Tunku Osman Tunku Mohammad Jewa

Yang Teramat Mulia Jeneral Tunku Tan Sri Osman ibni Almarhum Tunku Mohammad Jewa (24 November 1919 – 19 April 1994) ialah Ketua Turus Angkatan Tentera Malaysia.

Tunku Osman Tunku Mohammad Jewa
Kelahiran(1919-11-24)24 November 1919
Meninggal dunia19 April 1994(1994-04-19) (umur 74)
PekerjaanKetua Turus Angkatan Tentera Malaysia

Biografi sunting

Tunku Osman dilahirkan pada 24 November 1919 di Alor Setar, Kedah. Beliau menerima pendidikan awalnya di Sekolah Hutchin, Pulau Pinang, dan kemudian mendaftarkan diri di Kolej Sultan Abdul Hamid (SAHC), Alor Star, Kedah. Pada bulan Mac 1935, Tunku Osman melanjutkan pendidikannya di Sekolah Menengah Bristol, England dan di sana, beliau dijaga dan dibimbing oleh R.J. McGregor. Apabila perang tercetus di Eropah, Tunku Osman menunjukkan minat untuk menyertai angkatan tentera apabila semua anak McGregor menyertai Tentera British.

Kerjaya sunting

Tunku Osman berlatih dengan Rejimen Gloucester sebagai rekrut dari bulan April hingga Ogos 1942, dan kemudiannya menyertai Rejimen Pengintipan Ke-80. Beliau kemudian dihantar untuk menjalani latihan kadet di Pusat Highland Fieldcraff di Scotland. Tunku Osman melanjutkan latihannya di Bovington dan dipinjamkan ke Rejimen Kereta Kebal Diraja. Pada bulan Disember 1944, beliau menyertai OCTU di Barmouth, Wales untuk menjalani latihannya sebagai pegawai kadet.

Tunku Osman menyertai Pasukan 136 pada tahun 1945 dan menerima tauliah sebagai Leftenan Muda (Mei 1945) dan diserap ke dalam Senarai Am. Beliau meneruskan latihan payung terjun dan penyelidikannya di Calcutta, India, dan kemudian penganjur kepada Kumpulan Gerila Melayu apabila Pasukan 136 dibubarkan selepas penyerahan Jepun.

Pada tahun 1946, Tunku Osman menyertai Pentadbiran Tentera British (BMA) di Malaya dan berkhidmat dengan Tentera British di Malaya. Beliau menyertai Rejimen Melayu Diraja pada 1 Februari 1947 dan menerima tauliah sebagai Leftenan dan ditugasi ke Rejimen Melayu Batalion Ke-2. Beliau dinaikkan pangkat menjadi Kapten pada bulan Februari 1951 dan kemudian menjadi Mejar pada tahun 1955. Pada tahun yang sama, Tunku Osman dihantar untuk menyertai kursus Pegawai Kanan di Devises-Wilthire. Kemudian pada tahun 1958, beliau ditugasi ke Batalion Ke-6 dan Rejimen Melayu Ke-7 sebagai Penolong Pegawai Pemerintah.

Tunku Osman dinaikkan pangkat menjadi Leftenan Kolonel pada bulan Julai 1958 dan memegang kuasa dalam Rejimen Melayu Batalion Ke-2. Beliau merupakan Pegawai Pemerintah Melayu yang pertama bagi batalion tersebut. Pada bulan Mei 1960, Tunku Osman dinaikkan pangkat lagi menjadi Kolonel semasa beliau sedang menyertai Kolej Turus Perkhidmatan Bersama. Pada bulan Jun 1960, beliau sekali lagi dinaikkan pangkat menjadi Brigadier Jeneral dan memegang kuasa dalam Briged Infantri Malaya Ke-2. Tunku Osman dijadikan "Brigadier Angkatan Tentera" di Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) pada bulan Julai 1961.

Pelantikan sebagai Pegawai Turus Angkatan Tentera sunting

Apabila Jeneral Tan Sri Sir Rodney Moore bersara sebagai Pegawai Turus Angkatan Tentera Malaysia, Tunku Osman dinaikkan pangkat menjadi Mejar Jeneral dan dilantik sebagai Pegawai Turus Angkatan Tentera. Beliau adalah anak Melayu pertama yang memegang pangkat tertinggi dalam Angkatan Tentera Malaysia. Tunku Osman bersara daripada jawatan tersebut pada 24 November 1969.

Penghormatan sunting

Disebabkan oleh berbagai-bagai perkhidmatan dan sumbangannya, Tunku Osman dikurniakan dengan berbagai-bagai pingat dan penghormatan:

  • 'Vietnam National Order' (Kelas Ke-2);
  • 'Order of Distinguished Diplomatic Service II' (Korea Selatan),
  • 'Datu Sikana' (Filipina);
  • 'Order of Grand Tadj' (Iran),
  • 'Star of Ethiopia Knight' (Ethiopia); dan
  • 'Grand Cross of the Exalted Order of The White Elephant' (Thailand).

Tunku Osman juga dikurniakan dengan gelaran 'Tan Sri'.

Kematian dan Pengebumian sunting

Tunku Osman ialah anak saudara kepada Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia yang pertama. Beilau dikenali kerana berpegang pada prinsip ketenteraan serta disiplin diri yang kuat dan amat disegani oleh anggota lain dalam Angkatan Tentera Malaysia.

Tunku Osman mangkat pada 19 April 1994 ketika berusia 74 tahun dan disemadikan di Makam Diraja Kedah yang terletak di Langgar, Kedah, tempat bersemadinya Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman bersama Sultan yang memerintah serta kaum kerabat diraja Kedah yang lain.

Rujukan sunting