Majlis Belia Negeri Pulau Pinang

Majlis Belia Negeri Pulau Pinang (MBNPP) ialah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili golongan belia di Pulau Pinang.

Majlis Belia Negeri Pulau Pinang
مجليس بليا نڬري ڤولاو ڤينڠ
JenisNGO
Ibu pejabatPulau Pinang,  Malaysia
Penubuhan
Diasaskan23 Julai 1948
Identiti
Orang pentingMohd Hafiz Ali Mohd Anuar (Presiden)
FokusBelia
sunting
Lihat pendokumenan templat ini
Lihat pendokumenan templat ini

Pertubuhan ini telah ditubuhkan pada 17 November 1948 sebagai "Majlis Belia Negeri Pulau Pinang dan Province Wellesley" dan merupakan Majlis Belia Negeri yang pertama di Tanah Melayu.[1]

Sejarah Majlis Belia Negeri Pulau Pinang sunting

Pada 23 Julai 1948, pertemuan seramai 75 orang wakil-wakil pertubuhan belia di Victoria Institution Kuala Lumpur telah membuka laluan kepada penubuhan Majlis Belia Malaysia. Perwakilan belia yang bersidang turut membincangkan dan berusaha menubuhkan Majlis Belia Negeri dan Settlements. Majlis Belia Negeri Pulau Pinang dan Province Wellesley telah ditubuhkan pada 17 November 1948 dan merupakan Majlis Belia Negeri yang pertama di Tanah Melayu. Nama asal bagi MBNPP ialah Settlement Youth Council and Province Wellesley yang merujuk kepada dua wilayah utama iaitu Pulau Pinang di kawasan pulau dan wilayah Province Wellesley di kawasan tanah besar (Seberang Perai).

Hakim F.C. Arulnandum merupakan Presiden Majlis Belia Negeri yang pertama ditubuhkan di Tanah Melayu. Beliau juga merupakan Presiden Malayan Youth Council yang pertama. Sebelum Merdeka, penubuhan State Youth Council adalah sezaman dengan kesedaran dan keghairahan rakyat untuk mencapai kemerdekaan. Justeru fokus utama penubuhan State Youth Council ialah untuk merapatkan hubungan serta membuka ruang kerjasama di antara kaum khususnya dalam kalangan golongan belia. Para pemimpin belia pada masa itu amat menyedari bahawa perpaduan kaum dalam kalangan rakyat adalah kunci untuk mencapai hasrat rakyat negara ini untuk keluar daripada belenggu penjajahan. Walaupn State Youth Council merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan, namun ia mendapat sokongan dan kerjasama erat pihak kerajaan negeri serta kerajaan pusat. Pada era selepas kemerdekaan, Hal Ehwal Pembangunan Belia termasuk badan-badan pertubuhan seperti Youth Council diletakkan di bawah kawal selia Jabatan Kebajikan Masyarakat. Manakala selepas tahun 1964 tumpuan kerajaan terhadap kepentingan pembangunan belia di negara ini semakin meningkat dengan kewujudan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

State Youth Council juga mendapat sokongan dan bantuan daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang semenjak sebelum merdeka. Mr. R. P. Bingham, Resident Commissioner Negeri Pulau Pinang adalah merupakan Penaung Settlement Youth Council dan diikuti dengan Tuan Yang Terutama Raja Uda Bin Raja Muhammad, Governor Pulau Pinang selaku Penaung. Tercetusnya tragedi 13 Mei 1969 menyebabkan aktiviti State Youth Council tergendala. Tragedi ini telah mengakibatkan keharmonian hubungan antara kaum terpalit dengan perasaan risau, runsing dan juga terguris. State Youth Council turut merasai fenomena ini disebabkan ia dianggotai oleh pelbagai kaum yang mempunyai perbezaan latar belakang budaya dan sosioekonomi. Menjelang tahun 1973, suasana kembali pulih sedikit demi sedikit. State Youth Council telah berusaha gigih untuk bersama-sama membantu kerajaan dalam usaha memulihkan hubungan antara kaum di Negeri Pulau Pinang, khususnya di kalangan golongan belia. Walaupun State Youth Council menghadapi cabaran awal untuk menarik keahlian serta membentuk kerjasama erat pada awal tahun 70 an, namun ia tidak menghalang pertubuhan ini daripada terus menyumbang kepada pembangunan belia di Negeri Pulau Pinang. Malah berdasarkan rekod-rekod dan dokumen-dokumen yang diteliti, era State Youth Council pada sepanjang tahun 1970 an merupakan era kemajuan pertubuhan belia ini. Ia adalah satu kesinambungan daripada era pembinaan hubungan serta perletakan asas kepimpinan para belia di negeri ini pada tahun-tahun 1960 an sebelum itu.

