Lailatulqadar

(Dilencongkan dari Lailatul Qadar)

Lailatulqadar (Bahasa Arab: لیلة القدر‎) merupakan satu malam yang khusus terjadi pada bulan Ramadan. Ayat al-Qur'an diturunkan pada malam ini. Malam ini disebut di dalam al-Quran dalam surah Al-Qadr, dan ia lebih baik daripada seribu bulan.

Malam ini tidak diketahui waktunya secara tepat namun menurut beberapa hadis, malam ini jatuh pada 10 malam terakhir pada bulan Ramadan, iaitu pada salah satu malam ganjil yakni malam ke-21, ke-ke-23, ke-25, ke-27 atau ke-29, dan ini merupakan pandangan jumhur ulama dan umat Islam. Ada juga sebahagian kecil ulama yang menganggap ia berlaku pada malam genap seperti malam ke-22, ke-24, ke-26, ke-28 atau ke-30 Ramadhan. Ada juga sebahagian ulama berpendapat waktu Lailatulqadar adalah tetap, iaitu pada malam ke-27.

Walau bagaimanapun, antara hikmah malam ini dirahsiakan agar umat Islam rajin beribadat di sepanjang malam khususnya di sepuluh malam yang terakhir. Majoriti Muslim biasanya berusaha agar tidak mensia-sia malam ini, lazimnya dengan menjaga diri agar berjaga pada malam-malam terakhir Ramadan sambil beribadah sepanjang malam.

Latar belakangSunting

SejarahSunting

Apabila sahabat-sahabat Rasulullah SAW mengkagumi ibadah seorang umat Bani Israil yang beribadah selama 1,000 bulan, dengan beribadah pada malam hari dan berjihad pada siangnya, lalu Allah SWT menurunkan surah al-Qadr yang menyatakan malam al-Qadar baik daripada 1,000 bulan. Ia adalah rahmat dan kurniaan Allah Taala kepada umat Nabi Muhammad SAW. Surah al-Qadar adalah seperti di bawah:[1]

Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatulqadar, dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatulqadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!

Tanda-tandaSunting

Cuaca malam Qadar dikatakan sangat tenang dan tenteram dengan malaikat turun berduyun-duyun sehingga melebih jumlah batu-batu kerikil di muka bumi ini, mereka memberi salam dan mengaminkan doa mereka yang sedang beribadah, sama ada solat, berdoa atau berzikir, termasuk perempuan yang sedang uzur, haid atau nifas. Diriwayatkan dalam satu hadis Imam Bukhari, pernah berlaku malam Qadar pada malam yang hujan.[petikan diperlukan]

Terdapat pelbagai cerita mengenai tanda-tanda malam Lailatulqadar iaitu dapat disaksikan kejadian yang ganjil-ganjil seperti air membeku, air berhenti mengalir, pohon kayu tunduk rukuk dan sujud ke bumi dan sebagainya. Namun begitu, cerita-cerita sebegini tidak dapat ditashihkan kebenarannya memandangkan cerita-cerita ini tidak disebut dalam al-Quran dan hadis. Oleh itu, ini bukan petanda jelas malam Lailatulqadar menurut ilmu agama, dan mungkin ialah pengalaman rohani orang-orang tertentu yang sahaja.

WaktuSunting

Lailatulqadar satu malam pada bulan Ramadan yang tidak diketahui dengan tepat tarikhnya. Ia lebih diharapkan untuk mendapatkannya pada 10 malam yang terakhir Ramadan, terutama malam-malam yang ganjil daripada 10 hari terakhir Ramadan tersebut. Waktunya dikira apabila masuk waktu maghrib sehingga terbit fajar. Seluruh ulama sepakat bahawa al-Quran diturunkan pada malam al-Qadar, sebahagian ulama berpendapat malam al-Quran diturunkan itu berlaku pada 17 Ramadan, Syaikh Shafiyyurrahman al-Mubarakfury dalam kitab Sirah Nabawiyyah mengatakan al-Quran diturunkan pada malam ke-21 Ramadhan.

Menurut kaedah yang dikemukakan oleh Imam Al-Ghazali, kebiasaannya, jika awal Ramadan jatuh pada hari Ahad dan Rabu maka Lailatulqadar malam ke-29, jika hari Isnin maka Lailatulqadar malam ke-21, dan jika hari Jumaat dan Selasa, maka Lailatulqadar malam ke-27, jika hari Khamis maka Lailatulqadar jatuh pada malam ke 25, jika hari Sabtu maka Lailatulqadar jatuh malam ke-23.[petikan diperlukan] Namun begitu, kaedah ini bukanlah sesuatu yang muktamad.

KelebihanSunting

1. Orang yang pasti mendapat sebahagian lailatulqadar ialah orang yang solat fardu maghrib dan Isyak secara berjemaah sepanjang bulan Ramadan, dan dia tidur dengan azam yang kuat untuk solat Subuh berjemaah. Sabda Rasulullah SAW “Sesiapa yang solat isyak berjemaah, maka seolah-olah dia telah berqiamullail separuh malam; Dan sesiapa yang solat subuh berjemaah, maka seolah-olah dia telah bersolat sepanjang malam.” (Hadis Sahih Riwayat Imam Tarmizi, Ibnu Majah dan Nasai)

2. Solat tarawih adalah termasuk solat malam kerana ia dilakukan selepas solat isyak, orang yang solat tarawih dikira solat sunat pada malam lailatulqadar, oleh itu tambahkanlah lagi bilangan rakaatnya pada 10 malam terakhir Ramadan.

AmalanSunting

1. Bagi orang yang mendapat lailatulqadar ucapkanlah:

اَللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ كَرِيْمٌ، تُحِبُّ الْعَفْوَ، وَاعْفُ عَنّى وَعَنْ وَالِدَىَّ

“Ya Allah, sesungguhnya Engkau adalah Maha Pemberi Kemaafan (Maha Pengampun), Suka memberi kemaafan (keampunan), maka maafkanlah (ampunkanlah) aku dan kedua ibu bapaku.”

2. Banyakkan solat, membaca al-Quran, doa dan zikir. Berdoalah juga dengan lain-lain doa dalam bahasa kita untuk lain-lain kebaikan dunia dan akhirat, janganlah berdoa sesuatu yang buruk.

3. Bacalah walaupun 1 ayat al-Quran sebelum tidur, kerana jika berbetulan dengan malam Qadar pahalanya lebih baik daripada sekali khatam al-Quran pada malam-malam lain. (sebaik-baiknya bacalah 10 kali Surah al-Ikhlas, iaitu Qul Huwallahu Ahad)

4. Bagi perempuan yang haidh atau nifas, ucapkan zikir-zikir di bawah:

سُبْحَانَ اللهِ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ، وَلا إِلَهَ إلا اللهُ، وَاللهُ أَكْبَرُ

Lihat jugaSunting

RujukanSunting

  1. ^ "Surah Al-Qadr - سورة القدر". Surah.my. Dicapai pada 7 Mei 2020.

Pautan luarSunting