Makam Hang Tuah

makam di Melaka Tengah, Malaysia

Makam Hang Tuah (Jawi: مقام هڠ تواه) yang terletak di Tanjung Kling, Melaka, Malaysia merupakan makam seorang pahlawan Melaka di mana kisah keberaniannya bermula apabila semasa remaja lagi dengan tanpa bantuan sesiapa, beliau telah dapat menangkap seorang lelaki yang mengamuk di Kampung Duyong. Kehebatan ini sampai ke telinga Sultan dan Hang Tuah dipanggil ke istana untuk dijadikan pahlawan termuda berkhidmat dengan Melaka. Kebolehannya yang cemerlang membuatkan beliau bersama empat sahabatnya legenda dalam sejarah Melaka.

Pintu Makam Hang Tuah
Makam Hang Tuah

Walaupun terdapat beberapa hikayat seperti Hikayat Hang Tuah menyatakan bahawa Hang Tuah hilang begitu sahaja dan terdapat yang mengatakan Hang Tuah meninggal dunia di Perak. Sejarah Melayu daripada tulisan Tun Sri Lanang, dalam pengisahan Sejarah Melayu, mengatakan Hang Tuah meninggal dan dikebumikan di Tanjung Kling dengan penuh adat istiadat. Ukuran panjang makam Hang Tuah juga berbeza dengan ukuran kubur yang biasa, dimana makam Hang Tuah boleh dikatakan sama panjang dengan sebatang pokok kelapa yang agak tinggi.

Di dalam Sulalatus Salatin Sejarah Melayu dicatatkan:

Hatta maka Laksamana Hang Tuah pun kembalilah ke rahmat Allah Taala, maka oleh Sultan Mahmud ditanamkan di Tanjung Keling, dengan sepenuh-penuh adat dianugerahkan; tiga hari baginda tiada nobat. Maka Khoja Hassanlah jadi Laksamana, menggantikan mertuanya. Maka Laksamana Khoja Hassan beranak dengan anak Laksamana Hang Tuah seorang lelaki, bernama Tun Abdul. Wallahu a'lamu bi'l sawab, wa ilaihi'l marji'u wa'l ma'ab.

[1]

  1. ^ Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, A. Samad Ahmad,Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur