Konvensyen Geneva (bahasa Inggeris: Geneva Conventions, Perancis: Conventions de Genève) mengandungi empat perjanjian, dan tiga protokol tambahan, yang menghasilkan piawaian undang-undang antarabangsa mengenai layanan kemanusiaan semasa peperangan. Istilah tunggal Konvensyen Geneva biasanya ditujukan untuk perjanjian pada 1949, yang dirundingi selepas tamatnya Perang Dunia Kedua (1939–1945), yang mana ia mengemas kini terma-terma dalam dua perjanjian pada 1929, dan menambah dua konvensyen baharu. Konvensyen Geneva secara luasnya menerangkan hak-hak asas mereka yang terlibat dalam peperangan (orang awam dan tentera), yang mewujudkan perlindungan kepada mereka yang cedera dan sakit, dan mewujudkan perlindungan kepada orang awam yang berada dalam dan di sekeliling kawasan perang. Perjanjian 1949 telah diratifikasi, secara keseluruhannya atau dengan beberapa pengecualian, oleh 196 buah negara.[1] Tambahan lagi, Konvensyen Geneva juga menerangkan hak dan perlindungan yang diusahakan kepada bukan pejuang. Konvensyen Geneva adalah mengenai tentera dalam perang, ia bukan digunakan untuk penggunaan senjata perang, yang mana itu di bawah Konvensyen Hague,[a] dan Protokol Geneva mengenai peperangan biokimia.[b]

Konevsnyen Geneva: Laman tanda tangan dan cap mohor Konvensyen Geneva 1864, yang mewujudkan undang-undang kemanusiaan semasa perang.
Dokuman asal dalam PDF, dalam satu halaman, 1864

Usulan yang dipersetujui dalam persidangan sunting

Pada konvensyen pertama dan kedua sunting

  1. Anggota tentera yang sakit dan cedera (yang tidak bersenjata) tidak boleh diserang. Mereka hendaklah dilayan dengan baik. Jika ditawan, mereka hendaklah dijaga dengan baik seperti pihak musuh menjaga anggota mereka sendiri yang cedera.
  2. Pihak-pihak yang bersengketa hendaklah mengambil tindakan seberapa daya yang boleh mencari dan mengumpul mereka yang cedera dan sakit serta melindungi mereka daripada dianiaya.
  3. Jika boleh, mereka yang mati hendaklah dikumpul dan dikebumikan atau dibakar dengan penuh penghormatan. Butir-butir diri mereka hendaklah diberi kepada agensi-agensi yang berkenaan supaya saudara mara mereka boleh dihubungi. Barang kepunyaan mereka tidak boleh dicuri.
  4. Anggota-anggota perubatan, sama ada berkhidmat dengan tentera, Palang Merah, atau mana-mana organisasi bantuan yang lain, tidak dianggap sebagai kombatan. Mereka tidak boleh diserang. Mereka dibenarkan merawat orang-orang yang sakit atau cedera tanpa gangguan.
  5. Pasukan tentera boleh menahan anggota perubatan tentera dan guru agama tentera supaya mereka boleh digunakan untuk memberi rawatan perubatan atau keperluan agama tawanan perang. Mereka tidak dianggap sebagai tawanan perang, dan hendaklah dibebaskan bila khidmat mereka tidak diperlukan lagi.
  6. Semua bangunan dan unit perubatan seperti hospital, ambulans dan kapal hospital hendaklah menggunakan lambang Palang Merah atau Bulan Sabit Merah supaya dikenalpasti. Mereka tidak boleh diserang, dimusnah atau dihalang daripada menjalankan operasi mereka.
  7. Salah guna lambang Palang Merah atau Bulan Sabit Merah adalah salah dari segi undang-undang.

