Khurafat: Perjanjian Syaitan
Khurafat: Perjanjian Syaitan (atau Khurafat sahaja) ialah sebuah filem ngeri seram Malaysia 2011 arahan pemenang Pengarah Terbaik FFM 23, Syamsul Yusof yang ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 13 Januari 2011. Filem yang dibintangi oleh Syamsul sendiri, Liyana Jasmay dan Sabrina Ali ini merupakan filem pertama arahan Syamsul bagi genre seram, yang mengangkat tema kekufuran masyarakat yang sanggup meminta bantuan selain dari Allah.[2] Filem ini turut melahirkan sebuah siri TV, iaitu Khurafat The Series yang disiarkan pada 12 Julai 2011 di Astro Ria.[3]
Khurafat | |
---|---|
Pengarah | Syamsul Yusof |
Dihasilkan oleh | Dato' Yusof Haslam |
Dibintangi |
|
Sinematografi | Omar Ismail |
Syarikat penerbitan | |
Diedarkan oleh | Primeworks Studios |
Tarikh tayangan | 13 Januari 2011 ( Malaysia) |
Masa tayangan | 80 minit |
Negara | Malaysia |
Bahasa | Melayu |
Bajet | RM1.50 juta[1] |
Pecah panggung | RM8.08 juta |
Sinopsis
suntingMengisahkan perjanjian terlarang dan salah satu bentuk penyelewengan dalam aqidah Islam diantara manusia dan syaitan, sesuatu yang amat ditegah dalam agama suci kita. Tetapi, manusia tanpa mengira akibat membelakangkan Allah, disokong dengan nafsu dendam serakah akhirnya hanyut dengan bisikan syaitan.
Kisah bermula dengan Johan, seorang pemuda yang bekerja sebagai Pembantu Hospital. Sudah berkahwin dan mempunyai seorang isteri bernama Aishah. Pasangan ini diawal perkahwinan hidup aman dan bahagia namun tanpa disangka trauma melanda dipertangahan jalan. Mereka sering diganggu oleh lembaga aneh. Bermacam-macam usaha telah dilakukan namun gangguan itu tetap berterusan. Ini amat menakutkan mereka lebih-lebih lagi Johan. Kehadiran seorang perempuan tua misteri ditambah dengan munculnya bekas teman wanita Johan bernama Anna yang bersikap pelik dan menakutkan menambahkan lagi episod trauma pasangan ini.
Anna sentiasa menganggu Johan walaupun ketika Johan bersama Aishah. Ini menyebabkan Johan bertambah runsing. Tidak lama selepas itu Anna ditemui mati bunuh diri. Kematian Anna adalah kemuncaknya perkara-perkara aneh yang berlaku dalam hidup Johan. Bayangan Anna mula menganggu Johan mahupun Aishah. Hidup Johan semakin tertekan. Setelah diasak pelbagai kejadian aneh akhirnya barulah terungkap segala misteri. Johan akhirnya akur dengan kesilapan silamnya… perbuatan Khurafat yang diamalkan kini menuntut haknya dan Johan terpaksa membayarnya dengan harga yang amat tinggi.[4]
Pelakon
suntingPelakon utama
sunting- Syamsul Yusof sebagai Johan, seorang pembantu hospital dan suami kepada Aisyah. Bekas teman lelaki Anna.
- Liyana Jasmay sebagai Aishah, isteri kepada Johan.
- Sabrina Ali sebagai Anna, bekas teman wanita Johan.[5]
- Along Eyzendy sebagai Rosman, kakitangan hospital dan pemandu van jenazah. Rakan karib Johan.
- Fauziah Nawi sebagai ibu Johan dan Ila.
- Huda Ali sebagai Ila, adik kepada Johan.
Pelakon pembantu
sunting- Mariani Ismail sebagai Mak Cik Rosnah, seorang tukang cuci hospital, mempunyai seorang anak lelaki yang mirip Johan.
Pelakon undangan
sunting- Latiff Borgiba sebagai Bomoh
- Salina Saibi sebagai Zura, rakan karib Anna.
