Letupan kilang mercun Bright Sparklers

Letupan dan kebakaran kilang mercun Bright Sparklers berlaku pada 7 Mei 1991, jam 3:45 petang di Sungai Buloh, Selangor, apabila kilang mercun itu terbakar dan menghasilkan letupan gergasi yang boleh didengari sejauh 7 km daripada tempat kejadian, mengorbankan 26 orang dan mencederakan 103 yang lain.[2][3] Insiden ini juga telah meranapkan sebanyak 200 kediaman penduduk di sekitar kilang tersebut serta tingkap-tingkap rumah di sekitar kawasan Sungai Buloh sehingga bandar Seri Menjalara dan Selayang pecah. Kejadian itu ialah sebahagian daripada rentetan bencana dalam dekad 1990-an semasa pentadbiran Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia keempat, termasuk runtuhan lombong tinggal di Pantai Remis, tragedi Highland Towers dan banjir lumpur Pos Dipang 1996. Insiden ini juga lebih dikenali sebagai "Hiroshima Sungai Buloh" oleh media tempatan.[4][b]

Letupan dan kebakaran kilang mercun Bright Sparklers
Keadaan kawasan kilang mercun Bright Sparklers selepas kejadian.
Tarikh7 Mei 1991; 32 tahun yang lalu (1991-05-07)
Masa3.45 petang (WPM)
TempatKilang mercun Bright Sparklers
LokasiSungai Buloh, Selangor, Malaysia
Koordinat3°12′32.6″N 101°33′46.1″E / 3.209056°N 101.562806°E / 3.209056; 101.562806Koordinat: 3°12′32.6″N 101°33′46.1″E / 3.209056°N 101.562806°E / 3.209056; 101.562806
Juga dikenali sebagai
Hiroshima Sungai Buloh
JenisBencana mercun
PenyebabLetupan diakibatkan oleh bahan kimia letupan tertumpah semasa percubaan menguji mercun dan bunga api di kantin kilang
Kematian26[1]
Kecederaan103[1][a]
Harta benda rosak
200 kediaman penduduk musnah akibat kesan letupan di kilang mercun

Kesan daripada peristiwa itu, yang mendapat liputan meluas daripada media tempatan dan antarabangsa, membawa kepada penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dan melengkapkan laporan terhadap kes ini. Kerajaan telah mewujudkan undang-undang dan peraturan serta garis panduan buat para pekerja dan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 telah diluluskan di Parlimen.[5] Kilang-kilang mercun dan bunga api di seluruh Malaysia terpaksa ditutup buat seketika waktu akibat pengharaman mercun.[6]

Latar belakang sunting

Kilang mercun Bright Sparklers Sdn. Bhd., terletak di sebuah kawasan pertanian kira-kira 30 km jauh dari kawasan penduduk di Kampung Baru, Sungai Buloh, Selangor. Bangunan kilang itu yang ditubuhkan pada 26 November 1973 bagi menjalankan import dan eksport mercun, bunga api dan produk lain bermula dari 1 April 1974.[7] Kemudahan tersebut tidak dibina mengikut spesifikasi yang ditetapkan. Barangan mentah dan bahan keluaran siap disimpan dalam kilang Bright Sparklers, manakala mercun dan bunga api dipasang dengan tangan dan diuji di kilang. Jenis bunga api dan mercun utama yang dikeluarkan oleh kilang itu ialah bunga api pegangan tangan, lilin Rom, air pancut dan roket.[1] Pada 24 Mei 1977, pengurusan kilang itu menghantar surat kepada Ketua Polis Daerah Petaling Jaya bagi memohon lesen menyimpan bahan letupan di kilang itu.[8]

Bright Sparklers pernah mendapat liputan dalam majalah Malaysia Trade News isu 2/89 terbitan Pusat Dagangan dan Eksport Malaysia di bawah Kementerian Perdagangan dan Perindustrian (kini Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri atau MITI).[9] Kenyataan dalam majalah itu menyimpulkan bahawa syarikat ini terlibat dalam pengeluaran bahan letupan dan bunga api. Majalah itu menjelaskan bahawa Long Tat Heng ialah seorang individu yang memainkan peranan penting dalam memantapkan kemajuan perniagaan bunga api Bright Sparklers. Kilang itu juga menghasilkan sebahagian besar pengeluarannya untuk dieksport ke United Kingdom dan negara-negara Eropah lain.[9]

Kilang Bright Sparklers disahkan beroperasi secara haram tanpa lesen sah sejak 1978 malah ia juga bertindak menyalahi undang-undang apabila menggaji pekerja di bawah umur.[10][11] Ia juga pernah membeli 6 tong fosforus kuning dari England pada tahun yang sama tetapi tidak menggunakannya.[12] Syarikat itu pada mulanya menggunakan tapaknya di Sungai Buloh untuk menempatkan gudangnya sahaja, namun ia mengembangkan operasinya sebagai sebuah kilang.[13] Sebuah syarikat yang berpangkalan di Hong Kong ialah salah satu daripada dua pemegang ekuiti utama Bright Sparklers. Pemegang saham lain termasuk 10 individu Malaysia, syarikat swasta tempatan dan warga Singapura.[14][15]

