan ini mungkin menunjukkan pelbagai simptom, seperti tubuh kecil, selera makan kurang, perkembangan otot lemah, penurunan kebolehan pembelajaran, koordinasi inferior, muntah dan cirit-birit sekali-sekala, keabnormalan tingkah laku, sawan (terutamanya selepas makan), dan kebutaan, yang dapat menyebabkan koma dan kematian. Selalunya, pirau dapat dirawat dengan pembedahan.[50]
 
Keruntuhan tenggorokan
  • Trakea runtuh, yang disebabkan oleh pelemahan progresif dinding trakea, berlaku pada banyak baka mainan, terutamanya terier Yorkshire sangat kenit.[51] Sebagai hasil genetik, dinding trakea dapat menjadi lembik, iaitu keadaan yang menjadi lebih parah seiring dengan usia. Sindrom Cushing, iaitu kecelaruan yang menyebabkan pengeluaran hormon steroid berlebihan oleh kelenjar adrenal, juga dapat melemahkan rawan dan membawa kepada keruntuhan trakea.[52] Terdapat kemungkinan bahawa ketegangan fizikal terhadap leher mungkin menyebabkan keruntuhan trakea atau menyumbang kepada keruntuhan trakea. Memandangkan ini biasanya disebabkan oleh terier Yorkshire bertenaga yang menarik-narik kolarnya, ramai doktor haiwan mengesyorkan penggunaan abah-abah untuk perjalanan bercawak.[51] Batuk "bunyi angsa" sekali-sekala, terutamanya semasa senaman atau keterujaan, biasanya merupakan tanda pertama bagi keadaan ini.[51] Lama-kelamaan, batuk mungkin menjadi hampir berterusan dalam kehidupan terier Yorkshire kemudian. Pernafasan melalui halangan trakea runtuh (atau separa runtuh) selama bertahun-tahun dapat mengakibatkan komplikasi, termasuk penyakit paru-paru kronik. Batuk dapat diatasi dengan ubat penahan batuk dan bronkodilator.[51] Jika keruntuhan itu sudah lanjut dan tidak bertindak balas terhadap ubat, kadang-kadang pembedahan dapat membaiki trakea.[51]

Hipoglisemia sunting

Gula darah rendah pada anak anjing, atau hipoglisemia juvenil sementara, disebabkan oleh puasa (terlalu banyak masa antara waktu makan).[53] Dalam kes jarang, hipoglisemia mungkin terus menjadi masalah pada terier Yorkshire yang matang, biasanya sangat kecil. Ini kerap terlihat pada anak terier Yorkshire pada usia 5 hingga 16 minggu.[53] Anak terier Yorkshire sangat kenit terutamnya terdedah kepada hipoglisemia kerana kekurangan jisim otot menjadikannya sukar untuk menyimpan glukosa dan mengawal atur gula darah.[53] Faktor-faktor seperti stres, kelesuan, persekitaran sejuk, pemakanan buruk, dan perubahan diet atau jadual pemakanan mungkin membawa kepada hipoglisemia.[54] Gula darah rendah juga dapat disebabkan oleh jangkitan bakteria, parasit, atau pirau hati portosistemik.[55] Hipoglisemia menyebabkan anak anjing berkenaan menjadi mengantuk, lesu (bermata kaca), goyah, serangan uncpoglycaemic, anak anjing berkenaan biasanya mempunyai gusi sangat pucat atau kelabu.[56] Anak anjing itu juga mungkin tidak makan melainkan disuap secara paksa.[53] Hipoglisemia dan penyahhidratan kelihatannya hadir seiringan dan penyuapan paksa atau penyuntikan bendalir juga mungkin diperlukan. Selain itu, terier Yorkshir hipoglisemik mungkin mempunyai suhu badan lebih rendah daripada normal dan, dalam kes ekstrem, mungkin mengalami sawan atau koma.[57] Anjing yang menunjukkan gejala patut diberi gula dalam bentuk sirap jagung atau Nutri-Cal dan dirawat oleh doktor haiwan dengan segera, kerana serangan hipoglisemia berpanjangan atau berulang dapat merosakkan otak anjing berkenaan secara kekal.[57] Dalam kes parah, ini dapat membawa maut.[53]

