Agensi Kelayakan Malaysia

(Dilencongkan dari Lembaga Akreditasi Negara)

Pertumbuhan ekonomi Malaysia yang begitu pesat mencetuskan keperluan terhadap sumber tenaga manusia yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi.

Logo MQA
Logo lama MQA (LAN)

Y.A.B. Perdana Menteri sering menyatakan bahawa Malaysia telah bersedia menjadi tempat tumpuan negara lain mendapatkan pendidikan tinggi.

Pendidikan tinggi di Malaysia telah mencapai taraf komoditi eksport yang begitu strategik. Dasar ini telah disambut baik oleh badan-badan swasta dengan menubuhkan pelbagai bentuk institusi pendidikan tinggi sama ada secara bersendirian atau bekerjasama dengan institusi pendidikan tinggi awam tempatan dan institusi pendidikan tinggi luar negara. Bagi menjamin pertumbuhan pendidikan tinggi swasta ini dilaksanakan secara sihat, Parlimen telah meluluskan dua akta yang berkaitan pada tahun 1996, iaitu Akta Pendidikan Tinggi Swasta (Akta 555) dan Akta Lembaga Akreditasi Negara (Akta 556).

Akta Pendidikan Tinggi Swasta bertindak mengaturkan penubuhan dan pengurusan institusi pendidikan swasta agar dapat menyediakan suasana pendidikan tinggi yang berkualiti untuk pelajarnya.

Penubuhan MQA Sunting

Pada 21 Disember 2005, Kerajaan telah memutuskan untuk menggabungkan Lembaga Akreditasi Negara (LAN) dan Bahagian Jaminan Kualiti, Kementerian Pengajian Tinggi (BJK,KPT) menjadi sebuah entiti baru yang bertanggungjawab ke atas jaminan kualiti pengajian tinggi negara bagi sektor awam dan swasta.

Entiti berkenaan yang dinamakan sebagai Agensi Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Agency, MQA) telah ditubuhkan pada 1 November 2007 ekoran penguatkuasaan Akta Agensi Kelayakan Malaysia 2007 dan secara rasminya dilancarkan oleh YB Dato’ Mustapa Mohamed, Menteri Pengajian Tinggi pada 2 November 2007.

Peranan utama MQA adalah untuk melaksanakan Kerangka Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Framework, MQF) sebagai landasan sistem jaminan kualiti pengajian tinggi dan titik rujukan kriteria dan standard kelayakan kebangsaan. MQA berperanan sebagai badan tunggal yang menyelia dan menyelaras jaminan kualiti dan akreditasi pendidikan tinggi negara.

Berikutan penubuhan MQA, LAN telah dibubarkan dan kakitangannya diserapkan ke dalam MQA.

Dengan visi untuk menjadi organisasi jaminan kualiti pengajian tinggi yang berwibawa dan diiktiraf di peringkat antarabangsa dan misi untuk memberi keyakinan kepada pihak berkepentingan melalui amalan bijak jaminan kualiti pengajian tinggi, MQA kini telah bersedia untuk menerokai sempadan-sempadan baru dalam jaminan kualiti pengajian tinggi.

Fungsi Sunting

Sebagai badan jaminan kualiti, MQA berfungsi seperti berikut:

  • Melaksanakan MQF sebagai titik rujukan kelayakan Malaysia;
  • Membangunkan kriteria dan standard sebagai rujukan kebangsaan bagi penganugerahan kelayakan dengan kerjasama pelbagai pihak berkepentingan;
  • Menjamin kualiti institusi-institusi pengajian tinggi dan program-program;
  • Memberi perakuan akreditasi kepada program-program yang memenuhi kriteria dan standard yang ditetapkan;
  • Memudah cara pengiktirafan dan penyetaraan kelayakan; dan
  • Mengendalikan Daftar Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Register, MQR)