Syarikat ini dipercayai telah diinsuranskan terhadap kebakaran kira-kira RM 1.5 juta manakala pengurus kilangnya diberikan polisi kemalangan peribadi sebanyak RM 50,000 tahun.[16] Ia telah dilaporkan bahawa penanggung insurans utama ialah East-West UMI Insurance, ahli Kumpulan Sime Darby.[17] Selain itu, ia turut didakwa tidak memiliki Sijil Layak Menduduki (CF) yang mana sijil tersebut tidak pernah dikeluarkan oleh Majlis Daerah Petaling.[18][19] Telah didedahkan bahawa pemegang saham dan pengarahnya mengeluarkan tuntutan balas bahawa kilang Bright Sparklers telah beroperasi secara sah sejak 1977.[20] Sebelum kejadian pada 1991, pengurusan kilang mercun ini telah memaklumkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bahawa sebuah stor bersifat sementara dibina pada 1977 untuk kegunaan Bright Sparklers bagi menyimpan bahan letupan.[21] Pada November 1990, iaitu 6 bulan sebelum kejadian, Bright Sparklers menerima tanda "semuanya jelas" daripada pegawai Jabatan Kilang dan Jentera yang memeriksa premis tersebut.[22] Kilang mercun itu juga mengeksport barangan bernilai RM 1.57 juta di antara 8 Januari dan 30 April 1991 sebelum bencana itu berlaku.[23]

Letupan dan kebakaran sunting

Insiden ini berlaku pada jam 3:45 petang Waktu Piawai Malaysia (WPM), 7 Mei 1991[2][24][25]—iaitu 22 hari selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri—apabila secara tiba-tiba satu letupan pertama berlaku dari satu kawasan di dalam kilang Bright Sparklers. Letupan dipercayai berpunca daripada kelalaian seorang ahli kimia Hong Kong yang menjalankan ujian bunga api di luar tempat khas sehingga terkena longgokan simpanan mercun dan bunga api yang terletak berhampiran seterusnya letupan semakin merebak.[26][25][27] Keadaan semakin sukar dikawal ketika kebakaran berlaku kerana tiada usaha awal memadamkan api dan juga peralatan pencegahan kebakaran tidak disediakan secukupnya di kilang itu.[28][29][30]

Selepas letupan pertama, letupan kedua pula menyusul kira-kira 10 minit kemudian.[27] Letupan ketiga dan yang paling kuat, berlaku jam 4 petang dan dirasai lebih empat kilometer. Lebih 20 letupan kemudian terus berlaku sehingga kepulan asap yang boleh dilihat dari jarak lapan kilometer. Sejumlah daripada puluhan pekerja kilang itu yang kebanyakannya baru memulakan sesi tugas petang 45 minit sebelum kejadian itu kelihatan menyerbu pintu keluar kilang bagi menyelamatkan diri daripada dibakar rentung atau terus hancur akibat letupan berkenaan.[31][32]

Kekuatan letupan itu menggegarkan kawasan sekeliling menyebabkan banyak rumah runtuh atau terbakar. Sebahagian penghuni Bandar Baru Sungai Buloh bermalam di balai raya dan dewan orang ramai di kawasan perumahan itu kerana bimbang berlaku lagi letupan di kilang mercun Bright Sparklers.[33] Selain itu, beberapa kilang termasuk kilang makanan haiwan, kilang papan dan kilang bahan pewarna makanan yang berada berdekatan turut terbakar. Berpuluh kenderaan termasuk kereta dan motosikal turut musnah.[34] Letupan itu turut menggemparkan penduduk sekitar termasuk anggota tentera di Kem Tentera Sungai Buloh yang hanya terletak kira-kira 300 meter dari kilang berkenaan dan memecahkan tingkap rumah di bandar Seri Menjalara dan Selayang, kira-kira tujuh kilometer dari kilang itu.[35][36]

Keadaan menjadi lebih teruk apabila penduduk dan beberapa pihak yang berada berhampiran kilang melarikan diri bagi mengelak terkena serpihan batu, batang kayu dan besi yang berterbangan akibat letupan itu selain bahang api. Beberapa pihak yang gagal menyelamatkan diri akhirnya cedera terkena serpihan dan api itu.[2] Kemalangan jalan raya turut berlaku sewaktu pemandu bergegas menyelamatkan diri ketika kebakaran. Seorang wanita cedera di kepala apabila terlanggar sebuah kereta di jalan raya dalam cubaan menyelamatkan diri.

Selepas letupan demi letupan itu semakin berkurangan, kedengaran raungan kesakitan di mana-mana. Berpuluh mangsa berlumuran darah merah manakala ratusan orang ramai mula memenuhi kawasan kejadian untuk mencari sanak-saudara yang dikhuatiri menjadi mangsa tragedi. Wajah cemas dan sugul mengiringi pertanyaan demi pertanyaan yang diajukan kepada sesiapa saja yang dijumpai untuk mengetahui nasib sanak-saudara masing-masing yang bekerja di kilang berkenaan kerana mereka bimbang jika insan disayangi menjadi korban tragedi itu.[2]

Tangisan dan raungan semakin kuat kedengaran tatkala melihat keadaan ngeri mangsa yang rentung dan sudah tidak lengkap anggota badan dibawa keluar dari bangunan kilang yang hangus terbakar.[2] Seramai 8 jentera bomba termasuk dua dari Kem Tentera Sungai Buloh, Wilayah Persekutuan (2), Petaling Jaya (2) dan masing-masing sebuah dari Damansara Utama dan Shah Alam tiba seketika kemudian untuk memadamkan kebakaran dan menyelamatkan mangsa.