Pemotongan ekor dan telinga sunting

Secara tradisional, ekor terier Yorkshire dipotong ke panjang sederhana.[3] Penentangan terhadap amalan ini bermula sangat awal dalam sejarah baka ini; Hugh Dalziel, yang menulis tentang terier Yorkshire pada tahun 1878, mengisytiharkan bahawa "Tiada sebab untuk mencacatkan anjing peliharaan dan telinga dan ekor sempurna patut dibiakbakakan, bukan dipotong menjadi bentuk dengan gunting."[9] AKC dan Canadian Kennel Club masih mensyaratkan agar ekor terier Yorkshire dipotong untuk bertanding dalam acara masing-masing.[18] Majoriti negara lain di dunia telah menerima pakai peraturan "dilarang memotong ekor/telinga".[perlu rujukan]

Baka berkaitan dan baka terbitan sunting

Baka terier Yorkshire diturunkan daripada baka Scotland yang lebih besar tetapi serupa, seperti terier Skye dan terier Paisley yang kini pupus. Pada gilirannya, baka lain telah dihasilkan daripada terier Yorkshire, seperti terier sutera. Permintaan untuk haiwan peliharaan luar biasa telah menghasilkan harga tinggi yang dibayar untuk terier Yorkshire yang disilangkan dengan pelbagai baka lain, yang diperihalkan dengan kata lakur yang terdiri daripada suku kata (atau bunyi) daripada terier Yorkshire dan nama baka bagi induk lagi satu. Sesetengah silangan bernama kata laur ini dapat ditemukan dalam senarai baka silang anjing.

Terier Biewer, yang dibiakbakakan daripada anak anjing biru, putih, dan emas bernama Schneeflocke dan Schneeflöckchen von Friedheck,[58][59][60] yang dimiliki oleh En. dan Pn. Biewer di Jerman,[61] pernah dianggap sebagai variasi terier Yorkshire tetapi sejak itu telah diiktiraf sebagai baka terpisah oleh banyak kelab kenel, termasuk AKC.[62]

Terier Yorkshire terkenal sunting

Anjing pertunjukan sunting

 
Seekor terier Yorkshire yang sedang dipamerkan dalam pertunjukan pada Oktober 2009
  • Pada tahun 1997, Juara Ozmilion Mystification menjadi terier Yorkshire pertama yang memenangi Best in Show dalam Crufts, pertunjukan anjing tahunan terbesar di dunia.[63][64]

Anjing kecil sunting

  • Sylvia, terier Yorkshire bersaiz kotak mancis yang dimiliki oleh Arthur Marples dari Blackburn, England, ialah anjing terkecil dalam sejarah tercatat. Anjing itu mati pada tahun 1945 ketika ia berusia dua tahun. Pada ketika itu ia berdiri setinggi 2 12 inci (6.4 cm) pada paras bahu dan berukuran sepanjang 3 12 inci (8.9 cm) dari hujung hidung ke ekor dan seberat 4 auns (110 g).[65][66]

Anjing perang sunting

  • Smoky, anjing perang dan pahlawan Perang Dunia Kedua, dimiliki oleh William Wynne dari Cleveland, Ohio. Wynne mengadopsi Smoky semasa ia berkhidmat dengan Tentera Udara ke-5 di medan Pasifik.[67]

