Kuala Belait

pekan di Brunei

Kuala Belait (KB), secara rasmi Bandaran Kuala Belait, ialah bandaran utama bagi Daerah Belait, Brunei. Ia terletak di bahagian paling barat negara, di kuala Sungai Belait dengan Laut Cina Selatan (justeru nama 'Kuala Belait'). Kuala Belait merupakan petempatan kedua terbesar di Brunei selepas ibu negara Bandar Seri Begawan.

Pentadbiran sunting

Kuala Belait ditadbir sebagai sebuah bandaran, yang mana kawasannya bertindan dengan beberapa sub-pembahagian kampung dalam Mukim Kuala Belait, iaitu Pekan Kuala Belait, Kampung Pandan dan sebahagian Kampung Mumong. Kuala Belait adalah di bawah tanggungjawab Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria, sebuah majlis perbandaran yang juga bertanggungjawab terhadap Pekan Seria dalam daerah yang sama. Badan tersebut merupakan badan kerajaan dalam Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria, salah sebuah jabatan kerajaan di bawah Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

Pendidikan sunting

Terdapat dua institusi pendidikan pasca-menengah di Kuala Belait iaitu Kampus Jefri Bolkiah bagi Institut Pendidikan Teknikal Brunei dan Institut Kemuda. Kedua-kedua institusi berkenaan menyediakan pendidikan pasca-menengah dalm bidang teknikal dan vokasional.

Pada masa ini, pendidikan tingkatan enam disediakan di Sekolah Menengah Sayyidina Ali yang mana ianya berkongsi kemudahan dengan pendidikan menengah bagi sekolah berkenaan. Ia merupakan satu-satunya sekolah tingkatan enam di Daerah Belait.