Lebih 50 anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran dalam kepayahan lantaran pelbagai masalah timbul. Tekanan air terlalu rendah, pili jauh, api merebak terlalu cepat, angin kencang serta beberapa letupan menghalang tugas memadam dengan lebih mudah. Apabila pasukan bomba tiba, api sudah merebak ke tiga rumah berhampiran kilang. Pasukan bomba terpaksa menggunakan air yang dibawa sendiri dan selepas bertungkus lumus selama dua jam, mereka akhirnya berjaya mengawal api daripada merebak ke rumah lain di sekitar kawasan berhampiran.[37]

9 ambulans dari Hospital Kuala Lumpur (HKL), 5 dari Hospital Sungai Buloh berulang alik mengangkut mangsa yang parah untuk mendapatkan rawatan kecemasan.[2] Keprihatinan orang ramai menyebabkan ada mangsa dibawa ke hospital menggunakan lori dan van dalam keadaan berlumuran darah. Walaupun kebakaran sudah dipadamkan, anggota bomba tidak dapat meneruskan operasi mencari mangsa dengan mudah kerana khuatir letupan akan kembali berulang berikutan masih ada tiga tempat simpanan letupan bawah tanah di kilang itu. Dua daripada stor simpanan itu sudah meletup dengan meninggalkan kesan seperti kawah sedalam kira-kira enam meter.[38]

Bomba dan pasukan penyelamat lain terus memantau keadaan di tapak kilang itu sehingga ke malam. Api menyala semula di beberapa bahagian bangunan itu kira-kira jam 2.30 pagi dan anggota bomba terpaksa menyembur air bagi memadamkannya. Bagaimanapun, sehingga jam 5 pagi, tiada lagi letupan berlaku.[2] Sehari selepas letupan, gerakan mencari yang dilakukan bomba menemui 21 mayat yang terbunuh dalam tragedi itu. Satu daripada mayat itu iaitu seorang ahli kimia dari Hong Kong yang bekerja di kilang itu, rentung. Pemeriksaan awal juga mendapati seramai 83 orang cedera dan dirawat di beberapa hospital sekitar Kuala Lumpur. Polis, juga menerima aduan mengenai kehilangan enam penduduk tempatan. Selain itu, 37 rumah dan kilang serta tujuh motosikal musnah dalam kejadian ngeri itu. Polis bagaimanapun mengalami kesukaran mengesan jumlah sebenar pekerja yang hilang dalam letupan itu berikutan majikan tidak mempunyai daftar kehadiran tugas harian dan ada pekerja kilang berhampiran yang cedera atau belum melaporkan diri.

Pada hari ketiga gerakan mencari mangsa dijalankan, pasukan penyelamat menghadapi ancaman baru berikutan hujan lebat selama sejam kira-kira jam 2.30 petang menyebabkan berlakunya tindak balas kimia di lokasi letupan sehingga menghasilkan gas beracun. Keadaan itu menyebabkan kira-kira 200 anggota penyelamat diarahkan beredar dari kawasan itu kerana khuatir gas itu memberi kesan kesihatan terhadap mereka di samping mengelak sebarang kejadian tidak diingini.[39] Bagaimanapun, penyebaran gas beracun itu semakin buruk sehingga menyebabkan lebih 50 anggota pasukan penyelamat dilaporkan mengalami kesukaran bernafas, bengkak dan gatal di muka, tangan dan badan kerana terkena gas beracun itu.[2] Pada hari keenam kejadian, beberapa penduduk sekitar kilang mercun Bright Sparklers mengadu menghidu bau busuk ketika kerja pembersihan kilang itu dijalankan.[40]

Operasi kemudian diteruskan dengan penyelamat terpaksa memakai topeng gas dan pakaian khas. Pasukan penyelamat juga menggunakan dua jentolak bagi membersihkan tapak kilang. Pada 16 Mei, pihak berkuasa melancarkan 'Operasi Api Buluh' untuk membersih dan memindahkan sisa bahan kimia dari kilang berkenaan.[27] Dalam operasi itu, petugas telah menjumpai beberapa lagi mayat dalam mengerikan iaitu hangus terbakar sehingga menjadi rangka dan tengkorak di kawasan letupan dan jumlah mangsa terkorban dalam tragedi itu meningkat kepada 26 orang.[41] Walaupun sudah beberapa hari berlalu, gas toksik masih tidak menghilang malah semakin merebak kepada beberapa penduduk berhampiran. Tujuh anggota penyelamat turut pengsan selepas tersedut gas itu.[42] Keadaan semakin bahaya apabila walaupun memasuki hari ke-11, masih terdapat bara api yang muncul di tapak letupan itu tetapi ia berjaya dikawal pihak berkuasa yang segera memadamkannya.[2]

