Penyata Razak 1956

(Dilencongkan dari Laporan Razak)

Penyata Razak 1956 (nama rasmi laporan: Penyata Jawatankuasa Pelajaran 1956) ialah penyata pendidikan yang telah disediakan oleh satu jawatankuasa yang diberi nama Jawatankuasa Pelajaran 1955, diketuai oleh Menteri Pelajaran pada ketika itu, Tun Abdul Razak bin Hussein[1]. Penyata ini diterbitkan bertujuan untuk membentuk identiti bangsa Malaya melalui pendidikan[2] dan menubuhkan peraturan pendidikan kebangsaan[1]. Nama laporan ini telah diambil sempena nama Tun Abdul Razak[3].

Penyata Razak 1956
ڤڽاتا رازق ١٩٥٦
Tajuk asalPenyata Jawatankuasa Pelajaran 1956
DibentangkanMei 1956
NegaraMalaysia Sunting ini di Wikidata
PengarangJawatankuasa Pelajaran 1955
SubjekPendidikan
TujuanMemperkenalkan peraturan pelajaran yang meliputi kesemua bangsa dan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama
sunting · sunting di Wikidata
Lihat pendokumenan templat ini
Lihat pendokumenan templat ini

Intipati paling utama dalam Penyata ini adalah penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama[2] di sekolah-sekolah, universiti dan maktab perguruan[4]. Selain itu, Penyata ini juga mengkaji sistem pendidikan kebangsaan, menggantikan sistem pendidikan yang berasaskan perkauman[5]. Selain itu, Penyata Razak mencadangkan penubuhan dua jenis sekolah rendah iaitu Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK). Walaupun penggunaan bahasa selain bahasa Melayu dibenarkan di sekolah SRJK, subjek bahasa Melayu masih lagi merupakan subjek wajib yang perlu diajar kepada murid-murid di sekolah ini[1].

Matlamat Razak adalah untuk membentuk semula sistem pendidikan di Malaya. Laporan ini telah digabungkan ke dalam Seksyen 3 daripada Ordinan Pelajaran 1957 untuk membekalkan asas kepada rangka pelajaran atau kemerdekaan Malaya yang akhirnya dikenali sebagai Malaysia.


Sejarah

sunting

Latar belakang

sunting

Sebelum Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, sistem pendidikan pada masa itu lebih tertumpu kepada pembentukkan identiti kaum masing-masing. Sistem pendidikan berasaskan perkauman ini wujud oleh kerana penjajah British mengamalkan polisi "pecah dan perintah" (bahasa Inggeris: Divide and Rule)[6]. Polisi ini membolehkan penjajah British mengasingkan rakyat di Tanah Melayu berdasarkan kepada kumpulan etnik, agama dan kaum, selain daripada memecahkan lagi kumpulan ini kepada dua iaitu kelas atasan dan kelas bawahan bagi tujuan memudahkan pentadbiran[7]. Terdapat empat jenis sekolah yang ditubuhkan oleh kaum masing-masing:

  • Sekolah Melayu
  • Sekolah Cina
  • Sekolah Tamil
  • Sekolah Inggeris

Sekolah-sekolah ini mempunyai perbezaan yang sangat ketara antara satu sama lain. Setiap sekolah menggunakan bahasa pengantar yang berbeza; bahasa Melayu di sekolah Melayu, bahasa Cina di sekolah-sekolah Cina, bahasa Tamil di sekolah-sekolah Tamil dan bahasa Inggeris digunakan di semua sekolah rendah dan menengah Inggeris[8]. Peratusan penggunaan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan adalah rendah kerana bahasa Melayu hanya digunakan sebagai bahasa pengantar di sekolah Melayu. Sekiranya seseorang melangkah ke pendidikan menengah, mereka perlu mempelajari bahasa Inggeris kerana bahasa Inggeris merupakan bahasa pengantar utama di sekolah-sekolah menengah yang dikelolakan oleh pihak British[9]. Terdapat juga sekolah-sekolah menengah yang dibiayai oleh komuniti Cina yang menggunakan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar utama[9].

Sistem pendidikan sebelum kemerdekaan banyak dipengaruhi oleh ideologi dari luar Tanah Melayu. Reformasi sistem pendidikan di Tanah Besar China yang diperkenalkan kerajaan Dinasti Qing pada tahun 1905 membawa kepada beberapa siri rombakan kepada sistem pendidikan sedia ada[10], yang turut memberi kesan kepada sistem pendidikan Cina di Tanah Melayu. Ini membawa kepada perubahan sistem pendidikan Cina di Tanah Melayu yang sebelum ini hanya memenuhi tuntutan korporat Cina kepada sistem yang banyak dipengaruhi oleh identiti China[11] dan penggunaan kurikulum dari negara Barat[10].

