Leopold II dari Belgium

Leopold II (9 April 1835 – 17 Disember 1909) merupakan Raja Belgium yang secara umumnya diingati sebagai pengasas dan pemeras Negara Bebas Congo yang kejam. Negara tersebut dilihat projek persendirian yang dijalankan bagi pihak baginda sendiri, di mana baginda menggunakan Henry Morton Stanley untuk membantu baginda menuntut kawasan Congo di Afrika (kini dikenali sebagai Republik Demokratik Congo). Semasa Sidang Berlin 1884–1885, pihak-pihak penjajah Eropah bersepakat bahawa Negara Bebas Congo dimestikan meningkatkan taraf hidup penduduk asli. Bagaimanapun, sejak awal lagi Leopold sengaja mengabaikan syarat-syarat tersebut dan mentadbir Congo menggunakan kuasa suapan untuk kepentingan baginda sendiri.

Leopold II
Raja Belgium
Pemerintahan17 Disember 1865 – 17 Disember 1909
Didahului olehLeopold I
Diikuti olehAlbert I
PasanganMarie Henriette dari Austria
AnakandaPuteri Louise-Marie dari Belgium
Putera Leopold, Duke Brabant
Puteri Stéphanie dari Belgium
Clémentine, Puteri Napoléon
KerabatWangsa Saxe-Coburg dan Gotha
AyahandaLeopold I
BondaLouise-Marie dari Perancis
AgamaRoman Katolik

Leopold mengambil kekayaan dari Congo, pada mulanya dengan pengumpulan gading, dan selepas kenaikan harga getah pada 1890an, baginda memaksa penduduknya mengumpul getah torehan. Setiap kampung yang diawasi dikehendaki memenuhi kuota bagi kutipan getah, dan tangan setiap penduduk akan dipotong sekiranya mereka tidak memenuhi kuota tersebut.

Rejim baginda bertanggungjawab bagi kematian kira-kira 2 hingga 5 juta penduduk Congo lalu menjadi skandal antarabangsa yang terkenal pada awal abad ke-20. Leopold akhirnya dipaksa kerajaan Belgium melepaskan kuasanya ke atas jajahan tersebut.

Keputeraan sunting

Leopold dilahirkan di Brussel pada 9 April 1835. Baginda adalah anak kedua kepada penguasa monarki Belgium, Leopold I dan isteri kedua baginda, Louise, anak perempuan kepada Raja Louis Philippe dari Perancis. Abang Leopold telah meninggal pada 1834, beberapa bulan selepas kelahiran baginda, sekali gus menjadikan Leopold pewaris takhta. Semasa baginda berusia 9 tahun, baginda menerima gelaran Duke Brabant.

 
Leopold semasa muda

Kerjaya politik awal sunting

Kerjaya am Leopold bermula pada 1855, semasa baginda menjadi ahli Senat Belgium. Pada tahun yang sama baginda mula menggesa pengambilalihan koloni-koloni Belgium. Pada 1853 baginda mengahwini Marie Henriette, anak kepada archduke Joseph, di Brussel pada 22 Ogos 1853. Perkahwinan ini menghasilkan empat orang anak; tiga anak perempuan, dan anak lelaki tunggal, Leopold, meninggal semasa berusia 9 tahun.

Pemerintahan sunting

 
Jata Diraja

Leopold menjadi raja pada 1865. Pemerintahan baginda ditandai oleh beberapa perkembangan politik yang besar. Parti Liberal mentadbir Belgium dari 1857 sehingga 1880 dan semasa tahun akhir pentadbiran mereka menggubal Undang-undang Frère-Orban 1879. Undang-undang ini mewujudkan sekolah rendah wajib percuma dan sekular yang disokong oleh kerajaan negeri dan menarik semula semua sokongan negeri daripada sekolah rendah Roman Katolik. Pada 1880, Parti Katolik memperoleh majoriti di parlimen dan 4 tahun kemudian mengembalikan semula sokongan negeri kepada sekolah-sekolah Katolik. Pada 1885 pelbagai golongan sosialis dan demokratik bekerjasama dan menubuhkan Parti Buruh. Pergolakan sosial yang meningkat dan kebangkitan Parti Buruh memaksa penggunaan hak mengundi lelaki sejagat pada 1893. Di dalam politik domestik Belgium, Leopold menekankan pertahanan ketenteraan sebagai asas berkecuali, tetapi baginda gagal untuk mendapatkan undang-undang kerahan sejagat sehingga saat kematiaFkeman baginda.

Mendapatkan Negeri Bebas Congo sunting

 
Monumen di Arlon (Belgium). "Saya telah mengambil-alih kerja di Congo untuk kepentingan peradaban dan juga kebaikan Belgium."

Leopold percaya penjajahan luar negara dilihat sebagai kunci kehebatan sesebuah negara dan baginda berusaha tanpa lelah untuk mendapatkan wilayah jajahan bagi Belgium. Lama-kelamaan Leopold mula cuba mendapatkan sebuah koloni dengan keupayaannya sendiri sebagai rakyat biasa. Kerajaan Belgium meminjamkan wang kepada baginda untuk tujuan ini.