Anjing Rumah Putih sunting

Catatan sunting

  1. ^ Jawi: تيريئر يورکشير; bahasa Inggeris: Yorkshire terrier

Rujukan sunting

  1. ^ a b Yorkshire Terrier (Inggeris). The Kennel Club. Dicapai pada 23 Januari 2024.
  2. ^ a b c d "Get to Know the Yorkshire" (Inggeris), 'American Kennel Club', dicapai pada 23 Januari 2024.
  3. ^ a b "FCI-Standard N° 86 YORKSHIRE TERRIER" [Piawaian FCI No. 86 Terier Yorkshire] (pdf). Persekutuan Kinologi Antarabangsa (dalam bahasa Inggeris). 22 Februari 2012. Dicapai pada 23 Januari 2024.
  4. ^ a b P. H. Combs dalam The American Book of the Dog (Inggeris), hlm. 443, disunting oleh G. O. Shields, Rand, McNally & Company, Publishers, Chicago dan New York 1891, tiada ISBN
  5. ^ Fogle, Bruce (2000). The New Encycyclopedia of Dog (dalam bahasa Inggeris). Amerika Syarikat: Dorling Kindersley. m/s. 272. ISBN 0-7894-6130-7.
  6. ^ a b Pn. A. Foster dari Bradford, England, dipetik oleh James Watson dalam Century Magazine pada 1886; di halaman 441 The American Book of the Dog (Inggeris), hlm. 454, disunting oleh G. O. Shields, Rand, McNally & Company, Publishers, Chicago dan New York 1891, tiada ISBN
  7. ^ Rencana 1885 oleh Ed. Bootman dari Halifax, England dicetak dalam The Stock-Keeper (Inggeris), memperincikan asal usul baka, dibahaskan di hlm. 441–442 The American Book of the Dog (Inggeris), disunting oleh G. O. Shields, Rand, McNally & Company, Publishers, Chicago dan New York 1891 tiada ISBN
  8. ^ British dogs, their points, selection, and show preparation (Inggeris), oleh William D. Drury, hlm. 582 diterbitkan pada 1903, L. Upcott Gill, London, dan Charles Scribner's Sons, New York (tiada ISBN) Petikan: "I think the Yorkshire gets the softness and length of coat due to Maltese blood".
  9. ^ a b dipetik dalam The dogs of the British Islands' (Inggeris)', oleh John Henry Walsh, The Field, penerbit, 1878, edisi ke-3, hlm. 213
  10. ^ a b Clark, Anne Rogers; Brace, Andrew H. (1995). The International Encyclopedia of Dogs (dalam bahasa Inggeris). Howell Book House. m/s. 484. ISBN 0-87605-624-9.
  11. ^ Katalog pameran seni 2006 "Best in Show, the Dog in Art from the Renaissance to Today" (Inggeris), catatan oleh Edgar Peters Bowron, Yale University Press, ISBN 0-300-11588-1
  12. ^ P. H. Combs dalam The American Book of the Dog, hlm. 454, disunting oleh G. O. Shields, Rand, McNally & Company, Publishers, Chicago dan New York 1891 tiada ISBN
  13. ^ Weston, Lee. "Yorkshire Terrier History". wordofpoochs.blogspot.com (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 6 Mac 2024.
  14. ^ Caroline Coile, D. (2003). The Yorkshire Terrier Handbook (dalam bahasa Inggeris). Hauppauge, New York, Amerika Syarikat: Barron's Educational Series Inc. m/s. 5. ISBN 978-0-7641-2585-0. first Yorkshire Terrier was registered with the American Kennel Club (AKC) in 1885.
  15. ^ "Yorkshire Terrier" (dalam bahasa Inggeris). Yahoo! Pets. Diarkibkan daripada yang asal pada 29 Mac 2007. Dicapai pada 6 Mac 2024.
  16. ^ "Yorkies Have Their Year! Tiny Toy Overtakes Venerable Favorites - Golden Retriever and German Shepherd - as Second Most Popular Dog in America" (dalam bahasa Inggeris). AKC News. 7 Januari 2007. Dicapai pada 6 Mac 2024.
  17. ^ "Special Issue: Yorkshire Terrier" (dalam bahasa Inggeris). Popular Dog Magazine. 2001.
  18. ^ a b c d e f "Yorkshire Terrier (Yorkie) Dog Breed Information". American Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 6 Mac 2024.
  19. ^ a b c d "Kennel Club Standard" (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 11 Februari 2007. Dicapai pada 6 Mac 2024.
  20. ^ Kosla, T., dan Skibniewska, E. M. (2010). The content of aluminum in the hair of Yorkshire terrier dogs from the Warsaw area depending on sex, age and keeping conditions (Inggeris). Trace Elements & Electrolytes, 27(4), 209–213.
  21. ^ a b "Parti-Color Yorkshire Terriers?". www.theyorkshireterrierclubofamerica.org (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 18 Mac 2009. Dicapai pada 6 Mac 2024.
