Kritikan terhadap respons kerajaan terhadap banjir Malaysia 2021–2022

Kritikan terhadap respons kerajaan terhadap banjir Malaysia 2021–2022 merujuk kepada isu-isu pengurusan kerajaan Malaysia pimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob terhadap banjir Malaysia 2021–2022, suatu bencana banjir yang melanda Semenanjung Malaysia yang dianggap luar biasa oleh kerana banjir mengenai Lembah Klang yang tidak lazim menerima bencana banjir. Secara khusus, kritikan-kritikan yang diutarakan termasuk ketiadaan amaran prabanjir yang betul, kelewatan pemberian bantuan oleh kerajaan, sikap sambilewa kerajaan dalam menguruskan bencana, dan tindakan kerajaan yang mempergunakan bencana banjir demi kepentingan politik peribadi.

Banjir pada Disember 2021 di Klang, Selangor.

Secara am, pembinaan kritikan dan kemarahan rakyat terhadap kerajaan digandakan melalui media sosial, di mana para rakyat meluahkan perasaan marah terhadap kerajaan serta mendedahkan-mendedahkan kontroversi yang diterbitkan mereka.[1] Susulan itu, ramai pihak menuntuk perkara-perkara seperti peningkatan kesiapsiagaan bencana negara serta reformasi struktur pemerintahan negara yang dianggap terlalu besar dan korup.[2]

Kritikan terhadap pengurusan prabanjir sunting

Sejurus selepas banjir melanda, ramai pihak mempersoal tindakan kerajaan yang tidak mengendahkan amaran-amaran banjir serta bencana berkaitan yang dikeluarkan pihak meteorologi negara dan antarabangsa. Secara ringkas, banjir ini berlaku akibat sebuah taufan kecil - Lekukan Tropika 29W yang mengenai Semenanjung Malaysia pada 14 Disember 2021. Taufan itu kemudian merentasi semenanjung hingga mereda pada 17 haribulan, seterusnya membawa hujan lebat berterusan dalam kira-kira dua hari di kawasan Pantai Timur dan Lembah Klang lalu menerbitkan bencana banjir ini, di samping faktor-faktor lain seperti monsun dan kejadian air pasang.

Kutukan dihumban terhadap Majlis Keselamatan Negara Malaysia (MKN) kerana tidak mengguna pakai sistem mesej pukal negara untuk mengutarakan maklumat-maklumat berkenaan banjir tersebut.[3] Banyak pihak mempersoalkan tindakan kerajaan yang sebaliknya menggunakan sistem itu bagi perkara-perkara yang dianggap remeh seperti mempromosikan aktiviti-aktiviti berkaitan projek Keluarga Malaysia yang banyak disifatkan sebagai propaganda prokerajaan. Susulan itu, pihak pengkritik menyeru agar sistem amaran prabanjir dikukuhkan, termasuk agensi meteorologi negara.[4] Di samping itu, sebuah hujah Parlimen oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah pada 26 Julai yang memberi peringatan awal untuk bersiap sedia menghadapi banjir turut tular.[5]

Kritikan terhadap pengurusan pascabanjir sunting

Pelbagai kritikan telah diberikan terhadap kerajaan berkenaan pengurusan pascabanjir yang dilihat sambalewa dan lewat. Beberapa laporan daripada para mangsa meluahkan kekecewaan bahawa pihak berkuasa gagal memberikan bantuan yang sepantutnya, dan terpaksa berharap kepada warga asing serta pihak sukarelawan.[6] Satu tulisan di Sinar Harian berpendapat bahawa koordinasi bantuan kemanusiaan sesama rakyat menerusi media sosial adalah jauh lebih baik berbanding pengurusan oleh kerajaan.[7] Seorang presiden kumpulan pemuliharaan, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil, menghujah bahawa kelewatan pemberian bantuan pascabanjir berlaku akibat isu birokrasi yang tidak baik.[8]

Perdana Menteri sunting

Dalam satu kenyataan, Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Kelang Saari Sungib menyelar Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob atas kelewatan bantuan banjir terhadap rakyat Selangor, malah mendakwa bahawa kelewatan itu adalah berniat jahat sehingga menyeru mangsa-mangsa banjir agar menyaman Ismail atas isu tersebut.[9] Kenyataan ini kemudiannya dibantah sekutu Ismail, Shahril Sufian Hamdan yang berkata bahawa Ismail telah bekerjasama di sebalik tabir dalam pengurusan bencana banjir.[10] Sementara itu, Ismail mengaku bahawa memang ada beberapa "kelemahan" yang ada dalam pengurusan pascabanjir pemerintahannya.[11]