Pada 1866, Leopold mengarahkan duta baginda di Madrid untuk berbincang dengan Ratu Isabella I mengenai cadangan menyerahkan jajahan Filipina ratu itu kepada Belgium. Walau bagaimanapun, duta tersebut enggan melakukan kerja tersebut, maka baginda segera menggantikan duta tersebut dengar seseorang yang lebih menyokong rancangannya.[1]

Pada 1868, apabila Isabella II digulingkan dari takhta, Leopold cuba mengambil kesempatan untuk menjayakan rancangan asal baginda untuk mendapatkan Filipina namun masih gagal akibat ketiadaan dana sedia ada. Leopold kemudian merancang untuk "memerdekakan" Filipina yang kemudiannya akan diperintah jua oleh seorang rakyat Belgium, namun Rancangan ini juga tidak berjaya. Disebabkan kedua-dua rancangannya telah gagal, Leopold mengalih hasrat penjajahan baginda ke Afrika.[1]

Selepas beberapa rancangan untuk mendapatkan jajahan di Afrika dan Asia gagal, pada 1876 Leopold menubuhkan sebuah syarikat pegangan swasta yang menyamar sebagai sebuah pertubuhan dermawan dan saintifik antarabangsa bernama Persatuan Antarabangsa Afrika (Association Internationale Africaine). Baginda dengan kawalselia syarikat tersebut mengupah Henry Morton Stanley, seorang penjelajah terkemuka untuk menjelajah dan mendirikan sebuah koloni di rantau Afrika pada tahun 1878. Banyak muslihat diplomatik berlaku semasa Sidang Berlin 1884–1885 berkaitan hal-ehwal Afrika, di mana para perwakilan dari empat belas negara-negara Eropah dan juga Amerika Syarikat mengiktiraf Leopold sebagai pemerintah di kebanyakan kawasan yang telah dituntut oleh baginda dan Stanley. Pada 5 Februari 1885, Negara Bebas Congo telah ditubuhkan dalam sebuah kawasan berkeluasan 76 kali ganda lebih besar dari Belgium yang bebas diperintah baginda melalui tentera persendiriannya, Tentera Awam Belgium (Force Publique).

Eksploitasi dan kekejaman terhadap warga Congo sunting

 
Peta Congo Belgium (1884)

Leopold kemudian mengumpulkan kekayaan peribadi yang besar dengan mengeksploitasi Congo. Fokus pertama ekonomi tanah jajahan tersebut adalah gading, tetapi ini tidak menghasilkan tahap pendapatan yang dijangkakan. Apabila permintaan global bagi getah memuncak, perhatian beralih kepada pengumpulan getah daripada pokok getah yang menggunakan tenaga buruh secara intensif. Mengabaikan janji semasa Persidangan Berlin lewat 1890-an, kerajaan Negeri Bebas menghadkan kemasukan dari luar dan memeras penduduk peribumi sebagai buruh paksa. Penindasan, terutamanya dalam industri getah, termasuklah perhambaan penduduk asli, dipukul, pembunuhan yang berleluasa, dan pencacatan yang kerap apabila kuota pengeluaran tidak dipenuhi. Seorang mubaligh bernama John Harris mislanya begitu terkejut dengan apa yang telah disaksikannya di Baringa sehingga dia menulis kepada ejen ketua Leopold di Congo berkata:

"Saya baru kembali dari perjalanan di kawasan pedalaman untuk ke kampung Insongo Mboyo. Kesengsaraan yang menyedihkan dan pengabaian sepenuhnya yang tidak mampu diceritakan. Saya begitu terharu, Tuan Yang Terutama, oleh cerita-cerita rakyat sehinggakan saya dengan sendirinya menjanjikan mereka bahawa pada masa akan datang tuan hanya akan membunuh mereka bagi jenayah yang mereka melakukan."

Anggaran angka kematian dari dua juta hingga lima belas juta. Menentukan dengan tepat berapa ramai yang telah terbunuh adalah mustahil kerana tiada rekod tepat yang disimpan. Louis dan Stengers menyatakan bahawa angka penduduk pada permulaan pentadbiran Leopold hanyalah "tekaan liar", manakala usaha E.D. Morel dan mereka yang lain untuk mencari angka bagi kehilangan penduduk dianggap sebagai "khayalan imaginasi".

Penyakit cacar dan masalah tidur juga turut melanda penduduk yang telah terjejas ini. Menjelang 1896, penyakit tidur telah membunuh sehingga 5,000 penduduk Afrika di kampung Lukolela di Sungai Congo. Angka-angka kematian telah dikumpulkan melalui usaha Casement Roger, yang menemui, contohnya, hanya 600 terselamat daripada penyakit itu di Lukolela pada 1903.

Kritikan sunting

Kesedaran sedunia mengenai kekejaman pemerintahan Leopold di Congo mula tercetus setelah penerbitan Heart of Darkness (1902) karya Joseph Conrad berdasarkan pengalaman beliau sebagai seorang kapten kapal wap di kawasan itu selama 12 tahun.

