Kuala Kelawang atau Kuala Klawang (sebutan dalam loghat tempatan: كوالا كلاواڠ) merupakan sebuah bandar dan ibu daerah bagi daerah Jelebu, Negeri Sembilan. Bandar ini disaliri oleh Sungai Kelawang yang tidak begitu lebar, cuma 2 meter lebar dan kadang-kala airnya kering. Hulu sungai ini dipercayai dari Bukit Hantu.

Kuala Klawang

Kira-kira 36 kilometer dari Seremban, bandar ini dihuni oleh masyarakat majmuk majoritinya Melayu diikuti keturunan Cina dan India. Orang Melayu tinggal di kampung-kampung sementara kaum Cina tinggal di kawasan bandar menjalankan perniagaan dan perdagangan.

Oleh kerana Jelebu adalah sebuah daerah pertanian, kebanyakan ekonomi Kuala Klawang adalah berkaitan dengan industri asas tani. Tanaman utama di sini ialah kelapa sawit dan getah serta buah-buahan seperti durian dan buah naga. Durian Jelebu terkenal hingga ke bandar Seremban, Kajang, Semenyih dan Kuala Lumpur kerana saiznya yang besar dan baunya menyengat , tidak seperti durian Siam.

Sebagai bandar utama di daerah Jelebu, beberapa kemudahan penting disediakan oleh kerajaan. Antaranya ialah Majlis Daerah Jelebu, Kompleks Pentadbiran Daerah Jelebu, Ibu Pejabat Polis Daerah Jelebu, Mahkamah Majistret Jelebu, Muzium Adat Negeri Sembilan, Stadium Mini Kuala Klawang, Kolej Vokasional Kuala Klawang, MRSM Kuala Klawang, Hotel Sri Klawang dan jalan raya besar dari Seremban ke Kuala Klawang. Terdapat tiga stesen minyak iaitu Petronas, Shell dan BHP. Jelebu juga terkenal dengan hidangan sate tulang selain masakan tradisi Negeri Sembilan iaitu Masak Lemak Cili Api.

Air terjun Jeram Toi menjadi tumpuan penbduduk tempatan untuk berkelah. Jalan raya yang bengkang-bengkok dan berliku berhampiran Jeram Toi telah dilurus dan dilebarkan bagi memudahkan penduduk berulang-alik ke Seremban dan sebagainya. Semua ini berkat dari usaha ahli parlimen Jelebu iaitu Datuk Seri Panglima Dr Rais Yatim.

Tarikan utama pelancongan di sini ialah homestay di mana pengunjung boleh menikmati keindahan suasana kampung sambil merehatkan diri dan minda.

Rujukan sunting

Koordinat: 2°56′N 102°05′E / 2.933°N 102.083°E / 2.933; 102.083