Dalam tempoh hampir 10 tahun tersebut, State Youth Council telah merekodkan banyak penglibatan terhadap isu-isu masyarakat sama ada yang bersifat tempatan, kebangsaan atau antarabangsa. Penglibatan State Youth Council bukan sekadar menghantar perwakilan atau peserta ke sesebuah seminar tetapi juga terlibat secara penuh sebagai Pembentang Kertas Kerja, Ahli Jawatankuasa Pelaksanaan serta Penganjur Program. State Youth Council telah dijenamakan semula dengan diberikan nama baru sebagai Majlis Belia Pulau Pinang (MBPP) pada 15 Mei 1979 sempena sambutan Hari Belia Negara. Ia telah memberikan nafas baru kepada pergerakan pertubuhan belia di Negeri Pulau Pinang untuk menghadapi cabaran yang mendatang. Penjenamaan semula ini juga melibatkan penggunaan logo, perlembagaan serta struktur organisasi baru yang bersesauian dengan keperluan semasa. Mulai tahun 1987, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah memberikan geran tetap tahunan kepada MBPP untuk membiayai kos pentadbiran dan aktiviti sebagai satu pengikhtirafan kerajaan Negeri terhadap MBPP. Dengan pemberian geran tetap ini, kedudukan MBPP kian mantap dan misi utama pergerakannya “Belia Bertindak untuk Kebenaran dan Keadilan” telah mula dipraktikkan di dalam agenda perjuangannya. Cabaran besar dan pelbagai masalah seperti ekonomi dan pengangguran, masalah sosial (moral, akhlak, dadah dan budaya barat), salahguna kuasa dalam syarikat serta koperasi telah menuntut MBPP lebih bertanggungjawab demi masa depan generasi belia di negeri ini.

Era tahun 1990 an memperlihatkan MBPP memacukan peranan lebih agresif dan tidak hanya cuba menangani isu-isu tempatan tetapi melebarkan kerjasama di peringkat antarabangsa. MBPP telah mengadakan lawatan kerjasama Dua Hala dengan Belia Kanagawa Jepun pada tahun 1991 sehingga 1995 dan dengan Belia Korea Selatan pada tahun 1992. Era Millenium telah memperlihatkan corak dan kemampuan kepimpinan belia dalam menghadapi cabaran hebat semasa era globalisasi. Kejayaan MBPP ini telah mempertingkatkan martabatnya di mata dunia. Satu peristiwa bersejarah dan boleh dianggap sebagai satu kejayaan sepanjang penubuhan MBPP iaitu termeterainya Perjanjian Persahabatan di antara MBPP dengan The Adelaide Sister City Young Ambassadors. Perjanjian ini telah ditandatangani pada 29 Mac 2001 di Methodist Meeting Hall, Adelaide Town Hall. Sempena perjanjian ini, Program Jalinan Muhibbah ke Adaelaide juga telah diadakan pada 28 Mac hingga 5 April 2001. kerajaan Negeri Pulau Pinang telah memilih seramai 26 orang Pemimpin Belia Pulau Pinang untuk menyertai program tersebut. Majlis Belia Negeri Pulau Pinang (MBNPP) iaitu nama baru mengantikan MBPP mulai 2006 telah menganjurkan lawatan sambil belajar ke China pada 14 hingga 19 Disember 2006. Rombongan ini terdiri daripada 24 pemimpin belia termasuk 5 pemimpin wanita. Selaras dengan proses transformasi pembangunan belia di Negara ini, Majlis Belia Negeri Pulau Pinang telah didaftarkan semula di bawah Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 dengan nombor pendaftarannya adalah PPBM 0027/09.