Berbeza dengan sekolah Tamil, di mana ianya ditubuhkan untuk memenuhi hak pendidikan anak-anak pekerja ladang dari India. Pihak British merasakan dengan adanya sekolah-sekolah ini, ianya membolehkan pekerja-pekerja berada di Tanah Melayu untuk tempoh yang lebih lama[12]. Sekolah Tamil pada awalnya banyak ditubuhkan oleh komuniti gereja Kristian dan menjadikan sekolah-sekolah ini sebagai tempat penyebaran agama Kristian[12].

Ke arah sistem pendidikan nasional

sunting

Peristiwa Perang Dunia Kedua memberikan kesan yang ketara terhadap landskap pendidikan di Tanah Melayu. Kebanyakkan sekolah Cina dimusnahkan dan mereka yang dikesan menyebarkan propaganda Anti-Jepun dibunuh tanpa belas kasihan[13]. Murid-murid di sekolah dipaksa mempelajari subjek bahasa Jepun, yang dikawalselia menerusi polisi pendidikan bahasa Jepun[14]. Selepas Perang Dunia Kedua berakhir, sekolah-sekolah tidak dapat dibuka untuk satu tempoh masa akibat kemusnahan yang teruk atau digunakan untuk tujuan lain[15].

Semangat nasionalisma semakin memuncak di kalangan masyarakat berbilang kaum pada ketika itu. Penubuhan kerajaan Malayan Union oleh pihak British tidak disenangi oleh orang Melayu kerana merendahkan kuasa Sultan Melayu[16] dan menggunakan undang-undang kerakyatan berkonsepkan Jus soli[16]. Pihak British juga berdepan dengan ancaman dari pihak komunis yang menyasarkan masyarakat Cina bagi menyebarkan propaganda komunisma ini. Dalam usaha kepada penubuhan kerajaan sendiri yang ditunjangi masyarakat tempatan, pihak British merasakan bahawa pendidikan boleh membawa kepada penyatuan dan pembangunan bangsa yang berbilang kaum[17].


Tugas jawatankuasa

sunting

Tugas jawatankuasa ini ialah untuk:

  • membentuk satu sistem pendidikan kebangsaan yang bersesuaian dengan aspirasi menyatupadukan penduduk berbilang bangsa
  • menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan
  • menjaga perkembangan bahasa dan kebudayaan kaum lain
  • mengkaji Ordinan Pelajaran 1952 dan membuat pindaan yang perlu.

Cadangan

sunting

Penyata Razak mempunyai 17 cadangan dengan mengambil kira matlamat akhirnya membentuk satu sistem pendidikan kebangsaan di Malaysia. Di antara perkara yang diperkatakan ialah:

  1. Semua sekolah di tanah air mempunyai sukatan yang sama
  2. Bahasa Melayu dijadikan bahasa Kebangsaan dan menjadi bahasa pengantar utama.
  3. Bahasa Melayu dan bahasa Inggeris diwajibkan bagi semua sekolah rendah dan sekolah menengah.
  4. Bagi sekolah jenis kebangsaan, bahasa Inggeris, Cina dan Tamil menjadi bahasa pengantar.
  5. Sekolah-sekolah rendah ditukar kepada sekolah kebangsaan dan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama.
  6. Penubuhan satu jenis sekolah sahaja yang terbuka kepada semua kaum.
  7. Guru-guru sekolah rendah dan menengah adalah bekelayakan.
  8. Sistem pendidikan sekolah menengah adalah Sekolah Menengah Rendah (SMR), Sekolah Menengah Atas (SMA) dan Pra Universiti.
  9. Semua guru diletakkan di bawah satu perkhidmatan profesional dan Jemaah Nazir Persekutuan ditubuhkan.