Agensi Pengurusan Bencana Negara sunting

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) diselar pelbagai pihak kerana dilihat mendiamkan diri dalam pengurusan pascabanjir serta mengetepikan amaran-amaran banjir.[12] Selain itu, NADMA dikritik kerana dikatakan gagal mengarahkan pihak tentera bagi tujuan bantuan pascabanjir sehingga pihak tentera bertindak mula mengerahkan bantuan secara sendiri.[13] Untuk menjawab kritikan tersebut, pihak NADMA menafikan bahawa mereka telah menghalang pihak tentera daripada membantu mangsa banjir atau ada selisih faham antara mereka dengan pihak tentera.[14]

Dewan Rakyat sunting

Pada 20 Disember, tindakan Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun yang menghalang permohonan ahli-ahli parlimen pembangkang untuk berbincang tentang banjir mendapat kritikan orang ramai.[15] Tindakannya dibantah kedua-dua pihak pemerintah serta pembangkang dengan sesetengah pihak menyeru agar Azhar diletak jawatan.[16][15] Dalam hal ini, Azhar menyatakan bahawa tindakan itu dilakukan berlandaskan protokol Dewan Rakyat, di mana para ahli dewan perlu mengusulkan seruan untuk membincangkan suatu perkara kepadanya sekurang-kurangnya sehari sebelum usul dibincangkan.[17]

Pertelingkahan Amirudin Shari-Noh Omar sunting

Di peringkat kerajaan negeri Selangor, satu kontroversi terbit berkenaan jawatan pengerusi MKN peringkat negeri antara Menteri Besar Amirudin Shari dan Noh bin Omar. Isu ini berlaku susulan berlaku persoalan tentang siapa yang memegang jawatan itu ketika kritikan diutarakan terhadap MKN atas masalah-masalah pengurusan pascabanjir. Pada November, Amirudin telah menyerahkan jawatannya sebagai pengerusi MKN Selangor kepada Noh Omar. Akan tetapi, susulan bencana banjir, jawatan itu dikembalikan kepada Amirudin bermula 25 Disember.[18] Walau bagaimanapun, isu ini dikritik pelbagai pihak kerana dilihat tidak penting.[19]

Eksploitasi bencana banjir sunting

Sikap kerajaan serta ahli-ahli politik yang dilihat mempergunakan bencana itu untuk mempromosikan diri dan kerajaan mereka turut dikecam.[20] Satu isu yang terbit ialah penganjuran majlis-majlis pelancaran bantuan banjir yang dikatakan sebagai suatu pembaziran dan tidak perlu seperti yang dilakukan oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz.[21] Di samping itu, sikap golongan ahli politik yang bersikap tidak sensitif terhadap bencana banjir juga dikutuk. Antara kontrovers-kontroversi dalam hal ini ialah penganjuran majlis yang dikaitkan dengan parti baharu, Parti Bangsa Malaysia tatkala sekitar 50 ribu orang daripada sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Penggerak Komuniti Negara menyertai parti itu.[22][23] Gambar-gambar para ahli politik yang dilihat tak sensitif ketika menolong mangsa banjir juga tular dan memperoleh kutukan ramai, dengan ahli-ahli yang diselar termasuk Tengku Zafrul dan Rina Mohd Harun.[24][25]

Reaksi sunting

Persepsi masyarakat terhadap pengurusan oleh kerajaan juga dilihat negatif dengan muncul tagar-tagar antikerajaan di media sosial.[1] Slogan "rakyat jaga rakyat" yang pada awalnya terbit dalam peningkatan kemarahan terhadap pengurusan kerajaan terhadap pandemik COVID-19 negara juga kembali menular.[26] Kemarahan antikerajaan juga menghambat usaha-usaha kerajaan seperti pemboikotan tabung bantuan banjir kerajaan oleh kerana kebimbangan eksploitasi wang bantuan demi kepentingan politik peribadi, dan sebaliknya berpaling tadah kepada pihak-pihak NGO yang dilihat lebih telus dalam memberikan bantuan.[1]

Dengan persepsi negatif terhadap kerajaan yang memuncak, para penganalisis politik menjangka bahawa penerusan persepsi ini akan menjadi faktor utama penentu undian rakyat pilihan raya umum Malaysia ke-15.[27] Di samping itu, para peguam pendukung alam sekitar pula ingin menyaman kerajaan Selangor atas persepsi pengabaian terhadap alam sekitar serta pembangunan melampau.[28]