Menjamin kualiti institusi-institusi pengajian tinggi Sunting

Pada masa ini, Malaysia mengalami perkembangan pendidikan yang pesat dalam kedua-dua sektor pendidikan awam dan swasta. Di sektor awam, terdapat sebanyak 13 buah universiti yang telah didirikan tidak termasuk politeknik-politeknik dan institut-institut perguruan. Enrolmen pelajar di universiti melebihi 150,000 orang pelajar. Begitu jua kedudukannya di sektor pendidikan swasta. Statistik yang ada menunjukkan terdapat lebih 500 buah IPTS yang telah ditubuhkan dengan enrolmen pelajar melebihi 100,000 orang. Desakan untuk membangunkan sektor pendidikan tinggi masih berterusan. Sebagai alternatif, pelajar-pelajar akan mendapatkan kemudahan pendidikan tinggi dalam negeri. Kualiti pendidikan yang disediakan oleh IPT Awam adalah terkawal. Terdapat mekanisme-mekanisme tertentu sama ada di peringkat institusi ataupun Kementerian yang mengawal standard dan kualiti kursus-kursus pengajian yang disediakan. Sebaliknya, pendidikan yang disediakan oleh IPTS diragui kualitinya walaupun tidak boleh dinafikan mungkin terdapat mekanisme-mekanisme kawalan kualiti tertentu di peringkat sesebuah IPTS. Dalam keadaan ini dan ke arah mengimbangi standard dan kualiti untuk mewujudkan sistem pendidikan tinggi negara yang berkualiti secara menyeluruh dan bersepadu, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) telah diwujudkan untuk menjadi badan kawalan kualiti yang dipertanggungjawabkan bagi memastikan pendidikan tinggi yang disediakan oleh IPTS sentiasa berkualiti tinggi.

Budaya pendidikan cemerlang Sunting

Dalam dunia persaingan yang hebat, faktor kualiti akan menentukan kesejahteraan sesebuah organisasi itu. Begitu juga dalam sektor pendidikan tinggi, usaha untuk mewujudkan suasana persaingan di kalangan IPT-IPT di negara ini akan menjurus kepada peningkatan kualiti pendidikan yang disediakan. Oleh yang demikian, penubuhan MQA akan membantu IPTS meningkatkan kualiti untuk lebih berdaya maju dalam persaingan dengan IPTA ke arah menyumbang kepada pengwujudan sistem pendidikan tinggi negara yang lebih cemerlang. Bukan itu sahaja, IPTS juga dijangkakan akan dapat bersaing dengan jayanya di peringkat wilayah dan antarabangsa.

Menjadikan Malaysia sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan Sunting

Kerajaan telah menyatakan hasratnya untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan di rantau ini. Sehubungan dengan itu, usaha-usaha pengiktirafan dan pengakreditan yang dilakukan oleh MQA akan menjadi asas perakuan dan pengiktirafan antarabangsa. MQA akan menjadi pusat rujukan dalam menentukan standard dan kualiti pendidikan yang disediakan oleh IPTS di negara ini. Usaha untuk meningkatkan kualiti pendidikan yang disediakan oleh IPTS akan dapat menyumbang untuk merealisasikan hasrat untuk menjadikan pendidikan tinggi sebagai komoditi eksport. Selain itu, hasrat ini akan hanya terlaksana sekiranya semua IPT termasuk IPTS dapat berdaya saing dan mempunyai 'competitive-edge' untuk mengatasi IPT-IPT luar negeri mahupun di peringkat regional ataupun global.

Memberi perakuan akreditasi kepada program-program yang memenuhi kriteria dan standard yang ditetapkan Sunting

MQA juga ditubuhkan dengan status badan berkanun di bawah Kementerian Pendidikan bertujuan untuk mewujudkan satu badan yang berautonomi bagi mengawal standard dan kualiti pendidikan tinggi yang disediakan oleh IPTS. Badan ini juga perlu mempunyai kepakaran tertentu yang dapat menjalankan kerja-kerja penilaian secara profesional tanpa diragui oleh mana-mana pihak. Dengan ciri-ciri tersebut MQA akan wujud sebagai badan yang berwibawa dalam menentukan standard dan kualiti pendidikan tinggi swasta.

Majlis MQA Sunting

Keahlian Majlis MQA adalah seperti berikut:

  • (a) Pengerusi; YBhg. Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Seri Panglima Dr. Abu Hassan Othman
  • (b) Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia; Dato’ Dr. Rahmah binti Mohamed
  • (c) Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi atau wakilnya;
  • (d) Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran atau wakilnya;
  • (e) Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia atau wakilnya;
  • (f) Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam atau wakilnya;
  • (g) Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Pendidikan Tinggi atau wakilnya;
  • (h) seorang wakil pemberi pendidikan tinggi awam
  • (i) seorang wakil pemberi pendidikan tinggi swasta; dan
  • (j) lapan orang anggota lain yang, pada pendapat Menteri, mempunyai pengetahuan khas, pengalaman dan profesionalisme dalam perkara yang berhubungan dengan pendidikan tinggi atau pekerjaan, sekurang- kurangnya dua orang daripadanya hendaklah daripada badan profesional

Ahli-ahli Majlis adalah dilantik oleh Y. B. Menteri kecuali ahli di bawah perenggan (b) hingga (g).

Lihat juga Sunting

Pautan luar Sunting