Kolej Kemahiran Tinggi MARA Pasir Mas

(Dilencongkan dari Kolej Kemahiran Tinggi MARA)

Kolej Kemahiran Tinggi MARA Pasir Mas (KKTM Pasir Mas) mula dibina pada tahun 1998 dan siap beroperasi pada Januari 2000 dengan nama Institut Kemahiran MARA Pasir Mas (IKM Pasir Mas). Pembinaannya mengambil masa 2 tahun menggunakan perbelanjaan Rancangan Malaysia Ketujuh (RM7) dengan peruntukkan sebanyak RM19.73 Juta. Ia dibina di atas tanah yang mempunyai keluasan 38 ekar dan kedudukannya adalah kira-kira 8 kilometer dari bandar Pasir Mas. Pengambilan pertama pelajar seramai 100 orang dibuat pada bulan April 2000. Merupakan IKM pertama yang menawarkan jurusan di peringkat Diploma Teknologi dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Kolej Kemahiran Tinggi MARA Pasir Mas.

Ditukar kepada nama Kolej Kemahiran Tinggi MARA Pasir Mas (KKTM Pasir Mas) pada tahun 2004 dan menawarkan program Diploma MARA sepenuhkan mulai sesi Julai 2004. Dengan pengstrukturan baru ini jawatan Pengetua telah dinaiktaraf ke jawatan Pengarah dan jawatan Penolong Pengetua ke jawatan Timbalan Pengarah. Dua jawatan Timbalan Pengarah diwujudkan iaitu Hal Ehwal Akademik & Khidmat Pengurusan dan Hal Ehwal Pelajar. Beberapa jawatan penting lain juga telah diwujudkan untuk memantapkan lagi sistem pentadbiran KKTM. Antaranya adalah Guru Kaunseling dan Bimbingan Kerjaya, Penyelaras Unit Peperiksaan, Pembantu Tadbir (Peperiksaan) dan Pembantu Perpustakaan.

Organisasi KKTM Pasir Mas dapat dibahagikan kepada dua bahagian utama iaitu Bahagian Khidmat Pengurusan & Hal Ehwal Pelajar yang terdiri daripada staf khidmat pengurusan dan Bahagian Hal Ehwal Akademik (HEA) yang terdiri daripada pensyarah teknikal, pensyarah bukan teknikal dan seorang Penolong Pegawai Latihan Vokasional Unit Peperiksaan. Bahagian Hal Ehwal Akademik merangkumi lima kursus iaitu Kursus Teknologi Elektrik, Kursus Teknologi Elektronik, Kursus Teknologi Senibina, Kursus Teknologi Mekanikal, Kursus Teknologi Awam, Jabatan Pengajian Am serta Unit Peperiksaan dan Persijilan.