Kuarza

(Dilencongkan dari Kuartza)

Kuarza ialah salah satu mineral yang paling banyak terdapat di kerak benua Bumi. Ia tergolong dalam sistem hablur rombohedron heksagon, dan terdiri daripada tetrahedron silika (SiO2). Kuarza mempunyai kekerasan 7 dalam skala Mohs. Ketumpatannya 2.65 g/sm³. Bentuk tipikalnya prisma bersegi enam, dengan piramid enam segi di hujung-hujungnya, walaupun bentuknya sering dijalin, diherotbenyotkan, atau terlalu besar sehingga hanya sebahagiannya dapat dilihat daripada spesimen yang dilombong. Tambahan pula, lapisan merupakan bentuk yang paling biasa, khususnya bagi kelainan-kelainan seperti batu kecubung yang hablur-hablurnya tumbuh daripada satu matriks dan oleh itu, hanya sebuah piramid dengan hujung tunggal akan wujud. Geod kuarza terdiri daripada batu lompang (biasanya dengan bentuk yang lebih kurang sfera), dengan terasnya dilapiskan dengan selapisan hablur.

Kuarza

Maklumat am
KategoriMineral
Formula kimiaSilika (silikon dioksida, SiO2)
Pengecaman
WarnaJernih (jika tiada bendasing); lihat juga Kelainan-kelainan
Tabii hablurPrisma bersegi enam dengan piramid enam segi di hujung-hujungnya (tipikal)
Sistem hablurRombohedron heksagon kelas 32
PembelahanTiada
FrakturKonkoid
Kekerasan skala Mohs7 - tidak sebegitu banyak untuk kelainan-kelainan yang tidak tulen
KilauKekaca/licau
Indeks biasan1.544-1.553
Dwibiasan+0.009 (selang B-G)
PleokroismeTiada
GurisPutih
Graviti tentu2.65 tetap; berubah-ubah untuk kelainan-kelainan tidak tulen
Takat lebur1650 (±75) °C
KeterlarutanH2O tak boleh larut
Ciri-ciri lainTakat didih = 2230 °C
Kuarza susu


Kelainan-kelainan sunting

Kuarza telah diberikan berbagai-bagai nama yang bilangannya membingungkan. Bagaimanapun, perbezaan yang paling penting antara jenis-jenis kuarza adalah antara kelainan-kelainan makrohabluran (hablur-hablur boleh dilihat dengan mata kasar) dengan kelainan-kelainan mikrohabluran atau kriptohabluran (hablur-hablur hanya boleh dilihat dengan kuasa pembesaran yang tinggi). Kalsedoni ialah istilah generik untuk kuarza kriptohabluran. Kelainan-kelainan kriptohabluran adalah lut cahaya atau lebih biasanya legap, manakala jenis-jenis lut sinar cenderung merupakan kelainan-kelainan makrohabluran.

Walaupun secara sejarah, kebanyakan nama kuarza berasal daripada warna mineralnya, skim penamaan saintifik kini biasanya merujuk kepada mikrostruktur mineralnya. Warna merupakan pengecam sekunder untuk mineral-mineral kritohabluran, walaupun ia masih merupakan pengecam utama bagi kelainan-kelainan makrohabluran. Walau bagaimanapun, ini hanya merupakan suatu panduan dan tidak selalu benar.

Bukan semua kelainan kuarza wujud secara semula jadi. Prasiolit, bahan yang berwarna hijau buah zaitun, dihasilkan melalui pengolahan haba; prasiolit asli pernah dilihat di Silesia Bawah, Poland. Walaupun sitrin wujud secara semula jadi, kebanyakannya adalah hasil daripada batu kecubung (ametis) yang diolah dengan haba. Karnelian (akik merah) juga sering diolah dengan haba untuk menjadikan warnanya lebih tua.

Oleh sebab kuarza asli hampir selalu terjalin, kebanyakan kuarza yang digunakan dalam industri disintesiskan. Hablur-hablur yang besar serta tidak cacat dan tidak terjalin dihasilkan di dalam autoklaf melalui proses hidroterma: zamrud juga disintesiskan melalui cara ini.

Kuarza wujud secara semula jadi di dalam telerang hidroterma serta pegmatit. Hablur-hablur yang purna bentuk boleh mencapai beberapa meter panjangnya dan beratus-ratus kilogram beratnya. Telerang-telerang ini kekadangnya mengandungi logam berharga seperti emas atau perak, dan merupakan bijih-bijih kuarza yang dicari-carikan dalam pelombongan. Hakisan pegmatit-pegmatit seringnya mendedahkan banyak saku hablur yang dikenali sebagai "katedral".

Kuarza merupakan bahan yang biasa terdapat dalam granit, batu pasir, batu kapur, serta berbagai-bagai jenis batu igneus, batu enapan, dan batu metamorf.