Kesan tragedi sunting

Seramai 26 orang terbunuh dan 103 orang cedera dalam kejadian ini,[25][43] manakala selebihnya rentung hingga jasad menjadi abu dan tak boleh dikenal pasti.[27][44] Sebanyak 46 rumah telah musnah dan 149 lagi rosak akibat kesan letupan di kilang bunga api Bright Sparklers. Daripada mereka yang musnah, 28 telah diduduki oleh pemiliknya dan 18 lagi oleh penyewa. Kira-kira 260 orang kehilangan tempat tinggal apabila rumah yang didiami mereka musnah. Daripada jumlah rumah yang rosak, 120 rumah telah didiami oleh pemilik dan keluarga mereka. 29 lagi rumah yang disewakan turut mengalami pelbagai kerosakan.[45] Berikutan insiden itu, dua anak syarikat milik Bright Sparklers yang beroperasi di Rawang dan Hulu Langat telah diarahkan tutup.[46][47]

Kerajaan Negeri Selangor telah menubuhkan Tabung Bantuan Kebakaran Sungai Buloh dengan peruntukan awal sebanyak RM10,000 bagi membantu keluarga mangsa yang terbabit dalam kebakaran kilang mercun Bright Sparklers.[48] Sehingga 1 Jun 1991, tabung ini telah mengumpul derma berjumlah $833,538.45.[49] Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) telah menubuhkan satu pusat pemindahan di Bukit Komuniti Sungai Buloh bagi membantu mangsa dan penduduk kampung yang terjejas akibat letupan di sebuah kilang bunga api.[50] Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah menerima senarai nama kira-kira 150 orang yang bekerja di kilang bunga api Bright Sparklers. Menurut Pengarah Cawangan PERKESO Petaling Jaya, Jothi Kandan, syarikat itu menyerahkan butiran semua pekerjanya ke pejabatnya di Kuala Lumpur yang membabitkan kira-kira 150 nama, termasuk pekerja sementara, tetapi senarai itu tidak menyatakan siapa yang cedera atau terbunuh.[51] PERKESO juga mengumumkan bahawa ia akan membayar pampasan dan faedah pergantungan kepada keluarga mangsa tragedi Bright Sparklers, walaupun nama mereka tidak didaftarkan dengan pertubuhan itu.[52]

Pada Oktober 1991, kejadian letupan dan kebakaran kilang mercun Bright Sparklers yang dirakamkan menerusi video dan foto oleh Jabatan Bomba, ditayangkan kepada umum buat pertama kali sempena Minggu Kempen Memadam Kebakaran.[53][54] Berikutan insiden ini, kilang-kilang bunga api di seluruh Malaysia terpaksa ditutup akibat pengharaman bunga api. Unit HAZMAT telah diwujudkan pada 29 Oktober 1992. Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 telah diluluskan di Parlimen.

Siasatan dan maklum balas kerajaan sunting

Sebuah Suruhanjaya Siasastan Diraja (RCI) telah ditubuhkan bagi melakukan siasatan secara menyeluruh terhadap insiden ini.[55][56] Penemuan daripada laporan siasatan RCI menunjukkan bahawa pengurusan syarikat melanggar peraturan berkanun dan negara melalui pemasangan kilang bunga api di tanah pertanian, dan mengendalikan kilang tanpa lesen pengilangan, mengimport bahan mentah tanpa kebenaran atau lesen sah, menyimpan bahan letupan tanpa lesen, dan mengeksport produk bunga api tanpa lesen.[1] Siasatan juga mendapati kebakaran di kilang mercun itu disahkan berpunca daripada bahagian makmal yang menjalankan kerja-kerja menguji mercun yang siap untuk dipasarkan.[57] Pada masa yang sama, Kementerian Sumber Manusia menyiasat laporan bahawa kilang mercun Bright Sparklers yang musnah akibat letupan itu, mengambil pekerja di bawah umur.[58]

Pada 11 Mei 1991, sekumpulan pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) memulakan ujian ketoksikan ke atas asap di kawasan sekitar kilang Bright Sparklers.[59][60] Hasil ujian yang dijalankan oleh JAS menunjukkan asap kimia yang dikeluarkan tidak mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan.[61] Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengetahui pembuatan barangan berbahaya seperti bahan letupan hanya jika permohonan dibuat melalui pihak berkuasa tempatan. Ini kerana wakil daripada Jabatan Polis menduduki lembaga pengarah pihak berkuasa tempatan. Menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri ketika itu, Megat Junid Megat Ayob, ketika ditanya sama ada permohonan dibuat untuk pembuatan bunga api oleh Bright Sparklers, berkata beliau tidak pasti tentang perkara ini, namun berpendapat: "Lebih baik jika ia diserahkan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk melakukan siasatan terperinci mengenai kejadian itu supaya akan ada gambaran yang lebih jelas,".[62]

