Konserto Terakhir merupakan sebuah novel hasil nukilan Sasterawan Negara Ke-8, Abdullah Hussain yang dikeluarkan pada tahun 1971.[1] Novel ini bertemakan perjuangan hidup dan kegigihan seorang anak muda yang bernama Hilmi yang berasal dari kampung dan berhijrah ke bandar untuk mencari pekerjaan dan akhirnya berjaya menjadi seorang seniman besar negara.[2] Novel ini juga dijadikan sebagai salah satu Komponen Sastera (KOMSAS) bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia untuk bacaan pelajar Tingkatan 5.

Konserto Terakhir
Kulit buku cetakan semula bagi edisi pelajar pada tahun 2001
Umum
PengarangAbdullah Hussain
NegaraMalaysia
BahasaBahasa Melayu
GenreRomantik
Penerbitan
PenerbitUtusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Tarikh penerbitan
1971
Jenis media
Cetakan (kulit lembut)
Halaman285
PenghargaanSayembara Novel Sempena 10 Tahun Kemerdekaan 1967 (Tempat Ke-3)

Ringkasan plot sunting

Hilmi berhijrah dari Kedah ke Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan. Dia menumpang di rumah sepupu bapanya iaitu, Datuk Johari. Kehadiran Hilmi tidak disukai oleh Datin Salmah kerana Datin Salmah memandang hina kepada orang kampung yang miskin. Hilmi bekerja sebagai tukang kebun. Kerajinan dan sifat artistik yang dimiliki oleh Hilmi telah mengubah pekarangan rumah Datuk Johari menjadi lebih cantik.[2]

Hayati tertarik dengan kebolehan Hilmi bermain piano. Hubungan Hayati dengan Hilmi yang rapat telah menyebabkan Datin Salmah bertekad untuk menghalau Hilmi. Hilmi meninggalkan rumah dan belajar bermain alat muzik daripada Encik Bakar. Hilmi berjaya sebagai seorang pemain alat muzik dan penggubah lagu yang terkenal. Sementara itu, Hayati hendak berangkat ke London dengan suaminya, Mohsin. Sebelum berangkat, Hayati datang berjumpa dengan Hilmi dan menyatakan perasaan cintanya kepada Hilmi.[2]

Orkestra Hilmi berjaya memenangi Festival Muzik di Jepun. Hilmi berkahwin dengan Azizah tetapi Azizah meninggalkannya selepas mendapat seorang anak. Hilmi terjatuh dan terlantar di hospital pada malam "Pertunjukan Orkes Perdana".[2]

Hayati pulang dan mengambil alih tugas Hilmi sebagai pemimpin orkestra. Di hospital, Pak Karim memberitahu Datuk Johari bahawa Hilmi adalah anak Datuk Johari sendiri. Sebagai kesannya, Datuk Johari dan Datin Salmah insaf akan perbuatan mereka yang menyeksa Hilmi. Seterusnya, Datuk Johari mati mengejut ketika menerima berita kematian Hilmi.[2]

Watak sunting

  • Hilmi merupakan seorang pemuda kampung yang berpendidikan rendah kerana hanya lulus darjah empat semasa di sekolah rendah. Dia berkahwin dengan Azizah. Beliau mempunyai sifat yang baik dan terpuji seperti rajin, gigih dan tabah selain daripada kemahiran artistik yang dimilikinya.
  • Hayati merupakan anak tunggal kepada Datuk Johari dan Datin Salmah. Beliau berkahwin dengan Mohsin kerana patuh kepada kehendak ibu bapanya. Beliau mempunyai fizikal yang cantik, penyayang dan taat.
  • Datuk Johari merupakan bapa kepada Hayati dan suami kepada Datin Salmah. Pada mulanya, dia dikenali sebagai bapa saudara kepada Hilmi, tetapi akhirnya, kebenaran telah terbongkar bahawa dia adalah bapa Hilmi melalui perkahwinan dengan isteri pertama. Beliau mempunyai sifat baik hati, bijak dan mengamalkan gaya hidup orang Barat.
  • Datin Salmah merupakan ibu saudara kepada Hilmi. Beliau juga adalah isteri kepada Datuk Johari dan ibu kepada Hayati. Beliau juga seorang yang sombong dan mementingkan darjat.
  • Mohsin merupakan suami kepada Hayati.
  • Encik Bakar merupakan guru muzik yang pernah mengajar Hayati dan Hilmi bermain piano. Beliau juga merupakan bapa mentua kepada Hilmi.
  • Azizah merupakan anak kepada Encik Bakar dan isteri kepada Hilmi.
  • Pak Karim merupakan abang sepupu kepada Datuk Johari.

Rujukan sunting

  1. ^ "Konserto Terakhir by Abdullah Hussain". Goodreads. Dicapai pada 19 Februari 2013.
  2. ^ a b c d e "Analisis Novel Konserto Terakhir". 7 Mei 2012. Diarkibkan daripada yang asal pada 2013-06-06. Dicapai pada 19 Februari 2013.