Kelainan Utama
Kalsedoni Mana-mana satu quarza kriptohablur, walaupun secara amnya hanya digunakan untuk bahan-bahan yang berwarna putih atau muda. Yang lain menggunakan nama khusus.
Akik Kalsedoni berjalur, lut cahaya
Oniks Akik yang jalur-jalurnya lurus, selaris, dan saiznya tekal
Jasper Kalsedoni legap, tidak tulen
Aventurin Kalsedoni lut sinar dengan rangkuman-rangkuman kecil (biasanya mika) yang berkilau-kilau
Mata harimau Kuarza berserabut yang menonjolkan kilauan
Hablur batuan Jernih, tidak berwarna
Ametis Ungu, lut sinar
Sitrin Kuning hingga jingga kemerah-merahan, atau juga kuning kehijau-hijauan
Prasiolit Hijau pudina, lut cahaya
Kuarza mawar Merah jambu, lut cahaya, dan mungkin akan menonjolkan dwiasterisme
Kuarza susu Putih, lut cahaya hingga legap, dan mungkin akan menonjolkan dwiasterisme
Kuarza asap Perang, lut cahaya
Morion Perang tua, legap
Karnelian Kalsedoni jingga kemerah-merahan, lut cahaya


Kelainan mineral silika yang lain sunting

Tridimit dan kristobalit merupakan polimorf-polimorf SiO2 bersuhu tinggi yang wujud di batuan-batuan gunung berapi yang bersilika tinggi. Lekatelierit ialah kaca silika SiO2 amorf yang dibentukkan apabila pasir kuarza disambar oleh panahan petir.

Sejarah sunting

Nama "kuarza" berasal daripada perkataan bahasa Jerman, "Quarz", yang berasal pula daripada bahasa Slavik (pelombong-pelombong Czech menggelarnya křem). Bagaimanapun, sumber-sumber yang lain mendesak bahawa nama ini berasal daripada perkataan Saxon, "Querkluftertz", yang membawa pengertian "bijih telerang silang".

Kuarza ialah bahan yang paling biasa dicamkan sebagai bahan mistik, maban, dalam mitologi orang asli Australia. Ia sering dapat ditemukan di dalam kubur-kubur laluan di Eropah dalam konteks pengebumian, umpamanya Newgrange, atau Carrowmore di Ireland. Perkataan untuk kuarza dalam bahasa Ireland ialah grian cloch yang membawa maksud "batu matahari".

Pliny si Lebih Tua, ahli alamiah Rom, mempercayai bahawa kuarza merupakan ais yang beku selama-lamanya. Beliau menyokong gagasannya dengan mengatakan bahawa kuarza telah ditemukan berhampiran dengan glasier-glasier di Pergunungan Alp dan bahawa hablur-hablur kuarza yang besar berbentuk sfera untuk mendinginkan tangan. Pliny juga tahu akan keupayaan kuarza untuk menyebarkan cahaya menjadi sebuah spektrum.

Kajian Nicolas Steno tentang kuartza membuka jalan untuk kristalografi moden. Beliau menemui bahawa walau bagaimana pun hablur kuarza diherotbenyokkan, segi-segi prisma yang panjang selalu mewujudkan sudut 60 darjah yang sempurna.

Charles Sawyer mereka proses perkilangan hablur kuarza komersil di Cleveland, Ohio di Amerika Syarikat. Ini memulakan peralihan daripada penggunaan kuarza dilombong dan dipotong kepada penggunaan kuarza buatan kilang untuk alat-alat elektrik.

Pengayun atau penyalun kuarza dikembangkan buat pertama kali oleh Walter Guyton Cady pada tahun 1921, [1] Diarkibkan 2007-03-02 di Wayback Machine manakala George Washington Pierce mereka bentuk dan mempatenkan pengayun-pengayun hablur kuarza pada tahun 1923. [2] Diarkibkan 2007-02-27 di Wayback Machine. Kemudian, Warren Marrison mencipta jam pengayun kuarza yang pertama berdasarkan hasil kerja Cady dan Pierce pada tahun 1927. [3] Diarkibkan 2007-03-02 di Wayback Machine

Hablur-hablur kuarza berkutub putar (sila lihat pengutuban berputar) dan berupaya memutarkan satah pengutuban cahaya yang melintasinya. Hablur-hablur tersebut juga berpiezoeletrik tinggi dan dikutubkan dengan cas negatif pada satu hujung serta cas positif pada hujung yang lain apabila dikenakan tekanan. Ia akan bergetar jika dipasang dengan arus ulang-alik elektrik dan oleh itu, hablur-hablur kuarza sering dipergunakan dalam bidang perdagangan untuk membuat tolok tekanan, pengayun, penyalun, serta jam tangan.

Kepiezoelektrikan sunting

Kuarza juga merupakan jenis hablur piezoelektrik yang menghasilkan elektrik apabila dikenakan tekanan mekanik, melalui satu proses yang dipanggil kepiezoelektrik. Salah satu kegunaan terawal hablur kuarza ialah pikap fonograf. Pada hari ini, salah satu kegunaan piezoelektrik yang paling umum untuk kuarza ialah pengayun hablur — sebenarnya, pengayun-pengayun ini sering dipanggil secara mudah sebagai "kuarza" atau "hablur". Prinsip yang sama juga dipergunakan untuk mengukur dengan amat tepat perubahan-perubahan jisim yang amat kecil melalui mikroneraca hablur kuarza.

Lihat juga sunting

Rujukan sunting