Polis Diraja Malaysia (PDRM) memutuskan untuk 'bergerak perlahan' dalam operasi mencari di kilang bunga api Bright Sparklers berikutan amaran kesihatan mengenai pendedahan bahan kimia toksik.[63] PDRM juga meneruskan siasatan mengenai bilangan pekerja yang terperangkap dalam insiden Bright Sparklers. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Mohd Zaman Khan berkata terdapat percanggahan keterangan mengenai jumlah sebenar pekerja di dalam bangunan itu semasa kejadian. Menurutnya, seorang pekerja memberitahu polis terdapat kira-kira 160 orang berada di kilang itu.[64] Beliau juga menambah bahawa pemilik kilang mercun dan bunga api Bright Sparklers mungkin akan menghadapi tindakan undang-undang kerana menyimpan bahan letupan.[65]

Menteri Kehakiman, Syed Hamid Albar memberi jaminan bahawa Kerajaan akan membawa mereka yang bertanggungjawab terhadap kebakaran kilang Bright Sparklers. Beliau berkata rakyat tidak perlu risau tentang penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat kebakaran itu kerana Kerajaan ikhlas menjaga kepentingan mereka. Menurut Syed Hamid, parti pembangkang juga tidak seharusnya mengambil peluang ini untuk meningkatkan pengaruh mereka.[66]

Susulan daripada insiden Bright Sparklers, pada 13 Mei 1991, Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Wilayah Persekutuan (PPPKWP) meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menarik balik tindakan mahkamah ke atas peniaga bunga api dan mercun.[67] Seramai 12 peguam telah memfailkan saman bagi pihak mangsa tragedi Bright Sparklers, Kerajaan serta jabatan dan pihak berkuasa lain yang bertanggungjawab dalam tragedi itu. Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM), Syed Husin Ali dalam satu kenyataannya berkata kes terpilih pertama akan difailkan dalam tempoh 15 hari akan datang manakala saman lain akan menyusul. Beliau berkata peguam dari seluruh negara dan menggelarkan diri mereka sebagai "Peguam untuk Kepentingan Awam" (API), telah menawarkan diri untuk mewakili mangsa secara sah.[68]

Pada tahun 2006, kes mangsa terkorban dalam letupan kilang mercun Bright Sparklers telah ditutup selepas 15 tahun. Seramai 118 orang telah tampil untuk memfailkan saman terhadap kerajaan kerana kehilangan ahli keluarga tersayang. Kesemua keluarga mangsa yang terlibat juga telah menjumlahkan kerugian ke atas hartanah sejumlah RM30,000 kepada pemilik kilang Bright Sparklers Sdn. Bhd., Chin Kong Hin. Bayaran global oleh Pengarah Jabatan Tanah dan Galian Selangor, Majlis Daerah Petaling dan Kerajaan Malaysia – defendan kedua, ketiga dan keempat, masing-masing – dibuat tanpa mengaku liabiliti dan sebagai bayaran penuh dan muktamad untuk ganti rugi am dan khas dan kepentingan.[69][70] Perdana Menteri ketika itu, Mahathir Mohamad telah menggesa kajian semula semua bentuk industri berbahaya, termasuk yang menggunakan bahan toksik dan bahan kimia berbahaya susulan daripada kejadian letupan kilang mercun Bright Sparklers.[71]

Pampasan sunting

Pada 1 Ogos 1991, Kerajaan Negeri Selangor telah membelanjakan RM 1.12 juta daripada RM 1.319 juta dalam Tabung Bantuan Kebakaran Sungai Buloh bagi membantu dan memberi pampasan kepada keluarga yang terjejas dan mangsa letupan kilang bunga api Bright Sparklers.[72] Pada 22 Oktober, PERKESO menerima 84 tuntutan pampasan daripada mangsa dan keluarga mangsa yang maut dalam kebakaran kilang mercun Bright Sparklers. Sebanyak 72 tuntutan yang dikemukakan ialah untuk pampasan hilang upaya sementara, di mana 59 daripadanya menerima faedah hilang upaya sementara.[73]

Dalam budaya masyhur sunting

Stesen TV swasta, TV3 menerusi rancangan Detik Tragik terbitannya telah menyiarkan episod mengenai tragedi ini pada 30 Mei 2012, dengan tajuk episod "Hiroshima Sungai Buloh". Episod ini menampilkan temubual bersama mangsa yang terselamat daripada tragedi itu serta pegawai bomba yang terlibat dalam insiden ini.[74]

Lihat juga sunting

Catatan sunting

  1. ^ Terdapat sumber berbeza yang menyatakan 83 mangsa terkorban dalam kejadian itu.
  2. ^ Menurut laporan media tempatan, letupan itu diibaratkan seperti peristiwa bom atom dijatuhkan pesawat Amerika ke wilayah Jepun pada Perang Dunia Kedua.[4]

