Kuala Terengganu Waterfront

Terletak di sepanjang Jalan Hiliran di Pulau Kambing, Kuala Terengganu Waterfront atau lebih dikenali dengan nama KT Waterfront adalah sebuah taman awam yang dibina di tebingan Sungai Terengganu. Di sini juga pernah wujudnya sebuah tapak stesen minyak terbesar dan jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) tempat nelayan memunggah dan memasarkan hasil tangkapan laut sebelum taman awam ini dibina.

Fail:KTWaterfront3.jpeg
mercu tanda di pintu masuk utama Kuala Terengganu Waterfront

Bagaimanapun kini keadaan tersebut sudah berlalu kerana akibat pembangunan pesat yang dialami bandar raya Kuala Terengganu sekarang semua bangunan lama dan jalan sempit di situ sudah digantikan dengan baru. Taman Rekreasi yang popular ini dibina pertengahan tahun 2003 dan siap sepenuhnya pada tahun 2006 berkeluasan 2 hektar.

Ia menawarkan pelbagai kemudahan untuk keselesaan pengunjung seperti tempat letak kenderaan, menara jam, tandas, pondok bersantai, surau, restoran dan sebagainya. Dengan hanya jarak dua kilometer dari pusat bandar raya ia sesuai dijadikan tempat persinggahan pelancong bagi menghilangkan lelah seketika selepas penat memandu atau selepas selepas seharian ditempat kerja. Taman Waterfront juga amat digemari kaki pancing pada hujung minggu, kawasan ini menjadi meriah pada waktu malam terutama hari Jumaat dan Sabtu. Suasana persekitaran yang tenang dan nyaman sememangnya menjadi tarikan utama kepada golongan kaki pancing itu. Bagaimanapun, bagi mereka yang membawa anak yang masih kecil, aspek keselamatan harus diutamakan kerana memancing di tebing sungai juga berisiko kerana struktur tebingnya amat rendah.