Lorong mendaki merupakan sejenis lorong pada jalan raya yang merentasi kawasan pergunungan curam. Ia membolehkan kenderaan bergerak perlahan seperti lori besar atau lori treler serta kenderaan yang tidak cukup berkuasa untuk mendaki cerun curam tanpa mengganggu kelancaran lalu lintas, memandangkan adalah sukar untuk kenderaan tersebut mendaki bukit. Bagi jalan raya 2 lorong biasa, satu lorong tambahan disediakan bagi arah mendaki bukit, manakala arah menuruni bukit kekal selorong. Namun demikian, lorong mendaki tidak semestinya disediakan di bahagian mendaki bukit sahaja; ada kalanya ia turut dibina pada bahagian menuruni bukit bagi membolehkan kenderaan berat bergerak perlahan semasa menuruni bukit tanpa mengakibatkan kenderaan tersebut hilang kawalan.

Lorong mendaki di Laluan Persekutuan dekat Bukit Putus.

Lorong mendaki sering kali dikelirukan dengan lorong memotong berikutan konfigurasinya yang hampir sama; lorong memotong boleh mempunyai jumlah bilangan lorong yang genap manakala lorong mendaki pula hanya boleh ada jumlah lorong yang ganjil sahaja sesuai dengan fungsinya. Selain itu, papan tanda yang digunakan juga adalah berbeza; papan tanda "KENDERAAN BERAT SILA IKUT KIRI" digunakan pada lorong mendaki, manakala papan tanda "IKUT KIRI JIKA TIDAK MEMOTONG" pula digunakan pada lorong memotong.

Lihat juga sunting