Rujukan sunting

  1. ^ a b c d Ibrahim dll. 2002, m/s. 214–221.
  2. ^ a b c d e f g h i "Tragedi letupan Sungai Buloh yang membawa kepada pengharaman mercun dan bunga api". UtusanTV. 18 Januari 2021. Dicapai pada 13 Ogos 2021.
  3. ^ "KEBAKARAN KILANG MERCUN DI SUNGAI BULOH". Berita Harian Singapura. 10 Mei 1991. m/s. 14. Dicapai pada 18 Ogos 2021.
  4. ^ a b Rozianah Risman (31 Julai 2012). "Tragedi 'Hiroshima'". Utusan Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 25 Mei 2018. Dicapai pada 7 Mei 2016.
  5. ^ S. Jayakrishman; Alex Chung (17 April 1993). "Firm Blamed for Explosion" [Firma dipersalahkan kerana letupan] (dalam bahasa Inggeris). New Sunday Times. Dicapai pada 10 Disember 2010 – melalui Google Books.
  6. ^ Borhan Abu Samah (18 September 2020). "Selepas 29 tahun tragedi Bright Sparklers, kes ditutup". Suara Merdeka. Dicapai pada 12 Ogos 2021.
  7. ^ Pereira Tan; Adrian David (7 Mei 2001). "Painful memories of Bright Sparklers" [Kenangan menyayat hati di Bright Sparklers]. New Straits Times (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 10 Disember 2010.
  8. ^ "Pernah mohon lesen letupan". Harian Metro. 23 Julai 1991. Dicapai pada 17 Ogos 2021.
  9. ^ a b Aliran 1991, m/s. 2.
  10. ^ "Kilang mercun haram". Harian Metro. 8 Mei 1991. Dicapai pada 13 Ogos 2021.
  11. ^ K Bala; Sabry Shariff; Badrolhisham Bidin; Faridah Hamid; Indira Nayar; Eddie Chua; Jasni Rahim; Surinder Jessy; Lionel Morais; Jaffry Azman; Haris Hussain; V Vasudevan; Esther Tan; Mimi Syed Yusof; Anne Teoh; Yushaimi Yahya; P Selvarani; S Jayak rishnan; Ahmad Sufian; Saiful Mahadhir; Ti Lian Siew (8 Mei 1991). "13-year-old factory was illegal" [Kilang berusia 13 tahun disahkan haram] (dalam bahasa Inggeris). The Malay Mail. Dicapai pada 13 Ogos 2021.CS1 maint: multiple names: authors list (link)
  12. ^ "Simpan bawah tanah". Harian Metro. 16 Julai 1991. Dicapai pada 17 Ogos 2021.
  13. ^ "Site should only have been a warehouse" [Tapak sepatutnya hanya sebuah gudang] (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. 9 Mei 1991. Dicapai pada 13 Ogos 2021.
  14. ^ "HK company owns part of Bright Sparklers" [Syarikat HK memiliki sebahagian daripada Bright Sparklers] (dalam bahasa Inggeris). Business Times. 9 Mei 1991. Dicapai pada 13 Ogos 2021.
  15. ^ "Hong Kong company, 10 locals among owners" [Syarikat Hong Kong, 10 syarikat tempatan antara pemilik] (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. 9 Mei 1991. Dicapai pada 13 Ogos 2021.
  16. ^ "Factory had $1.5m cover against fire" [Kilang mempunyai perlindungan $1.5 juta terhadap kebakaran] (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. 11 Mei 1991. Dicapai pada 14 Ogos 2021.
  17. ^ Mustapha Kamil (10 Mei 1991). "'Razed factory insured $1.5m'" ['Kilang terbakar diinsuranskan RM1.5j'] (dalam bahasa Inggeris). Business Times. Dicapai pada 13 Ogos 2021.
  18. ^ "Factory never had a fitness certificate" [Kilang tidak mempunyai sijil layak menduduki] (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. 10 Mei 1991. Dicapai pada 14 Ogos 2021.
  19. ^ Rodhiah Ismail (10 Mei 1991). "No CF was ever issued to Bright Sparklers" [Tiada CF dikeluarkan untuk Bright Sparklers] (dalam bahasa Inggeris). Business Times. Dicapai pada 14 Ogos 2021.
  20. ^ Junaidah Yean Abdullah; K Vijiyan (12 Mei 1991). "Firm: Factory is legal" [Firma: Kilang beroperasi secara sah] (dalam bahasa Inggeris). New Sunday Times. Dicapai pada 14 Ogos 2021.
  21. ^ "No records in Fire Dept" [Tiada rekod dalam Jabatan Bomba] (dalam bahasa Inggeris). Business Times. 10 Mei 1991. Dicapai pada 14 Ogos 2021.
  22. ^ "Go-ahead given to firm in November" [Teruskan diberikan kepada firma pada November] (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. 13 Mei 1991. Dicapai pada 15 Ogos 2021.
  23. ^ "Eksport lebih $1j". Harian Metro. 16 Julai 1991. Dicapai pada 17 Ogos 2021.
  24. ^ Termizi Che Anuar (20 Januari 2015). "Letupan kilang mercun di Sungai Buloh". Utusan Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 23 Disember 2017. Dicapai pada 5 Mei 2016.
