Lukisan Berlumur Darah

filem Indonesia

Lukisan Berlumur Darah adalah filem usahasama Indonesia dan Malaysia tahun 1988 dan diarahkan oleh Torro Margens serta dibintangi oleh Tiara Jacquelina dan Dharma Harun Al Rashid.

Lukisan Berlumur Darah
PengarahTorro Margens
PenulisAbdullah Harahap
Imam Tantowi
Torro Margens
Dihasilkan olehHandi Muljono
Y.B. Mohamed Isa MP. AMN. PS
DibintangiTiara Jacquelina
Dharma Harun Al Rashid
Yurike Prastica
Piet Pagau
Disunting olehYanis Badar
Diedarkan olehPT Kanta Indah Film
Cipta Tuah Sdn Bhd
Tarikh tayangan
1988
Masa tayangan
67 minit (Suntingan Umum)
86 minit (Suntingan Pengarah)
NegaraIndonesia

Membuka tirai filem ini, bermula pada zaman penjajahan Belanda, Diarsi (Yurike Prastica) sedang tidur bersama suaminya yang berbangsa Belanda ketika dua orang perompak masuk dan cuba hendak mencuri harta benda di rumah mereka. Suami Diarsi yang juga merupakan pelukis potret itu terjaga dari tidur kerana terdengar bunyi barang terjatuh telah diserang oleh perompak-perompak tersebut dan dia akhirnya dibunuh. Melihat suaminya mati di tangan perompak itu, Diarsi menjadi histeria dan cuba hendak menentang kedua-dua perompak tersebut. Ketia Diarsi cuba menentang perompak-perompak itu sendiri, muncul Yunan (Piet Pagau), penjaga rumah untuk menolong. Malangnya, Yunan pula dicederakan ketika dalam pergelutan. Malah, salah seorang perompak yang tergoda dengan tubuh badan Diarsi kemudiannya merogol wanita itu dengan Yunan tidak mampu berbuat apa-apa. Ketika Diarsi berjaya mempertahankan diri dari perompak kedua yang cuba hendak merogolnya, dia membalas dendam. Dia berjaya membunuh kedua-dua perompak itu dengan bantuan Yunan. Namun, Yunan dan Diarsi tidak melaporkan peristiwa ini pada pihak berkuasa. Sebaliknya mereka sepakat untuk menyembunyikan mayat kedua perompak tersebut.

Kembali kepada masa sekarang, Agus (Dharma Harun Al Rashid) dan isterinya Hanna (Tiara Jacquelina) telah membeli rumah besar yang dahulunya telah didiami oleh Yunan, Diarsi dan suaminya. Agus memilih rumah itu kerana harganya cukup murah sebaliknya Hanna tidak berapa suka dengan rumah tersebut kerana rumah itu agak usang dan menyeramkan. Ketika usaha membersihkan rumah yang baru mereka beli, Hanna menjumpai sebuah potret wanita cantik di sebuah bilik stor di rumah itu. Potret yang sudah terkoyak di beberapa bahagian, berdebu dan terdapat kesan darah di leher serta dada wanita dalam lukisan berkenaan. Dia juga menyuarakan rasa tidak senang hati dengan sebuah pohon beringin yang sedang berdiri megah dihalaman rumah dan meminta agar suaminya menebang pokok berkenaan secepat mungkin.