Laporan Rahman Talib

sunting

Pada tahun 1960, Laporan Rahman Talib telah diperkenalkan dan digabungkan di dalam Akta Pelajaran 1961. Antara lain, ia juga menyeru:

  • Penekanan kepada pendidikan asas iaitu 3M - Membaca, Menulis, dan Mengira
  • Penekanan kepada pendidikan kerohanian yang kukuh dan unsur-unsur disiplin yang dikehendaki
  • Penekanan kepada kurikulum Malaya
  • Pendidikan menengah atas mempunyai dua aliran, iaitu akademik dan vokasional
  • Peluang untuk meneruskan pelajaran dari umur 9 tahun sehingga 11 tahun
  • Memudahkan prosedur pengurusan pendidikan untuk meningkatkan kualiti pendidikan secara keseluruhan


Rujukan

sunting
  1. ^ a b c Tun Razak Penggerak Pembangunan Rakyat / Negara, Malaysia: Arkib Negara Malaysia, dicapai pada 8 Julai 2023
  2. ^ a b Hasan, Mohd Azizee (27 Ogos 2019). "Penyata Razak kian malap, kita dibakar api perkauman". MalaysiaKini. Dicapai pada 8 Julai 2023.
  3. ^ Pengiktirafan dan Anugerah, Malaysia: Perpustakaan Universiti Teknologi MARA, dicapai pada 8 Julai 2023
  4. ^ Abdullah, Nur Atiqah Tang; Puay Liu, Ong (2017), Latar Belakang Sejarah Sistem Pendidikan dan Masyarakat Majoriti Minoriti di Malaysia (PDF), ICIP UKM, m/s. 74-100, dicapai pada 9 Julai 2023
  5. ^ Clammer, John (Januari 1976). "Bahasa Malaysia: Its Modernization and its Relation to the Politics of National Unity in Peninsular Malaysia". Southeast Asian Affairs (1976): 242–249. ISSN 1793-9135. Dicapai pada 9 Julai 2023.
  6. ^ Haron, Nadzan. "Colonial Defence and British Approach to the Problems in Malaya 1874-1918". Modern Asian Studies. 24 (2 (May, 1990)): 275–295. ISSN 1469-8099. Dicapai pada 10 Julai 2023.
  7. ^ Sivalingam, Ananda Devan (20 November 2020). "History of Malaysian Education System: Year 1824 to 2025". Social Sciences Education eJournal. doi:10.2139/ssrn.3735372. ISSN 1556-5068. Dicapai pada 16 Disember 2022.
  8. ^ Robinson, J. B. Perry. "Education in Malaya". The World Today. 12 (9 (September, 1956)): 379–386. ISSN 2059-7495. Dicapai pada 10 Julai 2023.
  9. ^ a b Hirschman, Charles. "Educational Patterns in Colonial Malaya". Comparative Education Review. 16 (3 (Oktober, 1972)): 486–502. ISSN 1545-701X. Dicapai pada 10 Julai 2023.
  10. ^ a b Tao, Liqing; Berci, Margaret; He, Wayne. "China Rises - Historical Background: Expansion of Public Education". New York Times. Dicapai pada 19 Disember 2022.
  11. ^ Shanmugavelu, Ganesan; Ariffin, Khairi; Thambu, Nadarajan; Mahayudin, Zulkufli (1 Mac 2020). "Development of British Colonial Education in Malaya, 1816 - 1957". Shanlax International Journal of Education. 8 (2 (Mac 2020)): 10–15. doi:10.34293/education.v8i2.2072. ISSN 2582-1334. Dicapai pada 20 Disember 2022.
  12. ^ a b Sundara Raja, Sivachandralingam, A Short History of Tamil Schools in Malaya/ Malaysia, The Global Research Forum on Diaspora and Transnationalism, dicapai pada 12 Julai 2023
  13. ^ Noel, Wong (15 Ogos 2022). "The forgotten WW2 Sook Ching massacre of Malaya". FMT. Dicapai pada 22 Disember 2022.
  14. ^ Matsunaga, Noriko (Jun 1998). "Japanese Language Education Policy in Malaya under the Japanese Military Administration". 東南アジア -歴史と文化-. 1998 (27): 73–96. doi:10.5512/sea.1998.73. Dicapai pada 13 Julai 2023.
  15. ^ MCKK and Education – Academic, The Malay College Old Boys Association (MCOBA), dicapai pada 13 Julai 2023
  16. ^ a b Leam Seng, Alan Teh (21 Januari 2018). "The Sultan was never alone". New Straits Times. Dicapai pada 13 Julai 2023.
  17. ^ Gaudart, Hyacinth (30 November 2021). "English Language Teaching In Malaysia: A Historical Account" (PDF). The English Teacher. XVI (December 1987). Dicapai pada 13 Julai 2023.