Litar Batu Tiga Shah Alam
{{{Image}}}
Lokasi Shah Alam, Selangor, Malaysia
Acara utama Grand Prix Malaysia (1968-1995)
Grand Prix motosikal Malaysia (1991-1997)
Jarak litar 3.69 km (2.278 mi)
Selekoh 14

Litar Batu Tiga Shah Alam, juga dikenali sebagai Litar Batu Tiga Jalan Kelang, Litar Batu Tiga ataupun Litar Shah Alam, merupakan bekas litar perlumbaan bermotor di Malaysia. Litar ini terletak di ibu negeri Selangor iaitu Shah Alam, iaitu antara Stadium Shah Alam dengan Lebuhraya Persekutuan.

Ia mula dibuka pada tahun 1968 dengan Grand Prix pertama iaitu Siri Tasman yang dimenangi oleh pelumba Indonesia Hengkie Iriawan yang menaiki kereta Ford. Litar Batu Tiga Shah Alam kekal menjadi hos kejohanan Grand Prix Malaysia dari tahun 1968 sehingga 1982, manakala acara yang sering dilangsungkan di litar ini termasuklah Formula Atlantik, Formula Pasifik dan Formula 2. Perlumbaan Grand Prix Malaysia terakhir yang diadakan di Shah Alam adalah Formula Holden pada tahun 1995.

Litar ini pernah ditutup sementara pada tahun 1977 berikutan satu kemalangan yang meragut nyawa enam kanak-kanak, tetapi kemudian ia dibuka selepas penambahbaikan pada pagar dan rel pengadang.[1]

Pada tahun 1985, litar ini diperbaharui dengan penambahan jarak litar daripada 3.38 km kepada 3.693 km manakala penambahan selekoh pada selekoh 11 turut diadakan. [2] Pada tahun yang sama, perlumbaan antarabangsa pertama iaitu Kejohanan Kereta Sport Sedunia telah dimenangi oleh Jacky Ickx yang menaiki Porsche 962C.[3]

Perlumbaan Superbike Sedunia telah diadakan pada tahun 1990 dan 1991 di litar ini. Pada tahun 1991 sehingga 1997 ia menjadi hos kejohanan Grand Prix motosikal Malaysia. Dengan kejuaraan empat kali berturut-turut di litar ini sehingga tahun 1997 Mick Doohan menjadi penunggang paling berjaya bagi kelas 500cc di Litar Batu Tiga. Kemudian acara Grand Prix motosikal Malaysia berpindah ke Litar Pasir Gudang dan kemudiannya ke Litar Antarabangsa Sepang.

Litar tersebut telah ditutup berikutan pembukaan Litar Antarabangsa Sepang. Pada tahun 2003 kerajaan negeri Selangor pimpinan Khir Toyo telah menjual tapak Litar Batu Tiga kepada pemaju perumahan; seterusnya, litar tersebut dirobohkan dan dibangunkan semula dengan projek perumahan D'Kayangan.

Lihat juga sunting

Pautan luar sunting