  22. ^ Jeffrey Adelglass, M.D., ear, nose, throat and allergy information (Inggeris) Diarkibkan 1 Disember 2008 di Wayback Machine quote: "No dog is considered non-allergenic because all dogs produce dander, saliva and urine which are the offending allergens."
  23. ^ "Pet allergy - Symptoms and causes". mayoclinic.com (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 6 Mac 2024.
  24. ^ a b Grady, Denise (5 Februari 1997). "Nonallergenic Dog? Not Really". The New York Times (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 6 Mac 2024.
  25. ^ Wash, John. "Yorkshire Terrier" (dalam bahasa Inggeris). NetPets. Dicapai pada 6 Mac 2024.
  26. ^ a b Shirley Patterson Secretary of the YTCA. "What Is A RESPONSIBLE BREEDER". Yorkshire Terrier Club of America (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 18 Mac 2009. Dicapai pada 6 Mac 2024.
  27. ^ Bowling, Sue. "Coat Color Genetics - Brown Locus" (dalam bahasa Inggeris). Sue Ann Bowling.
  28. ^ Genomia: Yorkshire Terrier coat colours (Inggeris)
  29. ^ "The Biewer Terrier Was Developed in Germany by Werner and Gertrude Biewer, Making Its Debut in Germany in 1986. The Biewer Terrier was introduced in America in 2003". Biewer Terrier Club of America (dalam bahasa Inggeris). 28 Disember 2020.
  30. ^ a b "Carl C. Yochum, President". Yorkshire Terrier Club of America (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 28 Mac 2009. Dicapai pada 6 Mac 2024.
  31. ^ The American book of the Dog (Inggeris), disunting oleh G. O. Shields, Rand, McNally & Company, Publishers, Chicago dan New York, 1891, tiada ISBN. Seksyen tentang terier Yorkshire ditulis oleh P. H. Combs
  32. ^ "Official Standard of the Yorkshire Terrier" (dalam bahasa Inggeris). Yorkshire Terrier Club of America. Dicapai pada 6 Mac 2024.
  33. ^ The Dogs of the British Islands (Inggeris), hlm. 212, oleh John Henry Walsh, The Field publisher, 1878, edisi ke-3
  34. ^ Coren, Stanley (2006). The Intelligence of Dogs (dalam bahasa Inggeris). London, United Kingdom: Pocket Books. ISBN 978-1-4165-0287-6.
  35. ^ Lane, Marion (2001). The Yorkshire Terrier: An Owner's Guide to a Happy Healthy Pet (Inggeris), edisi ke-2, Howell Book House - Wiley Publishing, Inc., ISBN 0-87605-477-7.
  36. ^ a b c d Schultz, Jacque Lynn (2004). "The Terrier Tyke With a Big Attitude". ASPCA (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 30 Disember 2004. Dicapai pada 6 Mac 2024.
  37. ^ "Yorkie Skin Problems" (dalam bahasa Inggeris). yorkieinfocenter.com. Dicapai pada 6 Mac 2024.
  38. ^ O’Neill, D. G.; Church, D. B.; McGreevy, P. D.; Thomson, P. C.; Brodbelt, D. C. (2013). "Longevity and mortality of owned dogs in England" (PDF). The Veterinary Journal (dalam bahasa Inggeris). 198 (3): 638–643. doi:10.1016/j.tvjl.2013.09.020. PMID 24206631. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 31 Disember 2019.
  39. ^ Teng, Kendy Tzu-yun; Brodbelt, Dave C.; Pegram, Camilla; Church, David B.; O’Neill, Dan G. (28 April 2022). "Life tables of annual life expectancy and mortality for companion dogs in the United Kingdom". Scientific Reports (dalam bahasa Inggeris). Springer Science and Business Media LLC. 12 (1): 6415. Bibcode:2022NatSR..12.6415T. doi:10.1038/s41598-022-10341-6. ISSN 2045-2322. PMC 9050668 Check |pmc= value (bantuan). PMID 35484374 Check |pmid= value (bantuan).
  40. ^ INOUE, Mai; KWAN, Nigel C. L.; SUGIURA, Katsuaki (2018). "Estimating the life expectancy of companion dogs in Japan using pet cemetery data". Journal of Veterinary Medical Science (dalam bahasa Inggeris). Persatuan Sains Veterinar Jepun. 80 (7): 1153–1158. doi:10.1292/jvms.17-0384. ISSN 0916-7250. PMC 6068313. PMID 29798968.
  41. ^ Rhodes, Karen Helton; Werner, Alexander H. (25 Januari 2011). Blackwell's Five-Minute Veterinary Consult Clinical Companion (dalam bahasa Inggeris). Ames, Iowa, Amerika Syarikat: Wiley-Blackwell. m/s. 58. ISBN 978-0-8138-1596-1.
