Tiang utiliti merupakan sejenis tiang yang digunakan untuk menyokong talian bekalan elektrik ataupun pelbagai talian utiliti awam lain seperti telefon dan lampu jalan. Ia juga disebut sebagai tiang elektrik, tiang telefon atau tiang telegraf mengikut jenis perkhidmatan utiliti khusus yang menggunakannya. Kabel elektrik yang dipasang di atas tiang merupakan kaedah paling murah untuk memastikannya bertebat daripada tanah serta jauh daripada manusia dan kenderaan. Tiang utiliti diperbuat daripada kayu, logam, konkrit atau bahan komposit seperti gentian kaca. Ia digunakan untuk sistem penghantaran elektrik voltan rendah; talian penghantaran elektrik bervoltan tinggi pula diangkut melalui menara penghantaran elektrik.

Tiang utiliti bagi kabel bekalan elektrik, kabel sepaksi untuk perkhidmatan TV kabel serta kabel telefon. Kelihatan dua pasang kasut yang tersangkut di celah-celah wayar (di bahagian tengah kiri dan bahagian paling kanan).
Tiang utiliti dan lampu jalan yang biasa di Malaysia

Tiang utiliti mula digunakan pada pertengahan abad ke-19 untuk sistem telegraf, bermula dengan cubaan Samuel Morse untuk menanam talian telegraf antara Baltimore ke Washington, D.C., tetapi dipindahkan ke atas tanah apabila sistem talian bawah tanah pada masa itu terbukti bermasalah.

Kegunaan sunting

Lazimnya terdapat dua jenis tiang utiliti yang digunakan di Malaysia iaitu tiang elektrik dan tiang telefon. Terdapat dua jenis talian elektrik yang menggunakan tiang elektrik iaitu talian pengagihan serta talian subpenghantaran. Talian subpenghantaran merupakan talian elektrik yang mengangkut bekalan elektrik yang diturunkan voltannya ke 33 kV dari pencawang masuk utama ke stesen pencawang atau substesen. Sementara itu pula, talian pengagihan mengangkut bekalan elektrik dari stesen pencawang ke pengguna kediaman serta komersial, di mana voltannya diturunkan ke 415 V (3 fasa) / 240 V (1 fasa). Tiang elektrik juga boleh digunakan bagi pemasangan lampu jalan.

Dalam sesetengah kes, terdapat juga talian subpenghantaran yang berkongsi tiang yang sama dengan talian pengagihan, di mana talian subpenghantaran bervoltan lebih tinggi ditempatkan di atas tapian pengagihan. Ia dilakukan bagi menjimatkan ruang dan kos.

Pencemaran visual sunting

Sesetengah orang menganggap tiang elektrik sebagai satu bentuk pencemaran visual berikutan wayar-wayar yang kelihatan berselirat; keadaan tersebut diatasi dengan menanam kabel elektrik di bawah tanah. Namun demikian, kos menanam kabel di bawah tanah adalah lebih mahal daripada pemasangan kabel di atas tiang; oleh itu, ia hanya dilakukan di kawasan-kawasan tertentu sahaja.

Lihat juga sunting