Litar Pulau Dato' Sagor terletak di Kampung Telok, Kampung Gajah. Terletak bersebelahan dengan Kompleks Sejarah Pasir Salak yang dipisahkan oleh Sungai Perak. Litar ini sebenarnya adalah sebuah pulau di tengah-tengah Sungai Perak. Litar ini berkedudukan 1.5 km dari pekan Kampung Gajah, 30 km dari bandar Teluk Intan dan 75 km daripada bandaraya Ipoh. Litar ini berada dalam kawasan DUN Kampung Gajah dan Parlimen Pasir Salak.

Sejarah awal pulau ini bermula apabila dikatakan pulau ini telah timbul sendiri akibat fenomena semulajadi alam akibat daripada aliran air sungai yang membawa pasir-pasir sehingga terbentuknya sebuah pulau kecil. Penduduk kampung di Kampung Telok telah menggunakan pulau ini untuk menanam jagung. Pada waktu itu, pulau ini dikenali sebagai Pulau Belalang sehinggalah pada tahun 1999 apabila YAB Tan Sri Datuk Seri DiRaja Ramli Ngah Talib (mantan Menteri Besar Perak) telah mendapat ilham membangunkan pulau ini dengan menambak dan membesarkan pulau berkenaan sehinggalah pada keluasan sekarang iaitu seluas 13 hektar dan seterusnya menukarkan nama  pulau ini kepada Pulau Litar Dato' Sagor untuk memajukan sukan permotoran khususnya di negeri Perak, amnya di Malaysia di samping menangani gejala-gejala negatif seperti lumba haram.