Arthur Conan Doyle dalam penulisannya bertajuk The Crime of the Congo (1908) menghujahkan dalam kritikan beliau bahawa pemerintahan ke atas "orang-orang primitif" harus prihatin akan taraf hidup mereka, bukannya berapa banyak mana yang boleh dipergunakan dari mereka. Adam Hochschild, seorang penulis Amerika Syarikat, menekankan dalam karyanya King Leopold's Ghost (1998) bahawa polisi-polisi monopoli dan buruh paksa tidak berperikemanusiaan raja itu didasarkan kepada dasar yang diamalkan di Hindia Timur Belanda[2]:37 malah turut digunapakai Jerman, Perancis dan Portugal di jajahan-jajahan milik mereka yang mengeluarkan hasil getah.[2]:280

Penyerahan dipaksa sunting

Desakan daripada Parti-Parti Katolik dan Buruh Belgium mendorong Parlimen negara tersebut memaksa Raja Leopold menyerahkan Negara Bebas Congo kepada kerajaan Belgium pada tahun 1908, dengan bayaran sebanyak 215.5 juta Franc yang melangsaikan hutang ditanggung negara tersebut, membayar para pemegang saham di jajahan itu serta termasuk 45.5 juta projek untuk membayar projek gajah putih baginda di Belgium.[2]:259 Negara tersebut diubah menjadi suatu jajahan biasa di bawah pemerintahan Parlimen Belgium.

Raja Leopold sendiri berusaha menutup bukti kekejaman pemerintahannya dalam jajahan persendirian itu, sehingga membakar arkib segala catatan jajahan tersebut. Malah, baginda turut memberitahu adikungnya bahawa "mereka tiada hak mengetahui apa yang telah beta kerjakan di sana".[2]:294

Kemangkatan sunting

Leopold II mangkat di Laeken pada 17 Disember 1909, sementara takhta Belgium diturunkan kepada Albert, anak kepada kakandanya Putera Philippe, Groaf Flanders. Pemerintahan baginda selama 44 tahun merupakan tempoh pemerintahan terpanjang dalam sejarah kerabat diraja Belgium.

Perarakan mayat baginda diperli dan diejek-ejek khalayak orang ramai[3] sampai ke di Gereja Onze-Lieve-Vrouwekerk van Laken, Brussels, di mana mayat raja tersebut dimakamkan. Raja tersebut tidak hairanlah juga merupakan tokoh penuh kontroversi di Republik Demokratik Congo, negara bekas jajahan Belgium kini - ibu negara tersebut ditukar namanya dari Leopoldville kepada Kinshasa pada tahun 1966 dan sebuah tugu utama yang didirikan di ibukota tersebut turut diturunkan selepas republik tersebut merdeka pada tahun 1964..

Rujukan sunting

  1. ^ a b Ocampo, Ambeth (2009). Looking Back. Anvil Publishing. m/s. 54–57. ISBN 978-971-27-2336-0.
  2. ^ a b c d Hochschild, Adam (1998). King Leopold's Ghost: A Story of Greed, Terror and Heroism in Colonial Africa (dalam bahasa English). Mariner. ISBN 978-0-330-49233-1. OCLC 50527720.CS1 maint: unrecognized language (link)
  3. ^ Dargis, Manohla (21 October 2005). "The Horrors of Belgium's Congo". www.nytimes.com. Dicapai pada 4 December 2016.

Bibliografi sunting

  • Ascherson, Neal: The King Incorporated, Allen & Unwin, 1963. ISBN 1-86207-290-6 (1999 Granta edition).
  • Hochschild, Adam: King Leopold’s Ghost: A Story of Greed, Terror, and Heroism in Colonial Africa, Mariner Books, 1998. ISBN 0-330-49233-0.
  • Petringa, Maria: Brazza, A Life for Africa, 2006. ISBN 978-1-4259-1198-0
  • Wm. Roger Louis and Jean Stengers: E.D. Morel's History of the Congo Reform Movement, Clarendon Press Oxford, 1968.
  • Ó Síocháin, Séamas and Michael O’Sullivan, eds: The Eyes of Another Race: Roger Casement's Congo Report and 1903 Diary. University College Dublin Press, 2004. ISBN 1-900621-99-1.
  • Ó Síocháin, Séamas: Roger Casement: Imperialist, Rebel, Revolutionary. Dublin: Lilliput Press, 2008.
  • Roes, Aldwin (2010). "Towards a History of Mass Violence in the Etat Indépendant du Congo, 1885–1908". South African Historical Journal. 62 (4): 634–70. doi:10.1080/02582473.2010.519937.
  • Stanard, Matthew G. Selling the Congo: A history of European pro-empire propaganda and the making of Belgian imperialism (U of Nebraska Press, 2012)
  • Viaene, Vincent. "King Leopold's imperialism and the origins of the Belgian colonial party, 1860–1905." Journal of Modern History 80.4 (2008): 741-790.

Pautan luar sunting