  25. ^ a b c Abdul Nashar 2022, m/s. 40–41.
  26. ^ "Eyewitness: Official may have caused explosions" [Kakitangan mungkin penyebab letupan] (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. 9 Mei 1991. Dicapai pada 15 Ogos 2021.
  27. ^ a b c d Nadia Ghafar (20 Januari 2020). ""Bagai tanah Hiroshima dibom" – Tragedi Letupan Kilang Mercun Sungai Buluh Musnahkan Lebih 200 Kediaman Pada Tahun 1991". Lobak Merah. Dicapai pada 17 Ogos 2021.
  28. ^ "Ujian mercun mungkin puncanya". Harian Metro. 8 Mei 1991. Dicapai pada 13 Ogos 2021.
  29. ^ "Lima bahan letupan ditemui". Harian Metro. 8 Mei 1991. Dicapai pada 13 Ogos 2021.
  30. ^ "Experiment that went awry" [Eksperimen membawa padah]. New Straits Times. 10 Mei 1991. Dicapai pada 13 Ogos 2021.
  31. ^ "100 masih hilang". Harian Metro. 8 Mei 1991. Dicapai pada 13 Ogos 2021.
  32. ^ "Tragedy under cloud of smoke" [Tragedi di bawah kepulan asap] (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. 11 Mei 1991. Dicapai pada 15 Ogos 2021.
  33. ^ "Penghuni risau letupan mercun". Harian Metro. 8 Mei 1991. Dicapai pada 13 Ogos 2021.
  34. ^ "Kenderaan awam turut musnah". Harian Metro. 8 Mei 1991. Dicapai pada 13 Ogos 2021.
  35. ^ "Ledakan 200 tan belerang". Harian Metro. 8 Mei 1991. Dicapai pada 13 Ogos 2021.
  36. ^ "Hingga ke Selayang". Harian Metro. 8 Mei 1991. Dicapai pada 13 Ogos 2021.
  37. ^ "Bomba hadapi masalah pili jauh". Harian Metro. 8 Mei 1991. Dicapai pada 13 Ogos 2021.
  38. ^ K Bala; Sabry Shariff; Badrolhisham Bidin; Faridah Hamid; Indira Nayar; Eddie Chua; Jasni Rahim; Surinder Jessy; Lionel Morais; Jaffry Azman; Haris Hussain; V Vasudevan; Esther Tan; Mimi Syed Yusof; Anne Teoh; Yushaimi Yahya; P Selvarani; S Jayak rishnan; Ahmad Sufian; Saiful Mahadhir; Ti Lian Siew (8 Mei 1991). "Alive or dead? Many keep vigil at hospital" [Hidup atau mati? Ramai yang berjaga di hospital] (dalam bahasa Inggeris). The Malay Mail. Dicapai pada 13 Ogos 2021.CS1 maint: multiple names: authors list (link)
  39. ^ Razali Zakaria (11 Mei 1991). "Penduduk Sg Buloh resah". Harian Metro. Dicapai pada 15 Ogos 2021.
  40. ^ "Penduduk terhidu bau busuk". Harian Metro. 11 Mei 1991. Dicapai pada 15 Ogos 2021.
  41. ^ "Death toll has reached 26" [Jumlah kematian mencapai 26] (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. 18 Mei 1991. Dicapai pada 16 Ogos 2021.
  42. ^ "Tujuh polis pengsan di Sungai Buloh". Berita Minggu. 19 Mei 1991. Dicapai pada 16 Ogos 2021.
  43. ^ "Lebih 100 dikhuatiri mati". Berita Harian Singapura. 8 Mei 1991. m/s. 1. Dicapai pada 18 Ogos 2021.
  44. ^ Attiqah Mohd (21 Januari 2020). "'Umpama Tanah Hiroshima Yang Dibom' - Tragedi Hitam 1991 Sungai Buloh Buat Netizen Sayu". XTRA. Dicapai pada 17 Ogos 2021.
  45. ^ "46 houses destroyed in blasts" [46 rumah musnah dalam letupan] (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. 10 Mei 1991. Dicapai pada 15 Ogos 2021.
  46. ^ "Dua anak syarikat Bright Sparklers diarah tutup". Berita Harian Singapura. 10 Mei 1991. m/s. 1. Dicapai pada 18 Ogos 2021.
  47. ^ "Sejarah hitam sukar dilupakan". Berita Harian Singapura. 12 Mei 1991. m/s. 12. Dicapai pada 18 Ogos 2021.
  48. ^ "Tubuh dana mangsa api". Harian Metro. 8 Mei 1991. Dicapai pada 13 Ogos 2021.
  49. ^ "Tabung Bencana Sungai Buloh kumpul $833,538.45". Harian Metro. 1 Jun 1991. Dicapai pada 16 Ogos 2021.
  50. ^ "MRCS sets up relief centre" [PBSM tubuhkan pusat pemindahan] (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. 9 Mei 1991. Dicapai pada 13 Ogos 2021.
  51. ^ "Socso obtains employees list" [Perkeso peroleh senarai kakitangan] (dalam bahasa Inggeris). Business Times. 10 Mei 1991. Dicapai pada 13 Ogos 2021.
  52. ^ "Socso to pay compensation to affected families" [Perkeso akan membayar pampasan kepada keluarga terjejas] (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. 9 Mei 1991. Dicapai pada 15 Ogos 2021.
  53. ^ "Tayangan video tragedi kilang mercun". Harian Metro. 17 Oktober 1991. Dicapai pada 20 Ogos 2021.
  54. ^ "Display of Sungai Buloh fire pictures" [Tayangan gambar kebakaran Sungai Buloh] (dalam bahasa Inggeris). The Malay Mail. 17 Oktober 1991. Dicapai pada 20 Ogos 2021.
