Kunjungan Dinasti Sui ke Empayar Tanah Merah

Peristiwa kunjungan Dinasti Sui ke Empayar Tanah Merah telah berlaku pada 607 M.

Sejarah sunting

Pada 589 M, Dinasti Sui telah berjaya menawan Dinasti Chen di selatan dan buat pertama kalinya dalam 400 tahun berjaya menyatukan semula negara China. Raja Sri Jaya telah menghantar duta ke Dinasti Sui dan dibalas Dinasti Sui dengan menghantar dua orang duta ke Empayar Tanah Merah. Rombongan Maharaja Sui telah membawa 5000 jenis hadiah yang berbeza untuk Raja Sri Jaya dan ketika ketibaan rombongan ini, mereka dihidangkan dengan pelbagai barangan hasil tempatan sebagai hadiah pembalasan.

Keagungan sunting

Perarakan sunting

Semasa rombongan China sampai di muara sungai, mereka telah disambut oleh seorang pembesar Brahmin yang bergelar Kumara berserta 30 buah kapal besar yang diiringi dengan bunyi-bunyian dan paluan gendang. Apabila sampai di Kota Singa, duta China tersebut disambut mesra oleh Raja Sri Jaya dan putera mahkota Nayaka. Duta China ini telah diarak dengan dua ekor gajah berserta para pengawal yang memegang payungan yang dibuat daripada bulu merak bagi menyambut kedatangan tetamu kehormat. Lebih daripada seratus orang lelaki dan wanita memainkan alat muzik yang dibuat daripada cangkerang dan memalukan gendang yang diketuai oleh dua orang Brahmin.

Istana sunting

Istananya terletak di hulu Kota Singa dan digambarkan mempunyai tiga gerbang yang terletak lebih daripada seratus langkah setiap satu, dilukis dengan gambar Bodhisattva dan digantung dengan bunga dan loceng. Gerbang ini dikawal oleh empat orang lelaki berpakaian seperti raksasa penjaga gerbang.

Terdapat juga berpuluh-puluh wanita yang memegang panji-panji daripada bunga-bunga emas dan ada juga yang bermain muzik. Mereka yang ditempatkan di luar gerbang dilengkapi dengan senjata, manakala yang tinggal di dalam kota memegang kain putih dan jaring putih untuk mengumpul bunga. Terdapat beberapa tingkat di dalam istana.

Kekayaan sunting

Empayar sunting

Rombongan tersebut terkejut melihat kekayaan yang dimiliki oleh Empayar Tanah Merah termasuklah tiga puluh buah kapal besar dan beratus-ratus orang hulubalang yang mengawal istana. Empayar Tanah Merah mempunyai satu sistem pemerintahan yang teratur termasuklah pentadbiran di peringkat daerah.

Hasil keluaran negeri ini ialah pelbagai seperti beberapa jenis fabrik berwarna seperti berwarna kuning keemasan, berwarna awan pagi, pelbagai jenis kain kapas berwarna dan lain-lain. Tambahan lagi bumi ini turut mengeluarkan padi, kekacang, bijan hitam, arak tebu, arak kelapa dan banyak lagi yang sentiasa mendapat permintaan yang tinggi.

Pada hari yang sama, Raja Sri Jaya telah menghantar anakanda baginda, Nayaka untuk melayan utusan Dinasti Sui. Beberapa orang suruhan lelaki telah dihantar untuk membawa sedulang emas bunga-bunga wangi, cermin dan peralatan daripada emas serta dua balang minyak wangi, lapan gurik air wangian dan empat helaian panjang kain kapas putih dan semua ini untuk mandian para duta.

Pada hari yang sama kemudiannya pula Nayaka telah menghantar dua ekor gajah yang membawa beberapa buah payungan dibuat daripada bulu merak yang indah serta bunga-bunga emas dan surat watikah di dalam dulang emas sebagai tanda menyambut kedatangan mereka. Setelah selesai semua upacara ini barulah mereka berangkat ke balairung seri. Setelah selesai bertukar watikah di balairung seri, rombongan duta diiringi untuk ke kediaman penginapan mereka. Para Brahmin telah dihantar untuk menyajikan makanan kepada mereka. Makanan yang disajikan dikatakan dihidang di atas tikar daripada daun yang sebesar 10 kaki persegi.

