Liberty Bell

Genta yang menjadi simbol kepada kebebasan dan kemerdekaan Amerika Syarikat

Genta Kebebasan (bahasa Inggeris: Liberty Bell, nama sebelumnya: [Old] State House Bell "Genta Dewan Negeri [Lama]") adalah suatu genta tembaga terletak di Philadelphia, Pennsylvania, Amerika Syarikat. Ia ditukang syarikat Lester and Pack dari London pada tahun 1752 atas permintaan Majlis Provinsi Pennsylvania untuk dipasangkan di Dewan Negeri Pennsylvania (kini dinamakan semula sebagai Independence Hall). Pada tahun-tahun awalnya, loceng itu digunakan untuk memanggil para penggubal undang-undang bersidang di dewan ini serta memberitahukan rakyat bandar Philadelphia tentang pertemuan dan pengumuman awam.

Genta Kebebasan terpamer dalam Dewan Kebebasan (Independence Mall) tahun 2008.

Genta ini menjadi terkenal selepas ia dibunyikan sebelum Perisytiharan Kemerdekaan Amerika Syarikat dibacakan pada 8 Julai 1776. Ia dilanjutkan menjadi simbol para abolisionis menandakan perjuangan mereka menghapuskan kegiatan perhambaan di negara tersebut pada abad berikutnya tahun 1830-an, malah menjadi tumpuan para penunjuk perasaan berkaitan kesaksamaan warga kulit putih dan hitam serta penentangan terhadap Perang Vietnam.

Ia kini terletak di Liberty Bell Center di Taman Bersejarah Kemerdekaan Nasional yang turut merangkumi semua tempat bersejarah terlibat revolusi yang memerdekakan Amerika Syarikat daripada kekuasaan British di kota Philadelphia.

Rupa sunting

Genta ini digantung daripada suatu kuk diperbuat daripada kayu Ulmus americana.[1]

Permukaan ia terukir dengan bait suatu ayat dari Kitab Imamat (Leviticus) yang bertulis:

Proclaim LIBERTY Throughout all the Land unto all the Inhabitants Thereof Lev. XXV. v X.
By Order of the ASSEMBLY of the Province of PENSYLVANIA for the State House in PhiladA
Pass and Stow
Philada
MDCCLIII

("Maklumkan KEBEBASAN di negeri itu bagi segenap penduduknya
Immt XXV. ayt X
Atas Permintaan Majlis Provinsi PENSYLVANIA untuk Dewan Negeri di PhiladA
Pass and Stow
Philada
MDCCLIII")

Ejaan "Pensylvania" pula bukanlah ralat namun merupakan ejaan diterima semasa genta ini ditukangkan, Alexander Hamilton yang sezaman turut mengeja begini semasa menulis halaman tandatangan Perlembagaan Amerika Syarikat.[2]

Ia turut menampakkan suatu retakan besar di permukaannya; retakan ini mula-mula diamati ketika ia pertama kali dibunyikan setelah tiba di Philadelphia untuk menguji tala genta,[3][4] retak tersebut kemudiannya membesar khabarnya semasa kematian Ketua Hakim John Marshall tahun 1835 serta dilaporkan dalam akhbar tempatan tahun 1846. Retakan ini diperhatikan memburuk ketika ia dibawa dalam jelajah serata negara lewat abad ke-19 di mana ia dikikis orang awam beberapa kali untuk tujuan cenderamata.

Rujukan sunting

  1. ^ "The Liberty Bell" (pdf). National Park Service. Dicapai pada August 11, 2010.
  2. ^ Paige, John C. (1988). Kimball, David C. (penyunting). The Liberty Bell: A Special History Study (Laporan). Denver, CO: National Park Service (Denver Service Center and Independence National Historical Park). m/s. 9. - dari Arkib dan Perpustakaan Taman Bersejarah Kemerdekaan Negara, 143 S. 3rd St., Philadelphia PA 19106)
  3. ^ Kimball, David (2006). The Story of the Liberty Bell (ed. revised). Washington, DC: Eastern National (untuk Perkhidmatan Taman Negara). m/s. 20. ISBN 0-915992-43-4.
  4. ^ Nash, Gary B. (2010). The Liberty Bell. New Haven, CT: Yale University Press. m/s. 7. ISBN 978-0-300-13936-5.

Pautan luaran sunting