Pada konvensyen ketiga sunting

  1. Semua tawanan hendaklah memberi nama, pangkat, tarikh lahir dan nombor pengenalan. Maklumat ini hendaklah dihantar kepada pihak-pihak berkuasa yang berkenaan supaya mereka dapat dikesan oleh kerajaan mereka.
  2. Tawanan perang tidak boleh diseksa untuk mendapatkan maklumat. Mereka tidak boleh diancam (seperti dikurung, tidak diberi makanan) untuk mendapatkan maklumat.
  3. Tawanan perang hendaklah sentiasa diberi layanan yang baik. Mereka tidak boleh didera atau digunakan dalam eskperimen perubatan atau sains.
  4. Tawanan perang tidak boleh dihantar atau ditempatkan dalam kawasan yang terdedah kepada pertempuran. Keadaan hidup mereka (seperti makanan, perlindungan, pakaian) hendaklah sama baiknya dengan anggota-anggota tentera pihak musuh.
  5. Pakaian, makanan dan peraturan kesihatan hendaklah dijaga dengan baik supaya tawan perang berada dalam keadaan yang selesa.
  6. Tawanan perang hendaklah dibenar mengamalkan suruhan agama mereka.
  7. Tawanan perang hendaklah dibenarkan beriadah, membaca dan bersukan.
  8. Tawanan perang yang sihat boleh ditugaskan membuat kerja yang ringan dan tidak merbahaya serta tidak mempunyai tujuan ketenteraan. Mereka hendaklah dibayar dengan bayaran berpatutan atas tugas yang mereka lakukan.
  9. Tawanan perang hendaklah dibenar menerima dan mengirim surat dan juga menerima bungkusan barang (seperti makanan, pakaian, buku dll).
  10. Tawanan perang hendaklah dibenar membuat aduan mengenai keadaan hidup mereka atau hal-hal lain kepada wakil ICRC. Ini hendaklah dilakukan tanpa saksi, dan oleh seorang wakil yang dipilih oleh tawanan-tawanan perang.
  11. Tawanan perang yang tidak berdaya, sakit tenat atau sakit jiwa hendaklah dihantar pulang.
  12. Tawanan perang hendaklah dihantar pulang selepas tamat peperangan

Pada konvensyen keempat sunting

  1. Mereka yang cedera, orang tua, kanak-kanak dan ibu mengandung hendaklah dipindahkan dari kawasan pertempuran.
  2. Hospital awam dan anggotanya hendaklah dilindungi daripada serangan dan dibenarkan menjalankan tugas mereka tanpa gangguan.
  3. Laluan bebas hendaklah diberikan kepada peralatan dan bekalan perubatan dan juga keperluan bagi tujuan keagamaan.
  4. Tindakan harus diambil oleh pihak bermusuhan untuk menentukan bahawa kanak-kanak yatim berusia 15 tahun ke bawah atau mereka dengan keluarga akibat peperangan diberi makanan, pelajaran, tempat tinggal dan pendidikan.
  5. Orang awam mestilah diberi layanan yang baik. Agama, adat dan kepercayaan mereka hendaklah dihormati. Wanita tidak boleh dirogol, diserang atau dipaksa menjadi pelacur.
  6. Adalah dilarang menggunakan paksaan terhadap orang awam untuk mendapatkan maklumat.
  7. Mencuri harta awam atau mengambil tebusan adalah dilarang.
  8. Orang awam yang membuat kesalahan hendaklah dibicarakan di mahkamah.

Lihat juga sunting

Nota sunting

  1. ^ First Hague Conference, 1899; Second Hague Conference, 1907
  2. ^ Protocol for the Prohibition of the Use in War of Asphyxiating, Poisonous or other Gases, and Bacteriological Methods of Warfare, 1925

Bacaan lanjut sunting

Rujukan sunting

  1. ^ "State Parties / Signatories: Geneva Conventions of 12 August 1949". International Humanitarian Law. International Committee of the Red Cross. Dicapai pada 22 Januari 2007.

Pautan luar sunting

  Karya berkenaan Geneva Convention di Wikisumber