Violet Coulson ialah isteri kedua kepada Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia[1].

Persahabatan sunting

Tunku bertemu Coulson pada 1927, semasa tahun kedua pengajiannya sebagai pelajar undang-undang di London. Violet merupakan seorang gadis yang menguruskan sebuah restoran yang menjadi tempat pelajar Tanah Melayu makan[1]. Pada 1933, semasa Tunku masih berkahwin dengan Meriam Chong, Tunku pernah membawa Violet melawat Medan, Indonesia.

Apabila berita kematian Meriam sampai kepada Violet, dia melepaskan pengurusan restorannya dan berlayar ke Singapura tanpa pengetahuan Tunku. Setibanya ke Singapura, Tunku dimaklumkan keberadaan Violet dan segera bertemu Violet menaiki kereta api.

Perkahwinan sunting

Violet dan Tunku bernikah di Geylang Serai, Singapura secara rahsia dan disaksikan oleh Syed Ahmad al-Sagoff[1]. Selepas berkahwin, Violet menetap di Pulau Pinang, manakala Tunku menetap sendirian di Kuala Nerang, di mana beliau menjadi Pegawai Daerah ketika itu, bagi mengelakkan kritikan orang ramai. Perkahwinan mereka dianggap melanggar adat kerabat diraja Kedah kerana telah berkahwin campur tanpa mendapat restu Sultan Kedah atau Raja Muda Kedah.

Raja Muda Kedah ketika itu, Tunku Ibrahim ibni Sultan Abdul Hamid Halim Shah menentang keras perkahwinan campur. Walau bagaimanapun, beliau meninggal dunia pada 1934 dan digantikan dengan Tunku Mahmud Ibni Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah. Tunku Mahmud merupakan seorang yang berminda terbuka dan merestui perkahwinan Tunku dengan Violet. Perestuan ini memberi peluang kepada Violet untuk tinggal bersama suaminya di Kuala Nerang, namun Setiausaha Kerajaan Negeri telah menukarkan Tunku menjadi Pegawai Daerah di Langkawi, kawasan yang terasing ketika itu.

Selepas beberapa ketika, pencapaian Tunku sebagai Pegawai Daerah Langkawi amat memberangsangkan dan telah berjaya membuatkan pemangku Penasihat British Kedah ketika itu, S.W Jones membawa Tunku naik pangkat dan menjadi Pegawai Daerah Sungai Petani, daerah kedua yang penting di Kedah.

Penceraian sunting

Pada 1937, Tunku dan Violet telah bertengkar sehingga Violet kembali ke Inggeris. Akhirnya mereka sah bercerai pada 1946.

Rujukan sunting

  1. ^ a b c "Insights into Bapa Malaysia's rebellious past". The Straits Times. 7 Oktober 1984. Dicapai pada 26 Januari 2022.