- A. Galak sebagai Pak Aziz
- Wak D sebagai Imam Kahar
- Shah Iskandar sebagai Shah
- Effa Nareesha sebagai Effa
Pelakon tambahan
sunting- Izzue Islam sebagai pengujung kelab malam
Penerbitan
suntingKhurafat: Perjanjian Syaitan dimulakan dengan petikan daripada al-Quran Surah Al-Jin ayat 6 yang bermaksud:
"Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat."[6]
Dan diakhiri dengan petikan daripada Surah An-Nur ayat 21 yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; dan sesiapa yang menurut jejak langkah Syaitan, maka sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menyuruh (pengikut-pengikutnya) melakukan perkara yang keji dan perbuatan yang mungkar."[7]
Idea untuk filem ini telah diutarakan oleh Syamsul Yusof pada Mei 2009 sewaktu Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam sedang ditayangkan.[8] Ia merupakan filem keempat arahan Syamsul dan merupakan filem ke-26 terbitan Skop Productions dengan kerjasama Grand Brilliance.[9] Ia merupakan percubaan pertama Syamsul bagi genre seram selepas sekian lama bertumpu pada genre aksi, Khurafat menjadi satu-satunya filem arahan Syamsul yang disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.[10] Kos pembikinan dan promosi filem ini dianggarkan bernilai RM1.7 juta. Penggambaran dijalankan selama 25 hari bermula 14 Januari 2010 di sekitar Kuala Lumpur, Hulu Langat dan Bukit Tinggi, dan dimuktamadkan pada 7 Februari 2010.[11]
Liyana Jasmay yang terkenal dengan peranannya dalam beberapa filem seperti Castello (2006), Papadom (2009) dan Duhai Si Pari-Pari (2010) memegang watak sebagai Aisyah, isteri kepada Johan.[11] Ditanya mengenai pemilihan Liyana, Syamsul berkata: "Berlakon dengan pelakon hebat seperti Liyana, segalanya berjalan dengan lancar dan mudah. Bahkan dalam filem ini, beliau (Liyana) berjaya menjiwai watak Aishah dengan baik selain tampak lebih matang dan dewasa daripada watak sebenar".[12][13] Salina Saibi yang sebelum ini pernah berlakon dalam filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam (2009) arahan Syamsul, memegang watak sebagai Zura, rakan karib Anna yang dilakonkan oleh Sabrina Ali.[11] Pos-produksi filem ini dijalankan di Siam Film Development Co. Ltd. di Bangkok, Thailand, manakala sistem bunyi disediakan oleh Dolby Digital Surround.[11]
Keluaran dan sambutan
suntingPromosi
suntingSebulan sebelum tayangan perdananya, treler rasmi filem Khurafat telah dimuat naik di akaun YouTube Grand Brilliance pada 20 Disember 2010 dan telah mencatat 94,283 tontonan.[14]
Kutipan
suntingPada empat hari pertamanya dalam tayangan, filem Khurafat: Perjanjian Syaitan meraih kutipan sebanyak RM2.5 juta[15], sekaligus diletakkan di tangga teratas carta kutipan pawagam Malaysia pada hujung minggu 13–16 Januari 2011.[16] Filem ini masih mengungguli carta pawagam negara pada minggu kedua (20–26 Januari 2011).[17]
Selepas hampir tiga minggu ditayangankan, dilaporkan bahawa filem Khurafat mencecah RM6.9 juta setakat 31 Januari, satu pencapaian besar untuk filem seram pertama terbitan Skop Productions.[18] Kutipan filem ini RM 8.08 juta.
Ulasan kritis
suntingKhurafat: Perjanjian Syaitan menerima ulasan yang agak memuaskan pada keseluruhannya. Menurut tapak sesawang berita hiburan Oh! Artis, pengulasnya menceritakan bahawa "Satu panggung terkejut dengan babak-babak menarik yang ada … memang kecoh satu panggung wayang lagi-lagi kaum wanita yang terjerit-jerit ketakutan." Pengulas Oh! Artis memuji kesan bunyi yang "sentiasa membawa debaran", dan penamat "di luar jangkaan" penonton, tetapi menyatakan plot cerita yang kurang tersusun tetapi masih mudah difahami dan kepanjangan filem ini (1 jam 20 minit) sebagai kelemahan kecil.[4] Akhbar Internet mStar pula menyiarkan ulasan yang memuji Syamsul Yusof kerana lakonannya yang makin matang serta kerja arahannya yang cekap menyusun naratif filem ini.[19]
Ulasan Reel Ayie untuk portal Murai.com.my meluahkan bahawa filem Khurafat "sangat menyeramkan" dan memuji kesan bunyinya yang "sangat mengerunkan serta boleh bikin gugur jantung". Jelasnya, "Khurafat berjaya menjelmakan elemen seram dan jalan cerita yang menarik daripada pengarah muda berbakat ini. Biarpun baru pertama kali mengarahkan filem genre seram, namun hasilnya sungguh memberangsangkan."[20][21]
Muzik
suntingLagu tema filem ini ialah "Ya Robbi" dinyanyikan oleh Syamsul Yusof dan Dr. Anwar Fazal. Muzik videonya menampilkan sedutan adegan filem Khurafat.