Pada suatu malam, kampung tersebut dilanda hujan lebat dan angin kencang. Akibat dari ribut tersebut, pohon beringin yang berada di depan rumah itu telah tumbang dan tercabut dari akarnya. Tertanam di bawah pokok tersebut adalah rangka manusia yang masih lengkap sifatnya. Hanna bergegas untuk melihat sendiri apa yang mengejutkan para penduduk berkenaan. Sebaik sahaja Hanna terpandang tengkorak manusia itu, dia pengsan. Mulai dari kejadian ini, Hanna mulai berkelakuan pelik, sering terjerit-jerit kerana melihat darah. Pada mulanya perkara itu dianggap biasa kerana Hanna sedang mengandung, tetapi lama kelamaan Agus semakin tidak senang kerana Hanna lebih mementingkan potret wanita itu daripada dirinya. Adakalanya Hanna akan bermimpi tentang kejadian yang mengerikan dirumah itu, seperti menyaksikan adegan pembunuhan kejam. Agus juga bermimpi perkara yang sama namun dia cuba untuk mengenepikan segala penjelasan yang menjurus kepada perkara ghaib. Pihak polis pula cuba merungkai misteri tentang siapakah sebenarnya yang terkubur di bawah pohon besar tersebut. Suatu hari, Hanna yang ketakutan didalam bilik mandi memohon Agus untuk menukar lantainya. Ketika kerja penggalian dilakukan, Agus menjumpai lagi rangka manusia tertanam di dalam bilik tersebut. Hanna yang sedang menyediakan kopi didapur tidak mendengar amaran Agus agar tidak pergi ke bilik mandi, dan Hanna terus menjerit ketakutan sebaik terpandang rangka tersebut. Agus sedar ada yang tidak kena dengan rumahnya dan bercadang untuk pindah dari rumah itu tapi dibantah oleh Hanna.

Bingung dengan keadaan ini, Agus akhirnya akur pada kebenaran dan beliau merujuk kepada seorang ulama bernama Ustaz Hanaffi. Ustaz berkenaan menasihati dia tentang pelbagai perkara kerohanian; tentang adanya alam yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar, dan memohon agar Agus mula bersembahyang bagi mencari keredhaan Allah. Lantaran itu, Agus mula mendirikan solat. Hanna sebaliknya semakin dipengaruhi oleh kekuatan jahat dari potret perempuan cantik itu. Perempuan cantik dalam potret itu tidak lain tidak bukan adalah Diarsi. Hanna bermimpi lagi dan kali ini dia melihat Yunan dan Diarsi telah berumah tangga setelah peristiwa rompakan di malam itu. Apa yang disaksikan Hanna dalam mimpinya itu adalah pertengkaran antara Yunan dengan Diarsi. Diarsi yang trauma akibat dirogol oleh perompak sehingga mengandung seringkali mengamuk dan bertengkar dengan Yunan. Dalam pertengkaran tu, Diarsi menghunuskan pisau ke arah Yunan dan menuduh Yunan bersubahat dengan perompak-perompak yang dibunuhnya sebelum ini untuk merompak, membunuh bekas suaminya dan merogolnya. Malah dia menuduh Yunan sengaja membiarkannya dirogol kerana kecewa dia berkahwin dengan orang Belanda yang Diarsi tahu bahawa Yunan sangat mencintainya. Namun, Yunan menafikannya. Akibat tidak berpuas hati dengan penafian Yunan dan nafsu amarahnya yang tidak mampu lagi dibendung, Diarsi cuba membunuh Yunan dan terjadinya pergelutan. Dalam pergelutan itu, Yunan telah tertikam Diarsi. Sebelum menemui ajal, Diarsi bersumpah bahawa beliau akan membalas dendam ke atas Yunan. Sesudah itu, Hanna turut menyaksikan Yunan telah mengebumikan mayat Diarsi di laman rumah, tempat di mana pokok beringin tumbang dan rangka Diarsi ditemui. Suatu malam, dibawah pengaruh roh jahat Diarsi, Hanna menggoda salah seorang anak murid Agus. Pelajar lelaki tersebut merupakan cicit kepada salah seorang perompak yang dibunuh Diarsi. Dengan "bersenjatakan" paha gebu berlapis gaun tidur yang jarang, memang sukar bagi lelaki itu untuk menolak rayuan Hanna. Dia kemudiannya dibunuh dan mayatnya ditinggalkan didalam belukar.

