Lain Jalan Ka-Shorga (kini dieja sebagai Jalan Lain ke Syurga) merupakan sebuah filem Melayu yang diterbitkan di Malaysia pada tahun 1968. Filem ini dikeluarkan dalam bentuk hitam putih tanpa warna oleh Merdeka Film Productions.

Lain Jalan Ka-Shorga
PengarahJamil Sulong
Lakon layar olehJamil Sulong
Cerita olehJah Lelawati
Dibintangi oleh
Muzik olehAhmad Nawab
SinematografiLee Soo An
Syarikat
penerbitan
Mula ditayangkan
1968 (1968)
NegaraMalaysia
BahasaBahasa Melayu
Rujukan Filemkita

PengarahSunting

Filem ini telah diarahkan oleh Jamil Sulong selepas dihantar untuk bertugas ke Studio Merdeka yang terletak di Kuala Lumpur.

RingkasanSunting

Cik Leha (Noran Nordin) yang merupakan seorang janda kaya telah baru sahaja bercerai dengan suaminya, Azman. Dia mempunyai seorang anak lelaki yang bernama Amir (Karim Latiff) tetapi telah dibawa ke Medan, Indonesia oleh bekas suaminya. Ketiadaan suami dan anak telah menjadikannya kesepian. Oleh yang demikian, dia meminta orang gajinya yang bernama Salmah (Rosnani Jamil) untuk memberikan anak perempuannya sebagai anak angkat. Kemudian, kebetulan pula suami Salmah baru sahaja meninggal dunia. Kerana banyak terhutang budi dengan majikannya itu dan telah bekerja di rumah tersebut untuk sekian lama, Salmah dengan rela hati menyerahkan anaknya, Ani (Hamizon). Cik Leha juga telah menganggap Ani sebagai anak kandungnya sendiri, bukan sebagai anak angkat kerana telah membelanya sejak kecil.

Cik Leha telah memberikan kemewahan dan terlalu memanjakan Ani yang menyebabkan anakya membesar sebagai seorang wanita yang sombong dan bongkak sementara disaksikan oleh ibu kandungnya, Salmah yang dianggapnya sebagai orang gaji. Ani telah mengasari serta menghina ibu kandungnya. Sikap serta perangai Ani yang tidak mempunyai pendidikan agama telah membimbangkan Salmah tetapi tidak kepada Cik Leha. Pertentangan antara Salmah dan Cik Leha berlaku yang akhirnya menyebabkan Ani sukar dikawal apatah lagi sudah pandai bergaul dan berkawan dengan anak-anak muda yang agak liar dan sering pulang pada lewat malam dan ada kalanya pada waktu pagi.

Satu lagi perkara yang merunsingkan Salmah adalah apabila Ani berkawan rapat dengan Riki Kassim (Sony Abdullah) yang mengetuai sebuah kumpulan muzik dan bercadang untuk menganjurkan Malam Pesta Lagu-Lagu Pop. Riki Kassim yang merupakan seorang kaki perempuan telah mendampingi Ani bukan kerana dia mencintainya tetapi mahu dijadikan alat bagi mendapat wang pembiayaan bagi kumpulannya. Riki Kassim juga mengetahui bahawa Ani merupakan anak kepada orang kaya.

Cik Leha yang sedang mengalami sakit yang teruk dan tiada harapan untuk sembuh. Salmah cuba menasihatinya tetapi gagal. Salmah yang tidak dapat mengawal perangai serta sikap buruk Ani yang semakin melampau telah menyebabkan Salmah terpaksa memecahkan rahsia kepada Ani dan memberitahu bahawa dialah anak kandungnya serta bukannya anak kepada Cik Leha. Oleh kerana Ani tidak mahu percaya dan malu beribukan orang gaji telah menyebabkan Ani berang dan menghalau Salmah keluar dari rumah. Kebetulan pula, anak saudara Salmah iaitu Hisham (Gaas Shariff) berada di rumah itu. Salmah dan Hisham telah membuat keputusan untuk pulang ke Kedah.

Ketiadaan Salmah telah menyebabkan Ani boleh bergerak bebas tanpa kawalan. Bagaimanapun, sebaik sahaja Amir (anak kandung kepada Cik Leha) sampai dari Medan, Cik Leha telah meninggal dunia dan dia telah mewariskan kesemua hartanya kepada Amir dan tidak kepada Ani. Salmah dan Hisham datang ke Kuala Lumpur apabila mendapat tahu Cik Leha meninggal dunia. Salmah berasa begitu kecewa kerana tidak diberitahu tentang kematian Cik Leha. Setelah mereka bertemu dengan Ani, terpecahlah rahsia serta kesemua surat Cik Leha yang diberikan kepada Ani untuk diposkan kepada Salmah telah dikoyakkan oleh Ani. Pertengkaran berlaku antara Ani dan Salmah. Disebabkan terlalu kecewa dengan sikap dan perangai Ani yang tidak berubah malah semakin kurang ajar, dengan perasaan hampa dan derita Salmah telah mengajak Hisham untuk meninggalkan rumah tersebut serta pulang ke kampung.

Dengan ketiadaan Cik Leha, barulah Ani tahu kesusahan untuk hidup tanpanya. Amir bertindak berdasarkan sikap buruk Ani serta tidak dibenarkan tinggal dibilik utama tetapi dipaksa untuk tinggal di bilik orang gaji. Pergerakannya adalah terbatas dan penggunaan wang telah disekat. Apabila Riki Kassim mendapat tahu bahawa Ani merupakan anak kepada anak orang gaji dan bukannya anak Cik Leha, dia memutuskan perhubungannya dengan Ani. Perkara ini telah membuatkan Ani berasa hampa.

Setelah menyedari kesilapannya, Amir menyuruh Ani pergi ke Kedah untuk memohon ampun kepada ibunya. Ani telah menurut kata-kata Amir dan sebaik sahaja sampai di kampung, Salmah telah meninggal dunia. Ani berasa amat kecewa apabila mendapati ibunya telah meninggal dunia sebelum dia sempat untuk memohon ampun. Walaubagaimanapun, Hisham telah memberitahu bahawa ibunya telah mengampunkan segala dosanya sebelum menghembuskan nafas yang terakhir.[1]

PelakonSunting

LaguSunting

  1. Lain Jalan Ka-Shorga oleh Norli Ismail
  2. Oh Manis Oh Rupawan oleh Anuar Idris
  3. Musim A Go Go oleh Saloma
  4. Dah Lama Kucari oleh Anuar Idris
  5. Taman Indah oleh Saloma
  6. Gambar Kenangan oleh Julie Sudiro
  7. Impian Musnah oleh Taufik Haji Ali
  8. Tanda Kasih Bukti Sayang oleh Saloma & Anuar Idris

Lihat jugaSunting

RujukanSunting

  1. ^ "Lain Jalan Ka-Shorga (1968): Apa, Berdosa Besarkah Ani?". 9 April 2011. Diarkib daripada yang asal pada 16 December 2012. Dicapai pada 6 Disember 2012.