Laksamana Hang Nadim

Usah terkeliru: rencana ini menceritakan fakta biografi Laksamana Hang Hadim, untuk kisah seorang kanak-kanak pintar di Singapura sila lihat Hang Nadim.

Laksamana Hang Nadim (Jawi: لقسامان هڠ نديم) ialah anak kandung Hang Jebat dengan isterinya Dang Wangi ataupun Dang Inangsih. Beliau adalah pahlawan Melayu Johor-Riau semasa penjajahan Portugis di Melaka. Selepas kejatuhan Melaka ke tangan Portugis pada tahun 1511, Sultan Mahmud telah berundur dari Teloh ke Ulu Muar, kemudian menetap di Pagoh dan Bentayan. Sultan Mahmud dan keturunannya membina Kesultanan Melayu Johor sebagai asas Empayar Johor-Riau yang berpangkalan di Johor, Kepulauan Riau, Pahang . Walaupun Melaka telah jatuh ke tangan Portugis, Sultan Mahmud dan anaknya Sultan Ahmad terus menghantar tenteranya untuk menyerang Portugis di Melaka dari 1511 hingga 1526. Sultan Mahmud meninggal dunia di Kampar, Sumatera pada tahun 1528 dan dikenali sebagai Sultan Kampar.

Anak angkat Hang Tuah sunting

Menurut Sejarah Melayu, semasa Hang Jebat terbunuh di tangan Hang Tuah, Hang Nadim masih di dalam kandungan ibunya iaitu Dang Wangi yang hamil 7 bulan. Hang Tuah menyuruh Dang Wangi menyembunyikan diri di Singapura (Temasek) kerana risau dia dijatuhkan hukuman bunuh oleh Sultan Mahmud Shah kerana kesalahan yang dilakukan suaminya, Hang Jebat. Beliau kemudian dijadikan anak angkat oleh Hang Tuah, sebelum dikahwinkan dengan Tun Mas Jiwa atau Tun Emas Jiwa, iaitu anak perempuan Hang Tuah. Perkahwinan diantara Laksamana Hang Nadim dan Tun Emas Jiwa dikurniakan Tun Mat Ali.[1]

Selepas Laksamana Hang Tuah hilang tanpa jejak (1495), Khoja Hassan dilantik menjadi laksamana yang baru. Selepas Laksamana Khoja Hassan dipecat kerana memfitnah Bendahara Tun Mutahir, jawatan laksamana itu diberikan kepada Hang Nadim (1509). Hang Nadim membantu Sultan Mahmud dalam dua percubaan untuk mengambil semula Melaka dari Portugis iaitu pada 1519 dan 1524. Pada tahun 1516, Hang Nadim menyerang Melaka dengan harapan merebut kembali dari Portugis, tetapi serangan itu tidak berjaya. Pada tahun 1524, Hang Nadim juga mengepung Melaka dengan harapan menghalang makanan sampai ke bandar. Orang Portugis telah mendapatkan bala bantuan dari Goa, India .

Hang Nadim membuktikan kepimpinan beliau dan kepahlawanan dengan mengalahkan Portugis apabila mereka menyerang Bintan dan Kopak. Keberanian beliau adalah sangat dihormati oleh orang Melayu dan serangan bertubi-tubu terhadap Portugis telah melemahkan semangat mereka berjuang dan menjejaskan perdagangan Portugis di Melaka.

Laksamana Hang Nadim dikurniakan umur yang panjang. Selepas Sultan Mahmud Shah mangkat pada tahun 1528, beliau berkhidmat dengan putera baginda Raja Ali yang bergelar Sultan Alauddin Riayat Syah II hingga tahun 1564.

Laksamana Hang Nadim terus berkhidmat dengan Sultan Muzaffar Shah II (1564 -1570), Sultan Abdul Jalil Shah I (1570 -1571), dan Sultan Ali Jalla (1571-1597).

Laksamana Hang Nadim menjadikan Johor sebagai pusat gerakannya menyerang Portugis di Melaka. Walaupun Laksamana Hang Nadim gagal menghalau Portugis dari Melaka, namun benih perjuangan yang disemainya itu terus tumbuh dalam kalangan orang Melayu. Bertitik tolak dari perjuangan Laksamana Hang Nadim itu, pahlawan-pahlawan Melayu terus bangkit berjuang menentang penjajah.

Novel sejarah sunting

Penulis novel sejarah Abdul Latip bin Talib ada menulis sebuah buku cerita sejarah bertajuk Laksamana Hang Nadim.

Penulis novel Ikhwan Sha telah menulis buku fiksyen sejarah bertajuk Hang Nadim 1525.

Rujukan sunting