Keesokan harinya, seluruh penduduk terkejut dengan berita pembunuhan tersebut. Agus mula berasa ketakutan kerana kesan tikaman pada dada mangsa adalah amat serupa dengan apa yang pernah disaksikannya didalam mimpi. Dengan rasa berat hati, Agus mula menceritakan bagaimana dalam mimpinya dia melihat seorang perempuan menikamnya, dan perempuan itu adalah Hanna sendiri. Jelas sekali bahawa Diarsi akan menggunakan Hanna untuk membunuh Agus, menyangkakan bahawa Agus adalah Yunan. Sementara itu di makmal forensik ibu pejabat polis, beberapa orang pegawai penyiasat polis cuba merungkai misteri rangka tubuh Diarsi dan berusaha untuk menjejaki Yunan yang sehingga kini masih belum ditemui. Ketika beberapa orang rukun tetangga kampung mengadakan rondaan malam secara bergilir-gilir, Pak Marais yang merupakan ketua kampung berkunjung ke rumah Agus. Hanna, yang kini diselubungi roh Diarsi mula memujuk Pak Marais untuk menemaninya malam itu kerana menurut Hanna, Agus tidak begitu melayannya. Terpengaruh dengan tuntutan nafsu, Pak Marais tidak menolak dan akhirnya dia maut ditikam Hanna. Hilai tawa Diarsi mengejutkan Agus dari tidurnya. Dia menemui mayat Pak Marais dan Hanna berlumuran darah. Antara marah dan takut, Agus mencadangkan agar mereka segera beredar dari kampung itu bagi mengelak dari diketahui pihak polis dan orang ramai. Akan tetapi, roh Diarsi semakin kuat merasuki Hanna dan menyasarkan Agus sebagai mangsa terakhir. Yunan yang sedari mula mengintip gerak-geri mereka datang untuk meleraikan pergelutan. Walaupun telah dimamah usia, Yunan masih bertenaga menentang Hanna yang dirasuk roh Diarsi. Kumpulan ronda rukun tetangga yang menyaksikan pergelutan itu melaporkan pada pihak polis. Sebaik sahaja Agus mengalungkan seutas tasbih pada leher Hanna, dia terus kesakitan sebelum jatuh pengsan. Diarsi akhirnya menjelmakan dirinya di hadapan mereka dan kali ini dia menyasarkan Yunan. Yunan pula kini diserang dengan teruk oleh roh Diarsi yang berubah menjadi pontianak. Ustaz Hanaffi tiba ke tempat kejadian bersama orang kampung dan pegawai polis dan dia mengarahkan Hanna agar membakar potret Diarsi bermula dengan bacaan 'Bismillahirahmanirahim'. Dengan terbakarnya potret berpuaka itu, roh Diarsi akhirnya musnah dan terus lenyap. Yunan yang cedera parah akhirnya ditangkap oleh pihak polis bagi menjalani hukuman yang setimpal dengan kesalahannya membunuh Diarsi.

Pelakon

sunting
  • Tiara Jacquelina sebagai Hanna
  • Dharma Harun Al Rashid sebagai Agus
  • Yurike Prastica sebagai Diarsi
  • Piet Pagau sebagai Yunan
  • Abdi Wiyono
  • Yoseph Hungan
  • Hamza Wahid
  • Arman Arroisi
  • Arie Sandjaya
  • Hesty Syani
  • Moch Riska

Informasi Menarik

sunting
  • Antara beberapa filem seram hasil usaha sama antara Indonesia dan Malaysia. Tajuk lain termasuk Bisikan Arwah.
  • Yoseph Hungan yang memegang watak sebagai Iwan dalam Bisikan Arwah, kembali berlakon dalam filem ini sebagai perompak.
  • Kebanyakan salinan VCD filem ini telah ditapis yang mana kesemua adegan ganas dan erotik telah disunting. Versi ini juga yang telah diudarakan pada kebanyakan stesyen-stesyen televisyen. Suntingan ini telah mengurangkan masa kepada 67 minit berbanding dengan 86 minit cetakan asal.
  • Suntingan Umum telah dialih bahasa kepada Bahasa Malaysia.
  • Lukisan Berlumur Darah telah diadaptasi dari sebuah novel karya Abdullah Harahap.

Pautan Luar

sunting