Maahad Ahmadi Negeri Sembilan

Sekolah menengah Islam di Malaysia


Maahad Ahmadi Negeri Sembilan atau singkatannya MANS adalah sebuah sekolah agama di Negeri Sembilan yang diselia oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan. Ia terletak di Kampung Sri Asahan, Gemencheh, Negeri Sembilan kira-kira 24 kilometer dari bandar Tampin dan dua kilometer dari pekan Gemencheh.

Maahad Ahmadi Negeri Sembilan
Lokasi
Gemencheh, Tampin, Negeri Sembilan
 Malaysia
Maklumat
Jenis sekolahSekolah Agama Negeri
MotoTarbiah Hadharah Falah (Pendidikan, Peradaban, Kejayaan)
Nombor sekolah06-4316053
Kod sekolahNXT 5001
Pengetuakosong
Faks06 4317320
Laman sesawang

MANS merupakan satu-satunya sekolah di bawah Kerajaan Negeri Sembilan yang masih mengekalkan dan mengamalkan sisten sanawi, menghafaz al-Quran dan menggunakan Bahasa Arab dan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar sehingga ke hari ini.

Sejarah sunting

Maahad Ahmadi Negeri Sembilan dipercayai merupakan pecahan daripada sebuah sekolah agama tertua ditubuhkan di Negeri Sembilan iaitu Sekolah Ugama Menengah Tinggi atau singkatannya SUMT yang ditubuhkan di Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada 1 Jun 1956. Sekolah ini bermula dengan hanya 40 orang pelajar lelaki yang pada ketika itu ditempatkan di Istana Seri Menanti, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Penubuhan SUMT Seremban sunting

Pada tahun 1963, SUMT di Seremban telah mengambil pelajar perempuan sebanyak 20 orang dan bilangan pelajar di situ telah meningkat jumlahnya menjadi 135 orang kesemuanya. SUMT bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran Malaysia dan akhirnya telah dikurniakan tanah seluas 11 ekar di Jalan Tunku Kurshiah, Sikamat, Seremban, Negeri Sembilan bersebelahan dengan Kolej Tunku Kurshiah (TKC). Melihat kepada kecemerlangan SUMT, Kementerian Pelajaran mula menyatakan minat mengambil alih sekolah ini. Mantan Mufti Besar Negeri Sembilan, Sahibus Samahah Dato' Sheikh Haji Mohd Murtadza bin Sheikh Haji Ahmad, pernah menjadi guru agama SUMT antara tahun 1973-1976.

Pada tahun 1973, Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato' Mansor bin Othman, telah memberikan kebenaran kepada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk mengambil alih SUMT dan pada 1977 SUMT telah diserahkan sepenuhnya kepada KPM. Nama SUMT telah ditukar kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Seremban.

Pada tahun 1984 ketika sambutan Jubli Perak, sekolah ini telah menukar namanya kepada nama seorang Ulama yang terkenal iaitu Sheikh Haji Mohd Said Bin Sheikh Jamaluddin. Semenjak itu, ia kekal dengan nama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Haji Mohd Said (SMKA SHAMS). Akibat kerjasama dan pengambilalihan oleh Kementerian Pelajaran, sistem sanawi tidak lagi digunakan di SUMT.

Mengekalkan tradisi pengajian pondok sunting

Pada tahun 1963 juga, sebahagian tokoh-tokoh tertentu yang tidak bersetuju dengan sistem konvensional yang bakal di bawa KPM telah berpakat membawa SUMT ke Gemencheh, Negeri Sembilan dengan tujuan mengekalkan tradisi sekolah pondok yang berteraskan sistem sanawi yang asalnya diguna pakai di SUMT. Inisiatif tersebut diketuai oleh Allahyarham Ustaz Hamzah bin Maaruf yang telah menghantar satu kertas cadangan kepada pihak berkuasa Negeri Sembilan dan akhirnya diluluskan.

Justeru, Sekolah Agama Menengah, Atas & Sanawi (SAMAS) telah ditubuhkan di kawasan Kampung Sri Asahan di atas tanah yang pada mulanya berkeluasan kira-kira 3-4 ekar sahaja. Tanah tersebut pada ketika itu dikatakan masih dikelilingi hutan, berpaya dan tidak rata. SAMAS kekal di situ sehingga mendapat tanah yang baru dan mula membina bangunan baru di situ pada sekitar awal tahun 1980-an.

Pada tahun 1987 SAMAS telah berpindah tempat ke tanah bersebelahan (seberang jalan) di atas bukit yang berkeluasan kira–kira 20 ekar. Bangunan lama SAMAS telah dijadikan Sekolah Agama Menengah Rendah Gemencheh (SAMRG) pada tahun yang sama.

Pada tahun 1991, Kelas Tahfiz al-Quran telah diperkenalkan dengan pengambilan pertama pelajar seramai 17 orang.

Pada tahun 1992 SAMAS telah diberikan nama baru iaitu Maahad Ahmadi Negeri Sembilan (MANS) bersempena nama mantan Mufti Negeri Sembilan, Sheikh Haji Ahmad bin Sheikh Haji Muhammad Said. Pada tahun 1992 juga, logo baru bagi MANS digunakan.

Pada tahun 2003, kelas tahfiz al-Quran telah dinaik taraf menjadi Institut Tahfiz al-Quran Negeri Sembilan dan dipindahkan lokasinya ke sebuah tempat beberpa kilometer dari MANS.

Pada tahun 2008, Kementerian Pelajaran Malaysia mula mengambil alih pentadbiran Sekolah Menengah Rendah Agama seluruh Negeri Sembilan dari JHEAINS. Akibat penstrukturan semula pemilikan sekolah ini, SAMRG telah dimansuhkan dan diserap ke dalam MANS. MANS telah kembali mengambil alih tapak sekolah SAMRG secara rasmi.

Bangunan lama SAMRG telah dijadikan Kolej STAM sebagai tempat belajar bagi pelajar-pelajar yang menduduki Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) pada tahun 2010. Bangunan di sekolah lama ini telah berusia 50 tahun.

Sehingga kini, MANS masih dapat mengekalkan dan melaksanakan sistem sanawi, menghafaz Al-Quran dan menggunakan Bahasa Arab dan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Pengetua sunting

Pengetua Maahad Ahmadi sunting

  1. Tuan Guru Haji Hamzah bin Maaruf (1963)
  2. Tuan Guru Haji Ibrahim bin Ujang
  3. Tuan Guru Haji Abdul Rahim bin Mohd Yusof (1979-1993)
  4. Ustaz Haji Ali bin Tajid (1994-2003)
  5. Ustaz Haji Abdul Malik bin Shamsuddin (2003-2006)
  6. Ustaz Haji Abdul Rahim bin Maamor (2007-2019)
  7. Tuan Yunus bin Parot (2019-2020) - meninggal dunia dalam jawatan[1].

Guru Besar SAMRG sunting

  1. Ustazah Hajah Sariah binti Tambi (1987-1997)
  2. Cikgu Hajah Rosnah binti Dato' Mohd Taha (1998-2004)
  3. Cikgu Mohd Zaki bin Zainuddin (2005-2008)

Rujukan sunting

  1. ^ Badrul Hashim (1 November 2020). "Berehatlah dengan tenang Cikgu. Doa kami mengiringimu. Sebelum kami sendiri menyusulimu" - PU Azman". Gempak. Dicapai pada 16 Disember 2020.