Kota Lukut ialah sebuah kota di Lukut, Negeri Sembilan yang dibina oleh Raja Jumaat ibni Raja Jaafar pada 1847 ketika pemerintahan Sultan Selangor yang ketiga iaitu Sultan Muhammad Shah (1826-1857). Kota ini terletak di atas bukit yang dinamakan Bukit Gajah Mati atau disebut juga sebagai "Bukit Raja", ketika itu dalam pemerintahan Selangor.[1]

Kota dan Muzium Lukut

Kota yang berbentuk empat segi bujur yang berukuran lebih kurang 200 meter panjang dan 170 meter lebar ini dikelilingi parit yang dipasang dengan ranjau yang mempunyai kedalaman di antara tiga hingga lima meter dalam. Dari atas kota, boleh dilihat pemandangan Sungai Lukut, Selat Melaka dan kawasan sekitarnya.

Semasa Raja Bot bin Raja Jumaat memerintah, banyak tentangan dihadapi daripada musuh terutama daripada Raja Sulaiman (Sungai Raya) yang enggan tunduk kepadanya. Kota Lukut diperbesarkan dan diperkuatkan dengan kawalan 30 orang askar Arab bagi menghadapi sebarang serangan musuh.

Kegawatan politik dan kekacauan yang berlaku ketika itu akhirnya melemahkan kewangan Lukut dan sedikit demi sedikit menghakis kemasyhuran Lukut.

Kini terdapat sebuah muzium di kaki bukit berhampiran kota ini yang dinamakan Muzium Lukut.


Raja Jumaat meninggal dunia pada tahun 1865 dan diganti oleh Raja Boy iaitu anaknya hasil perkahwinan bersama Tengku Senai Ibni Sultan Muhammad. Era Raja Bot merupakan permulaan era kemerosotan Lukut  kerana beberapa faktor. Antaranya adalah tuntutan wilayah Lukut oleh Sungei Ujong, penentangan Raja Sulaiman iaitu pembesar Sungai Raya, dan juga bebanan hutang. Termeterainya Perjanjian Persempadanan Selangor - Sungei Ujong pada 31 Julai 1880 menandakan berakhirnya era pemerintahan pembesar Melayu di Lukut. Raja Bot menyerahkan Lukut kepada Sungei Ujong melalui perjanjian tersebut.


Geo-Politik Kota Lukut

Kota Lukut kini berada di dalam daerah Port Dickson., Negeri Sembilan. Namun pada awal abad ke-19 hingga tahun 1880, ia tertakluk di bawah pemerintahan Sultan Selangor.

Raja Busu Bin Raja Nala (1815-1834)

Raja Busu AKA Tengku Busu merupakan anak kepada Raja Nala Ibnu Al-Marhum Sultan Salehuddin (Sultan Selangor yang pertama). Semasa pemerintahan Sultan Ibrahim iaitu Sultan Selangor Kedua (1778-1826), kecekapan Raja Busu dalam memulakan perlombongan bijih timah di Lukut telah membuahkan hasil. Ini dibantu dengan kemasukan para pelombomg Cina ke Lukut. Menurut catatan sejarah, pada 1818, penduduk Lukut berjumlah lebih kurang seribu orang dan satu per lima daripadanya terdiri daripada orang Cina. Kemasukan penduduk dari luar yang semakin meningkat mewujudkan kelompok peniaga dan petani yang membekalkan bahan makanan kepada para pelombong di kawasan berhampiran. Ketika itu, Lukut merupakan sebuah daerah di dalam Selangor yang mencatatkan pengeluaran biji timah  lebih kurang 3,600 pikul setahun. Ini menjadi asas kepada peningkatan cukai sebanyak sepuluh peratus yang dikenakan oleh Raja Busu. Peningkatan cukai ini tidak diterima baik oleh pelombong mahupun pemodal dari Melaka sehingga tercetusnya pemberontakan.


Pembunuhan Raja Busu

Pada era Sultan Selangor kedua iaitu Sultan Ibrahim (1778-1826), Raja Busu Bin Raja Nala telah datang ke Lukut bersama-sama pengikutnya dari Kuala Selangor, Kedah dan neegri-negeri lain. Beliau merupakan kerabat diraja Selangor. Walau bagaimanapun, hasil perlombongan bijih timah yang diusahakan beliau tidak diserahkan kepada Sultan Selangor. Malah, beliau menjemput orang Cina terutamanya dari Melaka untuk datang ke Lukut dan membuka serta bekerja di lombong bijih timah bagi meningkatkan pengeluaran sekitar 1824. Sultan Ibrahim melantik seorang kapitan Cina bagi menjaga kebajikan dan kesejahteraan penduduk Cina. Raja Busu pula mengambil kesempatan di sebalik kemakmuran Lukut dengan menaikan cukai bijih timah yang dieksport sebanyak 10%. Akibatnya, para pelombong  di Lukut memberontak dan membakar istana Raja Busu. Raja Busu terbunuh dalam tragedi itu. Peristiwa itu berlaku pada September 1834. Pemberontak yang hilang sabar telah membakar kediaman Raja Busu serta para pengikutnya. Kesannya, Raja Busu telah terbunuh di dalam kebakaran tersebut bersama-sama isteri, anak-anak serta sebilangan pengikutnya. Jenazah Raja Busu dan keluarganya telah dikebumikan di sebuah bukit berhampiran pantai di Kampung Kuala Lukut. Pengikut Raja Busu yang masih setia kepada beliau telah bertindak membalas dendam terhadap pelombong-pelombong yang memberontak sehingga mereka melarikan diri ke Melaka.


Raja Jumaat

Kemudian, seorang Bugis berketurunan raja Riau bernama Raja Jaafar  datang ke Lukut bersama anak-anaknya iaitu Raja Jumaat dan Raja Abdullah. Dalam masa yang singkat, kemakmuran lukut dapat dikembalikan hasil kegigihan dan kebijaksanaan disamping bantuan dan sokongan pelombong Cina. Pada tahun 1846, Sultan Muhammad (Sultan Selangor ke-3) telah mengkahwinkan anakndanya, Tengku Senai dengan Raja Jumaat serta mengurniakan surat kuasa yang memberi hak pemerintahan dan hak memungut cukai di Lukut bagi mengenang jasa Raja Jumaat membantu Sultan Muhammad membayar hutang baginda. Lukut semakin makmur dan mahsyur di bawah Raja Jumaat. Tujuan kota ini dibina adalah bagi mengelak serangan daripada musuh terutama sekiranya berlaku sebarang kekacuan atau pemberontakan.


Perjanjian Sempadan Selangor - Sungei Ujong, 10 Februari 1878

Perjanjian ini dibuat di antara Sultan Abdul Samad, yang Dipertuan Selangor dengan Tunku Syed Abdul Rahman, Datoh Klana Sungei Ujong.

(Pertama)

Dengan nasihat Kapten Bloomfield Douglas, Residen British di Selangor, Sultan Abdul Samad yang Dipertuan Selangor bagi pihak dirinya, dan puteranya Raja Musa atau sesiapa juga penggantinya yang akan ditabalkan sebagai Sultan atau waris-warisnya, mulai saat itu mengaku bahawa kawasan Lukut yang pada masa itu diperintah oleh Raja Bot dan semua kawasan tanah dalam Sungai Raya yangs ekarang diperintah oleh Raja Daud, yang kesemuanya itu adalah di bawah kekuasaan Sultan Abdul Samad, diserahkan kepada Syed Abdul Rahman, Dato' Klana Sungei Ujong, pengganti-penggantinya dan waris-warisnya untuk selama-lamanya.

(Kedua)

Dengan nasihat Kapten Murray, Residen British di Sungei Ujong, Tunku Syed Abdul Rahman Dato' Klana Sungei Ujong bagi pihak dirinya, pengganti-penggantinya dan waris-warisnya atau sesiapa juga yang memerintah Sungei Ujong dan bergelar Dato' Klana, mengaku bahawa mulai saat itu kawasan yang terletak di Seberang Tebing Sungai Langat yang bernama Rekoh dan semua tanah bernama Labu adalah diserahkan kepada Sultan Abdul Samad Selangor, pengganti-penggantinya dan waris-warisnya untuk selama-lamanya.

RujukanSunting