  42. ^ a b "Hereditary and Congenital Diseases of Purebred Dogs" (PDF) (dalam bahasa Inggeris). Kansas State University. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 21 Februari 2007. Dicapai pada 6 Mac 2024.
  43. ^ Schultz, Jacque Lynn (2004). "The Terrier Tyke With a Big Attitude" (dalam bahasa Inggeris). ASPCA. Diarkibkan daripada yang asal pada 30 Disember 2004. Dicapai pada 6 Mac 2024.
  44. ^ Distichiasis Can Damage Corneas in Cavaliers (dalam bahasa Inggeris), Cavalier Health, 2007, dicapai pada 6 Mac 2024
  45. ^ Linville, Robert L. (6 Mac 2006). "Breed Predisposition to Disease and Congenital Conditions" (dalam bahasa Inggeris). Dr. Bob's All Creatures Site. Dicapai pada 6 Mac 2024.
  46. ^ a b Degner, Danial (2004). "Legg-Calve-Perthes disease (or Legg-Perthes disease)" (dalam bahasa Inggeris). Vet Surgery Central Inc. Dicapai pada 6 Mac 2024.
  47. ^ a b c Voit, Pam. "Legg Perthe's Disease: What you Should Know" (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 6 Mac 2024.
  48. ^ Degner, Danial (2004). "Femoral Head and Neck Excision" (dalam bahasa Inggeris). Vet Surgery Central Inc. Dicapai pada 6 Mac 2024.
  49. ^ a b c Foster, Race; Smith, Marty (2007). "Luxating Patella" (dalam bahasa Inggeris). PetEducation.com. Dicapai pada 6 Mac 2024.
  50. ^ "Portosystemic Shunt". Genetic Welfare Problems of Companion Animals (dalam bahasa Inggeris). ufaw.org.uk: Universities Federation for Animal Welfare. Diarkibkan daripada yang asal pada 11 Februari 2015. Dicapai pada 6 Mac 2024.
  51. ^ a b c d e Degner, Danial (2004). "Tracheal Collapse" (dalam bahasa Inggeris). Vet Surgery Central Inc. Dicapai pada 6 Mac 2024.
  52. ^ "Cushing's Disease & the Cavalier King Charles Spaniel". cavalierhealth.net (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 6 Mac 2024.
  53. ^ a b c d e "Hypoglycemia symptoms and treatment" (dalam bahasa Inggeris). Go Pets America. Dicapai pada 6 Mac 2024.
  54. ^ O'Neil, Jacqueline (2007). "Dealing with Your Chihuahua's Health Issues (Adapted from Chihuahuas for Dummies)" (dalam bahasa Inggeris). Dummies.com. Dicapai pada 6 Mac 2024.
  55. ^ Brooks, Wendy C. (31 Julai 2005). "Toy Breed Hypoglycemia" (dalam bahasa Inggeris). VeterinaryPartner.com. Dicapai pada 6 Mac 2024.
  56. ^ "系统发生错误". www.yorkiesllc.com (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 6 Mac 2024.
  57. ^ a b Weston, Lee. "Hypoglycemia" (dalam bahasa Inggeris). Pomeranian Club of Canada. Dicapai pada 6 Mac 2024.
  58. ^ Pedigree Online: Schneeflocke von Friedheck (Inggeris)
  59. ^ Pedigree Online: Schneeflöckchen von Friedheck {(Inggeris)
  60. ^ Club for Terrier 1984: Schneeflöckchen Registration at VDH/KFT (Inggeris)
  61. ^ "Biewer Terrier Standard" (dalam bahasa Inggeris). Biewer Terrier Club of America. Dicapai pada 6 Mac 2024.
  62. ^ "Biewer Terrier Dog Breed Information". American Kennel Club (dalam bahasa Inggeris).
  63. ^ "Crufts Best in Show Roll of Honour 1990 - 1999" (dalam bahasa Inggeris). The Kennel Club. 7 Ogos 2006. Diarkibkan daripada yang asal pada 30 September 2007. Dicapai pada 6 Mac 2024.
  64. ^ Linzy, Jan (2003). Yorkshire Terrier Champions, 1994-2001 (dalam bahasa Inggeris). Camino E E & Book Co. ISBN 1-55893-108-2.
  65. ^ Choron, Sandra; Choron, Harry (2005). Planet Dog: A Doglopedia (dalam bahasa Inggeris). Houghton Mifflin. m/s. 92. ISBN 0-618-51752-9.
  66. ^ Barr, Tracy; Veling, Peter F. (20 Ogos 2004). Yorkshire Terriers for Dummies (dalam bahasa Inggeris). For Dummies. m/s. 289. ISBN 0-7645-6880-9.
  67. ^ Wynne, Bill. "Smoky 'Corporal Smoky' United States Army/Air Corps" (dalam bahasa Inggeris). PatsyAnn.com. Diarkibkan daripada yang asal pada 27 Julai 2014. Dicapai pada 6 Mac 2024.
  68. ^ "Time & Again: White House Pets" (dalam bahasa Inggeris). MSNBC. 1998. Diarkibkan daripada yang asal pada 21 Oktober 2006. Dicapai pada 6 Mac 2024.