Kongkek (persatuan)

Kongkek ialah nama popular untuk Persatuan Gambir Dan Lada Hitam yang dibentuk pada 1867 bagi tujuan tersurat "untuk saling melindungi dan memanfaatkan para pembiaya dan pemilik ladang serta untuk melindungi perdagangan antara Johor dan Singapura." Walau bagaimanapun, tujuannya yang sebenar adalah untuk membentuk suatu kartel bagi menguasai perdagangan lada hitam dan gambir di Johor dan Singapura, dengan kesannya menjangkau Riau di Indonesia dan kawasan-kawasan lain di Tanah Melayu.


Alasan pembentukan sunting

Kongkek dibentuk sebagai susulan Kontroversi Tanjung Puteri apabila Sultan Abu Bakar mencuba mencapai setakat kebebasan ekonomi dari Singapura yang pada tahun 1864 menghadapi krisis kewangan. Peraturan baharu Sultan Abu Bakar yang paling penuh dengan perbalahan merupakan peraturan yang memerlukan perahu yang mengangkut lada hitam dan gambir untuk mengisytiharkan barangan yang diangkut di Johor Bahru. Para pedagang Singapura menuduh Sultan Abu Bakar kerana mencuba memulakan sebuah monopoli perdagangan dan menganggap peraturan-peraturannya sebagai suatu cara untuk memaksa mereka berpindah ke Johor. Sebagai langkah balas, Gabenor British menyebelahi pihak pedagang di Singapura dan merujuk perkara itu kepada kerajaan British di India. Peristiwa itu mengakibatkan banyak perselisihan dan hanya dapat diatasi pada 1866 apabila Sultan Abu Bakar menetapkan lima buah pusat yang lain untuk mendaftarkan kargo. Disebabkan penyelesaian itu yang dianggap tidak begitu memuaskan, para pembiaya dan pemilik ladang di Singapura memutuskan untuk bersatu bagi tujuan sepunya.

Dengan mengawal kewangan, pelaburan dan pembangunan ladang, tenaga buruh, serta perdagangan runcit, Kongkek menjadi sebuah pertubuhan yang amat sangat berkuasa sehingga menjejaskan kepentingan ekonomi dan kewangan negeri Johor. Pelindung Orang Cina di Singapura melihat dengan penuh kebimbangan bahawa persatuan itu telah berlagak seolah-oleh autoriti berdaulat, dengan pegawai kastam sendiri yang berkuasa untuk mengenakan denda dan memerintah perampasan barangan.

Pengasas sunting

Tokoh yang memainkan peranan yang paling bererti dalam Kongkek ialah Tan Seng Poh yang menguasai Ladang Candu Singapura dari 1863 hingga 1868 dan Ladang Arak (Spirit Farm) Singapura dari 1866 hingga 1870. Kemudian dari 1870 sehingga kematiannya pada 1879, Tan Seng Poh berserta Cheang Hong Lim dan Tan Hiok Nee membentuk sebuah pertubuhan perniagaan yang berkuasa yang kini digelar Sindiket Candu Agung. Ketiga-tiga tokoh itu dan rakan-rakan mereka menguasai dua aspek perdagangan dan sumber hasil Johor yang paling penting, iaitu pengeluaran dan perdagangan lada hitam dan gambir melalui Kongkek, serta ladang candu dan arak melalui Sindiket Candu Agung.

Kemerosotan Kongkek sunting

Apabila Tan Seng Poh meninggal dunia pada 1879, tiada orang mengambil alih kepimpinan persatuan Kongkek, dengan Tan Hiok Nee menjual konsesinya lalu berundur dari Johor pada 1880-an. Perkembangan ini memberikan kerajaan Johor suatu peluang untuk memasuki Kongkek, dengan Dato' Jaafar bin Mohamed, Menteri Besar Johor, meminta bantuan daripada para orang Cina Johor yang berada dan dapat dipercayai. Wong Ah Fook, seorang Kantonis, kemudian dipilih untuk membantu kerajaan Johor mengawal semula hasil negeri Johor melalui menembusi Kongkek yang sehingga masa itu dikuasai oleh kaum Teochew.

Rujukan sunting

Pautan luar sunting