  55. ^ "Royal Commision of Inquiry to be set up" [Suruhanjaya Siasatan Diraja akan dibentuk] (dalam bahasa Inggeris). Business Times. 9 Mei 1991. Dicapai pada 13 Ogos 2021.
  56. ^ "Suruhanjaya diraja siasat tragedi". Berita Harian Singapura. 9 Mei 1991. m/s. 1. Dicapai pada 18 Ogos 2021.
  57. ^ "Findings of the Royal Commission of Inquiry into the Bright Sparklers tragedy at a glance" [Sekilas pandang Penemuan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai tragedi Bright Sparklers] (dalam bahasa Inggeris). The Malay Mail. 17 April 1993. Dicapai pada 15 Ogos 2021.
  58. ^ Ahmad Al-Husna; Wan Sabariah Shikh Ali; Rasid Rahaman; Habhajan Singh; Razali Zakaria, A Hanim Malek; Yaacob A Rahim; Khalid Yasin; Solihan Badri; Amirullah Andi Nur (9 Mei 1991). "Pegawai Perkeso temui mangsa, waris". Harian Metro. Dicapai pada 13 Ogos 2021.CS1 maint: multiple names: authors list (link)
  59. ^ Badrolshisham Bidin; S Jayakrishnan; Lee Boon Siew; Haris Hussain; P Selvarani; Radziah Abdul Rahim; Fadilah Jantan; Yushaimi Yahaya (11 Mei 1991). "Toxicity tests at scene of blast" [Ujian ketoksikan di tempat kejadian letupan] (dalam bahasa Inggeris). The Malay Mail. Dicapai pada 14 Ogos 2021.CS1 maint: multiple names: authors list (link)
  60. ^ "DOE conducts toxicity tests at factory surroundings" [JAS jalankan siasatan ketoksikan di sekitar kilang] (dalam bahasa Inggeris). Sunday Mail. 12 Mei 1991. Dicapai pada 14 Ogos 2021.
  61. ^ "Law: Tests show air in Sungai Buloh safe" [Law: Ujian menunjukkan udara di Sungai Buloh selamat] (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. 15 Mei 1991. Dicapai pada 16 Ogos 2021.
  62. ^ "Home Ministry awareness" [Kesedaran Kementerian Dalam Negeri] (dalam bahasa Inggeris). Business Times. 11 Mei 1991. Dicapai pada 14 Ogos 2021.
  63. ^ Ahmad Suffian; Jahabar Sadiq; Gerald Chuah; Juhaidi Yean Abdullah; S Jayakrishnan (12 Mei 1991). "Police to go slow in search ops" [Polis bergerak perlahan dalam operasi pencarian] (dalam bahasa Inggeris). New Sunday Times. Dicapai pada 14 Ogos 2021.CS1 maint: multiple names: authors list (link)
  64. ^ "Checking number of workers" [Memeriksa jumlah pekerja] (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. 9 Mei 1991. Dicapai pada 14 Ogos 2021.
  65. ^ "Tindakan kepada pemilik kilang mercun" (dalam bahasa Inggeris). Harian Metro. 17 Mei 1991. Dicapai pada 16 Ogos 2021.
  66. ^ "Assurance on inquiry" [Jaminan dalam siasatan] (dalam bahasa Inggeris). Business Times. 18 Mei 1991. Dicapai pada 16 Ogos 2021.
  67. ^ Rasid Rahaman (14 Mei 1991). "Rayu tarik balik saman" (dalam bahasa Inggeris). Harian Metro. Dicapai pada 16 Ogos 2021.
  68. ^ "Sungai Buloh fire suits" [Saman kes kebakaran Sungai Buloh] (dalam bahasa Inggeris). Business Times. 30 Mei 1991. Dicapai pada 16 Ogos 2021.
  69. ^ "Case closes after 15 years" [Kes ditutup selepas 15 tahun] (dalam bahasa Inggeris). The Star Online. 6 Ogos 2006. Diarkibkan daripada yang asal pada 4 Januari 2017. Dicapai pada 17 Ogos 2021.
  70. ^ "Kes Ditutup Selepas 15 Tahun, Ini Tragedi Bright Sparklers 1991 Serupa Hiroshima Yang Hampir Dilupai". Oh Bulan!. 18 September 2020. Dicapai pada 17 Ogos 2021.
  71. ^ Ahirudin Attan (17 Mei 1991). "PM calls for review of all hazardous industries" [PM menggesa kajian semula semua industri berbahaya] (dalam bahasa Inggeris). Business Times. Dicapai pada 20 Ogos 2021.
  72. ^ "$1.12m of Sg. Buloh tragedy fund spent" [$1.12j dibelanjakan untuk dana tragedi Sungai Buloh] (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. 1 Ogos 1991. Dicapai pada 17 Ogos 2021.
  73. ^ "Socso: 84 claims from Sungai Buloh tragedy" [Perkeso: 84 tuntutan dari tragedi Sungai Buloh] (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. 22 Oktober 1991. Dicapai pada 19 Ogos 2021.
  74. ^ "Detik Tragik' - Paparan Eksklusif Tragedi & Bencana Di Malaysia". Tonton Extra. 12 Mei 2015. Diarkibkan daripada yang asal pada 2016-06-02. Dicapai pada 2016-05-05.

Bibliografi sunting

Bacaan lanjut sunting

Pautan luar sunting