Tribhuwana Wijayatunggadewi

Ratu Jawa ketiga kerajaan Majapahit

Tribhuwana Wijayatunggadewi, dikenali dengan nama pemerintah beliau Tribhuwannottunggadewi Jayawishnuwardhani, juga digelar Dyah Gitarja, merupakan seorang ratu yang memerintah Jawa dan raja[1] ketiga Majapahit, memerintah dari 1328 ke 1350. Beliau juga memegang gelaran Bhre Kahuripan (Tuanan Kahuripan). Dengan sokongan perdana menterinya Gajah Mada, beliau mengecapi perkembangan yang luas terhadap kerajaannya. Kisah mengatakan beliau seorang wanita yang sungguh gagah berani, bijaksana dan pintar.

Sri Tribhuwanotunggadewi Maharajasa Jayawisnuwardhani
Arca Tribhuwanottungadewi, ratu Majapahit, digambarkan sebagai Parvati
Ratu Majapahit
Pemerintahan1328 – 1350
Didahului olehJayanegara
Diikuti olehHayam Wuruk
Bhre Kahuripan
Pemegangan1309 - 1328
KeputeraanSebelum 1309
KemangkatanSelepas 1350
PasanganCakradhara (Kertawardhana Bhre Tumapel)
AnakandaHayam Wuruk
Nama penuh
Tribhuwana Wijayatunggadewi (Dyah Gitarja)
WangsaWangsa Rajasa
AyahandaRaden Harsawijaya (Kertajasa Jayawardhana)
BondaDyah Gayatri (Rajapatni)
AgamaHinduism

Riwayat hidup sunting

Dyah Gitarja ialah puteri kepada Raden Wijaya, raja pertama kerajaan Majapahit, dan bonda beliau ialah Dyah Gayatri Rajapatni. Gitarja dilahirkan kepada wangsa Rajasa, pemerintah kerajaan Majapahit dan yang sebelumnya, Kerajaan Singhasari. Daripada belah bondanya, beliau ialah cucunda kepada Kertanegara dari Singhasari.

Beliau merupakan anak paling sulung daripada semua anak-anak Raden Wijaya, adinda beliau Rajadewi, kedua-dua saudari ini puteri kepada Permaisuri Rajapatni, manakala kakanda sebapa beliau bernama Jayanegara, putera kepada Permaisuri Indreswari. Menurut Nagarakretagama kanto 48 stanza 1, kakanda sebapa beliau, Jayanegara, mewarisi takhta berikutan kemangkatan ayahandanya pada tahun 1309, sementara beliau dan adinda masing-masing memperolehi gelaran Bhre Kahuripan (Tuanan Kahuripan) dan Bhre Daha (TuananDaha).

Menurut Pararaton, Raja Jayanegara ingin kedua-dua saudarinya dijadikan permaisurinya. Pernikahan antara adik-beradik tiri terlarang dan dibenci dalam adat Jawa, kemudiannya majlis orang tua-tua yang didalangi Bonda Ratu Gayatri menampik keras hajat baginda. Motif Jayanegara untuk bernikah dengan mereka tidak diketahui — ia mungkin atas sebab mahu mengekalkan kesahan takhta dengan menghalang sesiapa pun daripada melamar adinda berdua.

Apapun, Jayanegara kemudian menghalang perasmaraan adinda berdua dengan mengurung Gitarja dan Rajadewi dalam kaputren (balai larangan) mahligai, dibatas dalam perkarangan dalaman, tidak membenarkan mereka saling bertemu, dan melarang kemasukan ke istana dan hal ehwal awam. Pengurungan ini berlanjut sehinggalah baginda beradik matang dan terlepas usia yang sesuai untuk dikahwinkan dalam adat Jawa. Ini mengkhuatiri bonda mereka, Bonda Ratu Gayatri yang cuba sedaya upaya untuk membebaskan puteri-puterinya.

Pemerintahan sunting

Menurut Nagarakretagama, Gitarja menaiki takhta di bawah titah bonda Gayatri pada tahun 1329, menggantikan Jayanegara yang dibunuh pada tahun 1328. Ada pandangan yang mengesyaki Gajah Mada sebagai dalang pembunuhan tersebut, kerana Gajah Mada ialah penasihat yang setia terhadap Bonda Ratu Rajapatni yang berusaha keras untuk membebaskan dua anakandanya dari tahanan Jayanegara. Pada masa itu, Rajapatni Gayatrilah ketua dan raja terakhir dalam kerabat diraja Majapahit, dan yang sepatutnya naik takhta kerana Jayanegara tidak berpunyakan seorang anakanda. Namun Bonda Ratu sudah menjadi seorang biarawati, maka anakandanya ditakhtakan.

Puteri Gitarja ditabalkan sebagai raja dengan nama pemerintah baharu Tribhuwannottunggadewi Jayawishnuwardhani, yang bermaksud "Dewi agung kepada tiga dunia yang dirahmati kejayaan Bisnu"[2]. Tribhuwana memerintah dengan pasangan beliau, Kritavardhana.[3]:234 Beliau menjadi ibunda dan pendahulu kepada Hayam Wuruk, raja keempat kerajaan Majapahit.