Istana sunting

Kesemua pintu yang terdapat pada bangunan istana menghadap ke arah utara. Takhta atau peterana tempat bersemayam raja dibuat berlapis tiga tingkatan yang juga menghadap kearah utara. Setiap hari raja akan bersemayam di takhta tersebut dengan memakai sejenis jubah berwarna merah mawar dan baginda memakai pelbagai kalung dan perhiasan daripada emas. Mahkotanya dihiasi dengan pelbagai bunga-bungaan yang dibuat daripada emas dan bertatahkan pelbagai hiasan daripada batu-batu permata. Di sisi kanan dan kirinya ada empat orang wanita. Dikatakan juga pengawal yang terdapat di dalam balai tersebut adalah lebih daripada seratus orang. Di belakang takhta raja wujud seakan-akan gerbang yang diperbuat daripada lima jenis kayuan wangi yang disepuh dengan emas dan perak, serta di belakang gerbang tersebut terdapat sebuah cakera logam yang berbentuk seperti api menyala yang diperbuat daripada emas yang berkilauan.

Pada setiap sisi takhta bertingkat tersebut terdapatnya dua buah cermin daripada logam berwarna perak dan di hadapan setiap cermin ini terdapat setempayan emas manakala di hadapan tempayan emas tersebut pula adalah sebuah dupa dengan kemenyan yang dibakar yang juga diperbuat dari emas tulen. Di tingkat bawah sekali peterana diraja tersebut terdapat patung seekor lembu jantan yang diperbuat dari emas dan dilitupi dengan payungan. Terdapat juga pelbagai jenis kipas-kipas berharga di sekeliling peterana atau takhta tersebut.

Para Brahmin duduk bersila menghadap satu sama lain di dalam dua barisan di sisi balairung dan terdapat beberapa lapisan pembesar yang mempunyai tugas masing-masing.

Jawatan dan Adat sunting

Para guo ji atau pentadbir tertinggi adalah mereka yang menyusun dan menyenaraikan pegawai-pegawai yang berjawatan dalam pentadbiran raja. Ini termasuk mereka yang ditugaskan untuk mengatur urusan politik dan satu lagi untuk menjalankan pentadbiran undang-undang jenayah. Empayar Tanah Merah juga mengawal dan berkuasa terhadap beberapa kerajaan lain di mana pentadbiran dikendalikan oleh mereka yang dilantik oleh raja.

Adat bagi lelaki dan perempuan di Tanah Merah ialah menindik telinga, memakai minyak wangi dan memakai bunga mawar serta kain berwarna polos. Para wanitanya memakai sanggul di rambut yang kelihatan terjuntai di bahagian tengkuk. Namun demikian, rakyat harus mendapatkan izin daripada raja untuk memakai loket emas yang istimewa, bahkan keluarga kaya juga harus mendapatkan kebenaran kerajaan untuk hak istimewa ini. Upacara pernikahan pula dilakukan pada hari yang difikirkan bertuah dan diberkati mengikut ajaran agama mereka. Keluarga pengantin wanita dirayakan selama lima hari sebelum upacara perkahwinan. Pada hari ketujuh, upacara perkahwinan diselesaikan dan pengantin bersatu. Setelah berkahwin, pasangan itu berpindah ke sebuah rumah yang berasingan. Namun, jika yang berkahwin itu adalah putera bongsu maka ia diwajibkan untuk tinggal bersama ayahnya.

Jika berlaku kematian sama ada salah satu orang tua atau adik-beradik, orang yang berkabung akan mencukur kepala mereka dan memakai pakaian yang polos dan terang. Tubuh si mati akan dibakar di atas tempat pembakaran yang diperbuat daripada buluh dan diletakkan di atas sungai dengan tujuan apabila abunya akan jatuh ke sungai. Upacara pembakaran mayat itu disertai dengan dupa atau kemenyan dan peniupan bunyi-bunyian daripada cangkerang yang berlingkar dan paluan bunyi gendang.

Upacara pembakaran mayat dengan kaedah ini diguna pakai untuk para bangsawan kelas atasan dan rakyat jelata, tetapi abu raja dipelihara dalam botol emas dan disimpan di sebuah kuil. Kepercayaan agama mereka dilaporkan sebagai Buddha, tetapi masyarakat Empayar Tanah Merah lebih mengabdikan diri mereka kepada Brahman yang menunjukkan bahawa kepercayaan Hindu mempunyai pengaruh yang kuat dalam masyarakat.

Pengakhiran sunting

Makanan utama masyarakat ialah nasi dan semasa majlis keraian dijalankan terhadap rombongan China, mereka dihidangkan dengan kek atau kuih yang berwarna kuning, merah, putih dan ungu bersama-sama dengan daging lembu, daging kambing, ikan, penyu, dan kerbau pendek. Nayaka kemudiannya mengiringi rombongan dengan membawa hadiah tempatan termasuk mahkota emas berbentuk bunga raya dan kapur barus.

Rujukan sunting

  • Keturunan Raja-Raja Kelantan dan Peristiwa-Peristiwa Penting