Rujukan sunting

  1. ^ a b c Shukry, Anisah (24 Disember 2021). "Malaysia Premier Faces Twitter Backlash Over Flood Response". Bloomberg (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 26 Disember 2021.
  2. ^ Yunus, Arfa (25 Disember 2021). "Review Cabinet line-up call". New Straits Times (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 26 Disember 2021.
  3. ^ Isa, Mohd. Haikal (19 Disember 2021). "'Rakyat tak menang tangan bagi info, bantuan'". Kosmo!. Dicapai pada 19 Disember 2021.
  4. ^ Hairom, Nurhidayah (24 Disember 2021). "Tingkat sistem amaran awal bencana". Sinar Harian. Dicapai pada 26 Disember 2021.
  5. ^ Azizan, Azri (21 Disember 2021). "Nurul Izzah Had Actually Warned The Government About The Flood 5 Months Ago!". World of Buzz (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 30 Disember 2021.
  6. ^ "'It's beautiful to see everyone working in harmony': Malaysia volunteers out in force to aid flood victims". CNA. Diarkibkan daripada yang asal pada 22 December 2021. Dicapai pada 23 December 2021.
  7. ^ Mohd Khalid, Mohammad Khairil Ashrah (21 Disember 2021). "Antara koordinasi kerajaan dan koordinasi rakyat". Sinar Harian. Dicapai pada 21 Disember 2021.
  8. ^ "Floods: Malaysians lament the poor response to crisis in Klang Valley". The Star. Diarkibkan daripada yang asal pada 22 December 2021. Dicapai pada 23 December 2021.
  9. ^ "Banjir: PM tak cakna, ADUN gesa mangsa ambil tindakan undang-undang". Free Malaysia Today. 25 Disember 2021. Dicapai pada 26 Disember 2021.
  10. ^ Hibrahim, Muhammad Amnan (26 Disember 2021). "Dakwaan PM lewat bertindak tidak benar: Shahril". Sinar Harian. Dicapai pada 26 Disember 2021.
  11. ^ "Malaysian PM admits 'weaknesses' over flood response; 17 dead so far". The Straits Times. 21 December 2021. Diarkibkan daripada yang asal pada 22 December 2021. Dicapai pada 23 December 2021.
  12. ^ Nazaraly, Muhammad Zakwan (24 Disember 2021). "Lambat bertindak, Nadma 'kena serang'". Sinar Harian. Dicapai pada 26 Disember 2021.
  13. ^ Mokhtarom, Megat Syazlee (26 Disember 2021). "Benarkah kita lambat bertindak?". Utusan Malaysia. Dicapai pada 24 Disember 2021.
  14. ^ Md Zain, Ruwaida (21 Disember 2021). "NADMA nafi halang ATM laksana operasi banjir". Berita Harian. Dicapai pada 26 Disember 2021.
  15. ^ a b "MPs lament Speaker's refusal to allow debate on floods". Free Malaysia Today (FMT). Diarkibkan daripada yang asal pada 20 December 2021. Dicapai pada 23 December 2021.
  16. ^ "Tok Mat slams decision not to debate floods". The Star. Diarkibkan daripada yang asal pada 23 December 2021. Dicapai pada 23 December 2021.
  17. ^ "No one submitted motion to discuss flood situation, says Dewan Rakyat Speaker". Malay Mail (dalam bahasa Inggeris). 22 Disember 2021. Dicapai pada 26 Disember 2021.
  18. ^ Ramachandran, Jananey (24 Disember 2021). "I am back as state MKN chairman, says Selangor MB". Free Malaysia Today (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 26 Disember 2021.
  19. ^ Zainury, Muhammad Azlim (23 Disember 2021). "'Siapa Pengerusi MKN Selangor bukan isu penting' - Amirudin". Sinar Harian. Dicapai pada 26 Disember 2021.
  20. ^ "Faizal akur lepas Najib tegur majlis pelancaran sukarelawan banjir". Malaysiakini. 19 Disember 2021. Dicapai pada 20 Disember 2021.
  21. ^ Nasir, Aslinda (21 Disember 2021). "'Orang dah kebulur, duduk atas bumbung, menteri sempat buat majlis pelancaran?'". Utusan Malaysia. Dicapai pada 26 Disember 2021.
  22. ^ Hisamudin, Hakimie Amrie (21 Disember 2021). "No new party launch, just NGO members joining Parti Bangsa Malaysia". Free Malaysia Today. Dicapai pada 26 Disember 2021.
  23. ^ "ULASAN | Kayangan yang tak reti membumi". Malaysiakini. 24 Disember 2021. Dicapai pada 26 Disember 2021.
  24. ^ Abu Bakar, Juani Munir (23 Disember 2021). "Gambar bantuan banjir Tengku Zafrul cetus kritikan". Utusan Malaysia. Dicapai pada 26 Disember 2021.
  25. ^ Husain, Nurul Huda (23 Disember 2021). "Rina jawab isu berkasut tumit tinggi lawat mangsa banjir". Sinar Harian. Dicapai pada 26 Disember 2021.
  26. ^ "Berkumandang slogan rakyat jaga rakyat". Sinar Harian. 21 Disember 2021. Dicapai pada 21 Disember 2021.
  27. ^ Mahpar, Nora (21 Disember 2021). "Kemarahan rakyat terhadap kerajaan tangani isu banjir akan terpahat di kertas undi, kata penganalisis". Free Malaysia Today. Dicapai pada 21 Disember 2021.
  28. ^ "Peguam mahu tuntut di mahkamah, perangi musnah hutan punca banjir S'gor". Malaysiakini. 22 Disember 2021. Dicapai pada 23 Disember 2021.