Adaptasi
suntingTujuh bulan selepas Khurafat ditayangkan, sebuah siri televisyen adaptasi filem sebanyak 13 episod dengan judul sama telah disiarkan di Astro Ria bermula 12 Julai 2011.[22] Ia dibintangi oleh Zahiril Adzim sebagai Johan yang dilakonkan oleh Syamsul Yusof dalam versi filem, manakala Nora Danish memegang watak Mastura.[22] Drama ini diarahkan oleh Ismail Yaakob.[22]
Anugerah
suntingKhurafat: Perjanjian Syaitan menerima 8 pencalonan di Festival Filem Malaysia ke-24, namun tidak memenangi sebarang kategori.[23]
Anugerah | Kategori | Penerima | Keputusan |
---|---|---|---|
Festival Filem Malaysia ke-24 | Pelakon Pembantu Wanita Terbaik | Sabrina Ali | Tercalon |
Lakon Layar | Syamsul Yusof | Tercalon | |
Cerita Asal Terbaik | Syamsul Yusof | Tercalon | |
Penyunting Terbaik | Syamsul Yusof | Tercalon | |
Sinematografi Terbaik | Azami Alias dan Omar Ismail | Tercalon | |
Skor Muzik Asal Terbaik | Syamsul Yusof | Tercalon | |
Penataan Bunyi Terbaik | Hisham Jupri | Tercalon | |
Kesan Visual Terbaik | Syamsul Yusof | Tercalon |
Rujukan
sunting- ^ TAYANGAN FILEM CEREKA TAHUN 2011, Finas.gov.my. Dicapai pada 18 Januari 2011.
- ^ Khurafat - Perjanjian Syaitan Cinema.com.my. Diperoleh pada 5 Februari 2011.
- ^ Khurafat The Series Selebriti Online. Diperoleh pada 21 Julai 2011.
- ^ a b Review Filem: Khurafat – Perjanjian Syaitan, Oh! Artis, 17 Januari 2011. Dicapai pada 2 Februari 2011.
- ^ Nonie (21 Disember 2010). "Pengalaman mandi jenazah seronok - Sabrina Ali". Mangga. Diarkibkan daripada yang asal pada 25 Disember 2010. Dicapai pada 16 Februari 2014.
- ^ Surah Al-Jinn Surah.my. Diperoleh pada 7 Februari 2012.
- ^ Surah An-Nur Surah.my. Diperoleh pada 7 Februari 2012.
- ^ Wahida Asrani (21 Mei 2009). "Syamsul Yusof bersedia dengan Khurafat". mStar Online. Dicapai pada 16 Februari 2014.
- ^ Nonie (21 Disember 2010). "Khurafat menakutkan, Syamsul dapat tepukan gemuruh". Mangga. Diarkibkan daripada yang asal pada 29 Disember 2010. Dicapai pada 16 Februari 2014.
- ^ "Pengarah serba boleh", Harian Metro, 18 Februari 2010, m/s 18.
- ^ a b c d Info filem Khurafat Sensasi Selebriti. Diperoleh pada 25 Januari 2012.
- ^ Norhadiani Baharom, "Gigitan manja buat Syamsul", Harian Metro, 18 Februari 2010.
- ^ Abd. Aziz Itar (28 Disember 2010). Liyana, Syamsul bercinta dalam Khurafat Diarkibkan 2017-07-29 di Wayback Machine Utusan Malaysia. Dicapai pada 16 Mac 2011.
- ^ "KHURAFAT - Dipawagam 13 Januari 2011". YouTube. Dicapai pada 22 April 2017.
- ^ "Empat hari RM2.5 juta". Harian Metro. 18 Januari 2011. Dicapai pada 18 Januari 2011.
- ^ "Green Hornet stings". Cinema Online. 17 Januari 2011. Dicapai pada 18 Januari 2011.
- ^ Week of 20 January 2011-26 January 2011, CinemaOnline. Dicapai pada 2 Februari 2011.
- ^ Kutipan Khurafat cecah RM7 juta Diarkibkan 2011-02-04 di Wayback Machine, Berita Harian, 2 Februari 2011. Dicapai pada 2 Februari 2011.
- ^ Saspens, Kejutan Diuji Dalam 'Khurafat' Diarkibkan 2011-01-25 di Wayback Machine, mStar Online, 20 Januari 2011. Dicapai pada 2 Februari 2011.
- ^ Khurafat Sangat Menyeramkan, Menggugurkan Jantung! Diarkibkan 2013-02-04 di Wayback Machine, Murai.com.my. Dicapai pada 8 Februari 2011.
- ^ KHURAFAT – Perjanjian Syaitan terbaik dari Syamsul Yusof Diarkibkan 2018-02-12 di Wayback Machine Ruby.my (6 Januari 2011). Diperoleh pada 5 Februari 2011.
- ^ a b c Abdul Aziz Itar (11 Julai 2011). Khurafat The Series yakin lulus LPF Diarkibkan 2018-03-01 di Wayback Machine Utusan Malaysia. Diperoleh pada 21 Julai 2011.
- ^ Keputusan Penuh Pemenang Festival Filem Malaysia Ke 24 (FFM 24) Putrajaya Rotikaya (20 November 2011). Diperoleh pada 5 Februari 2012.