Pada tahun 1331, beliau mengetuai sebuah bala tentera dengan bantuan sepupu beliau, Adityawarman, untuk menghapuskan pemberontakan di Sadeng dan Keta. Beliau menjadi panglima untuk menyelesaikan pertengkaran antara Gajah Mada dan Ra Kembar atas siapa yang akan jadi panglima untuk hapuskan Sadeng. Pada tahun 1334, beliau melantik Gajah Mada sebagai Mahapatih (gelaran Jawa yang sama taraf dengan Perdana Menteri), dan dalam peristiwa ini Gajah Mada mengangkat sumpah Palapanya yang ternama, mengukuhkan azamnya untuk mengembangkan kerajaan mereka ke seluruh Nusantara. Merujuk kepada Pararaton, angkat sumbah beliau mengejutkan seluruh istana dan pegawai. Ada yang antara mereka, tambahan lagi musuh beliau, Ra Kembar, mentertawakan Gajah Mada, mengejeknya seseorang yang banyak mulut dan berimpian palsu. Terhina dengan khalayak istana Gajah Mada bertarung, diwajarkan oleh Tribhuwana, membunuh Ra Kembar dan barangsiapa yang menentang kuasa beliau.

Dengan bantuan Gajah Mada sebagai perdana menteri, Tribhuwana mengecap pengembangan pesat dalam kerajaan beliau. Pada tahun 1343, Majapahit menawan Kerajaan Pejeng, Dalem Bedahulu dan seluruh pulau Bali. Adityawarman dihantar untuk menawan selebih lagi Kerajaan Srivijaya dan Kerajaan Melayu pada tahun 1347. Beliau dinaik pangkat menjadi uparaja (naib raja) Sumatera. Perkembangan Majapahit berlangsung hinggalah di bawah pemerintahan Hayam Wuruk, mencapai Lamuri (kini Aceh) di Barat dan Wanin (Semenanjung Onin, Papua) di Timur.

Hujung usia sunting

Pemerintahan Tribhuwana berakhir apabila bondanya Gayatri Rajapatni mangkat semasa persaraan dalam biara agama Buddha pada tahun 1350. Oleh kerana beliau memerintah Majapahit di bawah naungan bonda Rajapatni untuk mewakilinya, Ratu Tribhuwana harus melepaskan kuasanya, dan kena turunkan takhta kepada anakanda beliau. Selepas penurunan dari takhta, Tribhuwana tidak bersara terus, sebaliknya beliau masih lagi terlibat dalam hal ehwal negara. Semasa pemerintahan anakanda beliau, Raja Hayam Wuruk, beliau dilantik semula buat kali kedua sebagai Bhre Kahuripan, pemerintah negeri persisiran Kahuripan, yang merupakan pelabuhan utama Majapahit masa itu. Beliau juga menjadi ahli Bhattara Saptaprabhu (Tujuh Raja Hebat[4]), sebuah majlis orang-orang tua diraja yang menjadi penasihat raja.

Tribhuwana mangkat dalam kediaman persaraan di Majapahit. Sebuah upacara pembakaran mayat diraja dilaksanakan, seperti diajar dalam agama Hindu. Beliau didewikan sebagai Parvati di kuil Rimbi, Jawa Timur. Dalam fahaman dewaraja Jawa, pemerintah mereka dipercayai merupakan jelmaan sesuatu dewa, dan selepas mangkat jiwa mereka akan bertemu semula dengan dewa itu, dan dihormati sewajarnya di kuil pengebumian, ditujukan khas kepada si mati itu.

Zaman kini sunting

Tribhuwana memimpin tamadun Indonesia dalam permainan video Civilization VI, di mana beliau digelar dengan nama lahirnya Gitarja.[5]

Rujukan sunting

  1. ^ Raja di sini tidak merujuk kepada jantina sebaliknya merujuk kepada ketua negara (rujukan).
  2. ^ Takrif: Tri–tiga, buana–bumi, tungga–tinggi, dewi–tuhan wanita, jaya–kemenangan, Wishnu–Dewa Bisnu, wardani–rahmat
  3. ^ Cœdès, George (1968). The Indianized states of Southeast Asia. University of Hawaii Press. ISBN 9780824803681.
  4. ^ Takrif: Bhattara-Hebat, Mulia, Sapta-Tujuh, Prabhu-Raja
  5. ^ "Civilization VI | News | CIVILIZATION VI: GITARJA LEADS INDONESIA". civilization.com (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2017-12-07.
  • Bullough, Nigel (1995). Historic East Java: Remains in Stone. Adline Communications.
  • Pringle, Robert (2004). Bali: Indonesia's Hindu Realm; A short history of. Short History of Asia Series. Allen & Unwin. ISBN 1-86508-863-3.
Didahului oleh

Jayanegara
Pemerintah Kerajaan Majapahit

1328–1350
Diikuti oleh

Hayam Wuruk