Keakraban hubungan MBNPP dengan Kerajaan Negeri dalam pembangunan modal insan, kesukarelawanan dan patriotisme, maka Kerajaan Negeri Pulau Pinang di bawah kepimpinan YAB Tan Sri Dr Koh Tsu Koon telah meluluskan peruntukan RM1 juta untuk pembinaan sebuah bangunan MBNPP yang tetap. Bangunan ini telah siap dibina dan digunakan sepenuhnya oleh MBNPP pada tahun 2010 di atas tapak beralamat Bangunan Majlis Belia Negeri Pulau Pinang, Kompleks Masyarakat Penyayang, Jalan Utama, 10460, Pulau Pinang. MBNPP menyanjung tinggi pengikhtirafan yang amat bernilai daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Kini MBNPP sebagai badan induk dianggotai oleh 18 badan gabungan di peringkat negeri dan lima Majlis Belia Daerah dengan keahlian mencecah melebihi 200 ribu orang ahli.

Pertubuhan Belia peringkat negeri terdiri daripada beberapa kategori iaitu Persatuan Pelajar seperti Persatuan GPMS dan Pembimbing (PKPIM), persatuan berasaskan Agama seperti ABIM, YMCA, YWCA dan YBAM, Persatuan berpakaian seragam seperti Pandu Puteri, St Johns Ambulan, Pengakap, Briged Putera dan Puteri Islam. Persatuan berasaskan kegiatan sosio-ekonomi seperti 4B, MAYC, YMM, GBBM, HYO, KBBT, MIYC dan persatuan belia tunggal. Lima Majlis Belia Daerah iaitu MBD Timur Laut, MBD Barat Daya, MBD Seberang Perai Utara, MBD Seberang Perai Tengah dan MBD Seberang Perai Selatan. Hakikat sejarah ringkas yang dipaparkan ini sudah pasti punya signifikannya yang tersendiri dalam perjuangan gerakan belia. Kepimpinan MBNPP sekarang merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada mantan kepimpinan dan aktivis belia yang lalu dimana sumbangan bakti mereka adalah amat bernilai sehingga MBNPP masih kekal sehingga ke hari ini.

Senarai presiden sunting

  • 1948  : F.C. Arulnandum
  • 1956 - 1958: Khoo Yeoh Gan Hong
  • 1958 - 1959: William N. Mehta
  • 1959 - 1960: Ching Eng Kee
  • 1960 - 1961: Ismail Bin Din
  • 1962 - 1963: R. Shanmugam
  • 1967 - 1968: Abdul Aziz Bin Yahya
  • 1968 - 1969: Ho Wah Chiew
  • 1970 - 1972: Hwang Hong Shi
  • 1975 - 1986: Rani Ibrahim
  • 1986 - 2003: Tan Gin Soon
  • 2003 - 2008: Tan Yok Cheng
  • 2008 - 2014: Mohamad Maliki Bin Mohammad Rapiee
  • 2014 - 2021: Lim Swee Bok
  • 2021 - kini: Mohd Hafiz Ali Bin Mohd Anuar

Lihat juga sunting

Alamat surat-menyurat sunting

Bangunan Majlis Belia Negeri Pulau Pinang d/a Kompleks Masyarakat Penyayang, Jalan Utama,10460 Pulau Pinang. Malaysia

Tel: +60 (4) 228-5799
Faks: +60 (4) 228-6317
E-mel: mbnpp08@gmail.com
FB: Majlis-Belia-Negeri-Pulau-Pinang

Rujukan sunting

  1. ^ Siapa Kami[pautan mati kekal] Majlis Belia Malaysia